Moving Forward As One

Tokugawa Ieyasu: Pengasas Keshogunan Paling Lama Memerintah Di Jepun

1,549

Tokugawa Ieyasu atau nama sebenarnya Takechiyo Matsudaira dilahirkan di Istana Okazaki, Mikawa (kini Okazaki, Jepun) pada 31 Januari 1543. Semasa kecilnya, beliau pernah menjadi tebusan kepada keluarga bakal sekutunya, Nobunaga Oda (antara insan yang akan menyatukan seluruh Jepun kelak) selama tiga tahun semasa berusia enam tahun. Pada 1551, Ieyasu dijadikan tebusan hingga mencecah usia 14 tahun oleh puak Imagawa, bangsawan yang memerintah beberapa kawasan Jepun, dengan harapan beliau menjadi bakal sekutu mereka.

Rajah 1: Nobunaga Oda

Puak Imagawa mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian. Ini kerana bapa Ieyasu, Hirotada Matsudaira merupakan sekutu mereka semasa menentang puak Oda yang diterajui bapa Nobunaga, Nobuhide. Tetapi Ieyasu yang ketika itu menggunakan nama Motoyasu Kurandonosuke Matsudaira menanti peluang sesuai untuk mengkhianati mereka sekaligus membebaskan diri daripada Imagawa.

Peluang yang dinantikan akhirnya tiba pada tahun 1560 apabila ketua puak Imagawa, Yoshimoto Imagawa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Kyoto. Ini mendorongnya membentuk pakatan dengan Nobunaga sebagai tukaran mendapatkan semula isterinya Tsukiyama-dono (Lady Tsukiyama) dan anak sulungnya, Nobuyasu yang menjadi tebusan puak Imagawa. Selepas berjaya mendapatkan kedua-duanya semula dari puak Imagawa, pakatan Ieyasu-Nobunaga termeterai secara rasmi. (Turnbull, 1998)

Dalam era Sengoku (era negeri-negeri berperang di Jepun), ketika itu, daimyo-daimyo (hulubalang (lord) yang memerintah tanah feudal Jepun yang merupakan vassal kepada Shogun, gelaran untuk pemerintah tentera seluruh Jepun) boleh saja berpaling tadah atau membentuk pakatan sulit. Tetapi dalam kes Ieyasu, beliau memilih untuk tidak berbuat demikian atas sebab mudah: tiada siapa yang dapat menewaskan Nobunaga di medan peperangan. Disebabkan kehebatannya di perbatasan, Nobunaga diberi gelaran Daimyo/Raja Syaitan.

Atas sebab itulah, Ieyasu berusaha menjaga pakatannya dengan Nobunaga walaupun itu bermakna perlu mengorbankan isteri pertama dan anak sulungnya sendiri. Pada tahun 1579, Tsukiyama-dono dan Nobuyasu dituduh terlibat dalam cubaan bunuh ke atas Nobunaga di mana isteri Nobuyasu, Tokuhime ialah puteri Nobunaga sendiri. Kedua-duanya dikatakan berpakat dengan musuh mereka Katsuyori Takeda, damyio terkenal yang memimpin puak Takeda, yang semakin terdesak mengalahkan pakatan mereka.

Akibatnya, Tsukiyama-dono dikenakan hukuman mati dengan Nobuyasu diarah menjalani seppuku. Ieyasu kemudiannya menamakan putera ketiganya, Hidetada sebagai pewaris keluarga Tokugawa dengan Hidetada kemudiannya menjadi shogun kedua selepas Ieyasu meninggal dunia pada 1 Jun 1616. Sementara ancaman Katsuyori tamat pada 1581 apabila pasukan Ieyasu-Nobunaga berjaya menewaskan angkatannya di Tenmokuzan. (Turnbull, 1998)

Bagaimanapun, pakatan yang dibina akhirnya berakhir apabila Nobunaga meninggal dunia pada 21 Jun 1582. Ini selepas Ieyasu mendapat tahu rakan sekutunya itu dibunuh oleh jeneralnya sendiri, Akechi Mitsuhide di Kuil Honno-ji.

