Tragedi Kemalangan Kapal Terbang Terdasyat Dalam Sejarah

4,057

Di dalam sesebuah akademi juruterbang, para pelajar dan pelatih juruterbang akan diajar pelbagai perkara serta beberapa nahas kemalangan pesawat sebagai contoh bagaimana sesebuah kemalangan itu boleh terjadi. Nahas pelanggaran pesawat yang berlaku pada tahun 1977 yang dikenali sebagai Tenerife Airport Disaster merupakan salah satu peristiwa yang dikongsikan oleh flight instructor di seluruh dunia bagi membolehkan pelatih mereka mengambil iktibar daripada peristiwa ini.

Tetapi, dalam ribuan kemalangan pesawat yang berlaku sehingga sekarang, mengapakah kemalangan ini dititikberatkan? Ada beberapa sebab mengapa iaitu; pertama, kemalangan ini merupakan kemalangan pesawat yang meragut paling banyak nyawa manusia dalam satu masa. Kedua, kemalangan ini merupakan contoh terbaik bagaimana seseorang manusia yang mempunyai pengalaman yang amat mendalam dalam sesebuah kerjaya masih tidak lari daripada melakukan kesilapan.

Ketiga, kemalangan ini merupakan gabungan di antara masalah teknikal, pertimbangan, dan juga faktor nasib atau takdir di mana terdapat banyak pengetahuan dan maklumat yang dapat dipelajari oleh para pelatih juruterbang. Tragedi ini tamsil tragedi kemalangan Ayrton Senna dalam dunia perlumbaan kereta formula 1, yang menjadi satu tragedi yang membawa impak yang besar serta mengubah lanskap sesebuah industri dan dalam kes ini, ianya mapan satu tragedi yang mengubah industri penerbangan.

Pulau Canary – Vinepair

Tragedi ini bermula pada 27 Mac 1977 di sebuah pulau yang terletak Sepanyol bernama Tenerife. Pada tahun 1977, hanya sebuah lapangan terbang berada di situ iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Los Rodeos. Tenerife merupakan salah satu pulau kecil di bawah satu kepulauan besar yang dipanggil sebagai Pulau Canary. Walaupun nama lapangan terbang ini mempunyai perkataan antarabangsa di dalamnya, lapangan terbang ini tidaklah gah seperti yang disangka.

Hal ini adalah kerana lapangan terbang ini hanyalah digunakan untuk tujuan island hoping yang mana kebanyakkan pesawat yang menggunakannya adalah pesawat kecil sahaja. Infrastruktur dan kemudahan juga terhad. Lapangan terbang Los Rodeos tidak mempunyai radar untuk mengesan kedudukan pesawat di atas landasan (tetapi boleh mengesan pesawat di udara) dan hanya mempunyai satu landasan untuk tujuan pelepasan dan mendarat (takeoff and landing) dan satu major taxiway bersama 4 taxiway kecil sahaja. Untuk pengetahuan anda, taxiway adalah landasan yang digunakan untuk pesawat bergerak ke posisi untuk berlepas ataupun untuk ke posisi parking setelah pesawat mendarat.

Gunung Berapi Teide – Wikipedia

Cuaca di situ juga tidak menentu. Jika di Malaysia, cuaca di negara kita ditentukan oleh asap yang berasal daripada negara jiran, tetapi dalam kes ini pula, cuacanya pula ditentukan oleh keadaan gunung berapi yang terletak di situ. Gunung berapi Teide, iaitu merupakan gunung berapi ketiga tertinggi di dunia.

Tidak seperti jerebu yang melanda setiap tahun di negara kita, Teide, walaupun masih lagi merupakan gunung berapi yang masih aktif meletus kali terakhir pada tahun 1909. Namun, asap dan kabus masih lagi boleh muncul pada bila-bila masa dan kewujudan asap pada sesebuah lapangan terbang mendatangkan bahaya yang signifikan kepada pesawat.

