Perkataan ‘Ulamā’ adalah merupakan bentuk plural dari kata ‘Ālim. Petikan al-Quran dalam Surah al-Fathir ayat 28 menerangkan bahawa :-
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
Sesungguhnya yang gerun kepada Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah para Ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Rasulullah turut bersabda dalam hadisnya,
إن الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ، إِنَّ اْلأَنْبِياَءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْناَرًا وَلاَ دِرْهَماً إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bahagian yang banyak.”

(Hadits ini diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi dalam Sunan beliau no. 2681, Imam Ahmad dalam Musnad-nya (5/169), Imam Abu Daud no. 3641, Imam Ibnu Majah dalam Muqaddimahnya dan disahihkan oleh Al-Hakim dan Ibnu Hibban).

Ilmu agama perlu diambil dari para ulama rabbani secara bersanad. Ciri ulama rabbani adalah bersifat tawaduk dan tidak pentingkan populariti. Namun, ingin al-Faqir perkenalkan beberapa alim ulama Nusantara masa kini agar dapat kita menumpang berkat dan mengambil mutiara ilmu dari mereka. Berikut merupakan 10 senarai ulama yang tidaklah disusun mengikut ranking apa pun :-

1-Syeikh Nuruddin al-Banjari
2-Baba Ismail Sepanjang
3-Buya Yahya
4-Syeikh Fahmi Zamzam
5-Syeikh Rohimuddin
6-Baba Ghazali al-Fathani
7-Syeikh Husni Ginting
8-Kiyai Idrus Ramli
9-Kiyai Nur Muhammad
10-Ustaz Abdul Somad

SYEIKH NURUDDIN AL-BANJARI

Syeikh Muhammad Nuruddin bin Haji Marbu bin Abdullah Tayyib berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia. Beliau dilahirkan di sebuah desa bernama Harus, Amuntai pada 1 September 1960. Mendapat pendidikan awal di pesantren di Indonesia. Seluruh keluarga beliau berhijrah ke tanah suci Mekah pada tahun 1974. Oleh itu, beliau meneruskan pengajiannya di madrasah Shawlatiyah, Mekah sehingga tahun 1982 dengan kepujian mumtaz (cemerlang). Selain itu beliau juga mengikuti pengajian ramai ulama di Masjidil Haram dan juga dirumah para Masyaikh.

Pada tahun 1983, beliau telah melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar dalam bidang syariah pada peringkat sarjana muda. Setelah tamat pengajian di Universiti al-Azhar beliau menumpukan perhatiannya untuk mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Nusantara untuk menuntut di Universiti al-Azhar sehingga beliau mendapat gelaran al-Azharus Tsani (Azhar ke Dua), satu julukan yang terhormat dan tulus dari masyarakat universiti al-Azhar. Beliau telah melibatkan diri dalam dunia penulisan semenjak tahun 1991. Beliau telah menghasilkan karangan dan juga mentahqiq kitab-kitab muktabar lebih daripada 50 buah karangan kebanyakkannya dalam bahasa Arab.

BABA ISMAIL SEPANJANG

Nama asal beliau ialah Ismail bin Omar atau lebih dikenali sebagai Baba Eil Sepanjang. Baba ialah panggilan bagi seorang Tuan Guru di Fathani. Beliau dilahirkan di Kampung Dusun Sepanjang daerah Penarik, Fathani. Beliau mendapatkan pendidikan di sekolah dan pondok sekitar Fathani. Beliau mendalami pelbagai ilmu antaranya Nahu, Sorof, Balaghah, Mantiq, Tafsir, Hadis, Tauhid, Fiqh, Tasawwuf dan lain-lain. Beliau bertalaqqi sehingga berumur 30 tahun.

Ketika sudah mantap, beliau bukan sekadar belajar malah beliau juga turut mengajar kepada para pelajar di pondok tersebut. Beliau juga mula menerima undangan mengajar masyarakat sekitar. Antara tempat yang beliau masih mengajar hingga ke hari ini ialah Masjid Yala (lebih 21 tahun) dan Masjid Fathani (lebih 22 tahun). Pada tahun 1993, setelah kembali dari Mekah, barulah Baba Eil membuka pondok di Kampung Kubang Ikan, Bandar Narathiwat yang dikenali dengan nama Maahad Darul Muhajirin. Dalam tempoh tersebut, beliau juga selalu berulang-alik ke Kelantan untuk memenuhi jemputan mengajar.

