Tular Regopantes: Tribute Aku Buat Petani Indonesia

521
views

2, 3 hari ni kerap pula video ringkas mengenai Regopantes berlegar-legar di alam maya. Ia adalah sebuah aplikasi mudah alih yang menawarkan khidmat pembelian hasil ladang secara terus kepada pengguna. Regopantes masih lagi sebuah aplikasi yang baru namun semakin mendapat tempat di hati warga Indonesia.

Bukan aplikasi ini yang hendak aku utarakan kerana idea ini sebenarnya bukan baru, cuma di Malaysia, senario perladangan dan pertanian sayur-sayuran ini tidak sama seperti di Indonesia. Oleh itu, jika mahu melakukan perkara yang sama di Malaysia, selesaikanlah dahulu isu ‘supply’ kerana ‘demand’ itu sentiasa ada.

Aplikasi mudah alih Regopantes

Penulisan aku hari ini lebih kepada pengalaman dan pengamatan aku tentang pertanian secara kecil-kecilan di Pulau Jawa. Dalam lipatan sejarah, kita tahu tentang wujudnya pelbagai kerajaan agraria di Indonesia. Majapahit yang mempunyai kekuatan maritim, terhad atau tidak itu terpulang atas pendapat masing-masing, dianggap sebagai sebuah kerajaan agraria yang unggul.

Lori kecil di Selo, bermuatan sayur-sayuran menghala ke Solo

Bumi Jawa yang dari masa ke semasa dilanda letupan gunung berapi dilimpahi rahmat dengan tanah yang amat subur dan sumber air tawar yang amat banyak. Tanahnya hitam dan lembut. Boleh dikatakan baja organik yang ditabur hanyalah sekadar ‘makanan tambahan’ untuk tanah yang sudah amat segar dan subur. Oleh itu, kawasan tanah tinggi di pulau ini sering dipugar untuk dijadikan lot-lot tanaman bersuhu rendah seperti kentang, teh, kobis, bawang, ubi kentang, lobak dan lain-lain lagi.\

Batas batu di Jumprit
Kaum ibu membanting tulang mengangkat kayu mendaki dan menuruni kaki Gunung Lawu

Di pergunungan sekitar Karanganyar, Merbabu, Merapi, Dieng dan banyak lagi, kita boleh lihat aktiviti pertanian tanah tinggi ini. Yang menariknya, pertanian di sini rata-rata dipelopori oleh pekebun kecil yang tidak memiliki tanah yang luas. Seperti juga di negara kita, hasil tani ini ke pasaran terbuka melalui orang tengah yang sedia menanti bersama lori-lori kecil mereka.

Pertanian tanah tinggi di Jumprit, Jawa Tengah

Ketika di Selo, di kaki Gunung Merbabu dan Gunung Merapi, aku dapat melihat puluhan lori kecil sudah berbaris panjang dengan kepala lori mengarah ke Solo. Hampir kesemua penduduk kawasan ini bercucuk tanam dan kehidupan mereka amat sederhana. Ngablak, seperti di dalam video ringkas Regopantes pula berada di bahagian Barat Laut Gunung Merbabu. Senarionya sama sahaja dengan Selo daripada pengamatan aku.

Perkampungan petani di Dataran Tinggi Dieng
Perkampungan petani berdekatan dengan Telaga Menjer

Di Jumprit, aku melihat petani-petani membanting tulang empat kerat membuat batas dengan menyusun batu-batu besar, ia bukan suatu pekerjaan mudah. Kebanyakan mereka tidak menggunakan jentera moden, kederat semata-mata.

Di Karanganyar, aku melihat kaum ibu menggendong kayu untuk dibawa ke kebun. Mereka mendaki kaki gunung, bukan tanah yang landai. Ini bukan kerja mudah.

Batas sayuran bersebelahan Candi Cetho di Karanganyar. Amat tinggi kedudukan kawasan ini
Kebun Teh Kemuning di Karanganyar

Banyak lagi ‘kejadian’ yang dapat aku lihat sepanjang perjalananku, dan aku kagum dengan kesungguhan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Sepanjang aku berkelana di bumi Indonesia, ini adalah sisi kehidupan yang tidak pernah aku ceritakan. Acap kali aku melihat golongan petani ini menghabiskan masa mereka bergurau senda tika waktu sengkang, tidak terlalu dibelenggu dengan kehendak dunia yang semakin moden dan menekan hidup. Murahnya mereka melemparkan senyuman dan pertolongan tiap kali aku memerlukannya. Padaku, mereka ini wira sebenar dalam pengembaraanku.

Asal ada tanah kosong, semuanya jadi kawasan bercucuk tanam
Kawasan pertanian di Dataran Tinggi Dieng

Atas sebab ini jugalah aku gembira adanya usaha untuk meningkatkan pendapatan para petani dan pekebun kecil di sana. Harapan aku Regopantes cukup stabil untuk memberi khidmat kepada mereka yang terlibat dalam program ini.

Aku pernah jadi petani, aku tahu apa rasanya.

Previous articleMenara Warisan Merdeka (Kl118)
Next articleIstighfar (Meminta Ampun) Dan Taubat
Seorang pengembara warisan yang fokus kepada tinggalan sejarah dan budaya setempat. Gemar membaca dan menulis itu cara beliau mengekspresi diri dan dunia marcapada
SHARE