Menyelusuri gerakan nasionalis di Sarawak boleh dibahagikan kepada fasa-fasa mengikut kepada pemerintahan Sarawak suatu waktu dahulu. Umum mengetahui bahawa wilayah Sarawak sejak ratusan tahun dahulu merupakan salah satu daripada daripada tanah kuripan kepada pembesar Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam. Dan sekitar 1840an telah menjadi hakmilik kepada keluarga Dinasti Brooke yang memerintah hampir 100 tahun di bumi Sarawak Kingdom. Kemudian dari tahun 1946 sehinggalah pada tahun 1963 apabila Sarawak menjadi pembentuk Gagasan Malaysia merupakan tanah jajahan kepada Koloni British Borneo.

Dan sudah tentu di ketika fasa pemerintahan ini memang ada anak Melayu Sarawak yang telah bangun menentang pemerintahan ini. Jika di era menjadi tanah kuripan Kerajaan Kesultanan Brunei sudah tentu yang menjadi pokok kepada gerakan nasionalis ada kenaikan cukai serta pemerintahan zalim pembesar Brunei. Seterusnya ketika di zaman Brooke juga adalah kerana kehilangan kuasa pemimpin Melayu Sarawak yang dilantik oleh pembesar Brunei sebelumnya untuk menerima pentadbiran Brooke. Dan diketika menjadi tanah jajahan Koloni British Borneo lebih kepada adalah adanya ketidakpuasan hati mengenai rancangan Rajah ketiga Sarawak Kingdom iaitu Rajah C.V Brooke yang memberikan Sarawak kepada Koloni British Borneo tanpa merujuk kepada kehendak rakyat ketika itu.

Dan tokoh-tokoh nasionalis Melayu Sarawak yang nama-nama mereka menjadi sebutan sehingga kini adalah seperti berikut iaitu:

1. Sayyid Mashhur bin Muhammad Al-Shahab atau Sharif Masahor

2. Datu Patinggi Abang Ali bin Abang Amir atau Datu Patinggi Ali

3. Rosli bin Dhoby

1. SAYYID MASHHUR BIN MUHAMMAD AL-SHAHAB

Dilahirkan dengan nama sebenar Sayyid Mashhur bin Muhammad Al-Shahab merupakan anak Melayu Brunei yang menurut sumber sejarah dilahirkan di Brunei sekitar tahun 1810an. Mengikut keluarganya berpindah ke Igan salah satu tanah kuripan kepada pembesar Brunei iaitu di wilayah Sarikei pad waktu itu.

Melihat kepada ketokohannya berdasarkan kepada pengaruhnya yang kuat di kalangan kaum Melayu/Melanau di Kuala Rajang serta Iban di Skrang telah mengangkat beliau menjadi pembesar lantikan kepada Kerajaan Kesultanan Brunei sekitar tahun 1849. Beliau merupakan antara pembesar di Sarawak yang paling berpengaruh serta dihormati ketika itu.

Setelah Brooke menguasai satu persatu wilayah kuripan daripada Brunei dan empayar Sarawak Kingdom semakin membesar ianya menjadi keresahan kepada Sharif Masahor. Pada tahun 1851, wilayah dibawah bidang kuasa Sharif Masahor pula yang menjadi mangsa dan ini menyebabkan beliau mengangkat senjata menentang pemerintahan Brooke di bumi Rajang pada masa itu Sejak itu berlakulah episod demi episod penentangan Sharif Masahor dan Brooke.

Apabila Brooke mengukuhkan kuasanya di Kuala Rajang, beliau telah membina sebuah kubu di Kanowit yang mana kubu ini bertindak untuk mengawal aktiviti anak tempatan Kuala Rajang ketika itu. Dikala itu juga terjadi satu perang saudara di Mukah iaitu antara Pengiran Mersat dengan Pengiran Matusin. Kerana adanya talian kekeluargaan, Sharif Masahor telah menyokong Pengiran Mersat yang sebenarnya sudahpun kalah oleh Pengiran Matusin. Sekitar tahun 1850an, Sharif Masahor Sharif Masahor mengetuai 150 buah perahu menyerang Mukah dan mengusir Pangeran Matusin yang dikatakan merupakan barua kepada James Brooke di dalam memperluaskan kuasanya di Sungai Rajang.

