Beliau antara ulama tersohor di Terengganu bersama barisan ulama yang lain. Peranan yang dimainkan oleh beliau bukan sekadar merangkumi perkembangan dakwah dan pendidikan agama di Terengganu, namun turut memberi sumbangan besar dalam mencetuskan semangat anti-penj4jah serta membantu memelihara kedaulatan negeri Terengganu.

Kita akan menyorot kembali kisah Tokku Paloh, ulama terkemuka di Terengganu dan kisah hidup beliau yang banyak berjasa dalam perkembangan pendidikan dakwah di negeri tersebut. Artikel ini turut mengupas sedikit sebanyak kaedah pendekatan dakwah beliau, keterlibatannya dalam menggubal undang-undang di negeri Terengganu serta perjuangannya men*ntang penj4jah.

Sejarah Awal

Nama sebenar beliau adalah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad Al-Idrus dan telah dilahirkan pada tahun 1817 Masehi (bersamaan 1233 Hijrah) di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Bapa beliau merupakan seorang ulama terbilang, iaitu Tokku Tuan Besar (Sayyid Muhammad bin Zainal Abidin al-Idrus) manakala ibunya adalah Tokku Tuan Besar Hajjah Aminah.

Tokku Paloh merupakan anak kedua kepada Tokku Tuan Besar daripada perkahwinannya dengan isteri pertama, iaitu Tok Ku Tuan Besar Hajjah Aminah. Adik-beradik beliau yang lain adalah Sayyid Zain, Syed Mustafa, Syed Ahmad, dan Syed Hassan.

Tokku Paloh telah memulakan pendidikan asas daripada bapanya sendiri, yang mana ia merangkumi pengajian Al-Quran dan asas-asas agama yang lain. Apabila beliau semakin meningkat dewasa, Tokku Paloh menuntut ilmu pula dengan Haji Wan Abdullah bin Mohd Amin (Tok Sheikh Duyong) yang juga merupakan seorang mufti dan ulama terkenal di Terengganu.

Usai pengajiannya dengan Tok Syeikh Duyong, beliau telah dihantar oleh bapanya untuk meneruskan pengajian ke Tanah Suci Mekah. Sewaktu di Mekah inilah, beliau telah berguru dengan ramai ulama hebat dan terkemuka pada masa itu seperti Sheikh Ahmad Zaini Dahlan, Sheikh Muhammad Said al-Kaltani, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah, Saidi Ahmad Madzhar al-Mahdi, dan Syed Abdullah Ali al- Zawawi.

Antara cabang ilmu yang dituntut oleh Tokku Paloh sepanjang pengajiannya di Mekah ialah ilmu fiqh, usuludin, tasawuf, hadis, tafsir, dan nahu. Walau bagaimanapun, beliau telah menunjukkan minat yang lebih mendalam bagi cabang ilmu tasawuf dan beliau merupakan pengamal tarekat Naqshabandiyah.

Setelah hampir 10 tahun berada di Mekah untuk menuntut ilmu, Tokku Paloh akhirnya pulang ke Terengganu dan mengajar di masjid bapanya di Chabang Tiga. Selepas beberapa lama, beliau telah berpindah ke Kampung Paloh untuk memperluaskan lagi ajaran dakwahnya. Kampung Paloh merupakan sebuah kampung di tepi sungai Terengganu dan terletak lebih-kurang 7 kilometer daripada Kuala Terengganu dan ia adalah anugerah Sultan Zainal Abidin III kepada Tok Ku Paloh. Di Kampung Paloh inilah, Tokku Paloh telah membuka madrasah dan pondok yang khusus untuk pengajaran dan pembelajaran agama Islam kepada para penduduk di situ.

Pendekatan kaedah pengajaran Tokku Paloh bukan sahaja menarik minat para penduduk setempat, malah turut membawa para pelajar yang merantau dari Pahang, Pattani dan Kelantan. Kehadiran Tokku Paloh ini telah menyemarakkan lagi penyebaran agama Islam di Terengganu dan beliau juga telah membangunkan serta memajukan penempatan di kawasan Paloh.

