Titik Nemo: Kawasan Lautan Paling Sunyi

6,311

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Minggu lalu, aku bersama seorang sahabat masuk ke sebuah kawasan hutan untuk keluar dari suasana hiruk pikuk bandar konkrit Kuala Lumpur.

Kawasan tersebut boleh dikatakan masih ‘dara’ dan hanya mempunyai kesan yang minima dari aktiviti manusia. Di dalam hutan itu, terdapat beberapa buah binaan bangunan dari zaman 1920an. Berdasarkan rupa bentuknya yang usang, menjadi tanda bahawa ia telah lama ditinggalkan.

Keadaan dan suasana hutan yang kami berdua masuk itu sangat tenang dan damai serta tanpa sebarang bentuk pencemaran bunyi. Kami berdua cuma dapat mendengarkan air sungai yang mengalir, burung-burung yang kadangkala berkicauan, ranting dan dahan pokok serta buah-buahan yang gugur ke lantai hutan.

Perkara ini membuatkan aku tertanya, ada tak kawasan kosong, sunyi dan terpencil seperti ini di lautan? Namun bila difikirkan semula, sudah tentulah wujud tempat sebegini di lautan yang luas dan meliputi lebih daripada 70% permukaan planet bumi. Dan salah satu daripada lokasi terpencil itu, adalah satu kawasan yang dikenali oleh komuniti saintifik sebagai..

“Oceanic Pole of Inaccessibility” atau Point Nemo.

Bagaimana ia mendapat nama?

Oleh kerana nama rasminya yakni “Oceanic Pole of Inaccessibility” itu agak panjang, kawasan ini lebih dikenali umum dan digelar sebagai Point Nemo, atau Titik Nemo dalam Bahasa Melayu.

Nama tersebut diberikan bersempena nama watak seorang pelaut iaitu Kapten Nemo, di dalam sebuah novel fiksyen Jules Verne, yang berjudul “20,000 Leagues Under The Sea”.

Yang menariknya, perkataan Nemo itu sendiri di dalam bahasa Latin bermaksud “tiada-siapa”, nama yang sangat sesuai untuk satu lokasi yang sangat terpencil dan jarang dilalui oleh kapal-kapal laut.

Lokasi Titik Nemo ini terletak 2681 kilometer jauhnya dari sebarang bentuk daratan yang terdekat seperti berikut;

– Di bahagian utara adalah Pulau Ducie, yang merupakan salah satu daripada gugusan Pulau Pitcairn. Terletak 2681 kilometer jauh dari pusat Titik Nemo.

– Di bahagian timur laut, adalah Pulau Motu Noi. Ia adaalah salah satu daripada gugusan Pulau Easter, yang juga terletak 2681 kilometer jauh dari pusat Titik Nemo.

– Manakala di bahagian selatan, adalah Pulau Maher. Sebuah pulau yang berada di luar persisiran pantai benua berais Antartika, 2694 kilometer jauh dari pusat Titik Nemo.

– Di bahagian barat adalah negara New Zealand yang terletak 4795 kilometer jauh, manakala negara dari arah timur pula adalah Chile, yang terletak 4223 kilometer jauhnya dari pusat Titik Nemo.

Selain daripada faktor kedudukannya yang jauh dari daratan, kedalaman atau dasar Titik Nemo ini berada pada paras 4000 meter dari permukaan laut, melebihi purata kedalaman lautan di bumi yakni 3688 meter. Kecuali, beberapa kawasan lautan ‘istimewa’ seperti di Jurang Mariana yang berkedalaman 10,911 meter.

Kalau anda mahu pergi menjelajah ke Titik Nemo; kordinatnya: 48°52.6′S 123°23.6′W

Jangan lupa buat Vlog ya?

Lokasi Titik Nemo

Siapa yang menemui Titik Nemo ini?

Sejak sekian lama, pakar-pakar dari seluruh dunia telah mula membahaskan dan mencuba untuk menjawab satu persoalan berkenaan geografi lautan iaitu, “Di mana letaknya titik tengah lautan bumi?”.

Dan disebabkan oleh kekangan yang wujud dari segi peralatan berteknologi tinggi pada waktu itu, persoalan tersebut bagaimanapun tidak terjawab dan menjadi sebuah misteri buat sekian lamanya.

Namun pada tahun 1992, titik paling tengah dan terpencil di lautan atau “Oceanic Pole of Inaccessibility” ini akhirnya berjaya ditemukan dan ditentukan lokasinya oleh Hrvoje Lukatela, seorang jurutera dari negara Croatia.