Membalas pada penyerangan di Mukah itu, James Brooke telah bertindak balas melucutkan kuasa Sharif Masahor di Sarikei. Sekali lagi, umpama mencurah minyak di atas api, tindakan James Brooke itu telah menyebabkan kemarahan Sharif Masahor yang amat sangat. Sekali lagi dengan adanya hubungan kekeluargaan melalui perkahwinan putera Sharif Masahor yang bernama Sharif Bujang dengan puteri Datu Patinggi Abdul Gapur, maka keduanya telah bergabung untuk mengusir keluar James Brooke dari Sarawak selama-lamanya.

Melalui pakatan itu juga kedua-duanya mampu menyerang Brooke di Kanowit pada tahun 1859. Pakatan mereka ini mampu menggoncang pentadbiran Brooke di Sarawak Kingdom pada waktu itu. Dan sekali lagi sekitar tahun 1860 dikatakan pakatan Sharif Masahor ini semakin bertambah kuat dengan adanya gabungan dengan Temenggung Hashim dari Sadong. Gabungan mereka telah mengatur satu strategi untuk menyerang James Brooke di Kuching namun sayangnya pakatan tersebut berjaya dihidu oleh Brooke yang akhirnya memohon bantuan daripada Koloni Belanda.

Bertindak daripada itu, Koloni Belanda telah menahan Datu Patinggi Abdul Ghapur dan kemudiannya beliau dipenjarakan di Betawi sehingga meninggal dunia di dalam penjara. Dengan tertangkapnya Datu Patinggi Abdul Ghapur ianya masih tidak melemahkan semangat Sharif Masahor apabila beliau dengan pasukannya telah bertempur berhabis-habisan di Sungai Sadong. Banyak kapal dan perahu di pihak Sharif Masahor telah ditenggelamkan di dalam perang tersebut dan lebih kurang 64 orang terbunuh. Kejadian ini memaksa Sharif Masahor dan pasukannya berundur ke Mukah bagi memperkuatkan kembali barisan perang mereka.

Sekitar 1861, James Brooke dengan tipu helah telah berjaya memujuk Sultan Brunei untuk menyerahkan Mukah sebagai salah satu empayar Sarawak Kingdom. Setelah segalanya pasti tanpa membuang masa, James Brooke telah telah menahan Sharif Masahor dan dipenjarakan dan kemudiannya dibuang negeri ke Selangor. Pada akhir tahun 1861, Sharif Masahor menjejak kakinya buat kali pertama di bumi Tanah Melayu iaitu di Kelang, Selangor. Kedatangan beliau telah disambut dengan baik oleh Raja Mahdi iaitu anak kepada bekas pembesar Kelang sebelum Sultan Muhammad menyerahkan Kelang kepada Raja Abdullah untuk dijaga. Untuk itu Raja Mahdi sebenarnya mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan masyarakat Kelang ketika itu walaupun tidak berkuasa lagi.

Persahabatan yang baik antara Sharif Masahor dan Raja Mahdi telah membolehkan Sharif Masahor diperkenalkan dengan ramai lagi kerabat diraja Selangor dan ini termasuklah Sultan Abdul Samad yang baru menaiki takhta ketika itu. Sultan Abdul Samad amat tertarik dengan kecekapan dan kepandaian Sharif Masahor terutama di dalam strategi peperangan dan lebih-lebih lagi namanya sudah tersohor sehingga ke bumi Tanah Melayu kerana bangsa Eropah sendiri gerun mendengar namanya. Dikala itulah beliau telah dilantik sebagai penasihat kepada Sultan Abdul Samad.

Sekitar bulan Mac 1967, telah terjadi satu perang saudara di bumi Selangor yang dikenali sebagai Perang Kelang. Perang saudara ini berlaku diantara Raja Mahdi melawan Raja Abdullah gara-gara rasa tidak puashati apabila Raja Mahdi dipaksa membayar cukai oleh Raja Abdullah. Di ketika itulah Sharif Masahor telah meninggalkan tugasnya dengan Sultan Abdul Samad sebaliknya turun membantu Raja Mahdi, sahabat karibnya di dalam mengatur strategi peperangan tersebut.

