Tok Syeikh Duyung, atau nama sebenar beliau, iaitu Haji Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin bin Ya’qub al-Fathani ini merupakan antara ulama dan ilmuan agama yang terulung di Terengganu pada abad ke-19, seangkatan dengan ulama ulung yang lain iaitu Tokku Paloh dan Tokku Tuan Besar. Istimewanya Tok Syeikh Duyung ini adalah kerana beliau merupakan guru kepada tiga orang Sultan Terengganu, iaitu Sultan Omar, Sultan Ahmad Shah II serta Sultan Zainal Abidin III, malah beliau juga telah berkhidmat sebagai Mufti Terengganu ketika zaman pemerintahan tiga orang sultan berkenaan.

Sejarah Awal

Tok Syeikh Duyung telah dilahirkan pada tahun 1802 Masehi, iaitu bersamaan dengan 1216 Hijrah, di Kampung Chabang Tiga, Patani. Beliau adalah anak tunggal kepada pasangan Wan Muhammad Amin bin Ya’qub atau dikenali sebagai Tok Syeikh Qadhi al-Fathani (ulama Patani) dan Wan Aminah binti Wan Derahmad. Berdasarkan kisah-kisah yang diceritakan dan dicatatkan di dalam makalah dan buku sejarah, dikatakan terdapat dua versi berkaitan dengan asal-usul keturunan Tok Syeikh Duyung ini.

Versi dan kisah pertama menyatakan bahawa beliau adalah daripada keturunan Nakhoda Wankang, iaitu seorang pembesar berasal daripada Champa (Kemboja) yang berkahwin dengan Puteri Laksamana Johor, iaitu anak angkat Raja Patani. Nakhoda Wankang ini kemudiannya telah dilantik menjadi salah seorang daripada pembesar Patani. Manakala, kisah versi kedua pula menyebut bahawa Tok Syeikh Duyung ini merupakan keturunan Ne’ Ali atau Faqih Ali Malbari, iaitu putera raja Bugis yang merantau bagi menuntut ilmu agama dan akhirnya menetap di Patani (Mohd Zamri, Izziah Suryani, & Noorsafuan, 2018).

Tok Syeikh Duyung telah mendapat pendidikan awalnya daripada bapanya sendiri, iaitu Tok Syeikh Qadir al-Fathani yang ketika itu menetap di Kampung Paya Bunga, Kuala Terengganu. Terdapat suatu kisah di sebalik penghijrahan keluarga beliau ke Terengganu ini dan seterusnya menetap di situ. Pada zaman kanak-kanaknya di Patani, bapanya, iaitu Tok Syeikh Qadir al-Fathani, seorang ulama ternama Patani telah menjadi pemimpin bagi sekumpulan pelarian dari Patani yang melarikan diri daripada penaklukan tentera Siam. Tok Syeikh Duyung sendiri turut sama menyertai bapanya bagi membantu kumpulan pelarian berkenaan.

Keadaan huru-hara ekoran daripada perang antara Siam dan Patani ini telah menyebabkan berlakunya penghijrahan secara besar-besaran para penduduk Patani ke negeri-negeri sempadan di Semenanjung Tanah Melayu. Pada awalnya, rombongan pelarian ini mendapat perlindungan daripada negeri Kelantan, namun setelah Sultan Kelantan menerima tekanan dari pihak Siam, maka mereka telah melarikan diri ke Terengganu. Dengan keizinan dan kurnia yang diberikan oleh Sultan Terengganu, maka keluarga Tok Syeikh Duyung ini telah diberi kebenaran untuk menetap dan memulakan kehidupan baru di Kampung Paya Bunga, Kuala Terengganu. Bapa Tok Syeikh Duyung kemudiannya telah dilantik menjadi Kadi dan pembesar negeri ketika zaman pemerintahan Sultan Omar.

