Tokku Tuan Besar (1795M-1878M): Bapa Kesusasteraan Terengganu

250
views

Ramai dalam kalangan masyarakat Terengganu serta luar Terengganu cukup mengenali Tokku Paloh sebagai seorang ulama terkemuka di Terengganu pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20. Namun, tidak ramai yang menyedari akan kehadiran seorang lagi tokoh ulama yang begitu banyak menyumbang kepada pengajaran serta penulisan kitab dan bahan-bahan ilmiah agama Islam pada masa itu. Beliau yang dimaksudkan di sini ialah bapa kepada Tokku Paloh sendiri, iaitu Tokku Tuan Besar.

Sejarah Awal

Sayyid Muhammad bin Zainal Abidin al-Idrus, atau lebih terkenal dengan gelaran Tokku Tuan Besar telah dilahirkan di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu pada malam Khamis, 28 Rejab 1207H, iaitu bersamaan dengan 18 Februari 1795M. Apa yang menariknya, beliau telah dilahirkan pada malam yang sama di mana al-marhum datuknya, iaitu Tok Makam Lama meninggal dunia.

Asal-usul Tokku Tuan Besar ini sebenarnya mempunyai perkaitan rapat dengan kehadiran orang Arab yang berketurunan Sayyid (Syed) ke Terengganu. Berdasarkan catatan di dalam buku sejarah, dikatakan bahawa bapa kepada Tokku Tuan Besar, iaitu Sayyid Zainal Abidin merupakan seorang peniaga beras dan sering berulang-alik di antara Pulau Jawa dan Semenanjung Malaysia.

Beliau telah bertemu dengan keluarga al-Idrus yang menetap di Terengganu, dan akhirnya dikahwinkan dengan salah seorang anak daripada kalangan mereka. Isteri kepada Sayyid Zainal Abidin ini merupakan anak kepada Sayyid Muhammad Mustaffa bin Ahmad al-Idrus atau Tok Makam Lama, iaitu keturunan al-Idrus yang pertama datang dan menetap di Terengganu (Engku Ahmad Zaki, 2012).

Sepertimana ulama terkemuka yang lain, Tokku Tuan Besar telah mendapat pendidikan awalnya daripada keluarganya sendiri, di mana guru-guru pertama beliau terdiri daripada ibunya serta bapa-bapa saudara di sebelah ibunya. Setelah itu, Tokku Tuan Besar telah berguru pula dengan Tok Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas, bersama-sama dengan sahabatnya, iaitu Tok Syeikh Duyung. Tokku Tuan Besar merupakan antara pelajar yang amat disayangi oleh Tok Syeikh Abdul Kadir kerana peribadinya yang tekun belajar, cerdas dan kuat daya ingatan.

Tok Syeikh Abdul Kadir merupakan guru yang banyak mendorong dan menasihati Tokku Tuan Besar untuk menyambung pengajiannya ke Tanah Suci Mekah bagi melayakkannya untuk menjadi seorang ulama yang berwibawa. Sebelum melanjutkan pengajiannya di Tanah Suci Mekah, Tokku Tuan Besar dikatakan terlebih dahulu telah merantau ke Patani bagi melengkapkan dirinya dengan ilmu agama.

Setelah itu, beliau telah berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi mempelajari dan mendalami ilmu fiqh, tasawuf, usuluddin, tafsir, hadith dan Bahasa Arab. Pengajian beliau di Tanah Suci Mekah ini berdasarkan pola pendidikan yang biasa dilalui oleh ulama-ulama yang lain seperti Tok Syeikh Duyung. Sikapnya yang cerdas, rajin berusaha dan kuat daya ingatan telah membolehkan Tokku Tuan Besar menguasai dengan baik ilmu-ilmu yang terkandung di dalam bahan-bahan rujukan berbahasa Arab dan ini telah terbukti melalui hasil karya penulisannya.

Sewaktu berada di Tanah Suci Mekah inilah Tokku Tuan Besar telah bertemu jodoh dengan seorang gadis dari Terengganu yang datang untuk menunaikan haji. Setelah menamatkan pengajiannya, Tokku Tuan Besar telah kembali ke Terengganu bersama isterinya dan beliau telah menjalankan aktiviti pengajarannya di kampung asalnya, iaitu Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Bertempat di sinilah, Tokku Tuan Besar telah mendirikan sebuah surau kecil bagi menjadi ruang utama untuk beliau menyampaikan ilmunya. Para pelajar beliau bukan sahaja terdiri daripada masyarakat setempat, malah mereka juga datang dari luar Terengganu seperti Kelantan dan Pahang.

