Tok Janggut Bukan Penderhaka

5859
views

Maafkan hamba
Tuanku Sultan
Hamba tahu Tuanku tertekan
Sehingga sanggup mengistiharkan
Hamba derhaka
Sehingga harga diri dan nyawa
Memakin berharga

Kubebaskan Pasir Puteh
Kuistiharkan Ungku Besar Sebagai Raja
Dan diriku ini Sebagai Perdana Menteri
Demi membengkitkan semangat
Menentang penjajah Tuanku,

Sultan Hamba bukan penderhaka
Kerana bukan Tuanku Yang hamba tentang
Tetapai Langham – Carter Adviser Celaka
Dan bahlol Latiff dari Singapura

Sejarah Yang Membawa Kepada Pemberontakan

1-Kebangkitan pemberontakan Tok Janggut menentang pihak British adalah merupakan suatu
lambang penentangan penduduk Tanah Melayu terhadap kehadiran British yang mahu menguasai negeri-negeri Melayu. Beberapa pengkaji mengangkat Tok Janggut sebagai pahlawan Melayu yang sanggup bangun menentang dasar-dasar penjajahan British. Ketokohan Tok Janggut menyebabkan beliau diangkat oleh beberapa orang pengkaji seperti sebagai seorang pejuang yang mahu membebaskan Kelantan daripada cengkaman penjajah bersesuaian dengan perisytiharan Jihad yang dikeluarkan oleh kerajaan Turki Uthmaniah terhadap British pada 11 November 1914. Kebanyakan pengkaji ini merumuskan bahawa Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya bukan penderhaka tetapi pejuang kemerdekaan.

2-Persoalan utama mengenai kebangkitan Tok Janggut ini ialah sama ada usaha mahu meletakkan beliau sebagai tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan adalah tepat atau tidak. Berbagai hujah yang diberikan sama ada tindakan yang dilakukan oleh Tok Janggut itu sebenarnya membuka kesedaran penduduk negeri Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan atau tidak. Sebaliknya lebih ramai sarjana bersetuju meletakkan Tok Janggut sebagai pemimpin tempatan yang menentang dasar British tetapi belum sampai untuk dinobatkan sebagai pejuang kemerdekaan. Ini kerana penentangan Tok Janggut bukan semata-mata menentang dasar cukai British tetapi juga dilibatkan dengan gerakan mahu menggulingkan Sultan.

3-Tindakan penduduk menentang British ada kaitan dengan langkah Britain campur tangan di negeri Kelantan dan Terengganu. Setelah British berjaya menguasai negeri-negeri Melayu Bersekutu, British mula mengalihkan pandangan untuk menguasai negeri-negeri Melayu disebelah utara dan pantai timur Tanah Melayu. Kejayaan usaha British ada kaitan dengan pakatan Britain dan Siam untuk membahagikan negeri-negeri Melayu di utara. Patani yang terletak di bahagian utara Siam telah jatuh ke tangan Siam. Menjelang awal abad ke-20 Patani yang terkenal sebagai Serambi Mekah telah ditakluk oleh Siam dengan penyingkiran Tengku Abdul Kadir Kamaruddin yang merupakan raja Patani yang terakhir.

4-Dalam bulan Mac 1909 Britain dan Siam telah menandatangani perjanjian bersama (Perjanjian Bangkok) yang memberikan kesan yang paling signifikan kepada masa depan Tanah Melayu. Melalui perjanjian ini British telah mengambil alih Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Manakala Siam pula mengambil alih Patani, Menara, Jalor dan Setol. Pada 10 Mac 1909 British telah menghantar Sir John Anderson bagi memaksa Long Senik, Yang Dipertuan negeri Kelantan untuk menerima seorang penasihat British. Sebagai ganjarannya dan untuk menarik perhatian Long Senik, pihak British mengiktiraf baginda sebagai Sultan Muhammad ke IV serta diberikan elaun sebanyak $2,000 sebulan dan pencen sebanyak $4,800. Dengan ini bermulalah pertapakan kerajaan British di negeri Kelantan.