Peranan sebagai pendakwah

Kehebatan Tokku Paloh dalam aktiviti penyebaran agama Islam pada abad ke-19 di Terengganu telah diakui oleh banyak pihak, berdasarkan jumlah pelajar yang datang berguru dengan beliau, termasuklah Sultan Zainal Abidin III pada waktu itu. Keperibadian beliau yang lemah-lembut, sopan serta sabar dengan gelagat para pelajar yang datang adalah antara faktor utama beliau begitu disenangi oleh ramai orang.

Tokku Paloh telah membuka Kampung Paloh yang dahulunya hanyalah sebuah kawasan yang dipenuhi hutan tebal, dan sekaligus menjadikannya sebagai tempat penyebaran ajaran Islam yang penting pada waktu itu. Beliau juga telah mendirikan rumah, surau serta madrasah sebagai tempat untuk belajar serta menyampaikan syarahan agama. Malah, Tokku Paloh turut menjadikan kawasan sekitarnya sebagai tempat untuknya berkebun dan menternak haiwan.

Peranan yang dimainkan oleh Tokku Paloh sebagai ulama dan pendakwah pada masa itu sangat menarik, berdasarkan kepada kaedah pengajaran yang digunakannya dalam memberi ilmu. Setelah berpindah dan membuka penempatan baru di Kampung Paloh, beliau turut mendirikan surau, pondok dan madrasah yang dijadikan tempat utama penyampaian syarahan agama.

Syarahan yang disampaikan oleh Tokku Paloh begitu lantang dan nyaring, sehingga ia menarik perhatian ramai penduduk sekitar di situ. Malah, ramai juga yang datang dari luar Terengganu untuk sama-sama menuntut ilmu dengan Tokku Paloh. Orang-orang yang datang dari Pahang dikatakan telah membina pondok serta rumah panjang berdekatan dengan surau beliau untuk dijadikan tempat tinggal sepanjang belajar di situ.

Selain daripada menyampaikan syarahan agama, Tokku Paloh turut mendokumentasikan ilmu yang dimilikinya melalui penulisan beberapa buah kitab. Dalam hal ini, beliau telah banyak dipengaruhi oleh bapanya sendiri, iaitu Tokku Tuan Besar yang begitu aktif dalam aktiviti penulisan bahan-bahan ilmiah dan kitab-kitab agama. Berdasarkan sejarah, hasil karya penulisan dan buku yang telah dihasilkan oleh Tokku Tuan Besar berjumlah 11 buah kesemuanya.

Dalam bidang penulisan, Tokku Paloh yang mempunyai kehebatan tersendiri dalam ilmu tasawuf telah menghasilkan sebuah kitab bertajuk Ma‘rīj al-Lahfān (Tangga Orang- orang yang Dahaga untuk Naik kepada Hakikat-hakikat Pengenalan), dan kitab ini seringkali menjadi rujukan para ilmuwan yang lain berkaitan tasawuf. Kitab ini membuat huraian mendalam berkaitan amalan-amalan tasawuf dan usuluddin, serta mengetengahkan pengajaran yang lebih tinggi. Persoalan-persoalan lain berkaitan falsafah dan metafizik pula hanya difahami dengan bimbingan guru.

Selain daripada kitab tasawuf ini, Tokku Paloh turut menghasilkan beberapa buah kitab yang lain seperti Targhīb al-Sibyān fī Hifz ‘Aqāid al-Iman dan Diyā ‘Uqūd al- Durratayn fī Tarjamat Kalimatayn al- Syahadatayn. Penghasilan penulisan kitab-kitab ini adalah berasaskan kepada prinsip Tokku Paloh yang diwarisi daripada bapanya bahawa adalah menjadi kewajipan bagi para ulama untuk menghasilkan karangan serta penulisan dalam bidang kepakaran masing-masing bagi memperluaskan ilmu pengetahuan. Ini adalah seperti apa yang diungkapkan sendiri oleh Tokku Paloh, iaitu:

“Kita, ulama, wajib atas setiap orang itu membawa akan ‘itiqad-nya kepada semua ulama dan menzahir akan dia mudah-mudahan jika tersalah dia, nescaya segera dia rujuk kepada yang sebenarnya; dan jika benar dia, nescaya ulama itu menjadi saksi atas benarnya di hadapan Allah”.