Tok Syeikh Duyung telah menghabiskan waktu yang agak panjang dalam menuntut ilmu dan beliau sebenarnya telah belajar hampir sepanjang hayatnya. Malah, beliau juga telah merantau ke beberapa kawasan dan negeri yang lain bagi terus memantapkan dan meluaskan pengetahuannya dalam bidang agama. Antara tempat yang menjadi tumpuan beliau bagi mempelajari cabang ilmu pada ketika itu selain dari Terengganu sendiri adalah Patani dan Tanah Suci Mekah. Ini jelas menunjukkan bahawa ketinggian ilmu dan kealiman yang diperolehnya bukanlah hasil dari tempoh yang singkat, namun ia adalah berpunca daripada proses pembelajaran dan pemahaman yang panjang yang telah dilakukannya (Syed Hadzrullathfi et al., 2014).

Sejak kecil lagi, setelah keluarganya berhijrah ke Terengganu,Tok Syeikh Duyung telah mendapat pendidikan awalnya daripada bapanya sendiri, iaitu Tok Syeikh Qadhi al-Fathani. Beliau telah diajar untuk mendalami ilmu Al-Qur’an serta ilmu asas agama Islam yang lain. Beliau juga berdampingan rapat dengan Tokku Tuan Besar (Sayyid Muhammad bin Zainal Abidin al-Idrus), malah beliau turut mengambil peluang bagi mendalami ilmu agama daripada Tokku Tuan Besar. Kedua-dua Tok Syeikh Duyung dan Tokku Tuan Besar juga sering berulang alik untuk mempelajari ilmu agama dengan seorang lagi ulama di Terengganu, iaitu Tok Syeikh Kadir Bukit Bayas.

Setelah mendapat pendidikan awal di Terengganu. Tok Syeikh Duyung telah merantau ke Patani bagi menuntut ilmu Tasawuf dan Usuluddin. Guru beliau di Patani ialah Syeikh Daud al-Fathani, dan berdasarkan catatan sejarah, dipercayai tempat di mana beliau menuntut ilmu ini ialah di Pondok Bendang Daya dan Pondok Samla. Pada tahun 1832, Tok Syeikh Duyung telah merantau ke Tanah Suci Mekah bagi memantapkan lagi pengetahuannya dalam bidang Tasawuf, Fiqh, Usuluddin, Tafsir dan Hadith.

Sewaktu di Mekah, terdapat tiga orang ulama Arab yang terkenal telah menjadi guru beliau, iaitu Syeikh Ahmad Zaini Dahlan, seorang pengarang kitab agama yang terkenal, Sayyid Ibrahim al-Kurdi dan Syeikh Mohamad Ramli. Tempoh masa pengajian beliau di Mekah ini adalah selama 14 tahun, dan ketika beliau berada di Mekah inilah, bapa beliau telah meninggal dunia, iaitu pada tahun 1834 (Amnah Saayah, Wan Kamal, Burhanuddin, Norlaila Mazura, & Aida Nasirah, 2018).

Gelaran Tok Syeikh Duyung

Setelah pulang dari Mekah pada tahun 1846, Tok Syeikh Duyung telah mengambil keputusan untuk bermastautin dan menjalankan aktiviti pengajarannya di Pulau Duyung Kecil, yang berhampiran dengan bandar Kuala Terengganu. Di Pulau Duyung Kecil inilah beliau telah mengembangkan lagi usaha dalam menyebarkan ilmu-ilmu agama Islam kepada masyarakat. Beliau telah membuka banyak penempatan baru, malah turut membina sebuah masjid untuk kegunaan masayarakat setempat.

Usaha yang dilakukannya ini tidak sia-sia, malah telah menjadikan kawasan tersebut sebagai tumpuan para pelajar yang datang dari dalam dan luar negeri untuk menuntut ilmu agama. Gelaran Tok Syeikh Duyung ini telah diberikan oleh para penduduk kerana usaha beliau yang menjadikan Pulau Duyung Kecil sebagai suatu tempat penyebaran agama Islam pada waktu itu.

