Tahukah anda, pahlawan purba Yunani dulukala menggamit dunia purba dan keperwiraan mereka merentas zaman sehingga 3600 tahun lamanya diabadikan dalam mitos hikayat Illiad, Odysseus serta dijadikan karya dalam bangsawan Eropah sehingga ke zaman filem era abad ke 20-21? Jom kita kupas tradisi keperwiraan Yunani dari era Kuno, Klasikal dan Hellenistik serta pengaruhnya ke atas tradisi ketenteraan Empayar Rom.

Pahlawan Yunani Purba Mycenae (1600-1000 Sebelum Masihi)

Foto: Ini adalah perisai jenis Dendra, dipakai Bangsawan & Panglima Yunani Purba Mycenae. Jadi Achilles dalam Perang Trojan pakai perisai ini yang lebih tepat ikut sejarah

Era Zaman Gangsa ini menyaksikan pahlawan Yunani Mycenae secara umumnya jika berperang sangat terlalu asas, diberi pedang gangsa atau tombak gangsa dengan perisai kulit. Hanya Bangsawan Yunani Mycenae sahaja yang memakai perisai berat jenis Dendra yang sangat-sangat jarang digunakan. Konflik terkenal iaitu perang Yunani vs Troy berlaku pada era ini, dan percayalah Achilles bukan memakai perisai Hoplites (sebagaimana digambarkan dalam filem Troy oleh Brad Pitt) tetapi Achilles memakai perisai Dendra manakala tentera Myrmidon-nya hanya bercawat dan pakai perisai kulit haiwan.

Foto: Kesatria Yunani Purba Mycenae dengan Panglima Yunani Mycenae (memakai perisai Dendra).

Pahlawan biasa Yunani Purba Mycenae hanya diberi pedang / tombak gangsa dan perisai kulit haiwan dilapis anyaman manakala golongan Bangsawan / Panglima pula memakai perisai jenis Dendra. Inilah gambaran sebenar mengikut sejarah mengenai tentera negara-negara kota Yunani Mycenae pimpinan Menelaus dan tentera Myrmidon bawah Achilles menyerang Kota Troy Purba. Topi mereka dibuat dari kulit dan dihiasi taring babi hutan yang dijahit pada topi perang. 
 

Pahlawan Yunani Kuno / Klasikal Hoplites (650 – 350 Sebelum Masihi)

Dengan kejatuhan tamadun Purba Yunani Mycenae dan Era Kegelapan melanda tamadun purba awal di kawasan Mediterranean bermula pada 1000 SM, tidak banyak diketahui tentang era ini. Tradisi ketenteraan Yunani Mycenae pupus hanya kekal sebagai kisah-kisah lisan hikayat epik Illiad dan Odysseus sahaja. Selama 400 tahun dari 1000 SM – 600 SM, masyarakat Yunani era Kuno adalah dari baka keturunan percampuran puak-puak gasar Dorian dengan kaum Yunani Mycenae.

Maka percampuran budaya serta asimilasi Dorian dengan Mycenae, maka lahirlah satu tradisi ketenteraan selepas Era Kegelapan Zaman Gangsa di Yunani iaitu perwira Hoplite yang terkenal dengan formasi Phalanx. Seorang Hoplite era Yunani Kuno dan Klasikal biasanya memakai pakaian perisai gangsa atau kulit, dilengkapi perisai bulat kayu dilapisi gangsa iaitu Hoplon, pedang pendek Yunani Xiphos dan tombak panjang dikenali Dory. Bagi Hoplite di era Klasik Homer yang membawa 2 batang tombak Dory pula dikenali Dorata Hoplite.
 

Foto: Gambaran perwira Hoplite Yunani Kuno

Tidak dinafikan formasi Phalanx oleh perwira hoplites zaman Yunani Klasikal yang menggerunkan lawan terutama era peperangan antara negara kota Yunani Kuno bermula seawal 650-500 SM. Konflik sesama negara kota Yunani Kuno hingga era Klasikal melahirkan taktik perang formasi Phalanx menggunakan perwira Hoplites. Ini berterusan sehingga negara-negara kota Yunani Klasikal bersatu melawan Empayar Achaemenid Parsi.

