Jika kita melihat peta moden negeri Johor, kita akan perasan terdapat dua batang jalan di dua daerah berbeza di negeri Johor yang dinamakan JALAN MENTOL. Sebatang jalan di Segamat dan sebatang jalan lagi di Tangkak. Persoalannya, siapakah Mentol ini? Nama tersebut bukan merujuk kepada mentol, sebuah perkakas elektrik, tetapi nama tersebut merujuk kepada nama seseorang tokoh.

Mengapa tokoh yang bernama Mentol tersebut begitu berpengaruh di negeri Johor sehingga terdapat dua batang jalan di dua buah daerah berbeza yang dinamakan sempena namanya? Artikel ini akan menghuraikan serba sedikit mengenai sosok peribadi tokoh tersebut.

Mentol bin Hj. Ahmad merupakan seorang Pegawai Daerah di beberapa buah daerah di negeri Johor sekitar awal abad ke-20. Penulis akan membahaskan dahulu mengenai susurgalur dirinya. Mentol bin Hj. Ahmad merupakan anak kelahiran daerah Muar yang juga merupakan salah seorang piut (generasi keempat) kepada Daeng Pabitah. Siapa pula Daeng Pabitah ini?

Menurut catatan salasilah tulisan Allahyarham Abdul Majid bin Orang Kaya Sidek (seorang lagi piut Daeng Pabitah) yang siap ditulis pada tahun 1930 di Bandar Maharani, Muar, dan juga catatan salasilah yang disusun semula oleh Jeneral Othman bin Dato’ Ismail Bachok yang juga merupakan salah seorang waris, Daeng Pabitah merupakan seorang Ahli Majlis Diraja Bugis yang membuka suatu penempatan di wilayah Padang (Muar) bersama-sama Orang Kaya Aris, seorang tokoh Bugis yang berketurunan Raja Chempa, sekitar akhir abad ke-18. Jika kita pernah membaca atau mendengar tentang sejarah lisan tempatan Muar, kita pasti pernah terbaca atau mendengar mengenai kisah Lembing Awang Pulang ke Dayang. Kisah tersebut dikatakan berlaku pada zaman pentadbiran Orang Kaya Aris dan Daeng Pabitah di wilayah Padang.

Berbicara berkenaan waris-waris Daeng Pabitah, antara tokoh-tokoh Johor dan negara yang merupakan warisnya ialah seperti Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman, Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Keluarga Allahyarham Tun Dr. Ismail diceritakan begitu rapat dengan keluarga Mentol. Ini kerana hubungan kekeluargaan antara Mentol dengan datuk kepada Tun Dr. Ismail iaitu Orang Kaya Muhammad Yassin adalah dua pupu. Selain itu, Mentol juga mempunyai hubungan pertalian darah persaudaraan dengan dua orang mantan Menteri Besar Johor iaitu Tan Sri Othman Saat (MB Johor ke-11) dan Tan Sri Abdul Ghani Othman (MB Johor ke-14). Mereka semua berkongsi nenek moyang yang sama iaitu Daeng Pabitah.

Figure 1: Mentol bin Hj. Ahmad (1863-1940-an)

Berbalik kepada perihal Mentol bin Hj. Ahmad, menurut rekod perkhidmatannya yang penulis peroleh daripada Arkib Negara cawangan Johor Bahru, beliau dilahirkan pada tahun 1863. Johor ketika tahun tersebut baharu sahaja setahun di bawah pentadbiran Temenggung Daeng Abu Bakar. Mentol memulakan perkhidmatan dalam kerajaan negeri Johor pada tahun 1892 sebagai seorang kerani di bahagian timbangan di Pejabat Kastam Muar. Kemudiannya, pada tahun 1902, beliau berkhidmat sebagai kerani di Jabatan Kastam, Parit Jawa, Muar.