Hubungan dengan pihak istana

Pada sekitar abad ke-18 hingga ke-19, golongan Sayyid ini mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam masyarakat setempat di Terengganu. Ciri-ciri keperibadian yang bersopan santun, lemah lembut serta pintar berbicara telah menjadikan mereka begitu berpengaruh dalam aspek sosial serta politik di Terengganu. Keluarga TokKu Paloh turut mendapat tempat yang istimewa dalam masyarakat di Kampung Paloh, malah mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak istana.

Berdasarkan catatan sejarah, Tokku Paloh pernah berkahwin dengan kekanda Sultan Zainal Abidin III, iaitu Tengku Andak, tetapi dipercayai meninggal dunia di Mekah dan tidak dikurniakan zuriat. Syed Mohd Zain (adik-beradik Tokku Paloh) pula berkahwin dengan Syarifah Fatimah, iaitu anak saudara Baginda Sultan Omar. Tokku Embung pula mengahwini anak saudara Sultan Zainal Abidin III, iaitu Engku Nong.

Hubungan kemesraan yang terbina antara keluarga Tokku Paloh dengan pihak istana ini telah menyebabkan rumah beliau sering dikunjungi oleh kerabat diraja. Malah, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pernah tinggal bersama-sama Tokku Paloh semasa kecilnya dan dijadikan anak angkat oleh Tokku Paloh.

Tokku Paloh telah dianugerahkan gelaran Sheikh Ulama Paduka Indera, iaitu gelaran tertinggi keagamaan sewaktu pemerintahan Sultan Omar. Malah, Sultan Zainal Abidin III sendiri merupakan anak murid kepada Tokku Paloh,dan baginda sering berulang-alik dari istana ke rumah Tokku Paloh bagi menuntut ilmu. Gandingan antara Sultan Zainal Abidin III dan Tokku Paloh inilah yang banyak mencorakkan sistem pentadbiran dan pemerintahan di Terengganu yang berasaskan kepada prinsip-prinsip agama Islam yang sebenarnya.

Atas nasihat serta pandangan yang diberikan oleh para ulama pada waktu itu, termasuklah nasihat Tokku Paloh, Sultan Zainal Abidin III telah melaksanakan undang-undang bagi kerajaan negeri Terengganu yang dikenali sebagai Itqan al-Muluk bi Ta’dil al-Suluk yang bermaksud “Kesungguhan Raja-raja dengan Pemerintahan yang Adil”. Pada 2 November 1911, kerajaan Terengganu telah menggubal perlembagaan yang mampu melindungi negeri itu daripada penguasaan pihak luar. Zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ini dianggap sebagai zaman kemuncak perkembangan dan kegemilangan perundangan Islam di Terengganu.

Tokku Paloh bukan sahaja menjadi penasihat agama kepada Sultan Zainal Abidin III, bahkan turut menjadi penasihat dalam pemerintahan dan pentadbiran baginda. Di samping perlantikan beliau sebagai Sheikh al-‘Ulama’, Tokku Paloh juga merupakan ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan bertanggungjawab mentadbir negeri dan rakyat. Dalam melibatkan urusan yang berkait dengan British pula, Sultan Zainal Abidin III sentiasa meminta pendapat Tokku Paloh, contohnya dalam hal pemberian perlindungan peju4ng Pahang pada tahun 1895 dan dalam soal perjanjian yang melibatkan negeri Terengganu dan kuasa luar.

