Tujuh Jenis Kepintaran. Anda Yang Mana Satu?

0
3314
views

Tahukah anda bahawa kehebatan seseorang dalam bidang akademik, peperiksaan, dan ke-four-flat-an CGPA tidak menjamin kepintarannya dalam dunia sebenar?

Menurut Profesor Howard Gardner dalam makalahnya; The Theory of Multiple Intelligences, kepintaran seseorang itu terbahagi kepada tujuh jenis;

1. BAHASA LISAN

Mereka yang pintar dalam bahasa lisan sangat hebat dalam membaca, menulis serta menghafal bahan-bahan akademik. Insan yang dominan otak kiri ini kebanyakannya pelajar-pelajar A di sekolah dan di universiti. Majoriti daripada mereka menjadi wartawan, penulis, peguam, doktor dan sebagainya.

2. LOGIK MATEMATIK

Juga dominan otak kiri serta hebat bermain nombor, permasalahan numerikal, logik, abstrak. Kebanyakan daripada mereka menjadi jurutera, saintis, akauntan dan lain-lain.
Mereka yang mempunyai kepintaran dalam bahasa lisan dan logik matematik biasanya hebat dalam bidang akademik, di bilik darjah dan di dewan kuliah.

3. GERAK BADAN

Menggunakan kehebatan fizikal dan psikomotor sebagai kepintaran mereka. Sangat menyerlah dalam bidang tarian, sukan, bengkel, pembedahan dan apa-apa yang berkaitan.

4. RUANG (KREATIVITI)

Dominan otak kanan dan cenderung kepada bidang seni, visual, reka bentuk dan teka-teki. Mereka yang pintar dalam jenis kreativiti ini kebiasaannya menjadi artis, pereka fesyen, dan arkitek.

Waqaf Saham

5. MUZIK

Pintar dan bekerjaya dalam seni muzik, irama, nada, melodi dan warna suara.

6. INTERPERSONAL

Gabungan perkataan inter (antara) dan personal (insan). Mereka adalah komunikator, popular dan ekstrovert, sensitif terhadap perasaan orang lain serta hebat dalam bidang motivasi.
Kepintaran dalam bidang interpersonal menjadikan seseorang itu berjaya (dengan izin Allah SWT) dalam bertanding sewaktu pemilihan majlis perwakilan pelajar dan lain-lain yang berkenaan.
Mereka selalunya bekerjaya dalam bidang jualan, politik, serta profesion yang melibatkan manusia.

7. INTRAPERSONAL

Dalam bahasa mudah, kepintaran mengawal emosi, muhasabah diri dan introspektif. Mereka memahami diri sendiri, kenal kekuatan dan kelemahan diri, serta tahu bagaimana mahu memberi reaksi dan emosi.

Jadi, sekiranya anda tidak menyerlah dalam bidang akademik yang memerlukan kepintaran lisan dan logik matematik, usah gusar, masih ada lagi lima jenis kepintaran yang boleh anda terokai.

SOALAN : Sudah mengetahui tujuh jenis kepintaran, jom kongsikan tiga jenis kepintaran dominan anda dalam ruang komentar.

Saya?

1. BAHASA LISAN
2. KREATIVITI
3. INTERPERSONAL

Anda?

PS : Sekiranya kita menilai cara seekor ikan memanjat pokok, nescaya seumur hidup ikan itu akan percaya bahawa dirinya bodoh. Melainkan, kita tanam pokok tu dalam air.

Kredit: Pemimpin Bersaudara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here