5-Kehadiran British sebagai kuasa penjajah tidak dapat diterima oleh penduduk. Di Kelantan, Tuan Haji Mat Hassan bin Panglima Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut tidak dapat menerima penguasaan British. Beliau dilahirkan di Kampung Saring pada tahun 1850, dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram. Tok Janggut telah diamanahkan oleh Syeikh Ahmad Al Fatani supaya berikhtiar membebaskan Patani daripada penjajahan barat. Kesedaran ini telah mepengaruhi Tok Janggut untuk memimpin penentangan terhadap British.

6-Meskipun pemberontakan 1915 telah berlaku dan gagal membuahkan kejayaan yang dirancangkan tetapi semangat politiknya terus kekal. Kekalahan penentangan 1915 disebabkan kekurangan tokoh yang bersedia untuk memimpin.

Kesan Perang Dunia Pertama

1-Peperangan Dunia Pertama yang meletus di Eropah memberi kesan besar terhadap keadaan di
Kelantan. Peperangan di Eropah melibatkan dua pakatan yang berperang, satunya Britain, Perancis dan Russia di satu pihak manakala Jerman, Austria dan Empayar Utamaniah di satu pihak. Perang yang meletus telah menarik perhatian pemerintah negeri-negeri Melayu untuk menyokong kerajaan Turki Uthmaniah. Khalifah Turki Uthmaniah adalah khalifah bagi umat Islam serta penaung bagi tanah suci Mekah dan Madinah. Ia memberikan hubungan yang cukup kuat bagi penduduk Melayu bagi menyokong kerajaan Turki.

2-Keadaan yang sama berlaku di Kelantan apabila pemimpin agama khususnya telah memberikan sokongan kepada kerajaan Turki menyebabkan berlakunya tunjuk perasaan menentang British. Menyedari akan perkembangan sokongan penduduk Melayu terhadap pemerintah Turki, memaksa pihak British perlu cekap mengelakkan penduduk ini daripada menyokong Turki. Pada 21 November 1914, pihak British telah mengeluarkan enakmen melarang akhbar-akhbar tempatan menyiarkan berita mengenai peperangan antara British dan Turki Uthmaniah.

3-Gabenor Sir Arthur Young memainkan peranan penting mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan British tidak memusuhi umat Islam. Young menggunakan surat Aga Khan, ketua Mahzab Syiah yang menafikan peperangan antara Turki dan Britain semata-mata atas faktor agama.

4-Di Kelantan pula, Langham-Carter, penasihat British telah mengadap Sultan Muhammad ke IV memaklumkan bahawa peperangan antara Britain dan Turki bukan atas faktor agama. Langham-Carter juga telah mendesak Sultan mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Kelantan akan berpihak dengan kerajaan Britain. Langkah ini perlu bagi membendung tindakan penduduk Kelantan daripada memusuhi pihak British serta menyokong Turki.

5-Pengisytiharan yang dibuat oleh Sultan Muhamamd IV sebenarnya gagal menghalang penduduk Kelantan daripada membincangkan perkembangan perang. Penduduk Melayu yang mempunyai latar belakang persekolahan Arab di Asia Barat sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan yang berlaku di Eropah serta nasib kerajaan Turki. Tokoh-tokoh agama terus memberikan sokongan kepada kerajaan Turki serta percaya bahawa ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab keagamaan.

6-Di Kelantan, tokoh-tokoh agama seperti Tok Janggut memberikan sokongan kepada kerajaan Turki. Peristiwa pemberontakan sepoi India yang terdiri daripada orang India Muslim daripada Pasukan 5th Light Infantry di Singapura pada 15 Februari 1915 membuka mata pemimpin dan penduduk di Kelantan. Pihak British menjadi semakin bimbang dengan perkembangan yang berlaku yang mampu menggugat kepentingan mereka di Tanah Melayu. Malahan ia boleh membuka tindak balas lebih besar dalam kalangan penduduk Melayu menentang kerajaan British.

