Tiye merupakan Isteri Diraja Agung bagi Amenhotep III, firaun Mesir yang sering dibandingkan dengan Louis XIV. Puteranya, Akhenaten merupakan salah satu pencetus kontroversi terbesar dalam sejarah firaun di Mesir. Tiye juga merupakan nenek kepada Tutankhamun, dan saudara perempuan kepada Ay. Beliau adalah salah seorang wanita yang paling berpengaruh dalam Mesir Purba. Apapun, namanya hilang dalam lipatan sejarah berkurun-kurun lamanya.

Tiye, yang juga dikenali sebagai Taia, Tiy dan Tiyi, dipercayai hidup pada suatu tempoh antara tahun 1398 – 1338SM. Kisah hidupnya diselubungi misteri, sama seperti figura-figura sejarah lain yang hadir dari zaman ini. Dunia kehidupannya tumbang bersama ibu kota yang diperintah oleh puteranya, Akhenaten, iaitu Amarna.

Menurut inskripsi-inskripsi purba, Tiye adalah puteri kepada Yuya dan Tuya. Beliau juga merupakan saudara perempuan kepada firaun Ay. Sebahagian ahli kaji Mesir purba berpendapat bahawa tiada kaitan yang wujud di antara Ay dan Tiye.

Namun, kedudukan saudaranya itu (yang juga dikenali sebagai Anen) dilihat menjadi bukti – Ay adalah Paderi Kedua Amun dan banyak mewarisi gelaran daripada Yuya. Selain daripada faktor-faktor ini, tiada sebab lain yang dapat menerangkan bagaimana Ay boleh meraih kedudukannya di dalam istana diraja. Dalam erti kata lain, beliau mempunyai kaitan (pertalian darah) dengan Yuya, Tuya dan Tiye.

Barangan kemas Mesir purba


MUMIA BERAMBUT CANTIK

Semasa Victor Loretin menemukan sebuah kamar yang menempatkan mumia-mumia pada tahun 1898, beliau menemui seorang mumia wanita yang memiliki rambut yang mengurai panjang lagi cantik – suatu ciri yang amat jarang dilihat pada seorang mumia. Pada tahun 2010, ujian-ujian DNA yang dijalankan oleh pasukan dari Supreme Council of AntiquitiesNational Geographic dan Siemens mendapati bahawa ‘Wanita Tua’ cantik yang ditemukan di KV35 ini adalah Ratu Tiye. Penyelidikan juga mendapati bahawa mumia wanita itu adalah nenek kepada Tutankhamun, ibunda kepada Akhenaten dan seorang mumia wanita lain yang ditemui di KV35, yang digelari ‘Cik Puan Muda’.

Mumia Ratu Tiye, kini disimpan rapi di Muzium Mesir


Mumia Ratu Tiye ini ditemui dalam keadaan tidak berbalut atau berbungkus. Jasadnya mengalami kerosakan teruk akibat petualangan pencuri-pencuri purba yang menceroboh makamnya. Seluruh abdomen bahagian depan, termasuklah rongga dadanya mengalami kerosakan. Mumia beliau ditemui dan diperincikan oleh G.E. Smith sebagai wanita berusia pertengahan yang ditemui dalam keadaan tangannya mengulur atau menegak di sisinya, dengan tapak tangan kanan diletakkan di peha kanan. Namun, tangan kirinya pula disilangkan ke atas dada sekaligus mengisyaratkan bahawa beliau berkemungkinan memegang sesuatu semasa dikebumikan. 

Perincian ini adalah petanda awal yang mengisyaratkan bahawa beliau adalah seorang ratu. Gigi dan rambutnya berada dalam keadaan yang sangat terpelihara. Pun begitu, mumia ini dikebumikan semula di KV35 tanpa membawa bersama sebarang barangan pengebumian. Bahkan, pihak yang menguburkannya semula langsung tidak membalut atau membungkus semula jasadnya.

Ratu Tiye berkemungkinan pada asalnya dikebumikan di Amarna, makam diraja Akhenate. Akhenaten dan Maetaten (cucunya) dikebumikan di sisinya. Kuil pengebumian bersepuh emas tempat di mana Tiye ditemui berada bersama Akhenaten ditemui di makam KV55 9 (pemakaman terakhir Akhenaten). Namun, shabtis beliau ditemui di makam WV22 – makam milik Amenhotep III.

