Tivi – Satira Kejutan Budaya

0
404
views

SN Shahnon Ahmad tidak perlu diperkenalkan lagi kepada khalayak. Pemergiannya pada tahun 2017 sangat dikenang. Karya yang ditulis oleh beliau antaranya ialah Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge, Sampah, Tivi, dan banyak lagi. Penulisan beliau juga agak bersifat sarkastik terutamanya di dalam novel Tivi ini.

Jetpack Langkawi

Di dalam novel Tivi ini, pembaca boleh melihat pada permulaan cerita keluarga Mat Isa adalah sebuah keluarga biasa. Yang mengamalkan ciri-ciri orang kampung seperti menebas rumput, menjaga kerbau, menanam tanaman, dan lain-lain aktiviti. Sehinggalah Chah bekerja ke Sungai Petani di kilang skru. Melalui bahasa satira yang digunakan dalam novel ini, pembaca sudah pasti boleh ‘menangkap’ ayat-ayat satira seperti ‘sembahyang boleh dibuat di mana-mana saja.’ dan lain-lain. Kisah ‘haruan makan anak’ ini dikatakan menjadi input di dalam cerita ini meskipun ia sedikit erotik.

Chah yang bekerja di kilang skru membelikan TV untuk keluarga Mat Isa. Chah yang telah bekerja di kilang skru juga telah banyak berubah melalui segi pemakaiannya yang ketat sehingga membuatkan nafsu Mat Isa membuak-buak. Chah juga membawa pulang pakaian yang ketat dan diberikan kepada Jeha, ibunya dan juga Hasanah. Dari sini kita dapat lihat, Chah membawa pulang budaya sosial ke dalam keluarganya. Bagi Chah, itu perkara biasa dan minda orang kampung adalah jumud kerana tidak dapat menerima perubahan yang baru itu.

Soalnya, adakah budaya sosial yang dianggap biasa oleh Chah itu sebenarnya merupakan malapetaka buat keluarga Mat Isa? Pada awalnya, keluarga Mat Isa dikatakan mengamalkan ajaran agama dengan baik. Adakah mereka mangsa akibat perbuatan Chah? Chah membawa pulang TV yang mempunyai pengaruh yang kuat kepada seluruh keluarganya. Kehadiran TV mengubah cara hidup seluruh keluarga Mat Isa. Kejutan budaya berlaku pada seluruh ahli keluarga ini.

Mat Isa juga sering membayangkan anaknya di dalam fikirannya dalam bentuk yang ‘bukan-bukan’. Betapa besarnya pengaruh TV sehinggakan Mat Isa juga ‘menginginkan’ anaknya. SN Shahnon Ahmad bijak membawa satira sinis sehinggakan pembaca akan tersengih sendiri melihat gelagat Mat Isa.

Mesej satira Islam juga ditonjolkan di dalam novel ini. Lihat sajalah Mat Isa dan Hassan yang tidak pergi solat jumaat semata-mata untuk menyambut kedatangan TV yang dikatakan sebagai tetamu istimewa. Antara naratif satira yang digunakan ‘Masjid boleh tunggu. Minggu depan pun, penghulu segala hari itu akan datang juga.’ Memang benar, setiap minggu jumaat akan datang. Tetapi, adakah sempat kita berjumpa dengan hari jumaat setiap minggu? Juga, boleh dilihat ketika Mat Isa sanggup menggunakan sejadah bergambar Kaabah sebagai lapik untuk meletakkan TV diatasnya.

Setelah TV diletakkan di dalam rumah, keluarga Mat Isa berubah sama sekali. Jarang sekali keluarga mereka bermasyarakat sehinggakan mereka menangguh setiap kerja harian mereka. Rumput menjadi panjang, ikan tidak dijala, kerbau dibiarkan sehingga masuk ke kampung orang dan disiram cuka. Mata mereka sekeluarga tidak ralit daripada menonton TV sehingga mereka lupa untuk buang air besar dan kecil.

Perubahan ini juga dilihat oleh orang kampung sendiri. Orang kampung juga menyangka Mat Isa sakit padahal Mat Isa tidak sanggup meninggalkan TV di rumahnya.

Semakin lama, semakin teruk Mat Isa. Pandangan Mat Isa juga berubah sama sekali. Setiap kali Chah berada di rumah, pandangan Mat Isa tidak beralih terhadap Chah dan juga Hasanah. Mat Isa berperang dengan perasaannya. Jeha terpaksa melayan karenah Mat Isa dengan keadaan luar biasa akibat terpengaruh dengan TV. Apa yang ditonton oleh Mat Isa, itulah yang akan dibuat olehnya.

Chah juga membawa pulang Jefri ke rumahnya. Tanpa segan silu, mereka bercium di hadapan keluarga Mat Isa. Mat Isa yang tidak tahu apa-apa menganggap budaya yang dibawa oleh Chah itu adalah perkara yang biasa di bandar. Sehinggakan Chah tidur sebilik bersama-sama Jefri pun, Mat Isa tidak berbuat apa-apa sebagai seorang ketua keluarga dek kerana ketandusan ilmu agama. Perkara ini jelas ditekankan bahawa sebagai seorang ketua keluarga, perlu menjadi seorang yang berilmu supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang luar.

Tontonan mereka sekeluarga juga dipaparkan dengan babak ciuman yang dijadikan tontonan seisi keluarga. Sehinggalah Chah membawa pulang pita video yang memaparkan aksi lucah ‘luar biasa’ yang membuatkan seluruh keluarga Mat Isa terdiam. Mat Isa yang tidak dapat mengawal diri telah menyetubuhi anaknya Chah. Kemudian, apabila Chah sudah pulang ke Sungai Petani, giliran Hasanah pula menjadi mangsa Mat Isa. Akibatnya, seluruh keluarga Mat Isa dipanah petir termasuklah Hasanah, Jeha dan juga Hassan yang cuba mempertahankan TV daripada dipanah petir. Chah pula selamat kerana dia sememangnya sudah pun ‘rosak’.

Setiap gaya bahasa dan garapan yang digunakan di dalam novel ini sangat bijak. Pengaruh yang dibawa oleh Chah melalui TV perlahan-lahan mengikis perikemanusiaan Mat Isa dan keluarganya. TV menjadi racun kepada seluruh ahli keluarga Chah. Kehidupan dan minda mereka sekeluarga rosak sama sekali. Boleh dikatakan seluruh ahli keluarga ini telah terkena kejutan budaya. Sewajarnya TV itu tidak perlu dipersalahkan sama sekali kerana yang mengawal setiap punat TV itu ialah manusia sendiri.

Pengaruh media sosial pada masa kini juga tidak boleh dikawal sama sekali. Realitinya, batas-batas agama dipandang enteng sehinggakan perkara sumbang mahram ini berleluasa. Ketipisan nilai-nilai agama sewajarnya dibendung supaya ia tidak mencemar seisi keluarga. Untuk merasai sendiri satira SN Shahnon Ahmad ini, penulis menggalakkan pembaca membaca sendiri novel ini kerana nilai-nilai yang dibentangkan oleh SN Shahnon Ahmad tersangat mencabar minda.