Las Palmas de Gran Canaria Airport – GCIA

Hal ini adalah kerana jarak penglihatan amat penting bagi sesebuah pesawat. Memang tidak dinafikan kepentingan jarak penglihatan pada objek yang bergerak pada kelajuan 200 hingga 300 kilometer sejam, akan tetapi, tiada apa yang boleh dilakukan dan mood gunung berapi Teide ini menjadi sebab mengapa Lapangan Terbang Los Rodeos tidak digunakan untuk pesawat-pesawat bersaiz jumbo, sebaliknya, untuk tujuan itu, sebuah lapangan terbang berdekatan yang terletak di Pulau Gran Canary menjadi lapangan terbang utama bagi pesawat-pesawat besar daripada seluruh dunia. Lapangan terbang yang dimaksudkan itu adalah Las Palmas de Gran Canaria Airport (Las Palmas Airport).

Pada tahun itu, wujudnya sekumpulan masyarakat proletar yang dinamakan sebagai Gerakan Pembebasan Kepulauan Canary (Canary Island Independence Movement) atau CIIM, iaitu sebuah gerakan yang menggunakan keganasan dalam usaha mereka membebeaskan kepulauan Canary di bawah jajahan Sepanyol.

Pada hari tersebut, iaitu 27 Mac 1977, mereka meledakkan sebutir bom di Lapangan Terbang Las Palmas yang mencederakan 8 orang. Kesannya, lapangan terbang Las Palmas ini ditutup sementara pihak polis dan skuad pemusnah bom menyelesaikan keadaan di sana.

Pengeboman Gran Canaria Airport oleh CIIM

Daripada perspektif yang lebih besar, hal ini menyebabkan kesemua pesawat yang dijadualkan untuk mendarat di sana dialihkan ke Lapangan Terbang Los Rodeos. Satu lagi faktor yang memburukkan lagi keadaan adalah hari tersebut merupakan hari Ahad, dan hanya dua orang pegawat trafik udara (Air Traffic Controller ATC) yang bertugas. Namun, pagi tersebut tiada apa-apa masalah kerana cuaca masih lagi cerah dan kadar penglihatan juga baik.

Baik, sedikit lagi maklumat tambahan mengenai taxiway. Di Lapangan Terbang Los Rodeo, terdapat 4 taxiway kecil (di Los Rodeos, taxiway kecil dinomborkan sebagai C1, C2, C3 dan C4, dan fungsi taxiway kecil ini adalah untuk menghubungkan major taxiway dan runway. Pelepasan dilakukan di atas runway. Pada hari berkenaan, terlalu banyak pesawat yang mendarat di situ, dan taxiway kecil yang bernama C1 dan C2 dijadikan tempat meletakkan pesawat.

Pada jam 12.00 tengahari, sebuah pesawat bernama Pan Am Flight 1736 (Pan Am) mendarat di Lapangan Terbang Los Rodeo setelah mereka berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles. Pan Am merupakan salah satu pesawat yang mana destinasi asalnya adalah di Las Palmas Airport, yang terletak lebih kurang 25 minit penerbangan daripada situ.

Sejam kemudian, sebuah lagi pesawat yang mempunyai destinasi ke Las Palmas Airport daripada Amsterdam mendarat di Los Rodeos. Pesawat ini, KLM Flight 4805 yang membawa 248 penumpang dan anak kapal diletakkan di parking berhadapan dengan pesawat PanAm.

Landasan dan taxiway Lapangan Terbang Tenerife – Wikiwand

Kedudukan pesawat adalah seperti dalam gambar di atas. Mengapa pesawat KLM tiba-tiba berada di hadapan pesawat Pan Am? Hal ini adalah kerana sejurus selepas mendarat, pesawat Pan Am menurunkan penumpangnya untuk berehat sebentar di dalam lapangan terbang. Semasa dalam proses penurunan penumpang itulah, pesawat KLM mendarat, dan bergerak ke parking terus melalui major taxiway.

Hal ini adalah kerana niat juruterbang pesawat KLM yang ingin mengisi minyak terlebih dahulu, jadi, dia menggerakkan pesawatnya ke hadapan. Hanya beberapa minit kemudian, barulah Pan Am mula bergerak ke tempat yang sama, di belakang psawat KLM.

