Trigeminal Neuralgia – Penyakit Bunuh Diri

535

Pernahkah anda mendengar penyakit benama Trigeminal Neuralgia? Penyakit ini sering digunakan singkatan oleh staf perubatan iaitu TN, dan penyakit ini boleh menyebabkan kesakitan yang melampau sehinggakan ada beberapa kes di mana para pesakit membuunh diri akibat tidak tertahan dengan kesakitannya, sehinggakan pada satu tahap, penyakit ini digerlar digelar sebagai “Suicide Disease”.

Terlebih dahulu, kita perlu memahami beberapa pengetahuan asas mengenai struktur saraf yang bernama Trigeminal Nerve. Saraf ini merupakan salah satu saraf kranial yang berasal daripada bahagian otak yang kita namakan sebagai pons. Saraf ini merupakan saraf cranial yang terbesar, yang mana nama trigeminal ini berasal daripada 3 pecahan saraf.

Fungsi saraf ini adalah untuk kawalan pergerakkan otot yang menggerakkan rahang kita untuk mengunyah serta menelan makanan. Saraf ini juga berfungsi sebagai deria rasa pada muka kita.

Jadi, saraf ini mempunyai 2 fungsi asas, iaitu pergerakkan di mana isyarat daripada otak dihantar untuk menggerakkan otot-otot yang saya sebutkan di atas, disampin membawa isyarat daripada receptor, iaitu deria rasa di kulit balik ke otak kita.

Jadi, berbalik kepada nama penyakit ini iaitu Trigeminal (Saraf Trigeminal) Neuralgia (Neu – saraf, algia – sakit) menerangkan kesakitan yang dialami pesakit adalah berasal daripada saraf yang mengikut terminologi perubatan adalah neuropathic pain. Para doktor masih belum menjumpai sebab utama mengapa penyakit ini boleh berlaku.

Saya pasti anda pernah mendengar struktur myelin sheath ini yang terdapat pada neuron, iaitu sel-sel saraf. Kegunaan myelin sheath ini adalah untuk mempercepatkan lagi penghantaran electrical impulse ke arah otak atau ke arah otot.

Dalam kes TN ini, setiap punca penyakit ini adalah mana-mana penyakit yang boleh mengganggu serta merosakkan lapisan myelin saraf ini. Antara penyakit yang diketahui boleh menyebabkan TN ini adalah penyakit yang menyebabkan himpitan saraf ini seperti angin ahmar, multiple sclerosis, kecederaan, beberapa jenis ketumbuhan dan juga kecacatan pada salur darah arteri dan vena (Atriovenous malformation).

Penyakit ini suka menyerang mana-mana manusia yang berumur 50 tahun ke atas, dengan kadar 1 dalam 8000 pesakit setahun. Penyakit ini juga sukar didiagnos kerana tiada satu ujian yang tepat boleh dibuat, kecuali mengharapkan sejarah penyakit dan pemeriksaan fizikal sahaja.

Gejala penyakit ini adalah seperti kesakitan yang amat pada muka ibarat terkena renjatan elektrik ataupun terbakar, yang mana menyerang sesekali dalam masa yang singkat (beberapa saat hingga ke beberapa minit).

Berdasarkan pesakit, kesakitan ini boleh mencapai skala 10 dalam skala kesakitan. Ingat, kesakitan untuk melahirkan anak di letakkan pada 7 – 8 skala kesakitan. Ini bermakna, kesakitan yang dialami lebih teruk daripada kesakitan untuk beranak, yang mana data ini berjaya dikumpul dikalangan pesakit perempuan, menjadikan penyakit ini sebagai salah satu penyakit yang menyebabkan kesakitan yang amat teruk.

Kesakitannya boleh dicetus dengan melakukan apa-apa aktiviti seperti makan, membasuh muka dan mencukur. Kadangkala, berdasarkan pesakit, ada yang menceritakan saat tiupan angin yang terkena pada muka pun boleh mengakibatkan kesakitan yang amat.

Terdapat beberapa kes yang mana penghidap penyakit ini mengambil jalan untuk membunuh diri kerana tidak tertahan dengan kesakitan yang dialami. Inilah sebabnya mengapa penyakit ini mendapat gelaran “Suicide Disease”.

Pada zaman ini, terdapat banyak rawatan berjaya ditemui sama ada dalam bentuk ubat-ubatan dan juga pembedahan. Antara ubat yang digunakan termasuk ubat anti-sawan dan antidepressant.

Pelik kan? Mengapa kita tidak boleh merawatnya menggunakan ubat tahan sakit sama ada dalam kelas ubat non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) atau opioid seperti morfin dan oxycodone? Jawapannya adalah kerana kesakitan ini adalah dalam bentuk neuropathic, (berasal daripada saraf) di mana ubat-ubat tahan sakit tidak efektif mengurangkan kesakitan yang dialami.

Pembedahan juga boleh dijalankan, tetapi para doktor seboleh-bolehnya mengelak daripada membuat pembedahan kerana dari segi keberkesanannya kurang, dan ada kemungkinan pesakit merasa kebas pada bahagian mukanya, yang mana merupakan salah satu komplikasi pembedahan.

Rawatan moden dalam bentuk ubat-ubatan yang disebutkan tadi kini mempunyai keberkesanan sehingga 80% bagi setiap pesakit.

Untuk sesetengah pesakit, adakalanya mereka mendapat komplikasi penyakit ini yang berkait rapat dengan penyakit kemurungan (Major Depressive Disorder) akibat tidak tertahan dengan penyakit yang berulang-ulang ini.

Jadi, sekiranya anda ada gejala-gejala sebegini, saya syorkan anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin kerana jika diikutkan daripada segi prognosis, lebih awal kita dapatkan rawatan, lebih tinggi kemungkinan untuk penyakit ini terus sembuh.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.