Perwira Hoplite dengan formasi Phalanx sememangnya infantri terampuh pada zamannya hinggakan infantri elit Parsi iaitu perwira Immortal pun bersusah payah hendak menewaskan formasi ini bermula kempen perang Yunani-Parsi Pertama sehingga perang Yunani-Parsi Kedua. Formasi ini kekal sehingga era perang saudara Yunani Klasikal antara Blok Pelopennesia diketuai Sparta melawan Blok Delian diketuai Athens di era Yunani Klasikal (350 Sebelum Masihi).

Foto: Gambaran formasi Phalanx perwira Hoplite Yunani era Klasikal.

Berikut di bawah adalah beberapa ilustrasi pahlawan Hoplite era Yunani  Klasikal. Ini adalah standard pemakaian perisai Hoplite termasuk pakaian perisai jenis kulit serta lapisan gangsa. Ini era perang Yunani vs Parsi Achaemenid & era perang saudara iaitu Peperangan Peloponnesia dimana persekutuan Yunani Sparta menentang persekutuan Yunani Athens.


Foto: Pahlawan-pahlawan Hoplite Yunani Klasikal biasanya berbeza mengikut negara kota masing-masing. 

Hoplite Klasikal Kota Sparta

Foto: Gambaran perwira Hoplite Yunani dari negara kota Sparta dalam formasi phalanx era Klasikal.

Tidak dapat dinafikan bahawa pahlawan Hoplite paling tersohor era Yunani Klasikal sudah pastinya datang dari negara kota Sparta. Sparta mengekalkan tradisi ketenteraannya dari era Yunani Purba Mycenae hingga ke era Klasikal. Semasa era Yunani Kuno pada 750SM, Sparta bangkit dari era Kegelapan dan perlahan-lahan menguasai Semenanjung Peleponnesus dari beberapa siri peperangan dengan negara kota Messenia dan menewaskan Messenia sepenuhnya.

Keampuhan infantri Hoplite Sparta tidak dapat dinafikan dan disebut dalam pelbagai teks klasik dunia Klasikal dari Yunani, Parsi hingga era Rom. Tentera Hoplite Sparta dilatih dengan latihan ketenteraan dari usia sebelum baligh dengan disiplin tentera yang sangat ketat dan maruah masyarakat militer.

Dari tahun 600 – 300 SM, rejim ketenteraan Sparta dianggap mesin ketenteraan terhandal yang terkenal seantero era Klasikal sehinggakan bagi orang Yunani era itu, seorang lelaki Sparta lebih berharga nilainya dari beberapa orang lelaki negara kota Yunani lainnya.

Seorang pemimpin Sparta Kuno bernama Lycurgus yang menubuhkan tradisi ketenteraan Sparta. Dia mengatakan Sparta adalah Tembok Manusia bukannya Tembok Bata. Lycurgus mencadangkan reformasi masyarakat Sparta kepada masyarakat bertunjangkan budaya memfokuskan ketenteraan dengan nilai-nilai yang betul seperti hak samarata, kekuatan, kekerasan dan kesihatan warganegara lelaki Sparta (equality, austerity, strength, and fitness).

Penglibatan kaum lelaki Sparta dengan dunia ketenteraan bermula ketika baru dilahirkan, dimana bayi lelaki akan diperiksa oleh Majlis Kaum Tua Sparta dikenali “Gerousia Council“. Mana-mana bayi lelaki yang dianggap lemah atau cacat akan ditinggalkan di Gunung Taygetos dibiarkan mati, kerana Sparta bukannya tempat bagi kaum yang lemah tidak mampu melindungi dirinya sendiri.

Bayi lelaki yang kuat sihat akan membesar pada umur 7 tahun dan dimasukkan ke akademi tentera dikenali Rejim Agoge dimana program pendidikan dan latihan ketenteraan yang sangat ketat dan keras DIWAJIBKAN kepada semua warga lelaki Sparta. Mereka dididik dengan kelicikkan, kesukanan dan taktik peperangan malahan juga melibatkan syair, muzik, akademik dan kadangkala ilmu politik.

Rombakan Tradisi Hoplite kepada Phalangite & Hypaspist di era Yunani Macedonia & Hellenistik (350 – 150 Sebelum Masihi)

Foto: Formasi Phalanx oleh tentera Yunani era Hellenistik

Kerajaan Yunani Macedonia bawah Raja Phillip II (bapa Alexander the Great) menggabungkan keampuhan formasi Hoplite kini dipanggil Phalangites dan Hypaspists serta disokong mobiliti tentera berkuda dan “light infantry” dan “skirmishers” (aka pemanah, pelontar tombak, pelastik batu @ slingers).