Dengan strategi yang bijak akhirnya Kelang jatuh ke tangan Raja Mahdi. Raja Abdullah dan pengikutnya berundur dari Kelang dan Raja Mahdi menjadi penjaga Kelang setelah berkuasa. Namun Perang Kelang ini terus berpanjangan apabila Raja Mahdi memegang Kelang, beliau telah bertindak untuk tidak membayar $500 kepada Sultan Selangor seperti kebiasaannya. Sultan Abdul Samad naik murka lalu memutuskan pertunangan Raja Mahdi dengan puterinya iaitu Raja Arfah.

Pada ketika itu dikatakan Sultan Selangor telah mengahwinkan bekas tunangan Raja Mahdi dengan Tengku Kudin, salah seorang kerabat diraja Kesultanan Kedah. Tengku Kudin pula diberikan Langat untuk dijaga dan sekali lagi ianya membangkitkan kemarahan Raja Mahdi. Akhirnya Tengku Kudin memilih untuk menyokong anak Raja Abdullah iaitu Raja Ismail menuntut kembali Kelang bagi pihaknya.

Dengan bala tentera yang cukup ramai kali ini akhirnya Raja Mahdi yang mendapat khidmat strategi peperangan dari Sharif Masahor kalah jua di Kelang apabila hilir Kelang berjaya ditawan dan seterusnya daerah-daerah lain di keseluruhan jajahan Kelang. Sekitar 1874, Perang Kelang pun tamat dan Raja Mahdi berserta pengikut-pengikutnya termasuk Sharif Masahor yang menyokongnya telah mendapat pengampunan daripada Sultan Abdul Samad. Setelah itu dikatakan Raja Mahdi membawa diri sehingga ke Johor dan akhirnya meninggal dunia di Johor dan dimakamkan di Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru. Sementara itu Syarif Masahor pula terus berbakti dengan Kesultanan Selangor.

Di ketika British cuba mencampuri urusan pentadbiran Negeri-negeri di Tanah Melayu suatu waktu dahulu lebih-lebih lagi di Selangor. Mengikut kajian oleh seorang ahli sejarah tersohor Buyong Adil, Sharif Masahor dan pengikut-pengikut yang setia kepada Sultan Abdul Samad telah bermati-matian menentang pihak British ketika itu. Sharif Masahor bersama-sama dengan anak jati Selangor dikatakan telah berjaya memenggal kepala beberapa pegawai tentera British di Selangor dan kepala tersebut diletakkan di tengah Bandar Kuala Lumpur sebagai tanda amaran kepada pihak British.

Pemberontakan yang didokongi oleh Sharif Masahor dan anak jati Selangor ini sengaja dirahsiakan oleh British dari pengetahuan umum kerana takut ianya menjadi pemangkin kepada anak Sarawak di Sarawak dan juga anak jati negeri di Tanah Melayu bangun memberontak ke atas pentadbiran Keluarga Brooke di Sarawak dan juga Koloni British di bumi Tanah Melayu suatu waktu dahulu.

Sekitar tahun 1890an, Sharif Masahor menghembuskan nafasnya yang terakhir di bumi Selangor jauh daripada tanahairnya yang tercinta. Jenazah beliau disemadikan di Kerling, Hulu Selangor, Selangor Darul Ehsan. Pusaranya sehingga masih lagi terpulihara oleh Muzium Selangor sebagai memberi penghormatan kepada tokoh nasionalis Melayu Sarawak sepanjang zaman yang telah berjuang dengan petualang British di Sarawak dan Selangor.

2. DATU PATINGGI ABANG ALI BIN ABANG AMIR

Lahir di kalangan keluarga Melayu Sarawak yang dikenali sebagai Melayu Datu-datu, Datu Patinggi Abang Ali merupakan keturunan secara langsung dengan Datu Merpati Jepang iaitu seorang putera raja dari Tanah Jawa yang telah membuka satu kerajaan kuno di Sarawak yang dikenali sebagai Kerajaan Negeri Santubong. Dilahirkan pada tahun 1660an di Sarawak dan merupakan putera kepada Abang Amir bin Datu Patinggi Abang Hashim dan Dayang Yong. Di ketika dewasa seperti pemuda yang lain, beliau juga telah melangsungkan perkahwinannya dengan seorang gadis Sarawak bernama Dayang Turyah. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan 9 orang cahayamata.