7-Langkah pihak kerajaan Kelantan memihak kepada British dalam peperangan Dunia Pertama dan bukannya Turki mengecewakan Tok Janggut. Bagi Tok Janggut tindakan kerajaan Kelantan bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Shaykh-al-Islam yang mewajibkan semua umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya. Atas faktor kewajipan menyokong Turki mempengaruhi pengkaji mengatakan bahawa Tok Janggut telah mengambil kesempatan untuk menentang British di Kelantan.

8-Pada 29 April 1915, Tok Janggut telah bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menyerang British. Keputusan telah diambil untuk mengambil pemerintahan di Pasir Puteh serta mengisytiharkan jajahan merdeka daripada belenggu British. Bertindak daripada maklumat, Encik Latiff, Pegawai Daerah Pasir Puteh telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Tok Janggut dan rakan-rakannya. En. Latiff telah mengarahkan Sarjan Che Wan untuk menangkap Tok Janggut. Pada 29 April, Sarjan Che Wan bertemu dengan Tok Janggut meminta beliau menyerah diri. Walaubagaimanapun Tok Janggut enggan menyerah diri tetapi berlaku pergelutan yang membawa kepada kematian Sarjan Che Wan.

9-Selepas insiden ini, Tok Janggut telah dianggap musuh paling merbahaya yang membawa kepada usaha penangkapan beliau. Pihak British memberikan tumpuan serius bagi menangkap Tok Janggut kerana bimbang gerakan Tok Janggut akan menjadi lebih besar. Beberapa siri serangan telah dilakukan oleh pihak British ke atas kedudukan Tok Janggut. Akhirnya Tok Janggut telah diserang di Kampung Dalam Pupoh dan gugur bersama-sama Tok Abas dan Tok Hussein.

Hubung Kait Penentangan dengan Istana

1-Sejarawan suka mengaitkan penentangan Tok Janggut dengan faktor dalaman. Antaranya
menyatakan kebangkitan penentangan adalah disebabkan rasa tidak puas hati penduduk terhadap peraturan cukai yang baru yang dikenakan oleh pihak pentadbir British. Perbincangan yang dominan mengaitkan penentangan ini disebabkan oleh peranan Tok Janggut sendiri yang memimpin penentangan atas sebab beliau sendiri tidak puas hati dengan cara pentadbiran British.

2-Faktor-faktor yang diutarakan tidak boleh dinafikan, namun pengkajian mengenai penentangan Tok Janggut harus keluar daripada kajian konvensional. Justeru itu keperluan memahami bahawa terdapatnya faktor lain adalah penting untuk diyakini mempengaruhi kepada peristiwa penentangan Tok Janggut. Penentangan Tok Janggut berlaku enam tahun selepas pihak British campur tangan dalam negeri Kelantan. Secara umum sejarawan cuba mengaitkan penentangan yang berlaku dengan beberapa perkembangan yang berlaku antaranya;

Sebagai satu tindakan penentangan secara langsung penduduk terhadap campur tangan British. Sebagai tindakan penentangan secara tidak langsung terhadap Sultan kerana menerima perlindungan British. Sebagai tanda rasa tidak puas hati penduduk Kelantan terhadap Abdul Latif, Pegawai Daerah yang merupakan orang Melayu yang berasal dari Singapura. Penentangan kaum petani terhadap perlaksanaan cukai tanah yang baru.

3-Profesor Cheah Boon Kheng seorang tokoh sejarah yang banyak meluangkan masa beliau mengkaji Tok Janggut membangkitkan beberapa persoalan penting mengenai penentangan Tok Janggut ini sama ada beliau merupakan seorang pejuang atau penderhaka. Penentangan Tok Janggut terhadap Sultan Kelantan dikaitkan dengan dua rekod lisan yang popular di Kelantan iaitu Peperangan To’ Janggut, atau Balasan Derhaka (1955) dan Riwayat Hidup To’ Janggut dan peperangannya di Kelantan (1957). Kedua-dua cerita ini menceritakan bagaimana penduduk yang terdiri daripada golongan petani menyokong Tok Janggut kepada pihak British kerana tidak berpuashati dengan kadar cukai tanah baru.