Pada jam 2.30 petang, proses boarding pesawat Pan Am dimulakan semula. Hal ini adalah kerana pihak polis telah membenarkan Las Palmas Airport digunakan semula. Akan tetapi, setelah semua penumpang masuk ke dalam pesawat dan mereka sudahpun bersedia untuk bergerak ke runway untuk berlepas, pesawat mereka terhalang oleh pesawat KLM yang diletakkan dihadapannya. Pesawat KLM pula tidak boleh dialihkan kerana sewaktu itu, mereka sedang mengisi minyak dan hanya terdapat 3.7 meter sahaja ruangan selamat di antara kedua-dua pesawat.

Dimensi Boeing 747 – Flight Journal

Sebelum itu, mari kita lihat kru pesawat KLM ini. Kaptennya adalah Kapten Jacob Veldhuyzen van Zanten (C. Zanten) yang dibantu oleh pegawai pertama (First Officer – F/O) Klaas Meurs dan turut ditemani oleh seorang lagi jurutera di dalam kokpit yang bernama Willem Schreuder. C. Zanten merupakan seorang juruterbang handal bagi syarikat KLM. Pengalamannya juga sangat tinggi di mana secara kumulatifnya, masa penerbangannya adalah sebanyak 11700 jam. Dia merupakan anak emas KLM di mana wajahnya juga menghiasi iklan syarikat KLM ini.

Iklan syarikat KLM yang memaparkan wajah C Zanten – KLM Magazine

Namun, pada umur 50 tahun, C. Zanten banyak menghabiskan masanya untuk mengajar pelatih juruterbang di mana dalam 6 tahun terakhir sebelum kejadian, dia hanya meluangkan masa sebanyak 21 jam sahaja sebulan untuk menerbangkan pesawat, dan kebanyakkan masanya dihabiskan di dalam simulasi penerbangan (flight simulator) sebagai flight instructor. Sebelum kejadian ini berlaku, penerbangan terakhirnya adalah lebih kurang 12 minggu yang lalu.

Dalam kejadian ini, dia membuat keputusan untuk mengisi minyak tambahan kerana sejurus selepas dia dibenarkan untuk berlepas ke Las Palmas Airport, dia mempunyai jadual penerbangan seterusnya untuk kembali ke Amsterdam. Jadi, niat asalnya adalah untuk menjimatkan masa, walhal, sepatutnya dia seharusnya mengisi minyak di Las Palmas Airport nanti, bukan di Los Rodeos. Hal ini menyebabkan penerbangan Pan Am yang telah menerima lampu hijau untuk berlepas tergendala. 55000 liter minyak yang diisi mengambil masa lebih kurang 35 minit.

Pesawat KLM (Di Belakang()

Selepas 35 minit menunggu, jadual kini berubah di mana bukan Pan Am yang harus berlepas terlebih dahulu, sebaliknya KLM akan berlepas terlebih dahulu memandangkan posisinya berada di hadapan pesawat Pan Am. Tetapi, tiba-tiba perlepasan mereka menjadi tertangguh lagi, kali ini tanpa apa-apa sebab yang diketahui.

Penangguhan ini menyebabkan kesemua penumpang dan anak kapal menjadi resah dan gelisah. Dalam masa 2 jam penangguhan itu, terdapat banyak perubahan pada cuaca. Kabus tebal tiba-tiba hadir memenuhi ruang lapangan terbang tersebut.

Kabus ini bukanlah berasal daripada pembakaran ladang, sebaliknya seperti yang dinyatakan, kemunculannya datang daripada gunung berapi Teide. Ketebalan kabus ini menjadi terlalu teruk sehingga mengurangkan jarak penglihatan sebanyak beberapa puluh meter sahaja.

Dalam temubual bersama mereka yang terselamat, mereka mengatakan jarak penglihatan amat teruk pada waktu itu sehinggakan enjin pesawat tidak dapat dilihat daripada dalam pesawat bagi penumpang yang duduk di tempat duduk bersebelahan dengan sayap pesawat jumbo ini.