Sekitar abad ke 18 masihi, Sultan Brunei telah melantik Abang Ali sebagai Datu Patinggi Seri Setia bagi menjaga urusan pentadbiran di Sarawak. Pada ketika itu Sarawak bukanlah sebesar Sarawak sekarang cuma ianya meliputi kawasan Lidah Tanah. Apabila adanya penemuan antimoni di Sarawak iaitu di kawasan yang bernama Bau maka ketika pemerintahan Sultan Muhammad Kanzul Alam iaitu Sultan Brunei yang memerintah pada waktu itu telah melantik seorang lagi pembesar dari Kerajaan Brunei yang bernama Pengiran Muhammad Salleh ibnu Pengiran Sarifuddin sebagai Gabenor Sarawak yang baru.

Pada masa itu juga , orang Melayu Sarawak, Bidayuh dan kaum Cina telah terlebih dahulu mendiami Sarawak. Mereka tinggal di Seniawan, Lidah Tanah dan Ketupang yang tidak berapa jauh dari bandar Kuching. Mereka ini adalah pengikut setia kepada Datu Patinggi Ali. Sewaktu Pengiran Indera Mahkota memerintah Sarawak inilah dikatakan beliau telah menjalankan dasar pentadbiran yang keras dan zalim terhadap penduduk tempatan Sarawak.

Dasar pentadbiran yang berbentuk “kuku besi” ini telah mengeksplotasi rakyat tempatan dengan Pengiran Indera Mahkota dan pengikutnya yang terdiri daripada orang besar Brunei bukan sahaja telah mengambil beras, ikan, sarang burung dan hasil-hasil lain malah dengan sesuka hatinya mereka tidak membayar harga barang yang telah diambilnya. Mereka juga mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat tempatan.

Datu Patinggi Ali adalah antara pelopor di dalam membuka lombong mencari batu perak iaitu antimoni dan juga emas di Bau. Batu perak dan emas yang mereka perolehi itu telah dibeli oleh Pengiran Indera Mahkota dengan harga yang murah atau dirampas sahaja dengan sesuka hati. Pembesar-pembesar Brunei juga bagaikan “kaduk naik junjung” apabila dengan sesuka hatinya menangkap orang Melayu Sarawak, Bidayuh dan Cina untuk dijual sebagai hamba abdi. Melihat kepada kezaliman pemerintahan pembesar Brunei ke atas rakyat tempatan Sarawak pada masa itu maka Datu Patinggi Ali bersatu dengan masyarakat Dayak dan Cina bangun memberontak pada tahun 1836 hingga 1840.

Peristiwa pemberontakan ini telah mendesak Sultan Brunei untuk menghantar Pengiran Muda Hashim ke Sarawak tetapi malangnya kedatangan Pengiran Muda Hashim tidak juga mampu mengekang kezaliman Pengiran Indera Mahkota yang terus-terusan menzalimi rakyat tempatan. Dikala itu pemberontakan yang diketuai oleh Datu Patinggi Ali juga semakin kuat apabila pada tahun 1838 telah mendapat pertolongan sepenuhnya daripada Sultan Sambas yang berbentuk sokongan untuk membekalkan ubat bedil dan barangan makanan.

Datu Patinggi Ali juga dikatakan memohon bantuan daripada Koloni Belanda tetapi permohonan beliau ditolak kerana pemerintah Belanda tidak mahu mencampuri urusan dalam negeri Sarawak. Mahu tidak mahu kerana keadaan terlalu mendesak maka Pengiran Muda Hashim memohon bantuan daripada James Brooke, pelayar Inggeris yang mempunyai armada laut dan meriam yang cukup kuat untuk mengekang pemberontakan tempatan.