4-Sultan telah menghantar beberapa orang menteri baginda untuk berunding dengan petani. Namun apabila golongan petani enggan menerima pujukan/nasihat menyebabkan Sultan menganggap golongan ini menderhaka dan meminta pihak British membantu memadamkan penentangan. Maka bagi mereka yang enggan menerima nasihat istana dianggap derhaka kepada Sultan. Penentangan Tok Janggut kepada British dikaitkan dengan persaingan merebut takhta di Kelantan.

5-Pada tahun 1915 beberapa orang anggota kerabat Di Raja terutamanya bapa saudara Sultan bersekutu dengan Ungku Besar, ketua Pasir Puteh berpakat untuk menyingkirkan Sultan. Mereka menggunakan alasan pengenalan sistem cukai tanah yang baru dan rasa tidak puas hati petani terhadap Abdul Latif membawa kepada penentangan secara terbuka. Keadaan yang berlaku menyebabkan Sultan terpaksa bergantung kepada sokongan British untuk mengekalkan kedudukan baginda. Pandangan ini adalah yang berdasarkan kenyataan/laporan oleh Langham-Carter dan beberapa pegawai British yang dihantar mereka kepada Pejabat Kolonial di London.

6-Walaubagaimanapun pandangan yang mahu mengaitkan sebab penentangan Tok Janggut kerana faktor perebutan jawatan adalah kurang tepat dan tidak mempunyai bukti yang cukup kuat. Sebaliknya notis menangkap pemimpin-pemimpin tempatan ini dikeluarkan oleh pegawai British dengan menggunakan nama Sultan. Faktor pergeseran untuk merebut takhta kurang releven. Apa yang sebenarnya berlaku ialah hubungan di antara Sultan dan Langham-Carter adalah tidak baik. Cheah Boon Kheng menganggap adalah menjadi kebiasaan hubungan yang kurang baik berlaku di antara Sultan dan Residen di negeri-negeri Melayu. Walaubagaimanapun masalah ini tidak dilaporkan oleh mana-mana Residen. J.M Gullick adalah merupakan penulis barat yang kemudiannya membincangkan soal ini. Cheah memberikan komentar dripada penulisan Gullick yang antara lain mengatakan:

Gullick has rightly argued that such conflicts show that the Malay rulers
were not always passive puppets who danced to the tune of the
Residents; they did register their differences on many issues, but in a
covert manner and often their opposition was successful.

7-Oleh itu adalah dipercayai bahawa Langham-Carter telah mengambil kesempatan untuk menamatkan ancaman Tok Janggut dengan mengaitkan Tok Janggut dengan Engku Besar Tumpat yang pada ketika itu bermusuhan dengan Sultan Kelantan. Namun demikian masih kurang bukti yang dapat diketengahkan bahawa Tok Janggut juga turut bersama-sama dengan pembesar Kelantan lain untuk menggulingkan Sultan Kelantan. Kebangkitan Tok Janggut menentang British menjadi kebimbangan besar Langham-Carter.

8-Walaubagaimanapun terdapat perbezaan ketara kaedah yang dipilih di antara Sultan Kelantan dan pihak British. Sultan menggunakan pendekatan diplomasi untuk menamatkan penentangan. Sebaliknya Langham-Carter mahukan ianya diselesaikan dengan segera menggunakan kekuatan tentera. Penasihat British sebenarnya yang bertindak meminta bantuan tentera daripada Singapura dan bukannya Sultan Kelantan. Malahan penasihat British di Kelantan telah memohon seramai 200 orang tentera tetap dihantar menjadikan terdapat seramai hampir 5,000 anggota tentera di Kelantan.

9-Pada pagi 2 May 1915 telegram seterusnya diterima oleh Gabenor Jeneral British di Singapura memohon penghantaran anggota tentera dibuat secepat mungkin. Pendekatan Sultan Kelantan adalah untuk mencari penyelesaian terbaik terhadap penentangan tidak mendapat sokongan daripada pihak British. Sebaliknya penasihat British mengesyakki Sultan bermain ‘double game’. Malahan pada satu ketika menuduh Sultan membantu golongan pemberontak. Laporan rasmi yang dihantar oleh pegawai British di Kelantan dan Singapura menyatakan Sultan berusaha meminimakan gerakan pemberontakan.

