Apabila buku saya pertama kali diterbitkan, saya menerima banyak respon kebanyakan orang yang menyangkakan itu adalah sebuah buku fiksyen, iaitu sebuah cerita novel. Mungkin atas disebabkan tajuknya yang berbunyi seperti sebuah filem. Bagaimanapun, apabila saya katakan pada mereka bahawa apa yang saya tulis adalah berbentuk penulisan artikel, barulah mereka sedar.

Daripada ini saya dapat simpulkan bahawa apabila membicarakan soal hubungan atau cinta, kebanyakan orang menganggap itu adalah satu bentuk cerita. Menjadi agak ‘taboo’ jika kita bercakap tentang hal ini dalam bentuk penulisan bukan fiksyen kecuali jika anda adalah penceramah terkenal atau pakar motivasi.

Manusia secara fitrahnya sukakan pada fiksyen atau penceritaan, sepertimana yang pernah disyarahkan oleh Dr Yasir Qadhi di dalam salah satu ceramahnya. Begitulah mengapa adanya pelbagai kisah di dalam al-Quran untuk menjadi pengajaran kepada kita yang hadir berbentuk penceritaan.

Hidup Adalah Tentang Kemajuan

Ditemuramah oleh CNBC, Tonny Robbins mengaitkan kebahagiaan dalam hidup itu adalah apabila kita mempunyai ‘progress’ (kemajuan). Meskipun kita akan berasa gembira apabila telah mencapai sesuatu kejayaan yang kita inginkan, itu tidak menjamin diri kita untuk terus gembira. Kerana kita akan sentiasa inginkan lain atau pun lebih dari itu. Saya pernah bercakap tentang hal ini kepada seseorang apabila sewaktu pertama kali bertemu dengan insan tersebut.

Beliau turut bersetuju akan konsep kemajuan dalam hidup ini. Bukanlah memberi konotasi bahawa kita tidak bersyukur dengan apa yang ada atau kita tidak merasa cukup atas nikmat yang diberikan selama ini, tetapi Islam tidak melarang kita untuk terus menempa kejayaan demi kejayaan dalam hidup. Kerana dengan kemajuanlah kita akan rasa lebih bersyukur disebabkan kita pernah berada pada tahap yang bawah.

Justeru apabila telah berjaya melakukan hal tersebut, kita syukuri nikmat itu. Contoh yang mudah untuk dikaitkan dengan kita semua adalah mendapatkan pekerjaan. Sewaktu saya baru sahaja habis belajar, saya sangat risau memikirkan hal pekerjaan dan kerjaya. Sempat jugalah merasa fasa menjadi penganggur walaupun tidak lama. Apabila mendapat tawaran bekerja, itulah rasa yang seronok kerana kita keluar daripada situasi yang sukar kepada yang lebih selamat.

Sewaktu berada dalam tahun pengajian di universiti, saya pernah mengambil kelas elektif, Knowledge Management, yang mana telah saya pelajari satu konsep baru bagi saya iaitu ‘kaizen’. Kaizen di dalam Bahasa Melayu kita sebut sebagai perubahan ke arah yang lebih baik. Bagaimana sesebuah organisasi itu dapat melibatkan semua rantaian pekerja di dalam syarikat bersama-sama maju semakin ke hadapan tanpa meninggalkan sesiapa di belakang. Pada hemat saya, kaizen boleh juga digunapakai dalam kehidupan peribadi kita selain kerja.

الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ، حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

“Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja dia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya.”

(Riwayat Tirmizi)

Hadis ini memberi maksud bahawa pengajaran baik itu patut kita contohi tidak kiralah dari sesiapa pun. Ini bertepatan dengan kaedah sahabat Nabi, Umar, apabila menjadi pemerintah. Beliau mencontohi system kharaj, diwan dan calendar yang diambil dari pemerintahan Parsi. Begitu juga dengan kisah sahabat yang lain, Abu Hurairah, apabila beliau menceritakan kepada Rasulullah bahawa ada seseorang mengajarkan dia kelebihan ayat Kursi yang rupa-rupanya individu tersebut adalah syaitan apabila Nabi mendengar kisah beliau.

صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ ذَاكَ شَيْطَانٌ

Benar apa yang dikatakannya padahal dia itu pendusta. Dia itulah syaitan.”