Lebih malang, lampu runway pada hari itu tiba-tiba tidak berfungsi. ATC tidak dapat melihat dengan jelas pesawat yang mereka ingin arahkan. Juga, ketiadaan radar untuk mengesan lokasi pesawat di atas landasan menyebabkan pengesanan kedudukan setiap pesawat dalam satu-satu masa kelihatan mustahil. Satu-satunya cara yang ada hanyalah melalui hubungan radio very high frequency (VHF) di antara juruterbang dan ATC.

Pesawat Boeing 747-206B Milik Pan Am – Pan Am

Pada jam 5.00 petang, setelah hampir 3 jam tertangguh, ATC memberikan arahan kepada C. Zanten untuk mengemudi pesawatnya ke hujung landasan serta membuat pusingan 180 darjah dan tunggu untuk kebenaran pelepasan daripada ATC. 2 minit kemudian, ATC menghubungi pesawat Pan Am untuk menuruti pesawat KLM dan pusing serta tunggu di minor taxiway C3.

Berikut adalah perbualan yang dirakamkan berdasarkan Cockpit Voice Recorder yang dijumpai di dalam kedua-dua kotak hitam pesawat. Perbualan ini telah diterjemahkan di dalam bahasa melayu, dan ada beberapa maklumat yang tidak penting telah ditapis keluar bagi membolehkan anda untuk memahami kejadian ini dengan lebih mudah.

Sebelum itu, satu lagi terminologi yang anda perlu tahu adalah heterodyne, iaitu gangguan bunyi yang selalu terjadi pada komunikasi menggunakan VHF. Sekiranya anda pernah menggunakan walkie-talkie, tentu anda pernah mendengar bunyi statik radio yang kuat dan perkara ini terjadi apabila terdapat banyak gangguan isyarat ataupun beberapa orang yang mempunyai radio ini bercakap serentak.

Dua komponen Kotak Hitam – FDR dan CVR

Ini adalah singkatan untuk setiap perbualan di bawah dan pada saat ini, pesawat KLM sudahpun berjaya membuat pusingan 180 darjah dan sedang menunggu arahan untuk berlepas

F/O KLM – First oficer, KLM. Zanten – Captain KLM. E KLM – Engineer, KLM. ATC – Air Traffic Controller. C PA – Captain, Pan Am. F/O PA – First officer, Pan Am. E PA – Engineer Pan Am.

KLM Menaikkan throttle sebagai isyarat untuk bersedia untuk berlepas

F/O KLM – Sebentar, kita masih tidak mempunyai kebenaran daripada ATC untuk berlepas

Zanten – Ya, saya tahu! Pergilah tanya ATC.

F/O KLMKLM 4805 bersedia untuk berlepas. Kami masih menunggu isyarat perlepasan daripada ATC.

ATC – [Sedikit Salah Faham] Selepas perlepasan, teruskan penerbangan ke isyarat Papa dan kekalkan pesawat pada ketinggian 9-0

Apa yang berlaku di sini adalah ATC sangkakan F/O KLM sedang meminta clearance untuk ruang udara, walhal, dia sedang meminta kebenaran untuk berlepas (take-off)

ZantenBaiklah.

F/O KLM – Baiklah, kami sekarang ingin berlepas

ZantenKami ingin pergi, Brek dah dilepaskan dan thrust dinaikkan

ATC – OK…. Siap sedia untuk berlepas, saya akan hubungi semula untuk kebenaran pelepasan

Malangnya, apa yang didengari oleh C Zanten dan krunya hanyalah perkataan OK. Ayat yang lain tidak dapat didengari kerana gangguan bunyi heterodyne

C PA – Tidak. Nanti dulu, kami masih berada di runway nak mencari minor taxiway C3

ATCTerima kasih

C PAJom kita ke tepi daripada runway ni

F/O PA – Kenapa Kapten Zanten tu nak kalut pula, tak sabar nak berlepas

E PA – Entah, dahlah si **** tu halang kita dekat nak setengah jam tadi

Semasa ini, pesawat KLM sedang mulai memecut di landasan manakala pesawat Pan Am pula terlepas belokan ke taxiway C3. Mereka tidak biasa dengan Lapangan terbang ini dan exit C3 pula tiada papan tanda.