Apa yang istimewanya, meskipun ada dalam kalangan pelajar beliau yang buta huruf dan tidak mampu untuk membaca, namun mereka masih dialu-alukan untuk sama-sama mempelajari dan mendalami ilmu agama Islam. Apabila aktiviti pengajarannya mula mendapat perhatian serta sambutan, sebuah masjid telah dibangunkan bagi menggantikan surau tersebut, malah institusi pondok turut didirikan bagi mengembangkan lagi institut pengajian yang semakin rancak pada waktu itu.

Peranan Sebagai Syeikhul Ulama

Tokku Tuan Besar merupakan ulama yang banyak membantu dalam pentadbiran Sultan Omar serta Sultan Ahmad II. Keadaan sosial serta suasana politik di Terengganu pada zaman pemerintahan Sultan Omar telah banyak memberi ruang kepada Tokku Tuan Besar bagi memainkan peranannya dalam mendidik dan memberi pengetahuan kepada masyarakat Terengganu. Peribadi Tokku Tuan Besar yang lembut, ramah dengan masyarakat dan sabar dalam menjalankan aktiviti pengajaran merupakan antara faktor utama yang menjadikan beliau mudah diterima oleh masyarakat Terengganu pada waktu itu.

Atas dasar inilah Tokku Tuan Besar akhirnya berjaya mendapat tempat dan kedudukan istimewa dalam kerajaan di bawah pimpinan Sultan Omar, malah beliau telah diberikan kurnia dan dilantik sebagai Syeikhul Ulama atau Ketua Dewan Ulama Terengganu yang pertama. Dewan Ulama ini merupakan sebuah badan tertinggi dalam kerajaan Terengganu dan berfungsi sebagai tempat rujukan dalam hal-hal pentadbiran. Selain itu, beliau juga telah diberi gelaran sebagai Paduka Indera yang menjadikan Tokku Tuan Besar antara individu penting yang mencorakkan pemerintahan Sultan Omar.

Peranan Tokku Tuan Besar sebagai seorang Syeikhul Ulama Paduka Indera meliputi bidang politik, sosial dan pentadbiran negeri Terengganu, di mana beliau bukan sahaja bertindak sebagai guru dan penasihat kepada Sultan Omar, malah beliau juga memimpin barisan ulama yang lain bagi terus menjalankan aktiviti pengajaran dan mengembangkan ajaran Islam di Terengganu.

Hubungan baik yang terjalin antara beliau dan kesultanan Terengganu telah berjaya membangunkan Terengganu menjadi sebuah negeri yang maju dan makmur. Tokku Tuan Besar juga telah berjaya meletakkan undang-undang Syariah Islam di dalam perlembagaan negeri. Ini merupakan antara sumbangan terbesar beliau dalam melaksanakan hukuman Islam bagi pentadbiran negeri.

Sebagai tanda penghargaan dan kepercayaan terhadap peranan dan jasa yang telah diberikan oleh Tokku Tuan Besar dalam mengembangkan ajaran Islam dan mencorakkan pentadbiran Islam di Terengganu, baginda Sultan Omar telah menganugerahkan daerah Chabang Tiga serta kawasan sekitarnya kepada Tokku Tuan Besar. Malah, kawasan tersebut akhirnya telah menjadi pusat pengajaran utama bagi beliau yang kemudiannya diteruskan pula oleh anak-anak serta warisnya yang lain.

Bapa Kesusasteraan Terengganu

Tokku Tuan Besar merupakan seorang ulama dan ilmuan yang begitu aktif dalam aktiviti penulisan bahan-bahan ilmiah dan kitab-kitab agama. Berdasarkan catatan sejarah, hasil karya penulisan dan buku yang telah dihasilkan oleh beliau berjumlah 11 buah kesemuanya. Sebahagian besar daripada karya-karya penulisan beliau ini telah banyak memberi sumbangan kepada pengukuhan akidah ahli sunnah wal jamaah, dan juga dalam bidang usuluddin. Antara buku dan karya penulisan beliau dalam bidang akidah ialah:

  1. al-Durrah al-Fākhirah

Kitab ini merupakan kitab pertama karangan Tokku Tuan Besar yang memfokuskan kepada perbincangan mengenai ahli sunnah wal jamaah secara khusus dan menyentuh kepada dua bahagian utama ilmu akidah, iaitu ‘ilāhiyyāt dan nubuwwāt. Kitab ini adalah dalam genre puisi nazam, namum tidak terikat kepada mana-mana timbangan wazan nazam Arab. Antara huraian utama yang terdapat di dalam kitab ini adalah mengenai sifat 20 serta sifat-sifat para nabi.

