Sungai Nil, ia merupakan antara sistem saliran semulajadi yang terpanjang di dunia. Apa yang penting, Sungai Nil jugalah yang menjadi penyalur utama sumber air sekaligus bertanggungjawab ‘menghidupkan’ ketamadunan Mesir Purba kira-kira 5,000 tahun yang lalu. Namun begitu, kewujudan Sungai Nil semata-mata tidak menjanjikan sebarang kesenangan berpanjangan buat para penghuni Lembah Nil. Hal ini kerana, tanaman-tanaman yang menjadi sumber makanan bagi masyarakat Mesir purba amat bergantung kepada fenomena kenaikan paras air Sungai Nil (inundation) untuk kekal subur.

Perlu diketahui bahawa fenomena alam yang berlaku secara tahunan ini merupakan pemain penting sepanjang 3,000 tahun kewujudan tamadun Mesir Purba di Lembah Sungai Nil. Hal ini dikatakan demikian kerana, fenomena kenaikan paras air Sungai Nil ini berupaya memenuhi sistem pengairan seperti parit lantas dapat menyuburkan tanaman-tanaman pertanian masyarakat. Oleh yang demikian, masyarakat Mesir Purba terpaksa mengakui realiti bahawa kelangsungan hidup mereka bergantung kepada kitaran banjir tahunan ini.

Impak daripada kebergantungan ini, masyarakat Mesir purba sentiasa berusaha melalui pelbagai cara demi  memastikan kelangsungan kitaran banjir tahunan ini terus berjalan. Antara kaedah yang diamalkan adalah dengan ‘menjaga hati’ para dewa dewi yang dipercayai ‘menjaga’ sungai Nil. Dalam hal ini, masyarakat Mesir purba akan melakukan ritual pemujaan terhadap dewa dewi yang dipercayai mempunyai kuasa untuk memastikan fenomena kenaikan paras air serta kesuburan kepada kawasan pertanian. Antara dewa dewi yang menjadi anutan masyarakat Mesir purba dalam hal ini ialah sebuah trio dewa dewi; dewa Khnum serta dewi Sathes dan dewi Anuket.

Advertisements

1.Dewa Khnum

Dewa Khnum merupakan antara dewa terawal yang dipuja oleh masyarakat Mesir purba. Dia dipercayai telah menjadi pujaan masyarakat seawal dinasti pertama lagi (3100-2686 SM). Dewa Khnum ialah suami kepada dewi Satet dan bapa kepada anak perempuannya, dewi Anuket. Dewa Khnum mempunyai kompleks kuilnya tersendiri yang bertapak di atas Pulau Elephantine.

Kompleks Kuil tersebut dibina oleh masyarakat Mesir purba dengan tujuan yang khas iaitu sebagai penghargaan serta tanda pengiktirafan terhadap kekuasaan yang ada pada trio dewa dewi ini. Perlu diketahui bahawa dewa Khnum merupakan seorang dewa yang mahsyur bagi kawasan di sekitar Aswan dan katarak pertama. Oleh yang demikian, hasil tinggalan yang melibatkan tradisi pemujaan dewa Khnum banyak ditemukan di sekitar kawasan ini.

Di dalam konteks keterlibatannya dengan Sungai Nil, masyarakat Mesir percaya bahawa Khnum atau Khnemu merupakan seorang dewa yang berkuasa mengawal sumber air Sungai Nil. Kewujudan kepercayan ini diperkukuhkan lagi dengan penemuan sebuah prasasti yang ditemui di sebuah pulau di sekitar kawasan katarak pertama.

Catatan yang ada pada prasasti tersebut mengandungi sebuah hikayat mengenai Firaun Djoser (2584-2565 SM). Ironinya, prasasti tersebut dipercayai diukir sewaktu era Ptolemy iaitu setelah 2,500 tahun selepas pemerintahan firaun Djoser. Para pengkaji berpendapat bahawa, Masyarakat Mesir purba mendedikasikan prasasti tersebut khas buat trio dewa dewi Elephantine.

Prasasti kebuluran atau ‘Famine Stela’ yang berada di atas Pulau Sehel. (Kredit Foto: Morburre)

Menerusi prasasti tersebut, para pengkaji berhasil mengekstrak keluar sebuah hikayat yang memperihalkan tentang firaun Djoser serta kekuasaan dewa Khnum. Hikayat ini dimulakan dengan penceritaan yang menghuraikan bagaimana boleh tercetusnya krisis kebuluran di seluruh Mesir ketika era pemerintahan firaun Djoser.

Krisis ini tercetus berikutan paras air sungai Nil yang langsung tidak meningkat selama tujuh tahun berturut-turut. Impaknya, pengeluaran hasil pertanian seperti gandum mula berkurangan lantas mencetuskan krisis bekalan makanan di seluruh Mesir.

Disebabkan krisis kebuluran ini yang kian melarat, Firaun Djoser telah menyeru ketua pendeta yang bijaksana untuk membantu menyelesaikan krisis ini. Pendeta yang dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan ialah Imhotep. Imhotep merupakan individu yang cukup terkenal dan tidak asing lagi di dalam lipatan sejarah tamadun Mesir purba berikutan jasanya sebagai arkitek yang bertanggungjawab merealisasikan pembinaan piramid bertingkat di Saqqara.