Selepas itu, bermula pada tanggal 14 Feb 1903, beliau dilantik sebagai Pegawai Daerah Chohong. Pada tanggal 22 Mei 1907, beliau dilantik pula sebagai Pegawai Daerah Segamat yang ketiga. Sebenarnya, Segamat dan Chohong dahulu merupakan sebahagian daripada daerah besar Muar. Segamat dipisahkan dengan daerah Muar menjadi suatu daerah sendiri pada tahun 1910, tetapi perlantikan Pegawai Daerah Segamat yang pertama berlaku pada tahun 1895 lagi. Apabila Segamat menjadi suatu daerah yang terasing daripada Muar bermula pada tahun 1910, maka Mentol dianggap sebagai Pegawai Daerah Segamat yang pertama sehingga tahun 1914 apabila beliau dipindahkan menjadi Pegawai Daerah Kukup pada 5 Ogos 1914.

Mentol mula dinaikkan pangkat kepada pegawai kerajaan Kelas Keempat dan dilantik sebagai sebagai Majistret Kedua pada 1 Januari 1915. Pada 15 Oktober 1916, beliau dipindahkan semula sebagai Pegawai Daerah Chohong buat kali kedua. Beliau seterusnya dinaikkan pangkat ke Kelas Ketiga pada tahun 1921 sebelum dilantik sebagai Pemangku Pegawai Daerah Segamat pada 1 Mac 1923 dan Pegawai Daerah Kota Tinggi pada 1 Ogos 1924. Rekod perkhidmatannya dalam buku tersebut terhenti setakat tahun 1924. Jika dikira umurnya daripada tahun kelahirannya, maka pada tahun 1924, beliau telahpun berusia 61 tahun.

Setakat ini, tidak diketahui tarikh kematian Mentol, tetapi dipercayai beliau meninggal dunia sekitar tahun 1940-an dan dikebumikan di Perkuburan Islam Kg. Lubok Batu, Segamat. Pejabatnya ketika beliau berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Segamat pada masa kini terletak di tapak arked MARA di Segamat. Dipercayai kediamannya dahulu terletak di seberang Sungai Segamat.

Berbincang mengenai jasa dan sumbangan Mentol bin Hj. Ahmad, beliau adalah antara tokoh yang bersama-sama Residen Muar ketika itu iaitu Engku Sulaiman Daud dalam membangunkan Pengkalan Esah di Segamat. Beliau juga sanggup menjual tanahnya di tebing Sungai Segamat untuk membina jambatan Segamat yang pertama bagi memajukan jalan perhubungan di Segamat. Ketika beliau berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kota Tinggi pada tahun 1923, beliau telah membawa masuk para pekerja Jawa, Bugis dan Cina bagi memajukan sektor pertanian di Kota Tinggi.

Atas jasa-jasa Mentol tersebut, dua batang jalan di dua buah daerah di negeri Johor yang pernah ditadbirnya ketika berkhidmat sebagai Pegawai Daerah di kedua-dua buah daerah tersebut dinamakan sempena namanya. Dalam rekod perkhidmatannya, dicatatkan bahawa beliau pernah dianugerahkan darjah kebesaran Setia Mahkota Johor (S.M.J).

Segala maklumat di atas dirujuk daripada:

– Catatan “Salasilah Daeng Ahmad (Wak Minah) dan Pabitah, Titisan Darah Keturunan dari Raja Chempa,” karangan Alhakir Abdul Majid bin Orang Kaya Sidek, pada tahun 1930 di Bandar Maharani, Muar, dan catatan oleh Othman bin Ibrahim (Jeneral Otto) pada tahun 1981. Kedua-dua catatan salasilah tersebut dalam simpanan Jalaluddin bin Jaffar, generasi ketujuh Daeng Pabitah.

– Buku “State of Johore: Records of Service and Leave of Malay Officers, January 1925” di Arkib Johor Bahru.

– Kajian oleh Aisyamuddin Abdul Latip, pengkaji, aktivis sejarah dan penulis sejarah Segamat.

– Buku catatan rekod Pegawai Daerah Segamat tulisan Cikgu Haji Jiman bin Abdul Ghani, dari Kg. Lubok Peradong, Segamat.

– Maklumat daripada ahli-ahli keluarga waris tujuh daripada sembilan orang anak kandung Mentol bin Hj. Ahmad iaitu Nyom binti Mentol, Omar bin Mentol, Esa bin Mentol, Puteh binti Mentol, Hamidah binti Mentol, Mas binti Mentol dan Endon (Embi) binti Mentol. Penulis sendiri (Hafiz al-Kalanji) adalah piut (generasi keempat) Mentol bin Hj. Ahmad.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.