Pada tahun 1998, pondok beliau telah berpindah ke kampung beliau sendiri di Kampung Dusun Sepanjang hinggalah ke hari ini. Rutin harian beliau dipenuhi dengan mengajar agama kepada pelajar yang datang dari pelbagai pelosok, dalam dan luar negara seperti Kemboja, Malaysia dan Burma tanpa menerima sebarang bayaran. Baba Eil mengajar Tauhid, Tafsir, Hadis, Fiqh dan Usul fiqh serta Tasawwuf. Selain mengajar, Baba Eil memenuhi masa lapang dengan mentelaah dan mengarang kitab. Baba Eil juga telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Persatuan Ulama Fathani.

BUYA YAHYA

Yahya Zainul Ma’arif lahir di Kabupaten Blitar, Jawa Timur pada 10 Ogos 1973. Beliau mendapat pendidikan awal di sekitar Indonesia. Beliau mampu menghafal pelbagai matan ilmu sehingga membuatkan gurunya memberi kepercayaan unuk mengajar pelajar yang lain. Kemudian, gurunya memerintah beliau melanjutkan pengajian di Universiti al-Ahgoff, Yaman dari tahun 1996 hingga 2005. Beliau banyak bertalaqqi bersama para Habaib di Ribath Tarim. Kematangan Buya Yahya membuatkan beliau dibenarkan mengajar di Dirasah Islamiyyah al-Ahgoff dan di Fakulti Tarbiyah Universiti al-Ahgoff, Yaman.

Pada tahun 2006, beliau pulang ke Cirebon dan diizinkan oleh para gurunya untuk berdakwah. Beliau mulakan dari surau kecil ke surau kecil. Kemudian, barulah beliau mula mengadakan pelbagai majlis ilmu di masjid-masjid sekitar Cirebon. Kini, beliau merupakan pengajar utama di Lembaga Pengembangan Dakwah dan Pondok Pesantren Al-Bahjah yang berpusat di Cirebon. Beliau juga menjadi rujukan dalam kalangan Nahdhatul Ulama. Beliau meyakini, hal ini tidak akan berjaya melainkan dengan sikap menghormati perintah para masyaikhnya di Yaman ketika menuntut ilmu dahulu.

SYEIKH FAHMI ZAMZAM

Syeikh Ahmad Fahmi bin Zamzam atau nama penanya Abu Ali al-Ban­jari an-Nadwi al-Maliki lahir di Amuntai, Hulu Sungai Utara, Kalimantan Selatan pada 9 Jun 1959. Beliau telah lebih 20 tahun mengajar di Kedah. Selain aktif di Kedah, beliau juga sering mengajar di Pusat Pengajian Baalawi, Kuala Lumpur. Beliau juga mendirikan Pon­dok Pesantren di Kalimantan Tengah (2001), di Kali­mantan Selatan (2003) dan di Kalimantan Timur (2009). Oleh itu, sejak 2001, beliau sentiasa ulang alik antara Malay­sia dan Indonesia. Beliau juga memimpin Majlis Ulama Indonesia Kabupaten Barito Utara, Kalimantan Tengah (2004-2009).

Pendidikan awal beliau adalah di sekitar Indonesia. Pada ta­hun 1980, beliau melanjutkan pendidikannya di Nadwatul Ulama, Lucknow, India, di bawah asuhan Sayyid Abul Hasan Ali Al-Hasani An-Nadwi hingga memperoleh ijazah pertama pada tahun 1983. Pada tahun 1984, beliau berkunjung ke negeri Kedah dan tinggal di Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Pokok Sena, Kedah. Inilah awal mula pengabdiannya di sana. Pada tahun 1985 beliau kembali ke India untuk menyambung pelajarannya pada peringkat sarjana dalam bidang Dak­wah dan Sastera Arab sehingga tahun 1987.

Pada tahun 1988, beliau sempat berguru di Mekah ke­pada Syeikh Muhammad Yasin Al-Fa­dani dan mem­peroleh Ijazah ‘ammah dalam ilmu hadis. Beliau juga sempat berguru dengan Sayyid Muhammad bin Alwi Al-Maliki Al-Hasani sehingga dianugerahi oleh guru yang sa­ngat mencintai dan dicintainya ini dengan gelaran “al-Maliki” pada tahun 2002 kerana pema­ham­annya yang mendalam dalam persoalan-persoalan agama.