Untuk memusing di taxiway C3 adalah amat mustahil bagi pesawat jumbo, tetapi arahan ini diberikan oleh ATC, yang tiada pengalaman memberi arahan kepada pesawat jumbo kerana seperti yang dinyatakan, lapangan terbang ini hanya menempatkan pesawat-pesawat kecil sahaja.

E KLM – Tuan, saya rasa mereka masih lagi berada di atas runway

Zanten – Oh yeah?!

C Zanten membalas demikian kepada juruteranya yang merupakan anggota paling junior di dalam kokpit tersebut. Dia menjadi takut dan mendiamkan diri sahaja selepas dijawab dengan nada sarkastik oleh kaptennya.

C PA – Hei, tengok tu. Alamak, gila b&($ anak ^%&@ tu menghala ke kita!

F/O PA – Ke tepi! Ke tepi!

Zanten – Oh tahi!

Pada jam 5.06 dan 46 saat, kedua-dua pesawat ini berlanggar. KLM cuba untuk membawa pesawatnya ke atas sehingga bahagian ekornya bergesel dengan runway. Geseran ini sepanjang 22 meter dan pelanggaran ini menyebabkan letupan pada pesawat KLM. Pelanggaran pada kelajuan 260 kilometer sejam ini meragut nyawa kesemua penumpang dan anak kapal yang berlepas daripada Los Rodeos Airport di dalam pesawat KLM iaitu seramai 248 nyawa.

Bangkai Pesawat Selepas Kemalangan Berlaku – Wikipedia

Hanya 61 orang di dalam pesawat Pan Am selamat, tetapi, 335 orang yang lain maut serta-merta. Pelanggaran ini menyebabkan jumlah kematian setinggi 583 orang, menjadikannya kemalangan kapal terbang paling banyak meragut nyawa sehingga kini. Memang beberapa soalan timbul, dan di sini saya akan menerangkan jawapan kepada dua soalan iaitu yang pertama, mengapakan Captain Zanten bersifat sedemikian?

Dalam dunia penerbangan, kebanyakkan jurulatih penerbangan atau flight instructor yang terlalu lama meluangkan masa di dalam latihan simulasi tetapi terlalu sedikit meluangkan masa di dunia luar penerbangan yang sebenar akan mengalami satu sindrom yang dinamakan sebagai Training Syndrome. Training syndrome ini wujud kerana di dalam simulasi, apabila anda seorang flight instructor, andalah yang mengawal segalanya. Anda mengawal bila nak berlepas, bila nak isi minyak, bila nak buat segalanya tanpa harus berunding atau berbincang dengan orang lain.

Ringkasan Grafik Peristiwa yang Berlaku – AeroTIme

Sememangnya, dalam dunia penerbangan, seseorang juruterbang dan kapten pesawat harus bekerjasama dengan pegawai utamanya, juruteranya, pegawai trafik udara, kru penerbangan dan lapangan terbang beserta dengan krew pesawat lain. Kerjasama sebegini mewujudkan penerbangan yang selamat, kerana kita semua sudah sedia maklum, kemalangan pesawat biasanya pasti akan melibatkan nyawa manusia. Apabila seseorang itu sudah berada terlalu lama di dalam satu situasi yang boleh dikawal olehnya, dia akan menjadi kekok untuk berhadapan dengan situasi sebenar.

Senang cerita, sekiranya anda main permainan video Sims, anda diberi kuasa ibarat tuhan, yang boleh mengurung manusia di dalam kolam rengan dan mengalih tangganya agar mereka semua mati lemas, okay melawak je. Dalam dunia sebenar, kita tidak mempunyai kawalan terhadap banya perkara lain dan pada kebanyakkan masanya, kita perlu mengharapkan orang lain melakukan tugas mereka dengan harapan mereka memberikan yang terbaik untuk kita. Itulah sebabnya anda tidak boleh sewenang-wenangnya mengeji, mengutuk atau mengecam sesuatu di luar bidang anda tanpa anda mempunyai ilmu yang mencukupi.

