Tok Janggut – Pejuang Melawan British

482

Sebelum Perjanjian Bangkok yang dimeterai pada tahun 1909, Negeri-Negeri Melayu Utara (NNMU) pada ketika itu diletakkan di bawah naungan Siam. Tetapi semua itu berakhir menerusi Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara British dengan Bangkok yang dibuat demi melindungi kedaulatan Siam daripada campur tangan asing.

Namun bagi NNMU, ia merupakan permulaan campur tangan British di negeri-negeri mereka dan membawa kepada penentangan penduduk tempatan. Di Kelantan, penentangan terhadap British digerakkan oleh seorang ulama dan pahlawan terkenal bernama Tok Janggut.

Latar belakang

Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mohd Hassan bin Munas dilahirkan di Kampung Saring, Jeram pada tahun 1850. Berikutan bapanya juga merupakan seorang panglima istana, tidak hairanlah masa kecilnya turut dihabiskan di istana Tengku Seri Maharaja Jeram.

Beliau pernah melanjutkan pelajaran agama hingga ke Tanah Suci Makkah dan berguru dengan ramai ulama termasuk ulama Patani terkenal, Sheikh Ahmad al-Fatani dan ulama Terengganu, Tokku Paloh. Selain dikenali kerana sifat waraknya, Tok Janggut juga merupakan seorang guru silat yang hebat.

Maraknya api kebangkitan…

Pemeteraian Perjanjian Bangkok 1909 menyaksikan NNMU diserahkan kepada British sementara Patani, Menara, Jalor dan Setol terus berada di bawah pemerintahan Siam. Menerusi perjanjian ini, ia merupakan lampu hijau kepada campur tangan British di Kelantan menerusi pengenalan penasihat British.

Penasihat British pertama yang dilantik ialah J.S Mason dari 1909 hingga 1911. Tetapi semasa era W. Langham Carter (1913-1915) inilah, api kemarahan rakyat Kelantan terhadap British akhirnya meletus dan membawa kepada penentangan diketuai Tok Janggut.

Terdapat banyak sebab rakyat negeri yang digelar Serambi Makkah itu bangkit menentang. Pertama, sentimen anti-penjajah yang kuat terutama semasa Perang Dunia Pertama (WWI) meletus yang menyaksikan Empayar Turki Uthmaniyyah dan negara-negara sekutunya berhadapan dengan pakatan Bersekutu yang dipimpin British dan Perancis. Mengikut fatwa yang dikeluarkan Sheikh Mustafa Sabri Efendi, menjadi kewajipan bagi negara-negara Islam ketika itu menyokong kerajaan Uthmaniyyah yang diancam oleh kuasa-kuasa Barat ketika itu.

Di Tanah Melayu terutama Kelantan, majoriti negeri-negeri Melayu cenderung kepada fatwa Sheikh Mustafa Sabri tetapi dipaksa menyokong British semasa WWI. Jika mereka enggan berbuat demikian, maka British tidak teragak-agak menggantikan mereka dengan pemerintah yang lebih lunak dengan penjajah, satu prospek yang ditolak sekeras-kerasnya oleh Raja-Raja Melayu ketika itu. Tetapi bagi rakyat biasa terutama Tok Janggut, kegagalan ini merupakan satu kekecewaan.

Kedua, pengenalan pelbagai cukai yang membebankan rakyat. Semasa memperkenalkan rejim cukai ini kepada rakyat pasca-Perjanjian Bangkok, British memberi alasan ia dibuat bagi menampung keperluan kewangan negeri. Tetapi bagi rakyat biasa, kadar yang dikenakan amat membebankan terutama membabitkan cukai tanah. Selain itu, jarak pejabat daerah yang jauh (memakan masa tiga hari perjalanan) dan hanya seorang sahaja pengutip cukai yang dilantik bagi menguruskan usaha pembayaran cukai dilihat memeningkan kepala rakyat.

Ketiga, sikap pegawai daerah yang dilantik British untuk mentadbir Pasir Putih. Pegawai daerah Pasir Putih, Encik Abdul Latif sememangnya orang Melayu tetapi beliau bukannya orang tempatan kerana berasal dari Singapura sekaligus menyukarkan usaha komunikasi antaranya dengan penduduk.

