Antara fakta menarik yang saya temui ketika melusuri sejarah keluarga di sebelah ibu saya yang bersuku Mandailing ialah cerita mengenai Adam Malik Batubara yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar Negara Indonesia semasa Konfrontasi Indonesia-Malaysia.

Adam Malik Batubara merupakan seorang tokoh pejuang kemerdekaan Indonesia dan pernah berkhidmat sebagai Duta Indonesia ke Kesatuan Soviet dan Poland. Selain itu beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar Negara Indonesia dan Naib Presiden Indonesia ke-3. Beliau juga diberi gelaran ‘Si Kancil Indonesia’.

Walaupun biografi rasmi Adam Malik menyatakan bahawa beliau lahir di Permatangsiantar, Sumatera, saudara-maranya, terutamanya di Malaysia berkata bahawa Adam Malik sebenarnya lahir di Chemor, Perak (Lubis and Nasution 2003).

Menurut penulisan Bachtiar Djamily (1978), ayah Adam Malik yang bernama Abdul Malik Batubara merupakan seorang peniaga dari Sumatera yang datang meniaga di Perak. Pada tahun 1911, Abdul Malik telah berkahwin dengan seorang wanita tempatan bernama Salamah Deto (ada yang mengatakan ianya Siti Lamah Deto). Menurutnya lagi, semasa umur 8 tahun Adam Malik tidak sempat untuk masuk ke sekolah di Chemor kerana terpaksa berpindah mengikuti ayahnya kembali ke Sumatera.

Pada masa itu belum lagi ada sistem perekodan kelahiran bayi yang moden seperti yang kita ada hari ini. Selain itu, belum wujudnya sistem kad pengenalan atau sijil kelahiran yang secekap zaman kini. Masalah ini mungkin dapat menjelaskan kenapa perbahasan tempat kelahiran Adam Malik diungkit dari masa ke masa.

Petikan daripada buku “Raja Bilah And The Mandailings In Perak: 1875 -1911”

Walaupun menjawat jawatan yang tinggi iaitu Menteri Luar Negara Indonesia, beliau akan cuba mencuri masa untuk melawat saudara-maranya di Chemor, Perak (Arkib Utusan Online 2013).

Semasa Konfrontasi Indonesia-Malaysia berlaku pada tahun 1963, Adam Malik berasa risau akan keselamatan saudara-maranya di Chemor, malah beliau juga telah menyuarakan ketidakpuashatiannya terhadap Sukarno (Lubis 2005). Menariknya, selain daripada Adam Malik, seorang jeneral Indonesia yang bernama Abdul Haris Nasution juga telah membantah tindakan untuk berperang dengan Malaysia. Beliau menyamakan tindakan Indonesia untuk berperang dengan Malaysia seperti “berperang dengan saudara sendiri”. Malah, seperti Adam Malik, Jeneral Abdul Haris Nasution mempunyai saudara mara di Malaysia juga. Seorang anak saudaranya berkhidmat sebagai Ketua Pentadbir dalam Tentera Laut Diraja Malaysia semasa tercetusnya Konfrontasi (Lubis 2005).

Setelah melakukan kajian dengan lebih lanjut, saya juga mendapati bahawa kedua-dua tokoh ini merupakan orang Mandailing. Semasa Konfrontasi, kedua-dua tokoh ini bersama-sama dengan beberapa tokoh yang lain telah bekerjasama untuk mencari jalan bagi menamatkan konfrontasi ini.

Setelah perjanjian damai dicapai antara Indonesia dan Malaysia pada tahun 1966, Adam Malik terus pergi ke Chemor untuk memberitahu kepada saudara-maranya di sana bahawa keamanan sudah dicapai dan mereka semua akan selamat (Lubis 2005).

Sejarah ini bagi saya agak releven dengan cogan kata Mandailing yang berbunyi “Padomu Na Marotak, Palagut Na Marserak”, yang bermaksud mempertemukan yang berpecah, menghimpun yang terpisah. Kenapa?

Orang Mandailing sejak beratus tahun lamanya walaupun berasal daripada Sumatera tidak melupakan tanah nenek moyang mereka. Ini dapat dibuktikan dengan tindakan orang Mandailing yang sering berulang alik dari Semenanjung ke Sumatera untuk meziarah tanah nenek moyang mereka dan merapatkan hubungan persaudaraaan sejak dahulu lagi.

Namun, apabila berlakunya Konfrontasi, orang Mandailing di Malaysia telah terputus hubungan dan terpisah dengan saudara mara mereka di Indonesia (Lubis 2013). Malah, ada yang tak berani merentas sempadan untuk menziarah saudara mara mereka kerana takut ditangkap oleh pasukan keselamatan kedua-dua negara ini. Setelah tamatnya Konfrontasi, aktiviti ini telah bermula semula dengan biasa dan mereka dapat membina atau merapatkan semula hubungan kekeluargaan mereka yang telah terputus semasa tecetusnya Konfrontasi ini.

Bacaan lanjut:

1) Lubis, A.R., and Nasution, K.S. (2003) ‘Raja Bilah And The Mandailings In Perak: 1875 – 1911’. Malaysia: Malaysian Branch Of The Royal Asiatic Society

2) Djamily, B.(1978) ‘Hidup dan Perjuangan Adam Malik, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru.

3) Arkib Utusan Online (2013) Sambutan Raya masyarakat Mandailing di Chemor Ahad ini [online] 27 August 2013. retrieved from <[http://ww1.utusan.com.my/…/Sambutan-Raya-masyarakat-Mandail…]> [9 February 2018]

4) Lubis, A.R. (2005) ‘Mainstreaming the Minorities – the Case of the Mandailings in Malaysia and Indonesia’. Kuala Lumpur: Cahayasuara Communications Centre

5) Lubis, A.R. (2013) ‘Mandailing movement to Malaysia’ . Malaysia History [online] 21 September 2011. retrieved from <[http://www.malaysiahistory.net/index.php…]> [10 February 2018]

6) Adam Malik, Mengabdi Republik, Jilid 1 Adam Malik Dari Andalas , Gunung Agung, Jakarta, 1978; Abdul Rahman Rahim, Jatoh-Nya Sa-Orang President, Penerbitan Utusan Melayu Berhad, chetakan kedua, 1967.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.