1. Dengan rendah hati, saya ingin menempelak tuduhan demi tuduhan Tun Mahathir yang dilemparkan ke atas bangsa Melayu. Tun Mahathir bermain dengan falasi sejarah yang asyik diulang berulang kali. Melayu pemalas, Melayu pemalas dan Melayu pemalas. Lebih menyedihkan, Tun Mahathir yang konon didabik sebagai “ultra-Melayu” mengulangi penipuan British dan Penjajah mengatakan Melayu pemalas. Bahkan, dengan tidak tahu malu, Tun M sendiri mengulangi hujah mereka.

2.  Apa kata Tun M? Tun dipetik mengulangi contoh bahawa Melayu pemalas kerana tidak mahu bekerja di ladang-ladang dan juga lombong bijih timah. Pertama, sebab musabab kenapa orang Melayu tidak mahu bekerja di situ ialah kerana betapa sesungguhnya itu semua dimiliki oleh British. Buat apa Melayu nak jadi hamba kepada British, menjadi hamba kepada penjajah apabila keuntungan daripada ladang dan bijih timah itu dibawa balik ke negara mereka?

3. Jadi, oleh kerana kenganan orang Melayu mahu menjadi hamba kepada British, maka British terpaksa membawa orang Cina dan India dari dua negara ini kerana keenganan orang Melayu menjilat “tuan”. Sebab itu ada dalam catatan British sendiri menceritakan sikap orang Melayu seperti di bawah oleh pegawai tentera laut British, Kapten Sherard Osborn yang menyatakan:

‘Seperti anjing, orang-orang tempatan di pesisir Semenanjung India menjilat tangan yang mendera mereka; tetapi tidak untuk orang Melayu; dan kita orang-orang Inggeris harus menjadi bangsa yang pertama memberi penghormatan kepada sebuah bangsa yang tidak sewenang-wenangnya tunduk kepada penjajahan dan penindasan’.

Ini sudah cukup untuk mengambarkan betapa orang Melayu melawan penjajah bukan sahaja dengan mengangkat senjata, tetapi juga melawan penjajah dengan enggan menjadi kuli dan hamba kepada setiap kerja mereka.

4. Lagipun kualiti hidup sebagai buruh sangat mendukacitakan. Buruh dan pekerja ladang dikatakan hidup dalam keadaan menyedihkan. Peratusan kematian dikalangan mereka meningkat kepada 30 peratus! Penyakit kerana kekurangan zat seperti beri-beri menular dikalangan buruh yang datang ke Tanah Melayu. Bayaran yang diterima, nasib sebagai buruh tidak setimpal dengan kehidupan orang Melayu sebelum kedatangan penjajah yang lebih baik. Buat apa orang Melayu nak jatuhkan kualiti hidup mereka yang dimiliki sebelum penjajah datang dengan sewaktu penjaja datang?

5. Apakah orang Melayu perlu menjadi seperti buruh cina dan india yang dahlah kuarters tempat tinggal yang disediakan penjajah daif, bayaran tak setimpal, penyakit menular dan kadar kematian mencecah 30 peratus baru dikira orang Melayu tidak pemalas? Inilah sama seperti Tun Mahathir menyuruh orang Melayu menjadi rajin seperti bangsa Jepun, atau nanti dilabel sebagai pemalas. Pemalas yang bagaimana? Apa orang Melayu perlu mati seperti mana rakyat Jepun kerana bekerja 24 jam baru dipanggil sebagai bangsa yang rajin?

6. Satu statistik dari Januari 2010 hingga Mac 2015 mendedahkan 368 kes bunuh diri (352 lelaki, 16 wanita) berpunca dari kes karoshi (istilah Jepun untuk bekerja sampai mampus.) Dalam satu kajian, lebih suku pekerja mengakui mereka bekerja lebih masa 80 jam setiap bulan tanpa menerima sebarang bayaran. Sementara 12% pekerja pula mengakui mereka bekerja lebih 100 jam setiap bulan. Apakah bila orang Melayu bekerja seperti orang Jepun seperti mana yang didedahkan di atas barulah mereka tidak dipanggil pemalas seperti mana yang didabik oleh Tun?

