Tragedi Christchurch: Patutkah Orang-Orang Melayu-Islam Dipersalahkan?

104

15 Mac 2019 merupakan detik hitam dalam sejarah New Zealand, negara yang diiktiraf kedua teraman di dunia setelah Iceland oleh Indeks Keamanan Global (GPI) yang menyaksikan 49 mangsa-mangsa beragama Islam dibunuh oleh pengganas berkulit putih Australia, Brenton Tarrant, di dua masjid di kota terbesar Pulau Selatan negara tersebut, Christchurch.

Kejadian ini telah menimbulkan kemarahan masyarakat seluruh dunia yang mengutuk serangan tersebut. Disebalik solidariti yang ditunjukkan terhadap mangsa-mangsa pengganas Australia itu, terdapat suara-suara sumbang yang meletakkan kesalahan tersebut kepada orang Islam.

Senator Australia, Fraser Anning telah menyatakan bahawa polisi negara New Zealand yang memudahkan perpindahan penduduk Muslim ke negara tersebut adalah punca kepada berlakunya kejadian ini. Di negara kita sendiri, wakil rakyat hasil undian ‘Malaysia Baru’, ADUN Mengkibol, YB Chew Chong Sin menggunakan isu ini bagi menunjukkan seolah-olah bahaya bakal menjelma di tanahair kita sekiranya masyarakat Melayu Islam di Malaysia bersatu hati. Walaupun YB Chew telah menarik balik kenyataannya dan meminta maaf, ini tidak mengubah apa-apa kerana ianya jelas wakil rakyat Mengkibol ini beranggapan bahawa orang-orang Islam pencetus kekacauan.

Kedatangan orang-orang bukan Islam/Bumiputra ke Tanah Melayu sering diterima baik tanpa bantahan secara jelas oleh orang-orang tempatan, sebelum dan selepas zaman penjajahan. Sebagai contoh, penghijrahan orang-orang Cina ke Tanah Melayu telah bermula sejak zaman kesultanan Melaka pada kurun ke 15. Namun, penghijrahan orang-orang Cina dan India secara besar-besaran berlaku sewaktu zaman penjajahan British pada kurun ke-19. Kebanyakan imigran-imigran Cina dan India ini dijadikan buruh murahan oleh pihak British bagi memacu pertumbuhan pesat penggalian bijih timah dan ladang-ladang getah di Tanah Melayu pada waktu itu.

Sewaktu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, seramai lebih kurang 1 juta orang berketurunan Cina dan India diberikan kerakyatan Tanah Melayu, senario yang jarang berlaku di mana-mana negara lain di seluruh dunia.

Sebagai contoh, Australia telah berusaha menyekat kedatangan orang-orang bukan berkulit putih, terutamanya yang berketurunan Cina menerusi pelaksanaan ‘Polisi Australia Putih’ manakala terdapat rakyat tidak bernegara di Brunei, kebanyakannya berketurunan Cina. Brunei mengenakan syarat kerakyatan yang ketat kepada orang-orang bukan Melayu Brunei termasuk ujian-ujian yang sukar bersangkutan kebudayaan dan bahasa Melayu.

Apabila jiran-jiran terdekat Malaysia seperti Thailand dan Indonesia mengamalkan polisi asimilasi yang memaksa rakyat minoriti untuk mengamalkan bahasa dan budaya kaum majoriti, Malaysia sehingga sekarang menghormati budaya-budaya orang Cina dan India serta membenarkan mereka mengamalkan cara hidup anutan mereka sendiri.

Walaupun penduduk Malaysia adalah 65% Muslim, masyarakat Islam di negara ini menghormati masyarakat bukan Islam yang mendiami negara ini. Sungguhpun Islam adalah agama Persekutuan Malaysia termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, masyarakat bukan Islam diberikan peluang yang saksama dalam berkongsi kekayaan negara.

10 individu terkaya di Malaysia adalah dari kalangan warganegara bukan Islam. Sekiranya masyarakat Islam Malaysia pengamal ekstrimisme, hal ini tidak mungkin berlaku. Selain itu, masyarakat bukan Islam bebas membina rumah ibadat mereka – sebagai contoh, salah satu gereja terbesar di Asia Tenggara ada di Bukit Jalil walaupun penduduk Kristian negara ini kurang dari 10 peratus.

Masyarakat Hindu memiliki kuil yang luas dan megah di Batu Caves walaupun membentuk hanya 6 peratus dari keseluruhan penduduk Malaysia dan penganut Buddha yang rata-ratanya masyarakat Tiong Hua mampu mendirikan tokong megah Kek Lok Si di Pulau Pinang tanpa bantahan melampau daripada penduduk majoriti Muslim di Malaysia.

Masyarakat bukan Islam di Malaysia juga diberi peluang mentadbir negara dengan beberapa ahli politik bukan Islam dilantik menjadi Menteri dan Senator di peringkat negeri dan Persekutuan. Sebagai contoh, walaupun majoriti penduduk Pulau Pinang adalah Melayu/Bumiputra, masyarakat Melayu Islam menerima pemimpin Cina sebagai Ketua Menteri mereka berdekad lamanya.

Tidak seperti di Australia, New Zealand, Amerika Syarikat atau mana-mana negara lain yang tidak menyambut hari kebesaran masyarakat minoriti, Malaysia menghormati dan mengiktiraf hampir kesemua perayaan keagamaan dengan menjadikan hari-hari kebesaran ini cuti umum.

Sehingga kini rakyat Malaysia hidup bergandingan tangan dan bersatu hati tanpa banyak konflik ketara yang boleh menimbulkan kekacauan melampau di kalangan masyarakat. Sekiranya orang-orang Islam yang membentuk penduduk majoriti negara ini dituduh ‘seringkali menimbulkan masalah’, mana mungkin Malaysia boleh bangkit menjadi negara yang pesat membangun, produktif dan sejahtera.

Malaysia sememangnya diiktiraf sebagai negara ke-25 paling aman di dunia daripada 163 negara-negara di dunia – suatu manifestasi bahawa masyarakat Islam yang merupakan masyarakat majoriti negara ini mendukung kedamaian.

Tragedi Christchurch adalah satu kejadian ‘wake-up call’ yang menunjukkan keganasan ini tidak mengenal kaum, agama, budaya dan warganegara. Kenyataan Senator Anning dan ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin yang secara terang-terangan menuduh orang-orang Islam sebagai ‘pencetus kekacauan’ haruslah dikutuk sekeras-kerasnya.

Bagi mangsa kejadian keganasan di Christchurch, marilah sama-sama kita mendoakan agar roh-roh mereka ditempatkan bersama orang-orang beriman.

Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph.D) adalah seorang Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Profesor Pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia. 

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.