Dengan ruang vakum terhasil akibat kematian Nobunaga, ramai daimyo yang mula berebut mengisi ruang yang ditinggalkan. Tetapi Ieyasu pula memilih untuk tidak menyebelahi sesiapa. Ini kerana beliau tahu hanya dua daimyo yang kuat dalam kalangan penyokong Nobunaga iaitu Hideyoshi Toyotomi dan Akechi Mitsuhide.

Rajah 2: Hideyoshi Toyotomi

Justeru, Ieyasu hanya mahu bekerjasama dengan pemenang pertembungan dua daimyo itu. Kerjasamanya dengan pewaris Nobunaga iaitu Nobukatsu lebih kepada cara membeli masa daripada dipaksa memilih menyebelahi pihak mana. Atas sebab itulah, pada akhir tahun 1584, Ieyasu memilih berdamai dengan Hideyoshi. Dan sebagai tanda perdamaian tercapai antara kedua-dua belah pihak, putera kedua Ieyasu Ogimaru diambil sebagai anak angkat Hideyoshi.

Hideyoshi tahu Ieyasu tidak boleh dipercayai dan licik. Atas sebab itu, bukan sekali beliau menguji kesetiaannya bagi memastikan pakatan yang dimeterai sebelum ini bukan omong kosong. Misalnya, pada tahun 1591, Hideyoshi mengarahkan Ieyasu berpindah ke Kanto dan melepaskan lima wilayah yang dikawalnya sebelum ini.

Ramai sejarawan langkah ini bertujuan untuk mengekang Ieyasu daripada menjadi terlalu berkuasa berbandingnya. Tetapi pada akhirnya, Ieyasu berjaya sebagai daimyo di Kanto selepas menambahbaik sosioekonomi wilayah berkenaan dan berjaya mendapatkan kesetiaan para samurai yang sebelum ini berkhidmat dengan daimyo sebelumnya Hojo Ujimasa. Selain itu, disebabkan ia jauh daripada jangkauan Hideyoshi, Ieyasu dapat mengekalkan autonomi beliau di sana tanpa sebarang gangguan. (Sadler, 2014)

Dua tahun selepas itu, Hideyoshi meminta beliau berkhidmat sebagai penasihat peperangan semasa tentera Jepun digerakkan untuk menakluk Semenanjung Korea. Walaupun samurai-samurai milik Ieyasu tidak dihantar ke sana, mereka dikekalkan di Jepun sebagai askar simpanan sekiranya diperlukan.

Menjelang tahun 1598, situasi perang di Semenanjung Korea tidak lagi memihak kepada Jepun. Dengan Hideyoshi sendiri berada di ambang kematian, Hideyoshi mengaturkan penubuhan Majlis Lima Bangsawan (Council of Five Elders) yang turut dianggotai oleh Ieyasu. Majlis ini berperanan sebagai pemangku shogun sementara pewaris Hideyoshi, Hideyori masih kecil.

Bagaimanapun, peluang itu direbut oleh Ieyasu untuk membina pakatan dengan daimyo-daimyo lain yang tidak sukakan Hideyoshi. Dan selepas Hideyoshi dan seorang lagi daimyo bernama Toshiie Maeda mati pada 1598 dan 1600, barulah beliau bangkit dan memperkukuhkan kedudukannya. Begitupun, halangan beliau untuk menjadi seorang shogun hanya seorang iaitu Mitsunari Ishida.

Antara tahun 1600 hingga 1603, perebutan kuasa di Jepun kini tertumpu kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pro-Mitsunari dan kumpulan pro-Ieyasu. Dan kedua-dua puak bertembung di Sekigahara pada 21 Oktober 1600 dengan Mitsunari memiliki 120,000 orang tentera dengan Ieyasu (75,000 orang tentera).

