Tuan Tabal: Ulama Tarekat Sufi Kelantan Yang Masyhur

572

Tuan Tabal atau nama sebenarnya Haji Wan Abdul Samad Bin Wan Muhammad Saleh bin Wan Abdul Latif al-Kelantani wal Fathani merupakan seorang ulama Sufi yang terkenal di Kelantan. Tuan Tabal terkenal sebagai seorang ulama yang menggabungkan disiplin ilmu Syariat dan Hakikat sehingga beliau digelar al-Arif Billah al-Jami’ Bayn Syariah wal Haqiqah.

Para pengkaji sejarah berkhilaf tentang tarikh lahirnya. Tiada kesepakatan, namun dikatakan Tuan Tabal Lahir pada tahun 1816 atau lebih masyhur 1840. Tuan Tabal ini dilahirkan di Kampung Tempoyak yang terletak di Tabal. Tabal pada ketika itu merupakan sebahagian dari wilayah negeri Kelantan. Namun kini, Tabal telah dimasukkan ke dalam wilayah Thailand iaitu Narathiwat dan dikenali sebagai Tak Bai. Kerana tempat kelahirannya inilah beliau dikenali sebagai Tuan Tabal.

Tuan Tabal merupakan keturunan Wan Hussein Teluk Manok iaitu pendiri Masjid Teluk Manok. Masjid ini merupakan antara masjid yang tertua di Fathani. Tuan Tabal mendapat pendidikan awal daripada ayahnya iaitu Haji Wan Muhammad Salleh yang merupakan seorang yang alim lagi warak. Ayahnya ini juga merupakan Imam di kampungnya. Tuan Tabal juga menuntut ilmu dari Tuan Guru Hj Hassan Besut.

Tuan Tabal kemudiannya pergi ke Mekah untuk melaksanakan ibadah fardhu Haji dan menziarahi Rasulullah di makam baginda yang mulia, Madinah. Tuan Tabal menetap di Hijaz buat beberapa tahun untuk mendalami ilmu agama. Tuan Tabal bertalaqqi dalam bidang Akidah, Fiqh, Tasawwuf, Tafsir, Hadis dan Mantiq.

Antara guru Tuan Tabal yang masyhur ialah Syeikh Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman, Syeikh Ibrahim al-Rashid dan ramai lagi. Melalui Syeikh Ibrahim al-Rashid inilah Tuan Tabal mempelajari ilmu Tarekat Ahmadiyyah. Syeikh Ibrahim al-Rashid ini merupakan pengikut kepada Imam Tarekat Ahmadiyyah-Idrisiyyah iaitu Syeikh Ahmad bin Idris.

Sanad Emas Tarekat Ahmadiyyah-Idrisiyyah yang sampai kepada Nabi Muhammad adalah seperti berikut :-
– Nabi Muhammad Rasulullah, kepada
– Saiyidina Khidr alaihissalam, kepada
– Sayyid Abdul Aziz Dabbagh, kepada
– Sayyid Abdul Wahhab al-Tazi, kepada
– Sayyid Ahmad bin Idris (Pengasas Tarekat)

Inilah sanad Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah yang masyhur dan rasmi walaupun sebenarnya tarekat ini memiliki pelbagai jalur sanad lagi terutamanya dari cabang tarekat Syadzili. Sanad emas ini ditulis oleh Sayyid Ahmad bin Idris dalam ijazahnya kepada murid beliau seperti Sayyid Abdul Rahman bin Sulaiman al-Ahdali dan Sayyid Muhammad Uthman al-Mirghani. Dalam kitab al-Manhal ar-Rawi ar-Raiq fi Asanid al-Ulum wa Usul at-Taraiq, Sayyid Muhammad bin Ali as-Sanusi menyebut sanad tarekat ini sebagai Tarekat Muhammadiyyah.