Alexander the Great mewarisi ketenteraan Phillip II berjaya mengalahkan musuh tradisi Yunani dengan tumbangnya Empayar Parsi Achaemenid dan warisan formasi Phalangite & Hypaspist yang digabungkan dengan mobiliti tentera berkuda dan penggunaan bijak “light infantry” menguasai medan peperangan negara-negara kota Yunani Hellenistik (Macedonia / Parsi Seleucids / Mesir Dinasti Ptolemy / Yunani Asia Tengah).

Tetapi kehadiran Republik Rom dengan infantri Legionnaire yang jauh lebih versatil menghancurkan tradisi Hoplite / Phalangite / Hypaspist Yunani Hellenistik menjelang penjajahan Macedonia oleh Republik Rom vs Raja Phillip V Macedonia.

Legionaire Empayar Romawi dari Semenanjung Itali vs gabungan ketenteraan Hoplite / Phalangite / Hypaspist dari gugusan kepulauan Yunani berakhir dengan kemenangan dalam Pertempuran Pydna pada tahun 168 Sebelum Masihi memihak Empayar Romawi yang menghancurkan kekebalan mitos formasi Phalanx oleh pahlawan Hoplite / Phalangite / Hypaspist milik Yunani Macedonia.

Foto: Perwira Phalangite era Yunani Hellenistik.

Gambar di atas adalah pahlawan Hoplite dikenali sebagai Phalangite era Yunani Hellenistik. Merupakan tentera infantri paling kuat di era Phillip II Macedon, Alexander the Great, empayar Yunani-Parsi Seleucids, empayar Yunani Macedonia dan empayar Yunani-Mesir Ptolemy. Pakaian sudah ringkas disebabkan reformasi tradisi perang Hoplite oleh Phillip II Macedon. Tetapi taktik Hoplite kini dikenali Phalangite jadi lebih kuat dengan gabungan formasi kavalri berkuda, “light infantry” dan “skirmishers“.

Foto: Perwira Hypaspist era Yunani Hellenistik.

Ini pula pahlawan Hoplite dikenali sebagai Hypaspist era Yunani Hellenistik merupakan ketumbukan kedua formasi Phalanx selepas Phalangite. Pakaian jauh lebih ringkas dari Phalangite hanya perlu topi gangsa dan perisai gangsa bulat hoplon serta tombak phalanx disebabkan reformasi tradisi perang Hoplites oleh Phillip II Macedon.

Tapi taktik Hoplite kini dikenali Hypaspist menjadi lebih fleksibel kerana Hypaspist merupakan sokongan kepada ketumbukan formasi tentera Phalangite serta boleh berfungsi sebagai “light infantry” menyokong kavalri berkuda dan “skirmishers“.

Pengaruh Hoplites Yunani kepada tradisi ketenteraan Romawi 

Foto: Kesatria Hoplite Rom Kuno (650 – 490 SM)

Tidak dapat dinafikan, tradisi Hoplite Yunani menjadi budaya awal ketenteraan di luar Yunani, terutamanya di Semenanjung Itali yang didiami puak-puak kaum Romawi Purba. Pengaruh awal tradisi Hoplite Yunani Kuno / Klasikal mempengaruhi sistem ketenteraan awal Romawi hampir 300-400 tahun lamanya.

Hoplite Romawi era Kuno (650 – 490 Sebelum Masihi) & Republik Awal Romawi – Reformasi Servian (450 – 300 Sebelum Masihi)

Foto: Kesatria Hoplite Rom Kuno (650 – 490 SM)

Budaya ketenteraan Hoplite dibawa masuk oleh masyarakat awal Yunani Kuno dan Klasikal yang membuka penempatan koloni awal Yunani di Semenanjung Itali. Pengaruh formasi Phalanx dan Hoplites Yunani ditiru oleh militia puak-puak kaum Rom Purba / Kuno pada era awal untuk melawan kuasa dominasi kaum Etruscan di Semenanjung Itali (600SM-300SM).