Peribadi dan Akhlak Tok Syeikh Duyung

Tok Syeikh Duyung merupakan seorang ulama dan tokoh agama yang amat disegani dan dihormati oleh ulama-ulama lain yang sezaman dengannya. Beliau bukan sahaja terkenal dengan kewarakannya, malah disiplin diri yang tinggi yang dimilikinya menjadikannya digeruni oleh para pelajarnya. Peribadi beliau yang berdisiplin tinggi ini berkaitan dengan suatu kisah di mana setiap penduduk atau orang yang datang bertemu di rumahnya dilarang sama sekali untuk menghisap rokok. Malah, beliau juga tidak membenarkan mana-mana orang asing untuk memasuki kawasan Pulau Duyung Kecil tanpa kebenaran daripada beliau sendiri. Ketegasan dan disiplin yang ditunjukkan oleh Tok Syeikh Duyung ini telah menimbulkan kegerunan dalam kalangan para pelajarnya dan mereka tidak sewenang-wenangnya bertindak tanpa pengetahuan guru mereka itu.

Selain itu, Tok Syeikh Duyung juga terkenal sebagai seorang yang serius dan tidak gemar bercakap sesuatu perkara yang tidak mendatangkan faedah buat dirinya. Anak-anaknya sendiri diasuh dengan cara hidup yang bersederhana dan lebih mementingkan hal agama berbanding hal-hal keduniaan yang lain. Tok Syeikh Duyung mempunyai amalan yang tersendiri sekiranya beliau melawat keluarga orang yang meninggal dunia, di mana beliau sendiri yang akan bersolat jenazah, menghantar jenazah ke perkuburan dan membaca talkin untuknya. Malah, beliau juga tidak akan sesekali menerima sebarang hadiah atau sedekah daripada keluarga si mati kerana baginya itu semua dilakukan atas tuntutan fardu kifayah dan tanggungjawab ke atasnya. Ini jelas menunjukkan ketinggian ilmu serta keikhlasan hati Tok Syeikh Duyung dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang ulama.

Guru Kesayangan Sultan

Para pelajar Tok Syeikh Duyung begitu ramai, di mana mereka datang dari dalam dan luar Terengganu. Di antara pelajarnya yang turut bergelar sebagai ulama ulung dan ternama ialah Syeikh Abdul Rahman Gudang al-Fathani, Tokku Paloh serta Haji Wan Muhammad, iaitu anak beliau sendiri. Namun, apa yang istimewanya, para pelajarnya juga terdiri daripada kalangan Sultan Terengganu, iaitu Sultan Omar dan Sultan Zainal Abidin III.

Semasa pemerintahan Sultan Omar, Tok Syeikh Duyung telah dilantik menjadi Kadi, dan sekaligus menjadi penasihat kepada Baginda Sultan Omar. Malah, sewaktu berlakunya peristiwa Pemberontakan Besut pada tahun 1874, Sultan Omar telah mengarahkan Tok Syeikh Duyung ke Kelantan bagi menasihati Sultan Kelantan untuk menghentikan pemberontakan tersebut. Berdasarkan riwayat, dikatakan bahawa rundingan yang dilakukan antara Tok Syeikh Duyung dengan Sultan Kelantan telah berjaya membawa kepada suatu penyelesaian yang memuaskan hati semua. Hal ini menunjukkan bagaimana seorang sultan mampu menerima dengan lapang hati akan buah fikiran serta penyelesaian yang dicadangkan oleh seorang ulama yang tinggi ilmunya.

Sewaktu Sultan Zainal Abidin III dikhabarkan akan menaiki takhta bagi menggantikan Al-Marhum ayahandanya, Tok Syeikh Duyung telah melakukan solat hajat dan berdoa dengan sepenuh hati demi keselamatan Sultan Zainal Abidin III dan untuk semua rakyat Terengganu yang berada di bawah pemerintahan baginda. Keadaan inilah yang menjadikan Sultan Zainal Abidin III begitu mengagumi serta mengasihi gurunya, Tok Syeikh Duyung dan sekaligus menjadikan baginda seorang sultan yang begitu berwibawa hasil didikan yang diberikan oleh Tok Syeikh Duyung.