PENASIHAT DAN ORANG KEPERCAYAAN YANG BIJAK

Tiye diyakini sebagai seorang penasihat yang berkhidmat untuk Amenhotep III dan Akhenaten. Kedudukannya di istana kedua-dua firaun ini agak tinggi. Beliau berkahwin dengan Amenhotep pada tahun kedua pemerintahannya. Ketika itu, mereka berdua masih kanak-kanak namun meluangkan seluruh kehidupan secara bersama. Tiye muncul dalam sejarah sebagai seorang penasihat yang bijak dan wanita yang paling penting dalam istana Amenhotep. Beliau turut menjadi individu yang penting semasa zaman pemerintahan puteranya.

Patung besar Amenhotep III


Amenhotep dan Tiye mempunyai beberapa orang anak. Namun tidak dapat diketahui bagaimana kebanyakan anak mereka melepasi usia kanak-kanak. Tiye juga berkemungkinan merupakan ibunda kepada puteri tertua firaun, iaitu Sitamun. Tiye diangkat kedudukannya sebagai Isteri Diraja Agung semasa zaman pemerintahan Amenhotep. Antara puterinya yang lain termasuklah Isis, Henuttaneb, dan Nebetah (yang mungkin adalah individu yang sama dengan puteri Baketaten). Beliau setidak-tidaknya mempunyai dua orang putera, zuriat bersama Amenhotep. Putera pertama adalah Thutmose si Paderi Tinggi Ptah manakala putera kedua pula dilahirkan sebagai Amenhotep IV, namun dikenali dalam sejarah sebagai seorang raja yang mencetuskan revolusi, iaitu Akhenaten.

Isteri Diraja Agung Tiye, ibu pemimpin Dinsati Amarna – kini disimpan di Muzium Neues

Amenhotep merupakan seorang firaun yang lasak, banyak meluangkan masanya di luar dan amat bertuah kerana dikurniakan seorang isteri yang sanggup mengikutnya. Istana mereka dilimpahi kekayaan, dan semasa hayat Tiye, Mesir kelihatan seolah-olah sebuah tapak pembinaan yang besar. Diyakini bahawa hubungan yang terjalin antara pasangan ini tidak hanya sekadar berpasak pada perkongsian zuriat. Tiye merupakan seorang wanita yang berpendidikan, selayak seorang raja. Beliau merupakan penasihat dan orang kepercayaan suaminya. Beliau tersenarai dalam lingkungan kecil kepercayaan Amenhotep III. 

Sumber-sumber yang ada menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang bijaksana, yakin diri dan amat berpengarh. Tiye memainkan peranan yang aktif dalam politik Mesir, hubungan antarabangsa dll. Beliau adalah ratu pertama Mesir yang dikenali, yang namanya muncul dalam tindakan-tindakan rasmi kerajaan. Sejarahwan mendapati bahawa pemerintah kerajaan Mitanni yang bernama Tushratta pernah berutus surat dengan Tiye.

Tiye dipuja sebagai dewi Hathor-Tefnut di kuil yang terletak di Sedeinga, Nubia. Terdapat sejumlah makam suci yang dibangunkan sebagai dedikasi untuknya. Terdapat juga tasik buatan yang dibina pada tahun ke-12 pemerintahan Amenhotep khusus untuknya

PENAMAT HIKAYAT

Tatkala Amenhotep mangkat selepas memerintah selama 39 tahun, Tiye menguruskan pengebumiannya di Lembah Raja-Raja, tepatnya di sebuah makam yang kini dikenali sebagai WV22. Tiye sendiri kemudiannya mangkat, diperkirakan pada tahun ke-12 pemerintahan Akhenaten (sekitar 1338SM). Dipercayai bahawa punca kemangkatannya itu adalah disebabkan oleh wabak penyakit. Pada waktu-waktu yang sekitar sama itu jugalah ramai figura sejarah yang sezaman dengan Tiye hilang dari lembaran sejarah.

Ratu Tiye, yang suaminya, Amenhotep III mungkin digambarkan berada di sebelahnya pada patung yang telah hancur ini

Beliau mangkat pada usia sekitar 50 tahun. Tidak lama selepas kemangkatannya, Akhenaten kehilangan autoriti pemerintahannya dan bandarnya mula hilang pengaruh. Zaman tersebut masih memegang banyak rahsia untuk diungkapkan oleh sejarah, namun sejarahwan meyakini bahawa Tiye adalah individu penting dalam istana Mesir purba. Berikutan kemangkatannya, sebuah zaman pun menemui penamatnya. Kemangkatan Tiye boleh dianggap sebagai petanda berakhirnya kegemilangan Dinasti Ke-18.

TERJEMAHAN:

Natalia Klimczak. (6 Mac 2016). Tiye: One of the Most Influential Women of Ancient Egypt. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/tiye-one-most-influential-women-ancient-egypt-005481


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.