Hoplite Romawi meniru bulat-bulat tradisi Phalanx oleh Hoplite Yunani Klasikal sehinggalah ke era penubuhan awal Republik Romawi dan formasi Phalanx Hoplite Romawi dikelaskan antara 3 kelas tentera terawal Republik Romawi mengikut Reformasi Servian. Perwira Hoplite Rom yang merupakan unit terawal puak-puak kaum Rom yang menentang puak Etruscan di Semenanjung Itali.

Foto: Perwira Hoplite Rom dan infantri Rom era terawal Republik Rom ketika Reformasi Servian (450-300 SM)
Foto: Perwira Hoplite Rom dan infantri Rom (yang memakai pakaian merah dan baju zirah gangsa dan berperisai lonjong) era awal Republik Rom vs puak Etruscan (450-300 SM)

Namun begitu, taktik Hoplite Yunani yang digunakan Rom yang sebelum ini berkesan menentang kaum Etruscan gagal semasa pencerobohan puak-puak gasar Celt dari Eropah ke Semenanjung Itali serta beberapa siri kempen Peperangan Punic antara Republik Romawi menentang Empayar Carthage.

Semasa Perang Punic Kedua (218 SM – 204 SM) di Semenanjung Itali, tentera Carthage berbilang bangsa dipimpin Hannibal Barca menjahanamkan formasi Hoplite Republik Rom dalam Pertempuran Ticinus, Pertempuran Trebia, Pertempuran Tasik Tresimene dan akhir sekali, Pertempuran Cannae menyaksikan Hannibal Barca melenyapkan sama sekali ketumbukan Hoplite Republik Rom berjumlah 50-70 ribu orang dibvnuh! Ketika era Peperangan Punic Kedua Romawi vs Carthage barulah kelemahan formasi Hoplite Romawi diketahui sangat “rigid” dan lemah berdepan koalisi pelbagai bangsa Carthage yang menggunakan gabungan “heavy / light infantry“, “skirmishers” dan kavalri berkuda Libya / Celt.

Foto: Tentera Hoplite Rom era awal Republik Rom diganyang puak Celt (300 SM)

Legionnaire Republik Romawi era Pertengahan – Reformasi Polybian (275 Sebelum Masihi) & Reformasi Marian (150 Sebelum Masihi)

Foto: Perwira Hoplite Rom era pertengahan Republik Rom semasa Reformasi Polybian iaitu perwira Triarius bersama infantri Hastatus (pelontar lembing) 290-150 SM

Hanya setelah era Peperangan Punic antara Republik Romawi vs Carthage (264 SM – 146 SM) barulah dilihat berlaku reformasi berkala tradisi militer Romawi beransur-ansur dari formasi Phalanx oleh Hoplites Romawi berevolusi menjadi formasi Manipular oleh Legionnaire Republik Romawi yang sangat terkenal ampuh dan fleksibel melalui Reformasi Polybian pada 290-275 SM.

Reformasi tentera Hoplite Rom era pertengahan Republik Rom pada (290-150 SM) kini dikenali sebagai perwira Triarius bersama infantri Hastatus (pelontar lembing). Formasi Hoplite Rom era pertengahan Republik Rom dengan perwira Triarius digabungkan bersama infantri Rom lainnya setelah Reformasi Polybian beransur-ansur memperkenalkan formasi Manipular menggantikan formasi Phalanx Hoplite Rom awal. Formasi Manipular dimulai dengan infantri Hastati, Velites, Triarii (pengganti Hoplite Romawi) & Principes. Mereka inilah perintis formasi Manipular dan Legionnaire pertama Republik Rom.

Foto: Legionnaire Pertama Republik Romawi era Pertengahan dimulai infantri Hastati, Velites, Triarii (pengganti Hoplite Romawi) & Principes – Reformasi Polybian (275 SM)

Dengan pengenalan formasi Manipular oleh pahlawan Legionnaire Romawi ini, Republik Romawi mengalahkan formasi Phalanx pahlawan Hoplite / Phalangite / Hypaspist Yunani Hellenistik Macedonia pimpinan Raja Phillip V Macedonia dalam Perang Pydna pada 168 SM.

