Mimaland ialah taman tema pertama di Malaysia terletak di Gombak, Selangor. Pada mulanya merupakan pusat rekreasi dan menjadi tumpuan pelancong, kini ia sepi dimamah lalang dan hutan, dan dilupakan dalam lipatan sejarah.

Apa punca Mimaland ditutup?

Nama Mimaland ialah singkatan kepada “Malaysia In Miniature Land”, dengan bertemakan haiwan pra-sejarah seperti dinosaur dan gajah mammoth.

Terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandaraya Kuala Lumpur, Mimaland menjadi tumpuan warga kota, terutamanya mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Hujung minggu selalu sesak di sini.

Dalam filem Gila-Gila Remaja, ada dialog dari Faizal Hussein berkata, “esok jangan lupa, Mimaland!”, menunjukkan betapa ikoniknya Mimaland pada era lewat 70an dan 80-an.

Selain itu, filem Mekanik, Dendang Perantau, Tempo 88 dan Suara Kekasih turut membuat pengambaraan di sini.

Harga tiket masuk ke Mimaland ialah RM2 untuk dewasa manakala RM1 untuk kanak-kanak. Sementara untuk taman air pula harganya berasingan iaitu RM3.

Di sini pada hujung minggu, golongan berkeluarga berkelah sambil anak-anak mandi di gelongsor air.

Kolam renang di Mimaland pada ketika itu merupakan kolam renang terbesar di Asia Tenggara, menarik perhatian ramai pelancong asing seperti dari Singapura, Taiwan, Jepun dan Indonesia untuk datang di sini.

Yang paling menjadi tumpuan ialah gelongsor air.

Aktiviti lain di Mimaland yang popular ialah seperti memancing, mengayuh basikal air, mengayuh kayak, sampan dan juga merentas rimba.

Mimaland dimiliki oleh syarikat Magnum Corporation, sebuah syarikat perjudian yang besar di Malaysia. Selain taman tema, ia juga mempunyai 24 unit motel, 5 buah chalet serta kolam renang.

Tragedi berlaku pada Januari 1993 apabila seorang warga Singapura m4ti apabila sedang bermain gelungsur air. Kerana kejadian itu, taman tema itu ditutup bagi tujuan “pembaikan dan pengubahsuaian”.

Ia dibuka semula setahun kemudian, tetapi pada bulan Mei 1994, berlaku tanah runtuh serta dinding kolam renang retak, mengakibatkan air lumpur masuk ke dalam kolam. Ia sekali lagi ditutup untuk pembaikan, tetapi segalanya telah terlewat.

Ia kemudiannya ditutup terus.

Salah satu sebab mengapa orang awam tidak lagi berminat untuk ke Mimaland, ialah selain peristiwa kem4tian warga Singapura serta peristiwa tanah runtuh itu, pada tahun 1992, Sunway Lagoon telah dibuka dan jaraknya lebih dekat dengan pusat bandar.

Selain itu, peristiwa Highland Towers yang runtuh di Bukit Antarabangsa itu juga menimbulkan ingatan kolektif rakyat Malaysia pada ketika itu untuk menjauhi kawasan berbukit.

Hari ini Mimaland menjadi kawasan terbiar dengan kawasan tersebut sudah ditelan hutan atau sudah jadi kawasan yang penuh lalang.

Adakalanya ada orang datang di situ kerana perasaan ingin tahu, sama ada mahu mencari hantu, walaupun kawasan itu ditutup.

Pun begitu tempat ini pernah menjadi memori yang indah bagi mereka yang pernah mengunjunginya, terutamanya anak-anak kecil pada ketika itu.

Saya sendiri sempat ke situ semasa saya berusia 5 tahun, pertama kali datang ke Kuala Lumpur pada tahun 1990.

Artikel ini dinaikkan selepas mendapat kebenaran penulis asal, Pop Pelangi.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.