10-Sultan dikatakan sukar menerima cadangan menggunakan pasukan tentera yang dihantar dari
Singapura sebaliknya pada peringkat awal cukup dengan menggunakan menteri dan pasukan
tentera/pengawal sedia ada di Kelantan. Penasihat British hanya bersetuju dengan cadangan Sultan dengan mengenakan syarat pasukan tentera Sultan perlu digunakan untuk menamatkan penentangan sebelum ketibaan anggota tentera British dari Singapura. Sultan dan Langham-Carter, penasihat British kadang kala tidak boleh bertemu bertegur sapa disebabkan beberapa isu mengenai kaedah untuk menggunakan pasukan tentera bagi berhadapan dengan pemberontak.

11-Adalah dipercayai bahawa Sultan sebenarnya bersimpati terhadap pemberontak dan mahukan beliau sendiri menyelesaikan masalah ini tanpa campur tangan penasihat British. Dalam masa yang sama berlaku penyebaran khabar angin menambahkan lagi kesukaran pihak British menghadapi pemberontak. Dilaporkan terdapat separuh khabar angin berkenaan dikeluarkan oleh pemberontak, manakala sebahagian pula daripada pihak istana. Matlamat penyebaran berita palsu bertujuan untuk ‘confused’ dan melambatkan kedatangan pasukan tentera British ke Pasir Puteh. Cheah Boon Kheng berpendapat pihak pemberontak dan Sultan dilihat mempunyai pandangan yang sama.

12-Khabar-khabar angin yang disebarkan sewaktu pemberontakan di Pasir Puteh memberi kesan panik kepada penasihat British. Di antara 29 April hingga 5 Mei 1915 terdapat penyebaran dua khabar angin yang mengakibatkan penasihat British menganggap berlaku keadaan yang serius di Kelantan. Kepanikan ini membawa kepada tindakan beliau meminta bantuan tentera daripada Gabenor di Singapura dan memindahkan semua wanita dan kanak-kanak Eropah ke kawasan selamat di wilayah Siam. Langkah Langham-Carter meminta bantuan tentera telah dikritik.

Detik-Detik Perjuangan Tok Janggut

1-Pada 24 Mei 1915, Hj. Mohd Hassan bin Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut bersama hampir 1000 pengikutnya telah menyerang British di Pasir Puteh, Kelantan. Dalam serangan tersebut, Tok Janggut sendiri telah terkorban syahid bersama Tok Abas dan Tok Hussein serta beberapa orang pengikutnya.

2-Sepertimana kebanyakan sejarah Melayu yang lain, kekurangan catatan yang jelas menyebabkan timbulnya berbagai versi penceritaan. Maka masyarakat mula membina mitos dan legenda mengenai Tok Janggut. Cerita-cerita mula diadakan iaitu Tok Janggut sebagai ulama’ kepada pahlawan yang kebal ataupun ketua penjahat (Ring leader). Ada juga yang mempertikaikan sama ada Tok Janggut benar-benar terkorban dalam serangan tersebut atau apakah beberapa gambar yang dikatakan Tok Janggut itu benar-benar gambar beliau. Perkara utama yang menjadi perbezaan pendapat dalam kalangan pengkaji sejarah Tok Janggut ialah apakah sebab yang membawa kepada kebangkitan beliau dan pengikutnya menentang British.

3-Terdapat dua sebab yang selalu dibincangkan sebagai punca utama penentangan Tok Janggut, pertama tentangan terhadap kadar baru cukai tanah dan tanaman yang dikenakan ke atas penduduk Kelantan yang dianggap tidak munasabah dan membebankan penduduk. Kedua adalah disebabkan oleh perasaan tidak sukakan British yang dianggap berperang dengan kerajaan Turki. Kesungguhan daripada pemimpin agama khususnya Tok Janggut menyedarkan penduduk Melayu agar tidak menyokong sebarang kuasa yang berperang dengan kerajaan Turki. Pendirian Tok Janggut ialah keperluan bagi umat Islam bangun menentang penjajahan kafir yang mahu menghancurkan umat Islam. Malahan ia merupakan suatu pendirian yang dipegang oleh seluruh penduduk Islam di dunia. Mereka harus berperang mempertahankan kedudukan agama Islam.