Ia menyaksikan kemusnahan kekebalan tentera Phalangite Macedonia dan formasi Phalanx Yunani terus terkubur selama-lamanya dari tradisi militeri Yunani dan juga Romawi. Sistem Manipular Legionnaire Romawi menjadi tonggak enjin kekuasaan militeri Empayar Romawi menguasai medan peperangan di bumi Yunani, Romawi dan Eropah menggantikan tradisi ketenteraan tersohor Hoplite Yunani buat beratus-ratus tahun lamanya. Diikuti pula dengan Reformasi Marian pada 107 SM, tradisi Hoplites terus pudar pupus dari tradisi ketenteraan Empayar Romawi.

Foto: Legionnaire Republik Rom dalam formasi Manipular menentang Phalangite Yunani Hellenistik dari Macedonia ketika Perang Pydna pada 168 SM

Namun sebagai nota sejarah, tentera upahan dari kaum Samnite di Semenanjung Itali yang direkrut oleh Republik Rom mengekalkan tradisi formasi Phalanx ala Hoplites sehingga selepas Reformasi Marian! Tentera upahan puak Samnite yang membentuk formasi Phalanx sebagai ketumbukan sokongan kepada Legionnaire Rom.

Apabila Republik Rom menerusi Reformasi Marian melenyapkan peranan Hoplite / Triarii Rom dari formasi Manipular dan unit-unit Legionnaire, tentera upahan Samnite menggantikan unit Hoplite / Triarii Rom tetapi dalam fungsi barisan kedua.

Foto: Tentera upahan Empayar Romawi iatu Puak Samnite semasa era Reformasi Polybian – Marian (275 – 100SM)

NOTA TAMBAHAN:

Pakaian perisai yang dipakai Brad Pitt semasa melakonkan watak Achilles dalam filem epik Troy tahun 2004 adalah perisai Yunani Kuno / Klasikal Hoplite, sekurang-kurangnya 700 tahun selepas perang Trojan. Jadi perisai Achilles dan Myrmidon dalam filem Troy sangat tidak tepat langsung dari segi sejarah.

Perang Trojan terjadi era Yunani Kuno Mycenae pada 1600-1000 SM Masihi, maka Achilles (lakonan Brad Pitt) sepatutnya memakai perisai Dendra dan tentera Myrmidon-nya sepatutnya hanya separa bogel bercawat dan bertopi kulit disulami deretan taring babi hutan (sila rujuk gambar pahlawan Yunani Purba Mycenae di awal artikel).

RUJUKAN

1) The Greek Age of Bronze – Armour: http://www.salimbeti.com/micenei/armour1.htm

2) Mycenean, Greeks, Archaeology & Myths: https://www.greecehighdefinition.com/blog/2019/4/19/mycenaeans-greeks-archaeology-and-myth-identity-and-the-uses-of-evidence-in-the-archaeology-of-late-bronze-age-greece

3) Buku “Greek Hoplite: Soldier Through the Ages” oleh Martin Windrow

4) Hoplite & Phalanx: War Killing Machine: https://www.learning-history.com/hoplite-phalanxe-war-killing-machines/

5) The Army of Alexander The Great: https://www.ancient.eu/article/676/the-army-of-alexander-the-great/

6) Evolution of the Early Roman Army: https://weaponsandwarfare.com/2017/06/16/the-evolution-of-the-early-roman-army/

7) Visually Reconstructed of the Ancient Roman Soldier: https://www.realmofhistory.com/2017/07/13/evolution-ancient-roman-soldier/

Artikel dikirimkan oleh Reza Shah untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Reza Shah telah berumur 40-series, seorang "self-declared" mecha-anime-gunjin Otaku-tua-kutuk-tak-sedar-diri. Juga peminat sejarah amatur serta sosio-geopolitik global, penulis di zaman mudanya adalah tersohor sebagai "keyboard warrior" dalam membela agama, bangsa & negara di laman mIRC, Internet Mailing List (IML) dan forum-forum, di Internet. Kini dia bersara dari dunia menghempas keyboard, dan lebih suka mengarang "fan-fiction" berbentuk fiksyen sejarah untuk Macross / Robotech. Oh, penulis telah berkhidmat 20 tahun dalam bidang pengajian tinggi dari sebuah Pusat Matrikulasi di Sarawak dan sudah sedekad bertugas di sebuah Universiti GLC di Semenanjung. Banzaiiiii!

Comments are closed.