Rajah 3: Gambaran Pertempuran Sekigahara

Bagaimanapun, apa saja kelebihan bilangan yang dimiliki beliau hilang begitu saja. Ini selepas salah seorang daimyo yang memihak Mitsunari iaitu Hideaki Kobayakawa memilih untuk berpaling tadah dan memihak kepada Ieyasu semasa pertempuran tercetus. Tindakan Kobayakawa sudah cukup untuk mendorong daimyo-daimyo lain melakukan perkara sama sekaligus mengubah hasil pertempuran memihak kepada Ieyasu. (Davis, 1999)

Rajah 4: Hideaki Kobayakawa

Selepas Mitsunari dihukum mati, Ieyasu akhirnya ditabalkan sebagai shogun pada tahun 1603. Selepas bergelar shogun, beliau tidak membuang masa mengukuhkan lagi kedudukannya di Edo. Antara projek yang digerakkan pada ketika itu ialah pembinaan terusan-terusan, menebusguna tanah untuk projek pembangunan, pembinaan jalan-jalan dan Jambatan Nihonbashi. Projek-projek ini mengubah Edo sebagai petempatan nelayan kepada sebuah bandaraya dengan populasi puluhan ribu orang pada tahun-tahun terakhir Ieyasu.

Begitupun, Ieyasu hanya bergelar shogun selama dua tahun dengan gelaran tersebut diambil alih oleh puteranya Hidetada. Ini menunjukkan gelaran shogun dimiliki sepenuhnya oleh puak Tokugawa dan bukan mana-mana puak lain. Walaupun tidak bergelar shogun, kuasa pemerintahan digerakkan oleh Ieyasu dari dua buah istana iaitu Istana Fushimi dan Istana Sunpu.

Di sebalik sokongan yang diberi para daimyo terhadap Ieyasu dan Hidetada, selagi mana putera Hideyoshi, Toyotomi Hideyori masih hidup, selagi itu kedudukan puak Tokugawa takkan selamat. Ini mendorong beberapa perintah dikeluarkan termasuk hanya membenarkan daimyo memiliki sebuah istana. Ini sekaligus mengurangkan kuasa ketenteraan yang dimiliki mereka secara signifikan dan tidak mendatangkan ancaman kepada puak Tokugawa.

Bagi memaksa Hideyori keluar, satu tuduhan kononnya Hideyori telah membina sebuah kuil bagil mendoakan kematian buat Ieyasu dan kemusnahan buat puak Tokugawa. Dan itu sudah cukup untuk menjustifikasikan kepungan ke atas istana yang dihuninya iaitu Istana Osaka pada 1614.

Selepas menyaksikan kepungan pada musim sejuk tidak berjaya, kedua-dua pihak berunding tetapi ia tidak membuahkan hasil. Dengan Hideyori sekali lagi enggan meninggalkan istana seperti diarahkan oleh Hidetada, satu lagi kepungan dibuat pada musim panas 1615. Kali ini, kepungan tersebut berhasil dengan seluruh keluarga Hideyori memilih melakukan seppuku. Dengan kematian beliau, maka Keshogunan Tokugawa dapat berkuasa dengan aman sehinggalah pertengahan abad ke-19.

Sebagai jaminan insurans, Ieyasu turut menambah bilangan tanah khas untuk maharaja. Sebelum ini, bukan sedikit tanah-tanah milik baginda hilang selepas dirampas oleh pelbagai pihak semasa era Sengoku. Atas sebab itu, maharaja diberi tanah seluas 10,000 koku tetapi ia ditadbir oleh pihak shogun bagi pihak baginda.

Bagi mengelak golongan tani daripada menjadi terlalu kaya dan berpotensi mengancam kedudukannya, Ieyasu menetapkan had pendapatan golongan tani. Selain meraih hasil cukai daripada kawasan-kawasan seluas empat juta koku, shogun turut mengawal kota-kota seperti Nagasaki, Kyoto dan Edo. Monopoli perdagangan di Nagasaki menambah kekayaan puak Tokugawa tetapi itu hanya berlaku selepas kematian Ieyasu.

Lebih banyak keuntungan diraih menerusi pengawalan lombong-lombong mineral berharga milik mereka, satu amalan yang pernah dilakukan oleh Hideyoshi. Ieyasu turut memperkenalkan duit syiling emas dan perak untuk digunakan di seluruh negara. Sebelum ini, Jepun menggunakan duit syiling China tetapi dengan pengenalan duit syiling Ieyasu, ia merupakan satu lagi penanda aras sistem kewangan Jepun ketika itu.