Tok Syeikh Duyung Meninggal Dunia

Tanggal 24 Februari 1889, bersamaan dengan 12 Jamadil Akhir 1306 Hijrah, Tok Syeikh Duyung telah menghembuskan nafas terakhirnya di Pulau Duyong Kecil. Kematian beliau ini telah membawa kepada suatu kehilangan yang sangat besar kepada seluruh rakyat Terengganu pada waktu itu, malah dalam kalangan ulama yang seangkatan dengannya turut sama berdukacita dengan kehilangan tersebut.

Disebutkan di dalam buku sejarah tentang bagaimana Tokku Paloh yang menerima berita kematian gurunya itu telah berkata, “Hilang sudah kepala santan negeri Terengganu!” Dalam hal ini, apa yang dimaksudkan oleh Tokku Paloh adalah bahawa kematian Tok Syeikh Duyung ini telah menyebabkan negeri Terengganu telah kehilangan seorang ilmuan agama paling berwibawa (kepala santan) dan tinggi ilmunya.

Sultan Zainal Abidin III sendiri pada waktu itu berasa begitu hiba dan berdukacita dengan kehilangan gurunya, malah baginda sendiri telah berangkat ke Pulau Duyung Kecil bagi menziarahi jenazah gurunya. Baginda juga telah bersolat jenazah, dan telah memerintahkan agar jenazah Tok Syeikh Duyung dibawa ke istana agar dapat diberi penghormatan terakhir oleh kerabat diraja, dan para pembesar negeri.

Kesimpulan

Tok Syeikh Duyung telah diberi gelaran sebagai ‘lidah negeri Terengganu’ di mana ungkapan ini jelas menunjukkan bagaimana perana beliau sebagai jurucakap atau perantara di dalam negeri Terengganu pada waktu itu. Kehadiran seorang ulama seperti Tok Syeikh Duyung sebenarnya telah banyak mengubah corak politik dan pendidikan di Terengganu pada waktu itu di mana ia telah membawa kepada kegemilangan Islam dan menaikkan nama Terengganu sendiri. Sumbangan yang telah diberikannya banyak membantu masyarakat dalam memahami ilmu Islam, malah turut menyumbang kepada perlaksanaan Islam yang sepenuhnya dalam pemerintahan Sultan.

Rujukan

Amnah Saayah, I., Wan Kamal, M., Burhanuddin, J., Norlaila Mazura, H. M., & Aida Nasirah, A. (2018). Tradisi Keilmuan Pembina Karakter Ulama Melayu Abad Ke-19 Masihi. E-Prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial Dan Kemanusiaan, (April), 507–519.

 

Abdul Rahman Embong. (2012). Terengganu Merentasi Tiga Abad: Kesultanan, Politik, Ekonomi, Agama dan Budaya. Yayasan Diraja Sultan Mizan: Kuala Terengganu.

 

Dato’ Setia Jasa Haji Muhammad Saleh Haji Awang (Misbaha). (1992). Sejarah Darul Iman Hingga 1361H = 1942M (Edisi Ketiga). Persatuan Sejarah Malaysia         Cawangan Terengganu: Kuala Terengganu.

 

Mohd Zamri, H., Izziah Suryani, M. R., & Noorsafuan, C. N. (2018). Biografi Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Mohd Amin (Tuk Syeikh Duyong). Bitara Journal, 1(1), 39–51.

 

Syed Hadzrullathfi, S. O., Rohaizan, B., Engku Ibrahim, E. W. Z., Wan Mohd Yusuf, W. C., Mohamad Zaidin, M., Engku Muhammad Tajuddin, E. A., & Mohd Shahril, O. (2014). Works by Terengganu’s Scholars of the 19th Century in Dignifying the Study of Islamic Knowledge Based on the al-Qur’an. Asian Social Science, 10(9), 128–136.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.