Tomball Hospital Standoff: Bukti Naluri Seorang Ayah

796

Pada tahun 2015, bulan Januari, George Pickering III (kita panggil dia dengan nama George dalam artikel ini – memandangkan nama watak dalam kes ini hampir sama) dimasukkan ke hospital Tomball Regional Medical Center (TRMC) akibat serangan angin ahmar.

Keadaannya sungguh kritikal sehingga dia diletakkan dengan ventilator (alat bantuan pernafasan artifisial) dan di bawah jagaan Intensive Care Unit (ICU).

Walaubagaimanapun, keadaan George semakin teruk dan tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dia semakin sembuh. Doktor kemudiannya mmbuat diagnosis bahawa George sudah pun mengalami ‘brain dead’, satu kondisi di mana bahagian otaknya sudah pun mati. 

Ayah kepada George, iaitu George Pickering II (kita panggil dia sebagai Mr Pickering) masih tidak bersetuju dengan pihak hospital, yang mengatakan bahawa anaknya sudah mengalami brain dead.

Bekas isteri kepada Mr Pickering dan salah seorang anak mereka yang lain dilantik sebagai proxy, iaitu individu yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan mengenai rawatan George. Ini kerana keadaan George yang tidak sedarkan diri, tidak membolehkan dirinya membuat apa-apa keputusan mengenai rawatan. George juga diletakkan di bawah jagaan bekas isteri Mr Pickering (setelah mereka bercerai) dan abangnya.

Pada hujung bulan Januari 2015, para doktor mula melaksanakan proses ‘terminal wean’, di mana mereka akan membuka ventilator serta menghentikan rawatan. Perkataan terminal bermaksud pesakit yang tiada harapan untuk disembuhkan lagi seperti yang kita sedia maklum dalam pesakit-pesakit kanser tahap 4.

Badan pendermaan organ (Organ Procurement Unit) juga telah diberitahu mengenai kejadian ini, dimana mereka akan memproses George untuk mengambil mana-mana organnya yang masih elok.       

Mr Pickering tidak bersetuju, tetapi disebabkan bekas isterinya yang membuat keputusan, dia tiada jalan lain untuk menghalang keputusan doktor. Dia berasa terdesak, dan pada satu hari, dia berkunjung ke TRMC bersenjatakan dua pucuk pistol 9mm.

Mr Pickering sebelum itu telahpun mengambil beberapa botol minuman alkohol. Dia meminta dan memaksa untuk melihat anaknya.

Salah satu pistolnya telah dirampas anaknya yang kedua sebaik sahaja mereka bertemu di ruang legar hospital, tetapi Mr Pickering mengeluarkan sepucuk lagi pistol sewaktu dia berada di kamar ICU dengan George. Kejadian ini menyebabkan anggota polis khas, pasukan Special Weapons and Tactics (SWAT) membuat penutupan sementara di hospital berkenaan, serta mula berunding dengan Mr Pickering.

Mr Pickering memberitahu, anaknya mengalami sawan beberapa hari lepas, menunjukkan bahawa otaknya masih belum mati. Dan bukan itu sahaja, Mr Pickering menunjukkan bahawa George masih hidup di mana dia mampu menggenggam tangan ayahnya setelah disuruh. Keadaan yang membuktikan bahawa George masih oleh mendengar dan mengikut arahan.

Bukan itu sahaja, seorang doktor daripada pasukan SWAT sendiri yang masuk ke dalam ICU untuk melihat George, mendapati bahawa George masih membuka mata, dan mampu mengikut arahan, cuma dia terlalu lemah untuk bergerak sahaja.

Setelah berjam-jam rundingan tersebut berjalan, Mr Pickering akhirnya menyerah diri setelah pihak hospital bersetuju menarik balik diagnosis Brain Dead dan tidak akan melaksanakan proses terminal wean. Mr Pickering ditahan atas kesalahan mengugut menggunakan senjata api dan dikenakan hukuman penjara selama 10 bulan.

(Gambar mereka berdua) Yang menariknya, setelah rawatan diteruskan seperti biasa, dia akhirnya sedar, dan sembuh semula seperti biasa. Mr Pickering dibebaskan pada bulan Disember 2015, kerana mahkamah mendapati dia hanya bertindak sedemikian mengikut naluri bapanya, untuk melindungi nyawa anaknya. Mr Pickering dan anaknya sempat menyambut hari natal bersama pada tahun itu.

Semasa temuduga bersama pihak berita, Mr Pickering menyatakan bahawa pihak hospital membuat keputusan secara terburu-buru dan cepat, sehingga membuatkan dirinya berasa tiada harapan lagi untuk bersama anaknya.

Dia tiada pilihan lain kerana segala keputusan dibuat oleh bekas isterinya dan anaknya yang lain. Dia berasa terlalu terdesak dan tertekan, dan mengambil keputusan sendiri untuk bertindak.

Untuk anaknya, George pula, dia berasa bersyukur kerana walaupun tindakan ayahnya itu melanggar undang-undang, namun, jika ayahnya tidak bertindak sedemikian, sudah tentu dia sudah pun akan mati dan tiada harapan untuk sembuh. Mengikut dia juga, inilah yang dikatakan sebagai cinta dan kasih, iaitu cinta dan kasih antara anak dan bapa.

Ini antara kes menarik yang saya kira, walaupun seorang doktor bergelar doktor pakar sekalipun, mereka hanyalah seorang manusia. Mereka tidak lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Adakalanya, keputusan yang dibuat itu tidak baik, dan membahayakan nyawa pesakit. Naluri keibubapaan juga penting dalam rawatan seseorang pesakit. Ayah dan ibu lebih tahu mengenai anak mereka sendiri.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.