Tsali: Pejuang Kaum Cherokee Melawan Penjajahan Amerika Syarikat

623

Tsali merupakan seorang wira rakyat Cherokee yang sanggup mengorbankan nyawanya demi kemaslahatan kaumnya. Kaum asli Cherokee bersembunyi dari pentadbiran Amerika Syarikat yang mengeluarkan perintah pengusiran Cherokee dari kampung halaman mereka.

Tsali, juga dikenali sebagai Charley, adalah seorang petani yang tidak begitu mengambil berat tentang politik. Walau bagaimanapun pada tahun 1830an, masyarakat asli Amerika dihalau secara paksa oleh pentadbiran Amerika maka bermulalah kisah Tsali menjadi legenda kaum asli Cherokee berikutan tindakan perwiranya semasa berlaku pengusiran tersebut.

Secara ringkas, legenda tersebut menceritakan bagaimana Tsali menyerahkan diri kepada pihak pentadbiran untuk dijatuhi hukuman mati agar kaumnya, Cherokee tidak perlu dihalau.

SIAPAKAH TSALI?


Tidak banyak yang kita ketahui tentang kehidupan Tsali sebelum tahun 1830an. Dicatatkan bahawa beliau mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak lelaki. Tsali dan keluarganya menetap di sebuah kabin berhampiran muara Sungai Nantahala, yang mengalir ke Sungai Little Tennessee, tidak jauh dari Bandar Bryson moden, Carolina Utara.
Pada tahun 1819, kesemua wilayah di timur Sungai Little Tennessee diserahkan oleh pihak pentadbiran Cherokee kepada Carolina Utara.

Akibatnya, sekumpulan kaum asli Cherokee yang berpendirian konservatif mengambil keputusan untuk berundur dari pertubuhan Negara Cherokee. Cherokee dikenali kerana pengasimilasian mereka dengan budaya pendatang Amerika pada abad ke-19.

Misalnya, pentadbiran mereka bermodelkan Amerika Syarikat dan ejaan sukuan bahasa Cherokee pula dicipta oleh Sequoyah, seorang tukang perak Cherokee yang berkhidmat dalam pasukan tentera Amerika Syarikat.

Sungai Nantahala yang mengalir ke Sungai Little Tennesse, di mana Tsali hidup

Walaupun Cherokee memanfaatkan teknologi yang dibawa masuk oleh kaum pendatag, terdapat juga sebahagian daripada mereka yang memilih untuk mengekalkan gaya hidup tradisional. Mereka dikenali sebagai kumpulan ‘tradisionalis’ dan Tsali adalah salah seorang daripada mereka, memandangkan kebanyakan kaum asli Cherokee hidup di kawasan pergunungan di barat Carolina Utara.

Sequoyah bersama tablet yang menggambarkan sistem tulisannya buat puak asli Cherokee

TSALI SEORANG ‘TRADISIONALIS’

Sebagai seorang tradisionalis, kehidupan Tsali hanya berkisar seputar mencari kelangsungan rezeki buat keluarga. Mata pencariannya adalah bercucuk tanam di lereng bukit kecil dan juga berburu. Tsali tidak begitu mengambil endah tentang apa yang berlaku di luar. Khabar berita yang sampai juga kebiasaannya hanya singgah sahaja di telinganya. Walau bagaimanapun, kehidupan Tsali yang aman damai itu akhirnya dijejaskan oleh dunia luar pada tahun 1838.

Pada tahun 1831, Akta Pemindahan Kaum Asli dikeluarkan oleh Kongres Amerika Syarikat, yang membenarkan pentadbiran memindahkan puak-puak asli Amerika dari kampung halaman mereka ke wilayah padang rumput di barat. Dalam erti kata lain, pentadbiran Amerika dibenarkan untuk mengambil-alih wilayah yang dimahukan oleh mereka dari kaum-kaum asli Amerika dan menukarkannya dengan wilayah yang mereka tidak mahukan.

Akta Pemindahan Kaum Asli ini tidak disenangi oleh Lima Puak Bertamadun, suatu istilah yang merujuk kepada Cherokee, Chickasaw, Choctaw, Creek dan Seminole. Puak-puak asli ini tidak hanya mengusahakan tanah pertanian, tetapi turut terlibat dalam aktiviti perdagangan, memiliki rumah sendiri, membentuk pentadbiran, dan juga menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah mubaligh. Justeru itu, idea memindahkan kaum asli ke tanah asing yang terletak di barat sama sekali tidak diterima oleh mereka.

Akta Pemindahan Kaum Asli mengakibatkan pemindahan beberapa puak asli Amerika. Tsali berjuang bersama ahli-ahli puaknya untuk kekal di kampung halaman

Bantahan Lima Puak Bertamadun ini tidak diperkenankan oleh pentadbiran Amerika Syarikat. Dengan kekuatan tentera, mereka memaksa kira-kira 180 000 orang asli untuk bergerak ke barat pada 1830an.
Pada suatu hari pada tahun 1838, Tsali dikunjungi oleh saudara iparnya yang datang untuk memaklumkan bahawa askar-askar Amerika telah mengepung kaum asli Cherokee dan memaksa mereka untuk berpindah ke barat.

Pada keesokan hari, beliau kembali bekerja di ladangnya seperti biasa. Dalam masa yang sama, askar-askar di bawah perintah Jeneral Winfried Scott menyambung kerja mengumpulkan kaum asli untuk diusir. Bahkan, mereka yang cuba bersembunyi di kawasan terpencil turut dicari dan diburu.

Lima Puak Bertamadun

TSALI MENENTANG AKTA PEMINDAHAN KAUM ASLI

Kemudian pada 1 November 1838, Tsali, keluarganya dan sekumpulan kaum Cherokee yang telah lama menyembunyikan diberkas oleh askar dan dibawa ke kurungan sebelum diperintahkan agar berpindah ke barat.
Apa yang berlaku selanjutnya tidak disepakati oleh pelbagai sumber.

Menurut tradisi lisan Cherokee, askar-askar tersebut melayani mereka dengan buruk sehingga mengakibatkan Tsali bertindak balas. Beliau berpura-pura tercedera, kemudian menyerang hendap askar-askar itu lalu meloloskan diri bersama kumpulannya. Dalam serangan yang dilakukan, seorang askar terbunuh, dua tercedera dan seorang parah.

Kaum asli Cherokee terus bersembunyi sehingga mereka menerima khabar bahawa sekiranya kumpulan penyerang yang bertanggungjawab atas serangan itu menyerah diri, saki-baki yang lain akan dibenarkan untuk menetap di kampung halaman mereka. Maka pada akhirnya, Tsali pun menyerah diri untuk dijatuhi hukuman mati demi kepentingan ahli-ahli puaknya.

Walau bagaimanapun menurut dokumen-dokumen rasmi, sebahagian puak asli Cherokee dikatakan menyerang askar lalu melarikan diri. Oconaluftee (yang dikecualikan dari pembuangan) serta beberapa orang dari puak asli Cherokee menawarkan diri untuk mencari Tsali dan kumpulannya.

Mereka beranggapan bahawa sesiapa sahaja yang memberikan kepada pihak autoriti akan dibenarkan untuk kekal di kampung halaman. Oleh kerana itu makanya Euchella, bekas jiran Tsali dan 60 orang pimpinannya keluar memburu kumpulan penyerang tersebut.

Komander Amerika, iaitu Kolonel William S. Foster menulis kepada Jeneral Scott bahawa misi tersebut berjaya dan semua ahli puak asli Cherokee yang melarikan diri, kecuali Tsali, telah pun berjaya ditangkap. Selain itu, tiga orang yang didapati paling bersalah telah dijatuhi hukuman oleh puak mereka sendiri. William juga menyatakan kepercayaannya bahawa Tsali tidak bersalah lantas dia membubarkan kumpulan pencari tersebur. Walau bagaimanapun, pada keesokan hari, Euchella dan beberapa orang ahli puak asli Cherokee menangkap dan membunuh Tsali.

Euchella dan orang-orang Cherokee yang membantu dalam usaha pencarian tersebut dibenarkan untuk kekal menetap di Carolina Utara. Mereka dikenali sebagai Kumpulan Cherokee Asli Timur.

Di pihak Tsali, kisah keperwiraannya itu dijadikan sebagai tradisi lisan puak asli Cherokee dan pada tahun 1849, bentuk penceritaanya adalah seperti apa yang kita ketahui pada hari ini. Di zaman moden, kisah Tsali digambarkan menerusi sebuah persembahan drama yang bertajuk, Unto These Hills.

Pelakon-pelakon Unto These Hill

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Wu Mingren. (10 Mac 2019). The Sacrifice of Tsali, The Cherokee Folk Hero Who Gave His Life For His People. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/tsali-0011599

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.