Arca kecil Imhotep dalam posisi duduk (Kredit Foto: The Metropolitan Museum of Art)

Imhotep telah ditugaskan oleh firaun Djoser untuk mencari punca mata air yang menghasilkan fenomena kenaikan paras air di Sungai Nil. Setelah mengkaji teks-teks langka di Hermopolis, Imhotep berjaya menemui sumber yang menyebabkan kenaikan paras air ini. Menurut Imhotep, di bawah Pulau Elephantine, terdapat dua buah gua yang dipercayai mengandungi mata air yang mampu untuk menghasilkan kenaikan paras air tersebut. Inilah kunci penyelesaian yang diinginkan oleh segenap masyarakat Mesir purba pada waktu itu. Imhotep menerangkan lagi, namun satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan merujuk kepada dewa Khnum.

Hal ini kerana, hanya dewa Khnum sahaja yang berkuasa untuk melepaskan banjir daripada kedua-dua buah gua yang disebutkan tadi. Mendengarkan penjelasan daripada pendeta tersebut, Firaun Djoser lantas melakukan ritual pemujaan terhadap dewa Khnum.

Akhirnya, dewa berkepala kambing yang bermahkotakan Atef itupun dikatakan telah membuat kemunculan menerusi mimpi Firaun Djoser. Sepanjang mimpi tersebut, dewa Khnum menjelaskan bahawa dia berjanji untuk melepaskan banjir daripada dua buah gua tersebut bagi menyelesaikan krisis kebuluran yang melanda Mesir pada ketika itu. Akhirnya, paras air Sungai Nil menunjukkan peningkatan seperti yang dimahukan sekaligus membebaskan masyarakat Mesir daripada belenggu kebuluran.

 

Dewa Khnum digambarkan sebagai seorang lelaki berkepala kambing berkulit hijau. Lakaran ini dihasilkan berdasarkan ukiran-ukiran daripada era kerajaan baru: 1550 SM–1069 SM (Kredit Foto: Jeff Dahl)

 

2.Dewi Satet

Berdasarkan mitologi Mesir Purba, dewi Satet atau Satit adalah isteri kepada dewa Khnum serta ibu kepada dewi anuket. Dewa Satet secara lazimnya digambarkan dengan  imej seorang wanita yang mengenakan mahkota Hedjet bertatahkan sepasang tanduk Antelop. Selain dipercayai sebagai dewi yang membawa kitaran banjir tahunan serta pembawa kesuburan di sekitar Sungai Nil, Satet juga sering dikaitkan dengan kegiatan berburu. Hal ini dapat dilihat melalui sesetengah ukiran-ukiran yang memaparkan dewi Satet membawa senjata pemanah bersama dengan anak panah.

Bahkan nama Satet juga membawa maksud ‘dia yang menembak’. Sebagai dewi perburuan, Satet dipercayai berkuasa sebagai pelindung kepada sempadan di bahagian Selatan iaitu bersebelahan dengan wilayah Nubia. Menurut kepercayaan, Satet membantu firaun dengan memanah musuh-musuh baginda lantas menewaskan mereka.

Dewi Satet menurut gambaran dari era Ptolemy: 305 BC – 30 BC (Kredit Foto: Wikimedia)

 

3.Dewi Anuket

Gambaran dewi Anuket (Kredit Foto: Jeff Dahl)

Sebagai pelengkap kepada trio ini, hadir Dewi Anuket yang merupakan anak perempuan kepada pasangan dewa Khnum dan dewi Anuket. Dewi Anuket dipersembahkan menerusi rupa paras seorang wanita beralaskan sebuah mahkota yang gah terletak di atas kepalanya. Walaupun pusat penyembahan dewi Anuket berada di Pulau Sehel yang termasuk dalam wilayah katarak pertama, namun begitu, jauh di bahagian selatan, Anuket juga dipuja oleh masyarakat di wilayah Nubia. Entiti mitologi pujaan Nubia ini dipercayai berkuasa mendakap air Sungai Nil lantas membenarkan paras air Sungai Nil meningkat lalu membenarkan fenomena banjir tahunan terhasil.

Sekiranya fenomena banjir tahunan ini berlaku dan mengairi tebing-tebing di sepanjang Sungai Nil, masyarakat Mesir purba akan menganjurkan sebuah festival sebagai tanda kesyukuran di atas kekuasaan dewi Anuket yang telah mengurniakan kesuburan di sepanjang lembah Sungai Nil.

Di samping itu, Anuket juga bertindak selaku penjaga bagi sempadan Mesir dan pelindung kepada ancaman Nubia di bahagaian Selatan.  Pasukan ekspedisi Mesir akan mengukir inskripsi puji-pujian pada dinding kuilnya yang terdapat di Pulau Sehel. Tujuan inskripsi ini ditulis adalah sebagai suatu bentuk kesyukuran kepada Anuket di atas kejayaan pasukan ekspedisi kerajaan yang berjaya pulang daripada penjelajahan dari wilayah Nubia.

Setibanya tamadun Mesir purba memasuki fasa kerajaan baru, ketiga-tiga dewa dewi ini telah disatukan lalu melengkapkan sebuah trio yang disembah dan diingati sebagai pembawa kesuburan Sungai Nil. Demikianlah, serba sedikit hal perihal mengenai trio Elephantine, sentiasa diingati sebagai keluarga dewa yang menjaga Sungai Nil.

RUJUKAN:

H., W. T. A. (2008). The Thames & Hudson Dictionary of Ancient egypt. Thames & Hudson.

Pinch, G. (2004). Egyptian mythology: A guide to the gods, goddesses, and traditions of Ancient Egypt. Oxford University Press.

Shaw, G. J. (2021). Egyptian mythology: A Traveler’s guide from Aswan to Alexandria. Thames & Hudson Inc.

Share.

Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.

Leave A Reply