Pentin : Tun Mustapha adalah contoh bagaimana ahli politik yang bijak menggunakan ruang lingkup demokrasi untuk memartabatkan Islam di Sabah. Saksikan.

1. Sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Sabah, sempat meluangkan masa menziarahi dan bertahlil di pusara Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun yang berada tidak jauh dari Lapangan Terbang.

2. Adalah Tun merupakan Yang Dipertua Negeri Sabah yang pertama dan Ketua Menteri Sabah ketiga. Jika di Indonesia, Sukarno dianggap ‘father of Indonesia’, demikian kedudukan Tun Datu Mustapha di Sabah.

Salasilah Keluarga

3. Beliau berbangsa Suluk dilahirkan di Kudat. Mengikut Tarsilah Brunei II (susunan & kajian Pehin Hj Awang Jamil As-Sufri – Ketua Pengarah Pusat Sejarah Kerajaan Brunei Darussalam), Tun Datu Mustapha adalah dari Keturunan Sultan Sulu dari keluarga Maharaja Adinda Aranan melalui bapanya Datu Harun.

4. Untuk makluman, takhta kesultanan Sulu adalah secara bergilir gilir antara Keluarga Kiram, Shakirullah dan Aranan (dari sini salur galur Tun Datu Mustapha) yang jarang diketahui. Namun hakikatnya, ketiga pecahan keluarga ini dari moyang yang sama yakni Sultan Badaruddin I ibni Sultan Salahuddin Karamat (1718-1732). Salasilah ini ada kritikan dari keluarga Aranan kerana menurut mereka, Tun Datu Mustapha adalah anak Datu Paduka Mat Salleh (Pahlawan Suluk berdarah Raja) bukan anak Datu Harun. w/a

5. Ada cerita lisan yang saya terima bahwa pemilihan Tun Datu Mustapha sebagai Yang Di Pertua Sabah pertama kerana salah satu faktornya beliau mempunyai Keturunan Kesultanan Sulu. Pemilihan beliau sebagai menghormati Kesultanan Sulu yang pernah memerintah Sabah dan menyejukkan keadaan pendakwaan Sabah masih dalam wilayah kesultanan Sulu.

Sumbangan

6. Tanpa kerjasama ‘father of Sabah’ ini dengan Tunku Abdul Rahman melalui USNO (United Sabah National Organization), yakni parti model UMNO untuk Sabahan yang di asaskan beliau bersama beberapa sahabat, pembentukan Malaysia 1963 akan menemui kebuntuan.

7. Selepas pembentukan Malaysia, beliau dilantik Yang DiPertua Sabah dan dikatakan orang pertama yang mendapat Kad Pengenalan Malaysia di Sabah. Sebenarnya, beliau boleh selesa menjadi Yang diPertua tanpa perlu mengerah keringat dalam kerja pentadbiran, tetapi ini lah keistimewaan beliau.

Turun ‘Takhta’ Yang DiPertua

8. Beliau telah meninggalkan keselesaan jawatan Yang Dipertua dan turun berpolitik lalu kembali menjadi Ketua Menteri Sabah selepas parti USNO beliau menang Pilihan Raya Negeri. Tun merasakan kedudukan KM lebih memudahkan beliau berpencak dari hanya tinggal di Istana Negeri.

9. Dalam tempoh 8 tahun beliau sebagai Ketua Menteri Sabah (1965 – 1973), pada tahun 1968, Tun Datu Mustapha telah meletakkan Bahasa Melayu pada kedudukan yang tinggi sebagai bahasa rasmi Sabah mengantikan bahasa Inggeris masih digunapakai selepas membentuk Malaysia.

10. Tun Mustapha juga telah mengintegrasikan sistem pendidikan Sabah ke dalam sistem pendidikan kebangsaan. Tun Datu Mustapha turut bertanggungjawab menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah sekolah di Sabah secara berperingkat peringkat antara tahun 1967 – 1975.

11. Jasa paling besar Tun Mustapha adalah dengan kelicikan dan helah, beliau telah berjaya menjadi Islam sebagai agama rasmi di Sabah pada tahun 1973 yang mana ketika membentuk Malaysia, Sabah belum ada agama rasmi di peringkat negeri demikian juga di Sarawak. Helahnya dalam berhadapan juak-juak politikus tak dapat saya ceritakan di sini, namun saya sangat kagum selepas mendengar sendiri dari Mufti Kerajaan Negeri Sabah yang berkongsi pada saya.

12. Perjuangan mendaulatkan Islam sebagai agama rasmi di Sabah bukannya mudah. Tun faham bahawa beliau memerlukan kekuatan dan sokongan kukuh baik di Dun dan masyarakat Sabah sendiri. Kedudukan ini tidak kuat sekiranya penganut Islam tidak ramai, maka dimulakan dengan gerakan memuslimkan seramai mungkin pribumi dan masyarakat di Sabah melalui penubuhan USIA (Pertubuhan Islam Seluruh Sabah) yang merupakan himpunan kesepakatan 263 wakil dan pemerhati dari Persatuan Islam diseluruh Sabah dalam suatu kongres. Kongres tersebut diadakan selama 3 hari pada 14 sehingga 16 Ogos 1969 bertempat di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.

13. Dibawah kepimpinan Tun Mustapha, USIA telah menjadi ‘de facto’ perkembangan Islam di Sabah dan kesan politik negeri. Puluhan ribu penduduk negeri ini terutamanya masyarakat suku kaum Kadazan-Dusun, Murut, Rungus dan kaum-kaum lain memeluk Islam.

14. Hasilnya peratusan muslim di Sabah naik mendadak hingga mencapai 53% sangat berbeza ketika pembentukan Malaysia dahulunya yang hanya 31%. Peratusan ini bukan sahaja memberi impak pada dakwah tapi juga landskap politik negeri kerana telah membolehkan satu badan yang dinamakan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) ditubuhkan pada 26 April 1972 dan Agama Islam menjadi agama rasmi di negeri Sabah diiktiraf dengan rasminya pada 23 September 1973.

15. Dari MUIS, lahirnya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang ditubuhkan pada 1 Januari 1996 melalui kertas kabinet bil.25/95, rcc. 101/469 jilid 3. 11 Ogos 1994 bagi melaksanakan dasar-dasar Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS).

16. Sesungguhnya Tun Mustapha telah benar-benar memanfaatkan kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah telah menaikan semangat dan meniupkan roh dakwah kepada perkembangan Islam di Sabah.

Angah Sunan
Orang semenanjung cintakan perjuangan Tun Datu Mustapha


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.