SYEIKH ROHIMUDDIN

Syeikh Rohimuddin bin Nawawi al-Bantani dilahirkan pada 8 Oktober 1965 di Bekasi, Indonesia. Ayah beliau, Kiyai Nawawi Jahari adalah mursyid bagi Tarekat al-Qadiriyah-Naqshabandiyah. Beliau merupakan keturunan wali songo Syarif Hidayatullah bin Sultan Syarif Abdullah Azmatkhan al-Husaini dan cucu saudara kepada Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar ibnu Arabi bin Ali al-Jawi al-Bantani atau dikenali sebagai Syaikh Nawawi Bantan iaitu seorang ulama Syafie alam Melayu yang pernah mengajar di Masjidil Haram antara tahun 1860 hingga 1870.

Beliau mendapat pendidikan awal sama ada formal atau informal di sekitar Indonesia. Beliau seterusnya melanjutkan pelajarannya ke Universiti Syarif Hidayatullah di Jakarta. Kemudian beliau ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk meneruskan pengajiannya. Beliau juga bertalaqqi dengan para ulama yang terkenal di Indonesia, Mekah dan Mesir.

Buat masa ini beliau adalah merupakan antara tenaga pengajar merangkap pengetua di Darul Hasani di Mesir, dan merupakan khalifah kepada Sheikh Sidi Yusuf Muhyiddin al-Hasani dalam Tariqah asy-Syadzuliyah ad-Darqawiyah al-‘Alawiyah. Di samping itu, beliau juga giat memberi ta’lim kepada anak-anak Malaysia dan Indonesia yang menuntut di Mesir, di rumah-rumah dan di tempat-tempat organisasi mereka. Di samping itu, beliau juga menjadi tenaga pengajar di Ma’ahad Az-Zein di Bogor bagi membantu Syeikh Muhammad Nuruddin al-Banjari.

BABA GHAZALI AL-FATHANI

Baba Ghazali Sekam al-Fathani al-Azhari berasal dari Fathani, Thailand. Beliau menetap di Pondok Al-Islami Liddirasat Al-Islamiah, Kampung Wakaf Budi, Sekam, Pattani, Thailand. Beliau menuntut ilmu di Pondok Kuala Jambu, Pattani selama 7 tahun. Kemudian di Pondok Wakaf Budi selama 5 tahun. Beliau memperoleh Ijazah Tinggi di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Wilayah Fathani, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Fathani (Bahagian Fatwa & Kajian Ilmiah), Mudir Pondok Al-Islami Liddirasat Al-Islamiah, Kampung Wakaf Budi, Sekam, Pattani, Thailand dan merupakan Yang DiPertua Persatuan Jam-Lah Hablullah. Beliau banyak mengadakan program daurah dan talaqqi di Fathani, Malaysia dan Singapura. Beliau merupakan pakar dalam menghuraikan ilmu Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

SYEIKH HUSNI GINTING

Musnid Asia Tenggara, al-Mu`arrikh ar-Rawiyyah Syeikh Muhamma Husni Ginting Bin Muhammad Hayat Ginting Bin Muhammad Ilyas Ginting Bin Muhammad Soleh Ginting al-Besitani Al-Langkati As-Syafie Al-Musthafawi Al-Husofy Al-Azhari. Beliau dilahirkan di Besitang Langkat Sumatera Utara Indonesia pada tanggal 6 Oktober 1980. Beliau mendapat pendidikan awal di sekitar Indonesia. Pada tahun 2000, beliau melanjutkan pelajarannya di Fakulti Syariah Wal Qanun di Universiti al-Azhar dan pada tahun 2007 beliau menambah ilmu dengan masuk ke Fakulti Usuluddin Wa Dakwah pula Universiti al-Azhar. Kemudian pada 2011 pula, beliau menambah lagi dalam Fakulti Usuluddin jurusan Hadis Syarif dari Universit al-Azhar juga.

Beliau banyak bertalaqqi dalam pelbagai bidang ilmu. Belau memiliki banyak sanad dalam bidang Hadis dari para ulama hadis di seluruh. Beliau di gelar Musnid Asia Tenggara oleh para guru-gurunya iaitu Muhaddis Syeikh Usamah Said Mahmud al-Azhari, Muhaddis Syeikh Ishom Anas an-Naqsyabandi, Syeikh Majid Iraqi dan lain-lain. Beliau mendapat ijazah Ammah lebih dari tiga ratus ulama besar di dunia baik dari Mekah, Madinah, Mesir, Syria, Yaman, Lubnan, Jordan, Bahrain, Turki, Iraq, Pakistan, India, Libya, Maghribi, Nigeria, Indonesia, Malaysia, Thailand dan lain-lain.