Di samping itu, ketidakpuasan hati juga timbul berikutan perlantikan Encik Abdul Latif dilihat menafikan peluang pembesar tempatan meneruskan usaha pentadbiran negeri di mana beliau dilantik menggantikan wakil Pasir Putih, Ungku Besar Jeram.

Perang Pasir Putih

Melihat kepada semua sebab yang dinyatakan ini, tidak hairanlah mengapa rakyat Pasir Putih bangkit menolak penjajahan British. Justeru, satu mesyuarat diadakan oleh Ungku Besar Jeram dengan beberapa figura tempatan dipanggil termasuk Tok Janggut.

Hasil mesyuarat menyaksikan mereka sebulat suara bersetuju enggan bekerjasama dengan British. Perjuangan ini mula menarik perhatian penduduk tempatan yang sudah bosan dengan rejim cukai British sekaligus menyaksikan kutipan cukai ketika itu jatuh kepada separuh dalam tempoh setahun.

Berang dengan sikap penduduk yang enggan membayar cukai, Abdul Latif menghantar sepasukan polis diketuai Sarjan Che Wan Sulaiman untuk menahan Tok Janggut. Dari sudut pandangnya, Tok Janggut bertanggungjawab menghasut penduduk untuk tidak membayar cukai. Ketika mereka tiba di Kampung Tok Akib pada 29 April 1915, beliau sedang berucap di hadapan 1,000 penduduk dengan kebanyakan mereka lengkap bersenjata.

Selepas diberitahu tentang waran tangkap yang dikeluarkan, Tok Janggut bersedia mengikut mereka ke balai untuk membincangkan isu keengganan membayar cukai. Pertelagahan antara Sarjan Sulaiman dengan beliau tercetus apabila Tok Janggut mahu mereka berjalan seiring dengannya dan bukan berjalan di belakangnya, satu permintaan yang enggan dilayan sarjan polis itu. Akibatnya, beliau menikam Sarjan Sulaiman dengan sebilah keris dan para pengikutnya merampas senjata yang dimiliki sebelum menghantar mereka pulang. Pembunuhan ini merupakan permulaan Perang Pasir Putih.

Tok Janggut bersama para pengikutnya kemudian mara ke Pasir Putih sekaligus memaksa Abdul Latif melarikan diri ke Kota Bharu untuk mendapatkan bantuan. Mereka berada di Pasir Putih selama tiga hari dan mengisytiharkan ia sebagai sebuah negeri yang merdeka. Bersesuaian dengan status itu, Ungku Besar Jeram diangkat sebagai Raja sementara Tok Janggut dilantik sebagai Perdana Menteri.

Selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Putih untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir. Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dilabel sebagai penindas.

Atas cadangan Langham-Carter dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka. Malah, kerajaan turut menghebahkan tawaran ganjaran $500 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya. Namun, penasihat British itu tidak yakin dengan kemampuan baginda menghadapi kebangkitan Tok Janggut dan mengesyaki Sultan Muhammad IV dan para pembesar negeri sebenarnya bersimpati dengan perjuangan beliau.

Justeru pada 3 Mei 1915, 239 askar British dihantar ke Kelantan untuk memburu pejuang-pejuang ini. Tetapi mereka gagal menemui kumpulan tersebut berikutan Tok Janggut dan para pengikutnya bersembunyi di dalam hutan dan mendapat bantuan penduduk yang bersimpati. Selepas seminggu mencari, mereka kembali ke Singapura dalam keadaan hampa.

Selepas itu, Tok Janggut dan para pengikutnya keluar dari hutan dan bersiap sedia kembali ke Pasir Putih. Langham-Carter yang semakin marah membawa masuk Pasukan Pemandu Negeri-Negeri Melayu terdiri daripada askar-askar Gurkha untuk memburu mereka. Kerana sudah terdesak, pasukan ini juga bertanggungjawab membakar bandar Jeram dan rumah-rumah penduduk termasuk rumah Tok Janggut.

Berang dengan tindakan biadab askar-askar Gurkha itu, kumpulan pejuang bertempur dengan mereka di Kampung Pupoh Dalam berhampiran Kampung Merbol. Pertempuran sengit tercetus yang menyaksikan ramai pejuang mati termasuk mengikut dakwaan British, Tok Janggut pada 25 Jun 1915.