4-Penentangan Tok Janggut adalah merupakan kesedaran politik antarabangsa digunakan bagi menggerakkan penentangan bercorak tempatan. Walaupun gerakan ini melibatkan penduduk di Kelantan, namun isu penentangan adalah untuk mempertahankan agama Islam dan hak penduduk tempatan. Ia berlaku ditengah-tengah kancah Perang Dunia Pertama yang sedang berlaku di Eropah. Kebimbangan pihak British ialah penentangan ini dijadikan sebagai satu gerakan yang berjaya menyedarkan penduduk di Tanah Melayu untuk bangun menentang mereka.

5-Oleh itu, walaupun penasihat British dilihat panik dengan perkembangan yang berlaku, namun permintaan beliau untuk menghapuskan penentangan ini diambil serius oleh pihak pemerintah British sehingga bertindak menghantar pasukan tentera yang cukup kuat untuk menamatkan pemberontakan. Pihak British mempunyai hanya satu kaedah sahaja bagi menamatkan pemberontakan ini iaitu dengan cara menghapuskan Tok Janggut dan pengikutnya dengan apa jua cara. British menggunakan kaedah yang sama bagi menghapuskan pemberontakan di India, dan juga pemberontakan anggota tentera di Singapura. Semua mereka dihukum bunuh.

6-Namun satu faktor yang jarang disebut mengenai penentangan Tok Janggut ialah satu rentetan dari cetusan kebangkitan Islam sedunia terhadap golongan penjajah yang mula menakluki negara umat Islam sejak tercetusnya Perang Dunia Pertama pada 1914. Kebangkitan Tok Janggut sebagai satu `jihad’ mempunyai kaitan dengan penglibatan Turki dalam Perang Dunia Pertama. Penentangan kerana memperjuangkan agama kemudiannya dikaitkan dengan isu cukai yang dikenakan serta sikap membenci British. Tok Janggut merupakan pemimpin awal yang mengaitkan ketidakadilan dasar British dengan perjuangan dalam bentuk jihad.

7- Pada 11 November 1914, Kerajaan Uthmaniyah mengeluarkan fatwa yang ditandatangani oleh Syeikhul Islam Khaiyri Effendi yang menyeru semua umat Islam yang ditindas oleh penjajah barat bangkit bersama kerajaan Turki. Fatwa ini lebih dikenali sebagai fatwa `Jihadul Akbar Farhu Ain’. Perkembangan ini mendapat perhatian umat Islam di Tanah Melayu terutama dari kalangan Kaum Muda. Orang Melayu melihatnya sebagai Perang Salib Baru yang dilancarkan ke atas Islam. Beberapa akhbar semasa terutama akhbar Neracha bukan sahaja memberi liputan perkembangan perang bahkan melancarkan tabung untuk membeli senjata kepada Turki.

8-Seterusnya Tok Janggut memahami dan memimpin pengikutnya pemahaman terhadap penjajahan ke atas negara umat Islam juga adalah satu bentuk jihad dalam Islam. Oleh isu cukai tanah menjadi sebab yang mencetuskan penentangan bersenjata oleh Tok Janggut dan penduduk Pasir Puteh terhadap penjajah British. Sikap pihak British dibenci kerana dianggap angkuh, merampas tanah, membonekakan Sultan, mengambil-alih pemerintahan negeri dan seringkali memanipulasikan keadaan untuk kepentingan mereka.

9-Perkembangan yang berlaku di Turki sering kali diberi perhatian oleh penduduk Tanah Melayu. Begitu juga keadaannya di Kelantan, yang menekankan soal agama Islam menyaksikan orang Melayu begitu mengambil berat dengan masalah yang menimpa kerajaan Turki Uthmaniah. Pihak British bimbang dengan sokongan penduduk Melayu kepada kerajaan Turki. Peristiwa Dahagi di Singapura (Singapore Mutiny) pada 15 February 1915 juga menunjukkan Tanah Melayu mengikuti perkembangan kerajaan Turki dalam Perang Dunia Pertama.