(Riwayat Bukhari)


Justeru itu, hidup ini biarlah kita sentiasa berubah pada kebaikan. Mustahil untuk kita terus kekal pada kebaikan kerana sifat insan itu sendiri ada turun naiknya, jadi dengan adanya pemahaman mengenai perubahan-perubahan pada perkara baik, itu dapat memberi kita makna dalam mengecapi nikmat kebahagiaan. Kerana manusia adalah makhluk kompleks, punyai persoalan hati yang kita sukar untuk gambarkan pasang surutnya.

Bahagia Bukan Gembira

Saya teringat pada satu buku bertajuk Bahagia Bukan Gembira karangan saudari Anfaal Saari yang telah saya baca pada tahun lepas. Apa yang menarik adalah permulaan penulisan di dalam buku tersebut yang memberi insipirasi untuk hidup dalam keadaan sentiasa memberi kebaikan. Erti hidup itu pada memberi, sepertimana juga yang telah dikarang oleh saudara Hasrizal Abdul Jamil pada tema yang sama.

Saudari Anfaal menulis buku itu dalam bentuk anekdot, iaitu satu penulisan penceritaan peristiwa-peristiwa (moments) ringkas dalam hidup yang memberi pandangan baru dalam perspektif kita. Seperti kata orang, pengalaman adalah guru yang paling berjasa sepanjang kita hidup. Beberapa hari lalu Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli, telah menulis tentang hakikat kebahagiaan di dalam laman web beliau.

Saya begitu ternanti-nanti penulisan seperti ini muncul terutamanya daripada seseorang yang alim dan berpengetahuan luas seperti Dr Zulkifli. Pernah pada satu ketika dahulu apabila pensyarah saya memberikan tugasan untuk bercakap tentang apa-apa tajuk, saya memilih untuk bercerita tentang bahagia. Seingat saya itu adalah dalam kelas English for Oral Presentation di semester ke lima dalam tahun pengajian.

Rumusan daripada hasil ‘kajian’ saya yang tak seberapa itu adalah bahagia datangnya dari dalam jiwa kita sendiri, bukannya faktor-faktor luaran. Bahagia juga boleh dipupuk meskipun kita mengalami kesusahan hidup atau trauma pengalaman lepas, bertepatan dengan hadis mengenai sifat mukmin yang baik.

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

(Riwayat Muslim)


Berdasarkan tulisan mengenai bahagia oleh Mufti Wilayah Persekutuan, tidak ada perkaitan langsung pun bahagia itu dengan wang, harta benda, pangkat, kerjaya, dan pengaruh. Malah yang boleh kita lakukan untuk meraih hakikat bahagia adalah dengan mendapatkannya daripada Allah, kerana Dialah yang boleh menurunkannya kepada kita atau pun tidak.

Dengan menjadikan diri sebagai hamba yang menurut perintah Tuhan, kita mampu mendapatkan rasa bahagia di dalam hati ini. Tapi pada hari ini kita begitu sibuk dengan kerjaya, mengumpul harta benda, bergaul dengan ramai orang, melakukan aktiviti yang banyak, semata-mata untuk meraih bahagia sehinggakan sedikit sebanyak mengganggu hubungan kita dengan Allah dan sesama makhluk. Maksud saya bukanlah salah untuk sibuk dalam urusan muamalat keduniaan, tetapi jangan disebabkan sibuk itu kita lupa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim. Sebagaimana sebuah syair Arab ada menyebutkan:

وَلَستُ أَرى السَعادَةَ جَمعَ مالٍ

Dan aku tidak melihat kebahagiaan hakiki dengan himpunan harta.”

وَلَكِنَّ التَقيَّ هُوَ السَعيدُ

Tetapi orang yang bertakwa itulah sebenarnya orang bahagia

Dalam kesibukan kita melaksanakan kehidupan di dunia, perlu juga diselarikan dengan amalan-amalan soleh. Seperti contoh mudah adalah menghulurkan bantuan kepada insan-insan yang kesusahan, memberi wakaf kepada badan-badan yang berobjektifkan kemajuan umat Islam, menunjukkan sokongan pada polisi kerajaan yang beri kebaikan, memprotes pada isu-isu nasional yang melibatkan penggugatan pada kepentingan umat Islam dan menyantuni pada individu yang memberi sumbangan besar pada masyarakat.