Mayatnya dibawa ke Pasir Putih sebelum digantung secara terbalik di Padang Merdeka, Kota Bharu selama tiga hari sebagai amaran kepada mana-mana pihak yang cuba melawan mereka. Selepas itu, barulah jenazah dibawa ke Pasir Pekan, Tumpat untuk dikebumikan.

Cerita sebenar ‘kematian’ Tok Janggut

Walaupun ramai sejarawan berpandangan Tok Janggut meninggal dunia di Pupoh Dalam pada 25 Jun 1915, rekod lisan penduduk tempatan menunjukkan sebaliknya. Rekod lisan ini termasuk cucu sepupunya, Wan Asrul Wan Hussin mendakwa mayat yang digantung terbalik separuh bogel itu sebenarnya bukanlah mayat Tok Janggut.

Sebaliknya, beliau hanya mengalami kecederaan di bahu kiri dan disembunyikan para pengikutnya di Hulu Kelantan (kini Gua Musang) untuk menyelamatkan nyawanya. Malah selepas mengamati gambar mayat yang dikatakan mayat datuk saudaranya itu, Wan Asrul percaya mayat tersebut milik orang lain tetapi ditukar identitinya untuk menyakinkan orang ramai bahawa Tok Janggut sudah tiada.

Ini kerana selepas melihat ciri fizikal mayat, dia percaya itu sebenarnya mayat tentera Gurkha yang terbunuh semasa bertempur di Pupoh Dalam. Berdasarkan pengamatannya, keturunan Tok Janggut memang Melayu tulen dengan bapanya, Panglima Munas merupakan anak jati Pasir Putih sementara ibunya, Che Mah merupakan orang Patani. Moyang Wan Asrul sendiri yang juga datuk pejuang Kelantan itu, Tok Samad merupakan seorang Melayu tulen dan antara individu bertanggungjawab membuka Pasir Putih. Tambahnya lagi, tidak ada dalam kalangan anak-beranak tokoh pejuang itu mempunyai rupa seperti orang Sikh.

Melihat kepada rekod lisan ini juga, tidak mustahil mana-mana pejuang Pasir Putih yang terselamat dari kempen di Pupoh Dalam mengambil langkah sama yang dibuat pejuang-pejuang Pahang semasa diburu British pada dekad 1890-an iaitu menukar identiti mereka dan berpindah-randah untuk mengelak dikesan British. Menurut Wan Asrul, selepas pulih dari kecederaan bahu, Tok Janggut menukar identitinya dan menjalani kehidupan biasa di Machang sebelum kedatangan Jepun ke Tanah Melayu.

Dan ada satu anekdot yang menarik membabitkan beliau dan seorang pejuang Pahang bernama Mat Kilau. Tiga tahun sebelum membuat pengisytiharan identitinya di Masjid Pulau Tawar, beliau yang dikenali dengan nama samaran Mat Siam itu sempat bertemu dengan Tok Janggut pada tahun 1966 di sebuah kedai kopi di Kota Bharu. Menurut Wan Asrul, Mat Siam ada mengajaknya untuk mendedahkan identiti sebenar mereka kepada negara selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.

Bagaimanapun, Tok Janggut yang ketika itu berumur 116 tahun dan berada dalam keadaan uzur menolak ajakan Mat Kilau dengan baik atas alasan lebih baik baginya untuk terus mendiamkan diri. Melihat kepada keributan yang menyelubungi beliau tidak lama selepas membuat pengisytiharan di Masjid Pulau Tawar pada tahun 1969, barulah Mat Kilau sedar mengapa Tok Janggut memilih untuk terus menjalani kehidupan normal daripada mendedahkan identiti sebenarnya.

Sisi realpolitik Sultan Muhammad IV

Kisah perjuangan Tok Janggut ini juga turut mengundang polemik sama ada beliau merupakan seorang pejuang atau petualang bangsa. Jika merujuk kepada sumber orientalis luar, memang label pengkhianat itu sentiasa dibaling kepada beliau. Tetapi kebanyakan orientalis luar tidak sedar kisah perjuangan Tok Janggut juga turut menonjolkan sisi realpolitik Sultan Muhammad IV. Semua sedia maklum baginda sebenarnya merasa kurang senang dengan sikap penasihat British terutamanya Langham-Carter dan polisi-polisi yang diperkenalkan mereka.