Sebelum bergelar shogun lagi, Ieyasu turut menunjukkan minat terhadap hubungan luar dan perdagangan asing. Pada tahun 1600, dua pelayar asing iaitu Jan Joosten van Lodensteijn (Belanda) dan William Adams (England) tiba di Jepun menerusi kapal Belanda De Liefde. Kedua-duanya dijemput ke Edo oleh Ieyasu dengan kedua-duanya menasihatinya tentang hal ehwal negara-negara asing.

Rajah 5: William Adams menghadap Ieyasu.

Selepas berpuas hati dengan nasihat yang diberi, beliau memberi kebenaran kepada kedua-dua negara untuk berdagang di Jepun. Tidak seperti Portugal dan Sepanyol yang mencampurkan urusan agama dan perdagangan, kedua-dua negara memilih mengasingkan dua bahagian itu. Sebuah gedung perniagaan Belanda dibina pada 1609 dengan gedung milik England dibina sekitar 1613. (Milton, 2003)

Di pihak Portugal pula, kehadiran pedagang-pedagangnya membawa sutera dari Macau mendorong Ieyasu mengubah fikiran. Empat tahun selepas ketibaan van Lodensteijn dan Adams, beliau mengarahkan pedagang-pedagang sutera dari Kyoto, Sakai dan Nagasaki membentuk persatuan sendiri bagi menetapkan harga import sutera setiap musim bunga. Persatuan ini bertanggungjawab membeli sutera dari pihak Portugal dengan keuntungan diagihkan sesama mereka.

Bagaimanapun, pada akhir hayatnya, Ieyasu memilih untuk menutup terus pintu sempadan negara daripada dikunjungi oleh orang asing. Sebabnya mudah, beliau tidak mahu Jepun menjadi mangsa kerakusan penjajah asing seperti Sepanyol dan Portugal. Dengan kehadiran kelompok rakyat Jepun yang beragama Kristian, mereka sudah pasti akan bersubahat dan menyokong kuasa-kuasa Eropah ini.

Atas sebab itulah, Ieyasu mengarahkan semua gedung milik kuasa-kuasa asing dimusnahkan dan memaksa komuniti Kristian tempatan untuk melepaskan pegangan mereka. Sistem sakoku atau negara tertutup ini bertahan selama 200 tahun sebelum ia terungkai susulan kehadiran Komodor Matthew C. Perry di Jepun pada 1852.

Ieyasu meninggal dunia pada tahun 1616 dengan punca kematian sama ada kanser atau sifilis. Beliau juga merupakan shogun Tokugawa pertama yang diberi status dewa di bawah nama Tōshō Daigongen (Gongen Yang Hebat, Cahaya Di Sebelah Timur). Semasa hayatnya, Ieyasu mahu dijadikan dewa sebagai cara melindungi keturunannya daripada semangat-semangat jahat.

Pada awalnya, beliau dikebumikan di Kuil Kunozan di Shizuoka. Tetapi selepas setahun, mayat Ieyasu dipindahkan dan dikebumikan semula di Kuil Nikko Toshogu, Tochigi dan terus kekal sehingga hari ini.

RUJUKAN:

Sadler, A. L. (2014). The Maker of Modern Japan. Routledge. Halaman 164.

Kawai, Atsushi. (2020). Tokugawa Ieyasu and the Founding of the Edo Shogunate. Nippon.com.

Milton, Giles (2003). Samurai William : the Englishman Who Opened Japan. Farrar, Straus and Giroux. Halaman 265.

Davis, Paul (1999). “Sekigahara, 21 October 1600”. 100 Decisive Battles: From Ancient Times to the Present. Oxford University Press. Halaman 206.

Turnbull, Stephen (1998). The Samurai Sourcebook. Cassell & Co. Halaman 215, 219, 222–223 dan 230.

Ruangan komen telah ditutup.