Tokoh-Tokoh Pejuang Hak Terkenal Dalam Sejarah

0
838
views

Saban hari kita dapat melihat melalui media massa atau media sosial berlaku perlanggaran hak asasi manusia di seluruh dunia. Mungkin kejadian itu berlaku dekat atau jauh dengan kita. Bahkan dari segi logiknya, jika dibiarkan tidak mustahil kejadian perlanggaran hak asasi manusia tersebut boleh terjadi di sekeliling kita dan mungkin juga berlaku kepada kita. Atas faktor inilah menyebabkan munculnya individu-individu tertentu dengan sikap tanggungjawab ke atas diri mereka sendiri yang bertindak memperjuangkan dan mempertahankan hak asasi manusia walaupun mereka terpaksa berkorban harta, masa, keluarga bahkan juga nyawa mereka sendiri.

TOKOH PEJUANG HAK ASASI MANUSIA

Jika disebut tentang pejuang hak asasi manusia, memang tidak dinafikan terdapat ramai nama-nama sama ada mereka terkenal atau tidak yang berjuang bermati-matian mempertahankan hak asasi manusia atas nama keadilan. Mereka mungkin memperjuangkan isu besar seperti pembunuhan manusia beramai-ramai, menentang isu global atau hanya memperjuangkan satu isu sahaja di kampung, daerah atau negeri mereka sendiri.

Penulisan ini hanya akan membawakan beberapa nama yang dianggap terkenal dalam isu perjuangan hak asasi manusia. Mungkin pilihan yang dibuat betul, mungkin salah, mungkin tepat atau mungkin tidak dipersetujui oleh sesetengah pihak. Namun begitu sama-samalah kita ambil perkara positif yang boleh dijadikan sebagai insipirasi dalam kita mengenal tokoh-tokoh pejuang hak asasi manusia ini, seperti kata pepatah: “buang yang keruh ambil yang jernih”.

1) Mohandas Karamchand Gandhi (1869–1948)

Mohandas Karamchand Gandhi atau terkenal dengan panggilan Mahatma Gandhi merupakan satu nama yang tidak asing dengan perjuangan hak asasi manusia. Dilahirkan pada 2 Oktober 1869, Mahatma Gandhi, seorang graduan bidang undang-undang daripada University College London, Inner Temple merupakan pencetus dan pemimpin kepada Gerakan Pembebasan India (Indian Independence Movement) yang berjaya menuntut kemerdekaan daripada British. Prinsip negara India yang merdeka menurut Ghandi adalah penyatuan masyarakat berbilang bangsa dan agama, walaupun ditentang oleh sebahagian penduduk India beragama Islam dan Hindu sendiri ketika itu.

Beliau juga pernah ditangkap dan dipenjarakan di India dan Afrika Selatan kerana kelantangan dan aktviti beliau mempejuangkan kesamaan hak, terutama bagi masyarakat India yang didiskriminasi oleh penduduk berkulit putih di Afrika Selatan. Pada 1948, Gandhi telah ditembak tiga kali di dada oleh seorang lelaki bernama Nathuram Godse sewaktu dalam perjalanan menghadiri satu majlis ibadat. Menurut laporan, tiga das tembakan di dada beliau itu menyebabkan Mahatma Gandhi mati di tempat kejadian. Sehingga kini, tarikh lahir Mahatma Gandhi iaitu pada 2 Oktober telah diwartakan sebagai cuti umum oleh kerajaan India dan dinamakan sebagai Gandhi Jayanti dan diiktiraf oleh United Nation sebagai International Day of Non-Violence.

2) Oskar Schindler (1908–1974)

Walaupun isu kejadian holocaust masih menjadi perdebatan manusia sejagat, namun jasa salah satu tokoh yang pernah dikenali akibat usahanya dalam mempertahankan hak asasi manusia tidak harus dinafikan. Oscar Schindler, seorang usahawan dan peniaga berasal daripada Jerman merupakan salah seorang anggota parti Nazi sewaktu zaman gelap negara Jerman tersebut. Walaupun beliau merupakan orang penting di dalam parti Nazi, namun sisi kemanusiaan yang ada pada Schindler menyebabkan beliau diingati sebagai salah seorang tokoh penting dalam isu hak asasi manusia. Schindler terkenal kerana mempertahankan 1750 orang pekerja kilang beliau daripada menjadi mangsa pembunuhan askar Nazi yang terletak di Poland dan Czechkoslovakia, di mana lebih kurang 1000 orang daripada mereka berketurunan Yahudi.