Walaupun kebanyakan langkah yang dibuat bersifat pro-British termasuk mengisytiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka, ia dibuat demi menjaga kedudukan baginda dari diancam pihak British. Perlu diingat, salah satu modus operandi British pada ketika itu ialah mengancam kedudukan Raja-Raja Melayu agar condong kepada dasar-dasar mereka atau berhadapan risiko disingkirkan daripada takhta.

Dengan menyokong langkah yang diambil Langham-Carter dan pada masa sama menunjukkan sokongan tidak langsung kepada pejuang-pejuang Pasir Putih, Sultan Muhammad IV bukan saja berjaya mengukuhkan kedudukan baginda dalam kalangan kerabat diraja, pembesar dan rakyat Kelantan malah menonjolkan sikap bodoh sombong pegawai-pegawai British di Kelantan.

Tidak ramai tahu, hubungan baginda dengan Langham-Carter sebenarnya renggang sejak dari permulaan tempohnya sebagai penasihat British pada tahun 1913. Malah selepas mendapat aduan tentang sikap Abdul Latif terhadap penduduk Pasir Putih, bukan sekali Sultan Muhammad IV memfailkan petisyen kepada penasihat British itu berkenaan sikap biadab dan tidak bertimbang rasa pegawai daerah itu terhadap penduduk tempatan.

Tetapi Abdul Latif terus mendapat sokongan Langham-Carter atas alasan apa yang dilakukannya dianggap menguatkuasakan undang-undang tanah ketika itu. Langham-Carter juga merasa kurang senang dengan tindakan baginda menghantar petisyen kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat (NNS) ketika itu, Sir Arthur Young sebanyak tiga kali yang mahukan penasihat British itu digantikan dengan orang lain. Sebelum Langham-Carter dilantik, baginda mahukan R.J Farrer sebagai pengganti tetap J.E Bishop tetapi tidak dilayan oleh Young.

Melihat kepada apa yang berlaku di Kelantan di bawah pemantauan Langham-Carter, sedarlah British bahawa Langham-Carter berbohong tentang situasi sebenar yang berlaku di Kelantan termasuk gagal menjelaskan rejim cukai tanah yang diperkenalkan kepada rakyat. Justeru tidak hairanlah, penasihat British itu kemudiannya dipindahkan ke tempat lain dan digantikan oleh Farrer. Farrer kemudiannya menjadi penasihat British paling lama di Kelantan selama tiga tahun enam bulan (17 Ogos 1915 – 7 Februari 1919).

Penyingkiran Langham-Carter bukan sekadar mencerminkan kemenangan politik Sultan Muhammad IV tetapi juga satu cara kepada pejuang-pejuang kemerdekaan lain pada dekad-dekad kemudian untuk bijak mencari ruang mengakali penjajah dalam usaha membebaskan negara daripada penjajahan. Taktik ini akhirnya membuahkan hasil melalui laungan keramat Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957: MERDEKA!

Hari ini, terdapat 600 anggota keluarga dari keturunan Tok Janggut di seluruh negara. Kesemua mereka dipertemukan dalam satu majlis perjumpaan keluarga yang diadakan di Kampung Bukit Payung, Jerteh, Terengganu pada Ogos tahun lepas. Menurut Ibrahim Mohamad, 80 yang juga generasi ketiga pejuang Kelantan itu, perjumpaan ini dilihat dapat memberi peluang kepada anggota keluarga muda mengenali moyang mereka dan jasanya yang ditaburkan kepada negara.

SUMBER

1. Bernama. (2018). 600 anggota keluarga keturunan Tok Janggut bersatu. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/08/24/600-anggota-keluarga-keturunan-tok-janggut-bersatu/

2. Bernama. (2015). Penjajah tertipu, Tok Janggut tak mati dibunuh. Malaysiakini. https://www.malaysiakini.com/news/324974

3. Kelab Pencinta Sejarah Kelantan. (2012). Penasihat British di Kelantan (1909 – 1939). https://sejarahkelantan.wordpress.com/2012/09/21/penasihat-british-di-kelantan-1909-1939/

4. Tokoh Sejarah. Tok Janggut. https://sejarahtokoh.wordpress.com/tok-janggut/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.