  1. Targhīb al-Ṣibyān fī Ḥifzi ‘Aqāid al-Ῑmān

Penulisan terdiri daripada suatu risalah kecil yang mengandungi tentang beberapa perkara yang wajib diketahui oleh semua mukallaf dan menjadi pengetahuan asas untuk pembelajaran kanak-kanak. Karya penulisan beliau ini adalah karya biasa yang menyentuh mengenai akidah ketuhanan, kenabian serta perkara-perkara yang berkaitan dengan solat seperti rukun, syarat, bacaan dan zikir selepas solat.

  1. Uqūd al-Durratayn fī Bayan Kalimah Syahādatayn (Syahadat Tok Ku)

Karya penulisan ini juga merupakan sebuah risalah kecil yang memperincikan tentang makna di sebalik dua kalimah syahadah. Masyarakat Terengganu umumnya mengenali naskhah ini sebagai ‘Syahadat Tok Ku’ di mana sebahagian besar penduduk kampung dan kanak-kanak pada waktu itu telah menghafal dan mengingati isi kandungan dalam risalah ini. Istimewanya mengenai karya penulisan beliau ini adalah kerana pengertian kalimah syahadah telah dihuraikan dengan ringkas dan padat, malah pada hujung huraian, ia telah disudahi dengan doa.

Apa yang membuatkan Tokku Tuan Besar telah diberi gelaran sebagai Bapa Kesusasteraan Terengganu ialah kerana penglibatan beliau yang gigih dalam menghasilkan bahan-bahan penulisan berkualiti serta bermanfaat untuk kefahaman ahli masyarakat. Karya-karya yang dihasilkan bukan sahaja berbentuk ilmu aras tinggi, malah beliau turut menghasilkan karya-karya biasa yang membantu masyarakat awam dalam memahami asas dalam ajaran agama Islam.

Tokku Tuan Besar Meninggal Dunia

Tokku Tuan Besar telah meninggal dunia pada malam Isnin, 17 Muharam 1295 H, bersamaan dengan 22 Januari 1878 M, pada usia 84 tahun. Jenazah beliau telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Kehilangan Tokku Tuan Besar sebagai salah seorang daripada ulama terulung di Terengganu telah memberi kesan yang besar kepada pihak pemerintah, iaitu sultan, serta seluruh ahli masyarakat. Beliau bukan sahaja seorang yang giat mengajar, malah turut menyampaikan ilmu yang dimilikinya melalui hasil penulisan beliau.

Kesimpulan

Kemampuan dan kebolehan yang dimiliki oleh Tokku Tuan Besar dalam mencorakkan serta mempraktikkan kehidupan Islam yang sebenar dalam kehidupan telah banyak memberi kesan positif kepada pembangunan negeri Terengganu pada sekitar abad ke-19. Tokku Tuan Besar sendiri turut berjaya mendidik anak-anak serta warisnya bagi meneruskan perjuangan Islam dan mengangkat martabat Islam kepada suatu tahap yang tertinggi dalam pemerintahan negeri. Apa yang paling penting, Tokku Tuan Besar bukan sahaja berjuang melalui lisan (pengajaran), namun turut meninggalkan kitab-kitab penulisan sebagai warisan ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh semua meskipun beliau telah meninggal dunia.

Rujukan

Engku Ahmad Zaki, E. A. (2012). Peranan Ulama dan Institusi Raja Memartabatkan Pendidikan Islam di Terengganu. In E. Abdul Rahman (Ed.), Terengganu Merentasi Tiga Abad: Kesultanan, Politik, Ekonomi, Agama dan Budaya (1st ed., pp. 212–229). Kuala Terengganu: Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Norzahiah, Z., Engku Ibrahim, E. W. Z., & Syed Hadzrullathfi, S. O. (2017). Sumbangan Tok Ku Tuan Besar Dalam Pemerkasaan Pemikiran Akidah Ulama Nusantara. Proceeding of International Conference of Empowering Islamic Civilization, 47–50.

Syed Hadzrullathfi, S. O., Rohaizan, B., Engku Ibrahim, E. W. Z., Wan Mohd Yusuf, W. C., Mohamad Zaidin, M., Engku Muhammad Tajuddin, E. A., & Mohd Shahril, O. (2014). Works by Terengganu’s Scholars of the 19th Century in Dignifying the Study of Islamic Knowledge Based on the al-Qur’an. Asian Social Science, 10(9), 128–136.

Wan Zulkifli, W. H., & Azizi, U. (2011). Sumbangan Ulama Nusantara di Terengganu dalam Mengembangkan Mazhab Shafi ’ i. Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara, (November), 449–457.