Tuan Tabal adalah sezaman bahkan teman sepengajian dengan Syeikh Muhammad Dandarawi, Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Wan Ali Kutan. Tuan Tabal merupakan ulama pertama yang menyebarkan Tarekat Ahmadiyyah ke Kelantan secara khusus dan ke Tanah Melayu secara umumnya. Sejarah panjang tentang Tarekat Ahmadiyyah boleh dibaca di sini : https://www.facebook.com/100001728579660/posts/2428203340580595/?d=n

Pada sekitar tahun 1860, Tuan Tabal pulang ke kampungnya. Beliau mula mengajar masyarakat di beberapa tempat. Tuan Tabal kemudiannya dijemput oleh kerabat DiRaja Kelantan untuk mengajar di Kota Bharu, Kelantan. Di Kota Bharu, Tuan Tabal mendirikan sebuah surau sebagai tempat mengajar ilmu agama di Lorong Tok Semian.

Di Kota Bharu ini, Tuan Tabal berkahwin dengan Hajah Wan Kalthum binti Haji Wan Abdul Rahman Bin Lebai Muda yang merupakan seorang jurutulis kpd Sultan Muhammad II. Bapa mertuanya inilah yang digelar sebagai Tok Semian. Hasil perkahwinan dengan Hajah Wan Kalthum atau dikenali sebagai Wan Som ini melahirkan enam orang anak. Tuan Tabal juga memiliki seorang lagi isteri yang dikenali sebagai Hajah Baru. Melalui isteri keduanya ini, Tuan Tabal memiliki dua orang anak.

Tuan Tabal merupakan antara ulama Nusantara yang banyak mengarang Kitab Turath Jawi meliputi pelbagai disiplin ilmu. Disiplin ilmu yang paling menonjol dalam karyanya ialah tentang ilmu Tasawwuf. Kitab utamanya adalah Minhatul Qaribul Mujib Wa Mughnir Raghibin Fi Taqrib yang membicarakan tentang ilmu Fiqh dan disadur dengan ilmu Tasawwuf dan Akidah. Manhaj penulisan yang menggabungkan tiga rukun agama iaitu Iman-Islam-Ihsan ini menyerupai kitab Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali. Antara kitab-kitab lain tulisan Tuan Tabal adalah seperti berikut :

– Kifayatul ‘Awwam fi ma Yajibu ‘alaihim Min Umuril Islam, kitab sifat 20 iaitu Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah Asyairah Maturidiyyah (Akidah)
– Bidayatul Ta’alimul ‘Awwam Fi Tarafin Min Arkanil Islam (Fiqh)
– Jalalul Qulub Bi Zikrillah (Tasawwuf)
– Munyatul Ahlul Awbah Fi Bayani Taubah (Tasawwuf)
– Bab Harap (Tasawwuf)
– Munabbahul Ghafilin – Petikan Ihya Ulumuddin dan Masyariqul Anwar (Tasawwuf)
– Munyatul Muridin fi Ba’di ausaf Saiyidil Mursalin turjuman Risalah Shaykh Abdul Aziz Dabbagh (Tasawwuf)

Al-Arif Billah al-Jami’ Bayn Syariah wal Haqiqah Syeikh Tuan Tabal ini meninggal dunia pada tahun 1891 dan dimakamkan di perkuburan Banggol, Kota Bharu, Kelantan. Antara murid Tuan Tabal yang kemudiannya menjadi ulama yang masyhur ialah :-

– Haji Nik Wan Daud bin Wan Sulaiman (Imam dan Mufti Pertama Negeri Kelantan )
– Haji Wan Musa bin Tuan Tabal (Mufti Negeri Kelantan ke-3)
– Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal (Mufti Negeri Kelantan ke-4)
– Haji Wan Abdullah Khatib bin Tuan Tabal
– Haji Wan Salleh (Mufti Negeri Terengganu)
– Hakim Nik Abdullah bin Raja Zainal
– Tok Kenali

Sebarang perkongsian maklumat atau soal jawab, jemput follow di https://instagram.com/khairiasyraf_17

RUJUKAN:
– Tuan Tabal (m. 1891) Dan Sumbangannya Dalam Perkembangan Islam Di Tanah Melayu, Ahmad Zaki Berahim @ Ibrahim & Mohd Roslan Mohd Nor
– Tuan Tabal – Penyebar Thariqat Ahmadiyah pertama di Nusantara, Wan Mohd Saghir Abdullah-Utusan Malaysia
– Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu vol. 1, Ismail Che Daud

Ruangan komen telah ditutup.