Pencetus perjuangan men*ntang penj4jah

Peranan para ulama pada waktu itu dalam mencetuskan penentangan terhadap penj4jahan serta penerimaan masyarakat terhadap perjuangan mereka itu adalah hasil daripada proses orientasi keagamaan yang telah berjalan dalam jangka masa yang panjang. Mereka ini tidak mahu berada di bawah pimpinan pihak penj4jah yang bukan sahaja berlainan agama dan akidah, malah turut mencampuri urusan adat istiadat orang Melayu.

Dalam hal ini, Tokku Paloh telah berperanan dalam menaikkan semangat para penduduk menentang penj4jah melalui penulisan kitabnya, yang mana beliau telah mencela golongan munafik yang dianggapnya sebagai golongan yang lebih berb*haya daripada orang kafir itu sendiri dan kedua-duanya adalah seteru Allah dan orang Islam. Daripada kitab yang dihasilkan oleh Tokku Paloh, iaitu Kitab Ma‘arij al-Lahfan ila Haqaiq al-‘Irfan, ia bukan sahaja menyampaikan ilmu tasawuf, malah isi kandungannya turut berjaya menanam sifat anti penj4jah dalam kalangan masyarakat setempat.

Tokku Paloh sendiri turut memberikan perlindungan dan semangat kepada para penentang penj4jah yang terlibat dalam Pember0ntakan Pahang iaitu Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau setelah mereka berundur dan hampir menyerah diri apabila mengalami tekanan daripada kerajaan. Beliau juga telah memberikan bantuan seramai 200 orang penduduk Terengganu dan Kelantan untuk membantu para pejuang Pahang  bagi mengg*mpur dan meny*rang British hingga berjaya menawan k&bu British di Jeram Ampai, Pahang.

Sokongan Sultan terhadap Tokku Paloh telah membangkitkan lagi semangat rakyat setempat untuk mempertahankan agama dan tanahair. Disebabkan inilah, sewaktu pemerintahan Sultan Zainal Abidin III yang bergandingan dengan penasihatnya Tokku Paloh di Terengganu, kerajaan Terengganu menjadi negeri terakhir yang dij4jah oleh British di Tanah Melayu.

Kesimpulan

Tokku Paloh telah meningg4l dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan bulan September 1917 Masehi. Kehilangan beliau telah memberikan suatu kesan yang besar bagi seluruh rakyat Terengganu pada waktu itu, kerana kedudukannya sebagai seorang ulama unggul dan terkemuka.

Tokku Paloh bukan sahaja telah berperanan sebagai guru dan pendakwah kepada rakyat, malah mempunyai fungsi penting dalam mencorakkan pentadbiran Islam di bawah pimpinan Sultan. Beliau juga terlibat dalam perjuangan menent4ng penj4jahan dan turut memberi sumbangan yang besar kepada kemerdekaan negara, keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi rakyat pada hari ini.

RUJUKAN: 

Engku Ahmad Zaki, E. A. (2012). Peranan Ulama dan Institusi Raja Memartabatkan Pendidikan Islam di Terengganu. In E. Abdul Rahman (Ed.), Terengganu Merentasi Tiga Abad: Kesultanan, Politik, Ekonomi, Agama dan Budaya (1st ed., pp. 212–229). Kuala Terengganu: Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Mohd Roslan, M. N., Mohamad Fauzi, Z., & Noorzahidah, M. Z. (2011). Keterlibatan Ulama ’ dalam Perjuangan Kemerdekaan di Terengganu. Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara, (November), 25–26.

Omar, S. H. S., Fadzli, A., Baru, R., & Norhashimah, Y. (2017). Tok Ku Paloh’s manual on sufi practices in Ma’arij Al-Lahfan Li Al-Taraqqi Ila Haqaiq Al-’irfan. Pertanika Journal of Social Sciences and Humanities, 25(Special Issue), 1–11.

Zakwan, M., Hazim, M., Azhar, M., & Hafizie, M. (2019). Ketokohan Tok Ku Paloh dan Pengaruhnya Terhadap Gerakan Penentangan Penjajah British di Pantai Timur Tok Ku Pa. Online Journal of Research in Islamic Studies, 6(3), 13–26.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.