Setelah kata sepakat diambil di antara Pengiran Muda Hashim dan James Brooke dengan menjadikan Seniawan dan Sarawak (Kuching) sebagai habuan maka pada tahun 1840, James Brooke dengan kapalnya “H.M.S Royalist” yang dilengkapi dengan 2 buah meriam dengan beberapa pengikut setianya telah bergabung dengan pasukan Pengiran Muda Hashim dan memulakan peperangan menentang pasukan pemberontak yang diketuai Datu Patinggi Ali di Lidah Tanah. Namun pada masa itu pasukan James Brooke dan Pengiran Muda Hashim telah mengalami tentangan yang hebat daripada pasukan Datu Patinggi Ali sehingga memaksa mereka berundur ke Kuching semula.

Pada 20 Disember 1840, sekali lagi pasukan James Brooke dan Pengiran Muda Hashim mengisytiharkan peperangan keatas Datu Patinggi Ali dan pengikutnya dan kali ini ianya berlaku di Sikudis. Kali ini kemenangan berada di pihak James Brooke apabila Pangeran Matusin dan Datu Patinggi Ali telah datang kepada James Brooke dan memohon perdamaian dan dipersetujui sendiri oleh James Brooke. Dikatakan terdapat persefahaman antara mereka mengapa ingin berdamai kerana mereka juga mengetahui bahawa James Brooke akan memastikan pemerintahan Brunei di Sarawak akan menemui noktahnya.

Setelah berjaya mendamaikan pemberontakan tempatan di Sarawak yang dipelopori oleh Datu Patinggi Ali, akhirnya James Brooke melalui perjanjiannya dengan Pengiran Raja Muda Hashim akhirnya mendapat Sarawak seperti yang dijanjikan. Kerana beliau telah berkuasa sepenuhnya maka hal pertama yang dilakukan oleh Brooke adalah memecat kesemua pembesar Brunei yang memegang pentadbiran di Sarawak ketika itu. Dikala inilah James Brooke mengangkat pemimpin-pemimpin Melayu serta anak tempatan yang lain yang dipercayai telah menyokong beliau di dalam memastikan tiada lagi pengaruh Kerajaan Kesultanan Brunei di Sarawak.

Sewaktu menjadi antara orang penting di dalam kerajaan Sarawak Kingdom dibawah James Brooke, Datu Patinggi Ali telah banyak menyertai ekspedisi-ekspedisi yang dijalankan oleh Brooke bagi memastikan rakyat menerima pentadbiran Brooke di Sarawak. Antaranya adalah pada tahun 1844, ketika bersama-sama dengan armada tentera Sarawak Kingdom iaitu yang dinamakan Perang Patusan 1844.

Akhirnya akibat daripada cedera yang teruk sewaktu Perang Patusan ini, Datu Patinggi Ali akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di satu daerah di kawasan Sungai Batang Lupar sekitar tahun 1844. Maka gugurlah seorang nasionalis Melayu Sarawak ini yang telah mencurahkan baktinya di dalam memastikan bahawa pemerintahan Kerajaan Kesultanan Brunei berakhir di Sarawak dan seterusnya memastikan survival orang Melayu Sarawak ketika pemerintahan Rajah James Brooke.

3. ROSLI BIN DHOBY

Usianya ketika itu baru 17 tahun dan beliau seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan. Rosli Dhoby yang berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada Koloni British Borneo mati di tali gantung pada 2hb Mac 1950. Beliau didapati bersalah selepas menikam sampai mati Gabenor British Borneo kedua Sarawak, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau “badek” di Sibu pada 3 Disember, 1949.

Rosli bin Dhoby dilahirkan pada tahun 1932 di Kampung Pulo, Sibu, Sarawak. Di usia muda lagi sudah menganggotai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS). Daripada GPMS inilah terbentuknya Rukun 13 yang ditubuhkan bagi menentang tindakan Rajah Ketiga Sarawak Kingdom iaitu Sir Charles Vyner Brooke yang mahu menyerahkan Sarawak menjadi salah satu jajahan kepada Koloni British Borneo selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.