Beliau mengambil Tarekat Syadzuliyyah al-Husofiyyah dan merupakan khalifah untuk tarekat tersebut untuk wilayah Asia Tenggara dan sekitarnya. Beliau merupakan pemimpin Sahah Husofiyah di Zaqaziq Mesir. Beliau juga adalah peneliti sanad dan Tsabat. beliau aktif memberi ceramah agama dan pengajian di Mesir, Malaysia dan Indonesia. Selain merupakan pendiri pondok pesantren al-Husniyah, beliau juga merupakan guru pengajian turath di Pondok Ledang Johor Bahru, Darul Hasani Bangi dan UKM Bangi.

KIYAI IDRUS RAMLI

Muhammad Idrus Ramli lahir di Jerreng Barat, Gugut, Rambipuji, Jember pada 1 Julai 1975. Beliau mendapat pendidikan di sekitar Indonesia. Kemudian, beliau menjadi tenaga pengajar di Pondok Pesantren sekitar Indonesia. Pada tahun 2003, beliau pergi ke United Kingdom dalam rangka menerangkan mengenai pemahaman mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah dengan masyarakat Muslim yang ada di sana dan beberapa negara Eropah lainnya. Beliau banyak menulis dan dijemput ke pelbagai tempat untuk mengadakan pembentangan.

Beliau dilantik untuk menyandang jawatan seperti Ketua Lembaga Bahtsul Masail Nahdatul Ulama Cawangan Jember, Pengurus Lajnah Ta’lif wan Nasyr PWNU Jawa Timur, Dewan Pakar Ahlus Sunnah wal Jamaah NU Center PWNU Jawa Timur, Ahli Lembaga Bahtsul Masail PBNU Jakarta, pensyarah di beberapa perguruan tinggi Islam yang mengajar subjek, Takhrij al-Hadits, Ma’ani al-Hadits, Ilmu Mushthalah al-Hadits, Akidah, Bahasa Arab, Fiqh dan usul fiqh serta perbandingan mazhab. Kebolehannya yang boleh menghafal pelbagai kitab dan menguasai pelbagai fahaman mazhab menjadikan beliau sebagai seorang pendebat yang dihormati kawan dan lawan.

KIYAI NUR HIDAYAT

Kiyai Nur Hidayat bin Muhammad Nur merupakan Ahli Fatwa Majlis Ulama Indonesia (Cawangan Sragen), Ketua Lembaga Bahtsul Masail Kabupaten Sragen, Pengurus Wilayah Nahdhatul Ulama Provinsi Jawa Tengah, Pengurus Forum Komunikasi Islam asy-Syafieyah serta Wakil Ketua Rabithah Maahid Islamiyyah.

Beliau menulis beberapa buah karya antaranya, Fikih Sosial dan Toleransi Beragama, Siapa Salaf Shalih?, Akidah Salaf, Benteng Ahlussunnah Waljamaah, Menjawab Pertuduhan Buku 40 Hadis Popular, Menjawab Pertuduhan Buku Hadis Palsu & Daif Popular Dalam Masyarakat Melayu, 124 Soal Jawab Fiqh Wanita, Soal Jawab Haid Nifas & Istihadah, Soal Jawab Fiqh Jenazah serta banyak lagi.

USTAZ ABDUL SOMAD

Ustaz Abdul Somad yang berasal dari kawasan Asahan, Sumatera Utara lahir pada 18 Mei 1977. Beliau mendapat pendidikan awal di sekitar Indonesia. Kemudian melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar, Mesir sebelum ke peringkat Master di Darul Hadith Al-Hasaniah, Maghribi.

Selepas tamat pengajian dari Maghribi, Ustaz Abdul Somad aktif berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau di wilayah Riau. Selain itu, beliau juga menjadi pensyarah Agama Islam di Sekolah Tinggi Agama Islam Al-Azhar, Yayasan Masmur, Pekanbaru. Beliau juga merupakan ahli Majlis Ulama Indonesia, Provinsi Riau dan Setiausaha Lembaga Bahtsul Masa’il Nahdlatul Ulama Provinsi Riau.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.