7. Tahukah anda wahai PM ke-4 dan ke-7 kesayangan kami, betapa sebenarnya kualiti hidup buruh itu sangatlah menyedihkan sehinggakan buruh-buruh India yang bekerja di India di bawah British akhirnya melakukan pemberontakan dalam pemberontakan Pemberontakan Sepoi yang terkenal itu sehinggakan mengakibatkan kehilangan 800 ribu orang nyawa?

8. Bayangkan kedatangan British telah membuatkan kehidupan orang Melayu sebagai pedagang dan peniaga terganggu sehingga akhirnya pada hujung abad penjajah British, kelas Melayu pedagang dan peniaga telah hampir tidak wujud di Tanah Melayu? Tahukah anda pada penghujung penjajahan British juga, dek kerana terhapusnya kelas pedagang dan peniaga di kalangan orang Melayu, membuatkan ilmu pembuatan kapal-kapal Melayu pun hampir hilang ditelan dek zaman?

9. Cuba Tun M pergi ke negeri-negeri Melayu yang jauh sikit dari capaian British, dan lebih banyak dibawah naungan Siam seperti Kelantan dan Terengganu. Apakah Tun M dapat melihat kebudayaan meniaga dan berdagang orang Melayu masih kukuh lagi di sana berbanding dengan negeri-negeri lain yang dicengkam oleh British dengan cukup kukuh? Apakah Tun M merasakan British akan membenarkan orang Melayu menjadi peniaga dan pedagang kerana ini akan menaikkan kualiti hidup dan taraf pendidikan akan meningkat, sekaligus memberi kesedaran untuk mereka melawan penjajah?

10. Cuba Tun M perhatikan kenapa catatan-catatan awal Eropah mengenai orang Melayu sebelum British mencengkam penjajahannya ke atas kita adalah mengenai kehebatan orang Melayu membangunkan tamadun, kehebatan orang Melayu berlayar dan berdagang, mengenai pelabuhannya terkaya dunia, atau mengenai bahasanya menjadi Lingua Franca. Kenapa hanya pada penghujung penjajahan British ke atas Tanah Melayu barulah keluar laungan Melayu Pemalas dari British?

11. Analoginya mudah. Apakah hari ini anak-anak Tun M yang jadi bilionair kaya raya, cucu Tun M yang hidup di atas dulang emas seperti mana yang dipaparkan di IG dan Twitter mereka, sanggup melakukan kerja buruh membina bangunan dan juga kerja setaraf yang lain? Saya berani kerat jari saya kalau mereka memilih kerja itu. Yalah, dah lahir kaya raya dengan kualiti hidup yang hebat, kenapa mereka harus jatuhkan kualiti hidup itu? Sematkan analogi tersebut pada orang Melayu yang kaya-raya sebelum zaman British. Rasanya mahu tak mereka jatuhkan kualiti hidup mereka bekerja untuk penjajah? Seperti mana cucu cicit Tun M tak mahu bekerja menjadi buruh, begitu jugalah orang Melayu!

12. Wahai Tun Mahathir, berhentilah daripada mendendangkan retorik penjajah dalam menjatuhkan jati diri bangsa ini. Orang Melayu telah terbukti sebagai bangsa bukan pemalas melalui ketamadunan yang didirikan oleh mereka sepanjang zaman. Dan orang Melayu hari ini masih lagi mencipta keagungan di tanah air ini. Saya tiba-tiba pelik, entah kenapa orang tua disekeliling saya memanggil Tun dengan panggilan seorang pejuang Melayu, tetapi dari kaca mata anak muda berusia 26 tahun yang tidak sempat hidup lama di bawah pemerintahan Tun dulu, melihat Tun hanyalah kelahiran semula penjajah British yang mengulangi retorik mereka? Di mana Melayu-nya seorang pemimpin yang mengulangi fitnah orientalis ini?

Tepuk dada tanya selera.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.