Dikatakan bahawa alasan utama Rajah C.V Brooke adalah kerana beliau tidak mampu lagi membangunkan Sarawak kerana terlalu banyak kerugian yang dihadapi beliau akibat kesan daripada Perang Dunia Kedua. Namun begitu ada juga corat-coret mengatakan bahawa Rajah C.V Brooke sebenarnya mahu menyerahkan Sarawak kerana beliau sudah bosan memerintah dan juga menerima imbuhan yang besar daripada Koloni British Borneo sebagai galang ganti “menjual” Sarawak pada ketika itu. Tindakan ini sebenarnya telah menyebabkan kemarahan dan bantahan daripada rakyat Sarawak pada waktu itu kerana Rajah Charles Vyner Brooke telah memungkiri janji iaitu untuk menyerahkan Sarawak kepada pemerintahan sendiri sejajar dengan satu perjanjian lama yang telah diubahsuai yang oleh beliau sendiri yang dikenali Perjanjian Sarawak 1841.

Rosli adalah salah seorang anggota kumpulan Rukun 13 dalam GPMS. GPMS yang menggabungkan pemimpin-pemimpin Melayu Sarawak diketuai oleh Datuk Patinggi Abang Abdillah iaitu salah satu pembesar Melayu Sarawak yang tersohor di zaman Sir Charles Vyner Brooke memerintah Sarawak Kingdom. Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Sir Duncan yang amat tidak popular di kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka. Rukun 13 telah memilih Rosli untuk menikam Sir Duncan tatkala Gabenor yang baru dilantik itu membuat kunjungan kerja ke Sibu pada Disember 3, 1949.

Pada jam 9.30 pagi di hari itu, Rosli telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi masyarakat Melayu Sarawak yang dipanggil Badik. Rosli dan Morshidi Sidik akhirnya ditangkap oleh anggota polis British Borneo pada waktu kejadian manakala rakan-rakannya yang lain telah diburu oleh pihak polis secara besar-besaran selepas kejadian tersebut. Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi. Gabenor Sir Duncan akhrinya meninggal dunia 7 hari selepas kejadian.

Pada 15 Disember, 1949, Rosli dan Morshidi serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching. Mereka semua dikebumikan tanpa batu nisan di dalam kawasan penjara tersebut. Keempat-empat pejuang nasionalis akhirnya diberikan penghormatan negeri apabila memindahkan kubur mereka di Penjara Kuching dan diterbangkan ke Sibu Sarawak pada 2 Mac 1996. Kesemua jenazah-jenazah ini dikebumikan di satu tapak perkuburan khas yang dinamakan Makam Pahlawan Sibu, Sarawak.

Rosli bin Dhoby walaupun pada usia mudanya telah berani bangun berjuang menentang pemerintahan Koloni British Borneo di Sarawak dan sehingga kini, perjuangan beliau sentiasa menjadi sebutan rakyat Sarawak mahupun rakyat Malaysia. Rosli bin Dhoby, anak Melayu Sarawak adalah seorang nasionalis Melayu Sarawak sepanjang zaman yang tiada galang gantinya.

Inilah tiga individu anak Melayu Sarawak, pejuang nasionalis bangsa Sarawak yang gah namanya sepanjang zaman. Mereka telah menabur bakti untuk memastikan bahawa Sarawak adalah seperti adanya sekarang. Pengorbanan mereka memang tidak mampu dibalas dan perjuangan mereka dilupa jangan.

Semoga roh-roh tokoh nasionalis Melayu Sarawak ini ditempatkan di kalangan para syuhada. Al-fatihah. Amin.

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

1. Buku bertajuk: Rosli Dhoby Merdeka Dengan Darah Oleh Dr Jeniri Amir

2. Buku bertajuk: Sharif Masahor Dan Leftenan Adnan, Pejuang Terbilang Diterbitkan oleh Arif Publisher, 2007

3. Buku bertajuk: The Expedition to Borneo of H. M. S. Dido for the Suppression of Piracy by Henry Keppel

4. Hari Ini Di Dalam Sejarah: JAMES BROOKE DILANTIK SEBAGAI ‘RAJAH SARAWAK’

http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&item_id=4076

5. The Borneo Post Online bertarikh 16 September 2011 Tajuk: Chronology of Sarawak Throughout Brooke Era to Malaysia Day
http://www.theborneopost.com/2011/09/16/chronology-of-sarawak-throughout-the-brooke-era-to-malaysia-day/

6. A history of Sarawak under its two white Rajahs, 1839-1908
https://archive.org/details/historyofsarawak


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply