Tristan Da Cunha – Pulau Paling Terpencil Di Dunia

1,446

Pra-tempah hanya di Shopee

Tristan da Cunha merupakan nama bagi gugusan pulau yang terletak di Laut Atlantik Selatan. Ia terdiri daripada enam buah pulau yang masing-masing dikenali sebagai Pulau Tristan da Cunha (pulau utamanya), Pulau Inaccessible, Pulau Nightingale, Pulau Middle, Pulau Stoltenhoff, dan Pulau Gough.

Antara keenam-enam pulau tersebut, hanya Pulau Tristan da Cunha sahaja yang dihuni. Itu pun hanya seramai 269 orang sahaja (menurut bancian tahun 2014) sekaligus menjadikannya sebagai pulau paling terpencil di muka bumi. Sementara itu di Pulau Gough, kelibat manusia hanya hadir bagi mengendalikan stesen cuaca yang beroperasi sejak tahun 1956, di samping kunjungan atas tujuan penyelidikan (kebiasaannya ahli meteorologi dan biologi).

Keadaannya yang sunyi daripada manusia membolehkan ekosistem Tristan da Cunha hidup dengan baik. Atas sebab itu jugalah, dua daripada enam pulau di Tristan da Cunha diwartakan sebagai pulau simpanan dan menerima pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

Letak tempat setiap pulau di Tristan da Cunha

PENEMUAN TRISTA DA CUNHA DAN PENGHUNINYA YANG PERTAMA

Kepulauan Tristan da Cunha dijumpai buat kali pertama pada tahun 1506 oleh seorang peneroka Portugis yang bernama Tristão da Cunha. Ketika itu, beliau sedang mengepalai konvoi ke India. Cuma malangnya, sejarah tidak merekodkan secara jelas sama ada Cunha sempat turun ke kapal dan menjejakkan kakinya ke kepulauan tersebut atau beliau hanya sekadar melihatnya dari atas kapal sahaja. Dek kerana itu, sejarah penemuan Trista da Cunha tidak mempunyai kisah yang panjang.

Apapun, selepas kepulauan tersebut dijumpai, ia langsung sahaja dimata-matai oleh pihak Perancis, Belanda, dan Syarikat Hindia Timur Inggeris yang berhasrat mahu merebutnya. Namun, tiada satu pun daripada mereka berjaya dan Tristan da Cunha kekal sepi buat tiga kurun lagi.

Pulau Trista da Cunha

Memasuki tahun 1810, pulau tersebut menyambut penghuni pertamanya dari Salem, Massachusetts. Beliau yang dikenali sebagai Jonathan Lambert lantas menabalkan dirinya sebagai maharaja dan mengubah nama kepulauan tersebut menjadi Islands of Refreshment. Untung sabut timbul dan untung batu tenggelam. Untung Lambert pula tertanam jauh di dalam pusara. Keberadaannya di Tristan da Cunha hanya berlangsung selama dua tahun lantaran ajal datang menyapa.

Tahun 1816, kepulauan Tristan da Cunha secara rasmi jatuh ke tangan Empayar British. Semenjak itu, anggota ten-tera dihantar ke sana bagi tujuan kawalan keselamatan. Namun, mereka diundurkan pada tahun berikutnya. Hanya tiga orang sahaja terkecuali, di mana salah seorangnya dikenali sebagai Korporal William Glass. Glass menggalas tanggungjawab memelihara maslahat pulau tersebut dan mendirikan petempatan tetap.

Dekad-dekad berikutnya menyaksikan pulau Tristan da Cunha menerima kunjungan manusia secara berkala. Rata-ratanya terdiri daripada anak kapal yang terselamat dari malapeta-ka di tengah samudera.

Menjelang tahun 1856, populasi Tristan da Cunha mencapai seramai 71 orang. Namun, kebu-luran menye-rang pada tahun berikutnya dan mengakibatkan kebanyakan mereka pindah keluar. Kejadian tersebut meninggalkan pulau itu dengan hanya 28 orang sahaja, sebelum angkanya meningkat semula kepada 97 orang pada tahun 1886.

Petempatan utama di Trista da Cunha

Sebagai bumi yang ditatahi gunung berapi, Tristan da Cunha tidak lekang dari ben-cana alam. Oleh kerana itu, tahun 1961 menyaksikan evakuasi besar-besaran dijalankan apabila para penghuninya digusarkan dengan anca-man letusan gunung berapi. Mereka dipindahkan ke England melalui Nightingale dan hanya pulang dua tahun kemudian. Bagaimanapun, tidak sedikit yang memilih untuk menetap terus di England dan ada juga yang menghembuskan nafas terakhirnya di sana.

Kurangnya manusia di Tristan da Cunha menghadirkan seribu satu hikmah buat hidupan liar di sana. Tumbuhan mekar disuguhi matahari dan burung-burung bebas terbang sambil bernyanyi. Bertepatan dengan kekayaan alamnya, Pulau Gough dan Pulau Inaccessible diwartakan sebagai pulau simpanan. Kedua-dua pulau itu sememangnya menyimpan spesis hidupan yang tidak dapat ditemui di tempat lain.

Antara spesis burung endemik di Tristan da Cunha. Dari kiri: Spectacled Petrel, Tristan Albatross, dan Inaccessible Rail

Di Pulau Gough misalnya, terdapat dua spesis burung dan 12 spesis tumbuhan endemik. Pulau Inaccessible pula mempunyai dua spesis burung, lapan spesis tumbuhan, dan sekurang-kurangnya 10 spesis invertebrata endemik. Pada tahun 1995, kekayaan alam yang dimiliki Trista da Cunha meraihkannya pengiktirafan dari UNESCO sebagai salah sebuah Tapak Warisan Dunia.

TERJEMAHAN

Wu Mingren. (31 Mac 2019). Tristan da Cunha: Only 269 People Remain on World’s Most Remote Inhabited Island. Ancient Origins.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.