10-Tentera India Muslim di bawah arahan British telah memberontak apabila menerima
berita bahawa mereka akan dihantar untuk berperang melawan Turki. Arahan tersebut tidak
boleh diterima oleh orang yang beragama Islam untuk memerangi negara yang mempertahankan Islam. Anggota tentera yang memberontak telah ditangkap dan dibicarakan mengikut mahkamah tentera. Akhirnya seramai 47 orang telah dijatuhkan hukuman tembak sampai mati pada 25 Mac 1915.

11-Peristiwa ini tentunya menambah kebencian orang Melayu kepada British yang mahu menghapuskan solidariti masyarakat Islam mempertahankan agama mereka. Malahan kebangkitan penentangan Tok Janggut bukanlah merupakan satu peristiwa tempatan sepertimana yang cuba digambarkan oleh ramai sarja. Sebaliknya ia adalah merupakan satu “storm” dalam “world cup”. Peristiwa ini telah membuka mata masyarakat dunia mengenai apa yang berlaku di Kelantan. Ianya ada kebenaran sepertimana yang cuba dinyatakan oleh Sho Kuwajima:

Although it is true that the ‘wild stories’ spread in Kelantan, unless the
people in Kelantan and the men of the Fifth Light Infantry had something in
common in their perception of the European war, the mutiny in Singapore
could not have encouraged the peasants in Kelantan to rise in revolt against
the British on such a scale as it did
.

It was their critical view of the European
war that forced sacrifice on their lives without their agreement that was
shared by the people in Singapore and Malaya as well as throughout the
world. In this sense the peasant uprising in Kelantan of 1915 was not a storm
in a tea cup, but in the world cup. As was the Indian Mutiny in Singapore.

Kesimpulan

Kegagalan pemberontakan 1915 memberi kesan besar terhadap perkembangan semangat kebangsaan di kalangan penduduk di Tanah Melayu. Apa yang jelas berlaku mempamerkan bahawa pihak British akan menggunakan Sultan (atau pihak istana) untuk melangsungkan penguasaan mereka.

Kaedah yang digunakan oleh Tok Janggut menentang secara terbuka terhadap penguasaan British tidak akan berjaya kerana kuasa kolonial ini akan menggunakan kekuatan ketenteraan bagi menghapuskan penentangan. Malahan pihak British menggunakan alasan penentangan bersenjata bagi membolehkan mereka menghantar pasukan tentera untuk menghadapi ancaman tersebut.

Walaupun kebangkitan Tok Janggut tidak berjaya, namun ia telah memberi pengajaran yang cukup berguna kepada penduduk Tanah Melayu untuk tidak menggunakan kekerasan menentang kuasa kolonial ini. Selepas kegagalan penentangan Tok Janggut, tidak lagi berlaku penentanganbersenjata dalam kalangan penduduk Tanah Melayu.

Masyarakat lebih bijak menyusun strategi untuk menentang pihak British. Perubahan besar yang berlaku ialah mulanya tertubuh organisasi politik bagi melawan kehadiran pihak British. Perkembangan ini telah membawa penubuhan kesatuan Melayu di setiap negeri seperti Kesatuan Melayu Singapura yang ditubuhkan pada 1926. Pada tahun 1937 tertubuh pula Kesatuan Melayu Muda yang menggabungkan keahlian daripada seluruh Tanah Melayu. Kesatuan-kesatuan Melayu adalah merupakan wadah baru dalam perjuangan semangat kebangsaan. Walaupun bentuk perjuangan ternyata berubah namun penentangan Tok Janggut 1915 sering digunakan sebagai pengajaran dan membina semangat untuk menentang British.

Sumber:

Bernama. (2015). Arkib Negara Kesal Tok Janggut Masih Dianggap Penderhaka. Boleh didapati di, https://twitter.com/mkini_bm/status/6567799229002588l6

National Archives of Malaysia. 100 Tahun Memperingati Perjuangan Tok Janggut. Boleh didapati di, http://www.arkib.gov.my/en/web/guest/seminar-100-tahun-memperingati-perjuangan-tok-janggut