Moving Forward As One

Tradisi Gemukkan Isteri Untuk Capai Status Cantik

1,400

Cantik sifatnya subjektif. Ada yang melihat cantik itu lahir dari dalam jiwa. Ada pula yang menaksirnya pada paras rupa.

Sepanjang sejarah, kita telah menyaksikan pelbagai kayu ukur digunakan bagi menilai kecantikan; baik ianya berkulit putih, bergigi hitam, berleher panjang, berkaki tirus, berbadan kurus, ataupun sebagainya.

Namun di Mauritania dan beberapa negara lain di Afrika Barat, majoriti masyarakat mereka mengukur kecantikan pada besarnya saiz tubuh seseorang wanita. Bagi mereka, makin montel, makin comel.

Sekali dengar, ia seperti perkara yang baik. Kerana di saat wanita-wanita montel lain umumnya dijadikan bahan lelucuan dan mangsa ejekan, di negara-negara Afrika Barat, mereka di’timang’ dan di’sayang.

Tetapi, nanti dulu. Jangan terburu-buru. Di sebalik kayu ukur kecantikan yang sebegitu, ada satu budaya jelek yang membelenggu. Budaya ini disebut sebagai leblouh yang secara harfiah bermaksud ‘paksa makan’.

Bila sebut fasal paksa makan ini, ada dua perkara yang boleh digambarkan iaitu foie gras dan water cure.

Foie gras adalah sejenis hidangan mewah berupa hati itik atau angsa yang digemukkan secara paksa. Untuk menghasilkan foie gras, itik/angsa akan diberi makan secara berlebihan selama beberapa tempoh sehingga hatinya membengkak 10 kali ganda lebih besar berbanding saiz biasa.

Water cure pula adalah sejenis penderaan di mana mangsa dipaksa minum sehingga kembung perut. Biasanya, ia dilakukan bagi mendapatkan maklumat rahsia. Bentuk penderaan sebegini paling sinonim dengan tentera Amerika Syarikat sewaktu mereka berada di Filipina pada 1899-1902.

Leblouh saling tak tumpah seperti foie gras dan water cure

Dua contoh di atas sedikit-sebanyak menggambarkan apa yang dilalui oleh gadis-gadis Mauritania.

Menjelang musim cuti sekolah atau musim hujan (waktu bekalan susu tengah banyak), kebanyakan ibu bapa akan menghantar anak-anak perempuan mereka ke ‘rumah penggemukan’, dengan yurannya mencecah sehingga $155 (RM655) sekepala.

Kononnya, ia adalah satu program untuk mencantikkan mereka supaya nanti mudah untuk mereka dapat jodoh. Jadi atas alasan itu, mereka pun turutkan sahaja sambil membayangkan suasana ceria seperti pergi ke kem musim panas.

Tapi ternyata, semuanya cuma indah khabar dari rupa.

Dihantar ke ‘rumah penggemukan’ bererti mengucapkan selamat tinggal kepada tubuh lama. Ini kerana setiap hari, mereka diberi makan empat kali ganda lebih banyak berbanding lelaki dewasa.

Seberapa banyakkah empat kali ganda itu?

Menurut U.S. National Institutes of Health, pengambilan kalori yang ideal bagi kanak-kanak aktif berusia 9 hingga 13 tahun adalah sebanyak 1,600-2000 kcal. Sementara bagi lelaki dewasa yang kuat bersenam pula adalah sebanyak 4,000 kcal.

Tetapi, kanak-kanak di ‘rumah penggemukan’ di Mauritania dipaksa mengambil sebanyak 14,000-16,000 kcal setiap hari!

Diet mereka pelbagai. Antara yang disebutkan ialah 6 liter susu dan 40 ketul ‘cekodok’ (campuran kurma, kekacang, dan kuskus). Ada pula yang diberi makan 2kg sekoi, dua cawan mentega, dan lima gelen susu.

Jika mereka enggan makan, badan mereka akan dipukul dan jari kaki mereka akan dikepit dengan kayu. Kalau termuntah, mereka disuruh telan semula muntah itu. Paling haru, penderaan ini semua dilihat sebagai satu hal biasa.

Kononnya, ia untuk kebaikan – yakni demi dapatkan tubuh yang besar. Kerana tanpa tubuh yang besar, macam mana mereka akan dapat jodoh kelak?

Biasanya, gadis kecil Mauritania dihantar selama 3 bulan ke rumah penggemukan dan keluar membawa badan seberat 80-100kg

Atas alasan ini, budaya leblouh terus diamalkan di negara berkenaan.

Dengan populasi Mauritania mencecah seramai 4.42 juta orang, satu dari lima wanita mereka pernah menjadi mangsa leblouh. Di kawasan pedalaman, seramai 80-90% kanak-kanak perempuan pernah dihantar ke rumah penggemukan, manakala kurang 10% bagi mereka yang di bandar.

Ini menimbulkan satu persoalan; kenapa masyarakat mereka obses terhadap obesiti?

Jawapannya ada dua. Pertama, ia melambangkan hidup yang senang. Memiliki isteri berbadan besar mengisyaratkan yang si suami cukup kaya sehingga dapat beri makan pada isterinya di saat orang lain kebulur dan miskin.

Kedua, memiliki badan yang besar menampakkan seolah-olah si gadis tadi sudah matang dan bersedia untuk berumah-tangga, walaupun apa yang nyata, usianya masih terlalu belia.

Tradisi ini bukan hanya satu bentuk penderaan terhadap kanak-kanak. Ia juga mempromosikan perkahwinan bawah umur.

Walaupun Mauritania sudah menetapkan 18 tahun sebagai usia sah untuk berkahwin, gejala perkahwinan bawah umur tetap berlaku secara berleluasa. Menurut dapatan tahun 2015, satu dari tiga orang remaja perempuan (berusia 15-19 tahun) di Mauritania telah berkahwin.

Tren ini pada asalnya sudah diturunkan oleh kerajaan demokratik seawal tahun 2003. Namun, usaha tersebut terhenti dan tren ini dihidupkan kembali selepas rejim tentera merampas kuasa pada tahun 2008. Budaya leblouh kemudiannya diperparah dengan kehadiran pil-pil yang dijual secara haram.

Cuma semakin hari, kesedaran dalam kalangan masyarakat Mauritania semakin tinggi berkat usaha-usaha yang dijalankan oleh organisasi tempatan mahupun antarabangsa, termasuklah UNICEF. Harapannya, perubahan positif dapat berlaku tanpa lama waktu menunggu. 

RUJUKAN

Adeleke, Yewande. (10 June 2021). A Tribe’s Fattening Room Culture and How it Affects the Women Involved. History of Yesteday.

Haworth, Abigail. (21 July 2011). Forced to be Fat. Marie Claire.

Leiter, Sydney. (16 October 2020). Force-Feeding in West Africa: 5 Facts About Leblouh in Mauritania. The Borgen Project.

Rachidi, Soukaina. (16 March 2019). Ancient Leblouh Tradition Continues to Endanger the Lives of Mauritanian Women. Inside Arabia.

Ruangan komen telah ditutup.