Dikatakan bahawa beliau telah mengeluarkan duit yang banyak untuk merasuah askar dan pegawai Nazi dengan barang-barang mahal supaya pekerja beliau yang berketurunan Yahudi tadi dikecualikan dari dimasukkan ke kem Nazi di mana bakal berlaku peristiwa Holocaust. Pada akhir hayatnya Schindler telah diisytihar bankrap tetapi mendapat bantuan hidup daripada Schindlerlist, iaitu satu tabung duit yang dikumpul daripada sekumpulan orang Yahudi yang diselamatkan oleh  Schindler sewaktu peristiwa Holocaust di Poland dan Czechkoslovakia. Sehingga kini kisah Schindler ini dipotretkan semula melalui filem seperti Schindler’s List (1993).

3) Shirin Ebadi

Waqaf Saham

Tokoh pejuang hak asasi manusia ini merupakan seorang perempuan, ya betul ! dan merupakan pemenang anugerah Nobel dalam isu hak asasi manusia, serta merupakan wanita dan Muslim terawal yang menerima anugerah berprestij tersebut. Shirin Ebadi seorang yang berwarganegara Iran yang mempunyai karier sebagai seorang peguam, pernah juga menjadi hakim dan pensyarah universiti.

Namun kehidupan beliau sebagai seorang  pengamal undang-undang berubah apabila beliau banyak menguruskan kes-kes melibatkan salah laku dalam pelaksanaan undang-undang, terutama yang melibatkan perlanggaran hak terhadap wanita, kanak-kanak dan juga pelarian politik.

Sebagai seorang aktivis, memang tidak dapat dielakkan Shirin Ebadi juga menerima ugutan daripada beberapa pihak terhadap dirinya dan ahli keluarganya. Akibat kelantangan beliau mengkritik pemerintah kerajaan Iran yang boleh mengakibatkan beliau dibunuh atau ditangkap, beliau dan ahli keluarganya terpaksa melarikan diri daripada negara sendiri dan sekarang menetap di London.

4) Benazir Bhutto (1953-2007)

Apa sebenarnya jasa dan sumbangan seorang wanita berwarganegara Pakistan yang merupakan graduan undang-undang daripada Oxford ini terhadap dunia? Baik kita cuba kenal dahulu latar belakang beliau untuk kita memahami perjuangan beliau dalam isu hak asasi manusia. Anak kepada bekas Perdana Menteri Pakista, Zulfikar Ali Bhutto, beliau dilahirkan sewaktu Pakistan berada dalam pemerintahan diktator terkenal Zia-ul-Haq selepas mendapat kemerdekaan daripada British. Ayah beliau telah ditangkap dan dibunuh sewaktu pemerintahan Zia-ul-Haq.  Selepas menamatkan pengajian beliau di Oxford, Benazir Bhutto, sebagai seorang yang berideologi sekular dan liberal telah pulang ke Pakistan dan menyertai Pakistani People’s Party (PPP) dalam memperjuangkan hak rakyat dan demokrasi daripada pemerintahan kejam Zia-ul-Haq.

Perjuangan beliau digelar sebagai Movement for the Restoration of Democracy. Antara cabaran yang dihadapi oleh Benazir Bhutto adalah seperti ditangkap dan dikenakan tahanan dalam rumah, ditahan di padang pasir, dipenjara, serta dihalau dan dibuang negeri. Selepas kematian Zia-ul-Haq akibat kemalangan kapal terbang, parti yang disertai Benazir Bhutto iaitu PP telah menyertai pilihan raya pada tahun 1988 dan memenangi majoriti kecil kerusi yang dipertandingkan, iaitu 93 daripada 205 kerusi.