Begitulah beberapa contoh pada mereka yang mungkin tertanya-tanya disebabkan penulisan saya yang agak umum. Saya pernah menulis tentang buku Maszlee Malik apabila beliau memulakan buku itu dengan perkenalkan idea ‘homo-Islamicus’. Seorang Muslim tidak seharusnya hidup dalam kancah ‘rat race’ iaitu hanya sibuk dengan kerja dan urusan rutin sehinggakan menjadi ‘oblivious’ (buta) terhadap apa yang berlaku pada umat Islam dan negara kita. Hiduplah dengan memberikan kebaikan pada orang lain, walaupun dengan hanya senyuman manis di wajah untuk menceriakan hati orang di sekeliling kita.

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى

Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.”

(Riwayat Bukhari)

Hidup Yang Tercukupi

Pernah seseorang menerangkan pada saya tentang dirinya yang suka melakukan aktiviti seperti usrah dan terlibat dalam NGO. Beliau tidak boleh hanya berbuat hal-hal rutin harian sahaja seperti pergi kerja balik kerja, duduk rumah pun buat kerja. Saya hanya mendengar dan meraikan (acknowledge) kata-kata beliau dengan berkata ringkas itu adalah satu bentuk ‘fulfillment of life’ kerana saya turut memahami apa yang diluahkan itu. Emily Esfahani Smith, penulis kepada buku The Power of Meaning: Finding Fulfillment in a World Obsessed with Happiness, berkata bahawa mempunyai makna dalam kehidupan adalah lebih penting daripada tercari-cari pada kebahagiaan.

Dalam temubual beliau bersama PBS News Hour, beliau turut memberikan contoh mudah untuk mendapatkan kehidupan yang punyai makna, iaitu dengan ‘storytelling’ (penceritaan kisah). Bagaimana kita menceritakan kisah hidup kita sama ada dari sudut positif atau pun negatif. Emily turut membawakan kajian oleh Dan McAdams dari Northwestern University bahawa jika kita melihat naratif penceritaan diri kita dari sudut positif, kita akan menjadi lebih cenderung untuk mempunyai hidup yang punya makna seperti menyumbang pada masyarakat, berbanding yang melihat dari sudut negatif. Itulah yang digelar sebagai ‘narrative identity’ oleh McAdams sendiri.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

(Surah Adz-Dzaariyaat:56)

Tujuan hidup, atau raison d’être di dalam bahasa Perancis, pada saya adalah dengan mengikuti suruhan dan larangan Allah. Sepertimana tulisan Dr Zulkifli tentang bahagia, beliau menegaskan bahawa orang yang berbuat baik akan selalu tenang sebaliknya yang berdosa akan selalu dirudung dengan curiga dan kerisauan.

Justeru itu, contoh ‘fulfillment of life’ adalah apabila kita melaksanakan perkara-perkara baik yang secara langsung berikan diri kita rasa bahagia apabila telah melakukannya. Apabila saya bertanya pendapat ibu saya tentang hidup yang bermakna atau pun hidup yang ‘fulfilled’, jawapannya adalah apabila kita membuat perkara yang berfaedah.

Kata-kata beliau itu bagi saya tepat kerana perkara berfaedah adalah perkara yang baik, lantas itu berikan kita bahagia. Ada orang suka sertai aktiviti persatuan, ada orang rajin menolong menjadi jawatankuasa di masjid, ada orang selalu sedekah pada ahli keluarga dan saudara mara, ada orang selalu buat ceramah atau kelas percuma, dan bermacam lagi perkara yang boleh membantu memajukan masyarakat Islam.

الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ

Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.”

(Riwayat Muslim)


Begitulah sejuzuk dari kehidupan kita, atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai ‘a slice of life’. Hidup ini penuh dengan cerita-cerita dan falsafahnya yang mana jika kita luangkan masa untuk muhasabah tentangnya tentulah akan memberikan pengajaran baik yang boleh kita amalkan.

Sehinggakan terdapat satu perkataan bahasa Inggeris, ‘sonder’, bermaksud satu perasaan bahawa setiap insan-insan yang tidak kita kenali hidup di sekeliling kita mempunyai kehidupan yang kompleks dan nyata sepertimana kita sendiri. Semoga penulisan ini berikan kebaikan-kebaikan kepada kita semua.

Muhammad Baha’uddin Hamizan
https://www.facebook.com/BahakDean


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.