Soalan yang kedua adalah mengenai enjin pesawat ini sendiri, yang sungguh berkuasa (bukan maha berkuasa ya, jadi tak perlulah nak membawa isu agama di sini), mengapa masih tidak sempat untuk pesawat tersebut berlepas mengelak pesawat Pan Am yang masih lagi berada di atas landasan? I

Ironinya, perbuatan C Zanten yang menambah muatan minyak sebanyak 55,000 liter lagi meningkatkan berat pesawat ini sehinggakan proses perlepasan memerlukan landasan yang lebih jauh. Maklumlah, berat pesawat ini sendiri pun setinggi 300,000 kilogram, dan penambahan berat sebanyak 55,000 kilogram lagi pasti akan mengundang sedikit masalah.

Mengapa nak jimat masa untuk jimat minyak walhal boleh sahaja proses mengisi minyak ini dibuat di Las Palmas Airport? Hal ini kerana jika penangguhan menjadi terlalu lama, penerbangan KLM ke Amsterdam mungkin akan dilewatkan melebihi beberapa jam, yang menyebabkan syarikat KLM perlu menanggung kos hotel bagi kesemua penumpang mereka yang terkandas di lapangan terbang akibat penangguhan ini.

Peringatan Buat Mangsa yang Terkorban – Wikipedia

Apa pun, selepas kejadian ini, nama lapangan terbang Los Rodeos ditukarkan kepada Tenerife North Airport dan sebuah lagi lapangan terbang bernama South Tenerife Airport juga dibuka. Infrastruktur dan kemudahan ditambah bagi membolehkan pengesanan kedudukan pesawat di atas landasan boleh dikesan. Untuk komunikasi pula, satu alat untuk menyekat komunikasi bagi mengelakkan heterodyne mulai dipasang, walaupun masih lagi tidak diwajibkan.

Jadi, kes ini merupakan satu kes yang amat baik untuk dikongsikan kepada anda semua kerana bukan sahaja ianya bermanfaat untuk bakal juruterbang, malah, ianya juga bermanfaat untuk kita semua sebagai orang awam bagi menambah ilmu pengetahuan mengenai perkara-perkara sebegini.

Sememangnya, kabus dan jerebu membawa kepada masalah kekurangan jarak penglihatan yang lebih kurang sama, justeru, janganlah kita berdiam diri apabila ruangan udara kita dibanjiri oleh asap yang tebal yang menyukarkan pandangan seseorang juruterbang bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih baik.

Notakaki – Untuk membaca artikel fiksyen dan cerita, bolehlah menjadi friend atau follower saya di facebook ini di facebbok.com/drsharky88. Terima kasih

RUJUKAN:

  1. Tenerife Airport Disaster – Seconds From Disaster, National Geographic Channel (Season 1 Episode 12)
  2. Article on Tenerife Acciednt @wikipedia https://en.wikipedia.org/wiki/Tenerife_airport_disaster
  3. The true story behind the deadliest air disaster of all time https://www.telegraph.co.uk/travel/comment/tenerife-airport-disaster/
  4. Airline Geeks https://airlinegeeks.com/2019/03/28/remembering-the-tenerife-aircraft-disaster-42-years-later/

Artikel berkaitan kemalangan dan insiden antarabangsa di The Patriots

  1. Challenger Disaster – https://www.thepatriots.asia/apa-yang-sebenarnya-terjadi-pada-challenger-space-shuttle/
  2. Andes Cannibal Disaster https://www.thepatriots.asia/peristiwa-kanibal-di-banjaran-andes/
  3. Germanwings Depressed Pilot https://www.thepatriots.asia/juruterbang-depress-bertukar-menjadi-pembunuh/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.