Presiden Pakistan ketika itu iaitu Ghulam Ishaq Khan melantik Benazir Bhutto menjadi Perdana Menteri Pakistan, menjadikan beliau wanita keempat di dunia yang menjadi perdana menteri (pada ketika itu) dan wanita pertama memerintah di negara Muslim majoriti. Namun beliau juga tidak terlepas daripada terlibat dalam banyak isu kontroversi melibatkan peribadi beliau, keluarga dan pemerintahan yang merosakkan reputasi beliau sebagai seorang pejuang hak asasi manusia. Pada tahun 2007, beliau telah dibunuh akibat ditembak dan terkenal letupan sewaktu mengadakan lawatan ke Afghanistan.

5) Martin Luther King Jr. (1929–1968)

“I have a dream that one day this nation will rise up, live out the true meaning of its creed: we hold the truths to be self-evident, that all men are created equal.”

Ini merupakan permulaan kepada satu ucapan yang akhirnya membawa kepada penyatuan rakyat berbeza agama dan latar belakang yang sebelum itu dipalit dengan isu perkauman dan warna kulit yang sangat agresif dan teruk. Pengucapnya? Tidak lain dan tidak bukan adalah Martin Luther King Jr. Dilahirkan sebagai Michael Luther King Jr tetapi akhirnya ditukarkan kepada Martin, beliau lahir daripada keluarga yang berkhidmat sebagai pastor di gereja, bahkan beliau sendiri pernah berkhidmat sebagai pastor selepas habis belajar di peringkat ijazah.

Terpengaruh dengan idea perjuangan Gandhi yang tidak menggunakan kekerasan, Martin Luther King Jr. banyak memperjuangkan kesamaan hak asasi antara penduduk berkulit hitam dan kulit putih di Amerika Syarikat, di samping menggesa badan pemerintah Amerika Syarikat mempraktikkan kesamarataan hak mengikut apa yang ditulis di dalam perlembagaan Amerika Syarikat. Sebagai contoh, akibat membantah tindakan pemerintah mendenda seorang penduduk berkulit hitam kerana menafikan tempat duduk di dalam bas kepada penduduk berkulit putih, Martin Luther Jr. berjaya menyebabkan syarikat bas tersebut di diboikot oleh penduduk dan akhirnya rugi besar.

Tidak lari dari pelbagai isu kontroversi, Martin Luther King Jr. dianggap sebagai tunjang kepada perpaduan oleh majoriti penduduk Afrika Amerika dan mereka yang berkulit gelap di Amerika Syarikat. Berumur 35 tahun, beliau dianggap sebagai penerima Anugerah Nobel termuda pada tahun 1964. Pada tahun 1968, Martin Luther King Jr. telah mati ditembak oleh seorang penjenayah bernama James Earl Ray. Namun ada beberapa pihak cuba menyiasat bahawa pembunuhan Martin Luther King Jr. adalah konspirasi pihak tertentu yang melibatkan kerajaan Amerika Syarikat sendiri tetapi tidak dapat dibuktikan sehingga kini.

APA USAHA KITA?

Tidak dinafikan terdapat ramai lagi nama-nama besar yang dikenali dunia akibat tindakan dan usaha mereka memperjuangkan hak asasi manusia dalam pelbagai isu seperti hak sivil yang melibatkan perhambaan, etika kerja, gangguan seksual dan lain-lain lagi, hak wanita dan kanak-kanak, pelarian atau tawanan perang dan pelbagai lagi isu yang melanda dunia.

5 nama yang dinyatakan di atas adalah sebagai contoh sahaja untuk dikenali. Tidak dinafikan nama-nama besar seperti Malcolm X, Abraham Lincoln, Harriet Tubman, Nelson Mandela, Malala Yousafzai, Emily Pankhurst, Dalai Lama, Aung San Suu Kyi, Abbe Pierre dan banyak lagi adalah contoh yang boleh diikuti oleh masyarakat lain dalam kita menegakkan kebenaran.

Sebagai seorang manusia yang mempunyai akal yang sahih dan matang dalam menilai sesuatu perkara, adalah menjadi satu tanggungjawab kepada kita juga untuk berusaha menegakkan keadilan dan membela mereka yang teraniaya tanpa mengira keturunan, latar belakang, kaum dan agama.