“Saya berucap pada hari ini dalam sebesar-besarnya perhimpunan agung pelbagai bangsa ini sebagai wakil sebuah negara kecil yang mempunyai enam juta rakyat sahaja dalam satu wilayah yang besarnya cuma 50,000 batu persegi ”

Kata-kata ini adalah permulaan pidato oleh seorang lelaki yang mengenakan pakaian kebangsaan Malaysia, lengkap dengan tengkolok dan tersisip sebilah keris di pinggang, mewakili sebuah bangsa merdeka dan berdaulat yang mewarisi jati diri Nusantara. Berdirinya beliau di hadapan wakil bagi setiap negara di Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tanggal 17 September 1957. Lemah lembut dalam pertuturan, namun sentiasa bersiap siaga dalam kemungkinan, itulah yang ditonjolkan oleh bangsa yang telah mencapai kemerdekaan. Ini merupakan kali pertama senjata dibawa masuk ke perhimpunan ini.

“Kami di Malaya mempunyai tiga kaum utama; orang Melayu, Cina, dan India yang hidup bersama generasi demi generasi dengan aman, damai, dan harmoni. Perbezaan agama dan latar belakang budaya, perbezaan status ekonomi dan sosial tidak pun menjadi rintangan untuk mewujudkan perpaduan nasional ketiga-tiga kaum. Keinginan utama kami ialah mempunyai hak dan tuah untuk hidup sebagai bangsa yang merdeka dan bersatu padu dalam kalangan bangsa yang bebas di seluruh dunia.”

Dilahirkan pada 4 November 1915, Tun Dr. Ismail Abd Rahman merupakan anak Melayu pertama yang lulus bidang perubatan dari University of Melbourne pada tahun 1945. Beliau mula bergiat aktif dalam politik melalui perjuangan menentang Malayan Union. Dato’ Onn memujuk beliau untuk menyertai UMNO namun Tun Dr. Ismail hanya akan menyertainya jika UMNO komited dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Beliau merupakan antara ahli yang menyertai Rombongan Ke London bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman 18 Januari 1956. Tun Dr. Ismail selalu dilihat sebagai lelaki ketiga terpenting di belakang Tunku dan Tun Abd Razak.

Terkenal sebagai insan yang berprinsip dan tegas, semasa menjawat sebagai Menteri Luar, Tun Dr. Ismail dengan tegas menerangkan dasar luar Tanah Melayu adalah bebas di arena antarabangsa tanpa dipengaruhi oleh polisi mana-mana negara sama ada besar atau kecil. Namun kontroversi muncul ketika Tunku Abdul Rahman menyatakan pengiktirafan Tanah Melayu terhadap kerajaan Republik Komunis China. Dipercayai bahawa keputusan ini dipengaruhi oleh pertemuan dan perbincangan peribadi antara Tunku dan Presiden Perancis, Charles de Gaulle. Tun Dr. Ismail amat kecewa dengan kenyataan ini kerana bagi beliau adalah amat perlu untuk Tunku membincangkan perkara ini terlebih dahulu kerana beliau merupakan Menteri Luar. Tun Dr. Ismail ingin meletakkan jawatan namun berjaya ditenangkan dan dipujuk semula oleh Tunku. Tun Dr. Ismail kemudian menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri.

Dalam satu temubual oleh akhbar New Straits Times, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa Tun Abdul Razak selalu menanggung ‘akibat’ daripada ketegasan Tun Dr. Ismail. Antaranya adalah tempoh mesyuarat terpaksa dipanjangkan apabila terdapat percanggahan pendapat antara ahli mesyuarat dengan beliau. Ini membuktikan Tur Dr. Ismail tidak bergantung kepada keputusan ‘popular’ bagi memperoleh jawatan dalam karier beliau. Beliau seringkali dianggap sebagai tonggak ketabahan antara dua Perdana Menteri berbeza dimana khidmat nasihat beliau amat kritikal dalam mengharungi cabaran seperti Perisitiwa Rusuhan Kaum dan Konfronrasi Indonesia.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Tun Dr. Ismail adalah Perdana Menteri terbaik yang tidak pernah dimiliki oleh rakyat Malaysia. Ketika era-70an, terdapat bayangan atau cakap-cakap bahawa akhirnya kita akan memiliki Perdana Menteri yang berkelulusan perubatan (Tunku dan Tun Abdul Razak daripada jurusan undang-undang) kerana mereka tidak mengetahui penyakit yang dihidapi oleh Tun Dr. Ismail. Beliau bersara daripada kerajaan pada 1967 sebagai Menteri Dalam Negeri kerana masalah kesihatan, namun dilantik semula sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Abdul Razak untuk membantunya mentadbir Malaysia. Beliau digelar sebagai ‘The Reluctant Politician’ kerana kisah ini.

Pada hakikatnya, beliau bukanlah ahli politik dalam erti kata sebenar tetapi lebih kepada pentadbir yang cekap, tegas, dan berprinsip. Pada Julai 1973, Tun Dr. Ismail telah mendapat serangan jantung sebanyak tiga kali dalam tempoh dua minggu dan meninggal dunia dirumahnya pada 2 Ogos 1973 ketika berusia 57 tahun. Sumbangan dan jasa Allahyarham kepada tanah air amatlah besar. Beliau berupaya memulihkan keamanan negara dan menawarkan khidmat bakti dalam usaha memadam api perkauman dan serangan konfrontasi daripada negara luar.

Rujukan/Bacaan Lanjut
1. (17 November, 2009). Retrieved 12 October, 2017, from The Malaysian Bar: www.malaysianbar.org.my/legal/general_news/ron_ck_sim
2. Ahmat, M. (2011). Tun Dr. Ismail Abdul Rahman. Kuala Lumpur: Penerbit Sinar Cemerlang.
3. Din Merican. (2006). A Malaysian Patriot.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Meminati bidang sejarah dan sains politik. Berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Berpegang teguh pada prinsip perkongsian dan penyebaran ilmu.

Comments are closed.