Yang menariknya, penemuan tersebut dibuat beliau bukanlah melalui cara ekspedisi dengan menaiki kapal, atau mengira jarak (pusat Titik Nemo) dari pulau terdekat menggunakan sebatang pembaris.

Tetapi, ia dibuat melalui pengiraan perisian komputer yang maju dan berteknologi tinggi, dengan mengambil kira bentuk planet bumi untuk ketepatan yang jitu.

Jarak Titik Nemo dari daratan yang ‘terdekat’

Lebih Hampir Kedudukannya Dengan Angkasawan?!

Titik Nemo yang lokasinya sangat jauh dari mana-mana daratan atau peradaban manusia, membuatkan manusia yang berada paling hampir dengannya, adalah angkasawan yang berada di dalam Stesyen Angkasa yang melintas kawasan ini ketika sedang mengorbit bumi.

Ini kerana, Stesyen Angkasa Antarabangsa atau International Space Station (ISS) itu mengorbit bumi pada ketinggian maksimum 416 kilometer. Sedangkan, daratan yang paling hampir dengan Titik Nemo adalah Pulau Ducie (2681 km).

Kebanyakan daripada agensi angkasa menggelar Titik Nemo dan kawasan yang berhampiran dan sama waktu dengannya, sebagai sebuah “Kawasan Tidak Berpenghuni Lautan Pasifik Selatan”. Oleh kerana, kawasan ini terpencil dan tidak dihuni manusia, serta ia tidak menjadi sebuah laluan perkapalan yang sibuk.

Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa pelbagai agensi angkasa seluruh dunia sudah sangat mengenali Titik Nemo. Oleh kerana, tempat ini telah lama menjadi ‘pusat pelupusan sampah’ atau ‘perkuburan kapal angkasa’ bagi agensi-agensi angkasa, terutamanya bagi agensi angkasa Jepun, Rusia, Eropah dan NASA (Amerika Syarikat).

Serpihan sampah angkasa yang mengorbit bumi

Bagaimana Agensi Angkasa Melupuskan Satelit, Kapal dan Stesyen Angkasa?

Seperti mesin-mesin yang lain, satelit, kapal dan stesyen angkasa juga mempunyai jangka hayatnya yang tertentu, serta tidak berkemampuan untuk berfungsi selama-lamanya. Sama ada tugasnya untuk mengambil data cuaca, mengukur kuantiti gas rumah hijau dalam atmosfera, atau mengkaji serta memerhatikan bintang dan planet yang terletak jutaan kilometer dari bumi.

Jadi apakah yang terjadi kepada satelit, kapal dan stesyen angkasa yang sudah ‘sampai usianya’ ini?

Terdapat dua cara yang berbeza untuk melupuskan dan membuang mesin-mesin berteknologi tinggi ini berdasarkan lokasi atau di mana ia berada dan ia adalah seperti berikut:

1. Bagi satelit, kapal dan stesyen angkasa yang kedudukannya berada hampir dengan bumi, para jurutera agensi angkasa akan terlebih dahulu menentukan lokasi (di bumi) di mana ia hendak dilupuskan terlebih dahulu. Kemudian, baki bahanapi yang terkandung di dalam tangkinya akan digunakan untuk menghidupkan roket balas, bagi mendapatkan kuasa tujahan berlawanan demi untuk memperlahankan kelajuan. Setelah ia tiba di kedudukan yang dan kelajuan yang telah ditetapkan, ia akan turun sendirinya dari orbit dan mula masuk ke dalam atmosfera bumi.

2. Manakala bagi satelit, kapal dan stesyen angkasa yang kedudukannya jauh dengan bumi, ia memerlukan bahan api yang lebih banyak untuk membawanya turun dari orbit dan memasuki atmosfera bumi. Justeru, penyelesaian yang lebih praktikal dan menjimatkan kos adalah dengan menghantarnya lebih jauh dari bumi ke angkasa lepas. Namun disebabkan perkara ini juga lah, terdapat pembentukan yang dikenali sebagai ‘serpihan sampah angkasa’ (space debris) yang sedang mengelilingi bumi pada saat ini. Walau bagaimanapun, NASA dan pelbagai agensi angkasa kini sedang giat menjejak serpihan yang cukup besar untuk dikesan, dan akan memulakan operasi pembersihan dalam masa terdekat.

Antara beberapa sisa angkasa yang dilupuskan di Titik Nemo

Perkuburan Mesin Angkasa

Seperti yang telah dinyatakan di atas, satelit, kapal dan stesyen angkasa yang kedudukannya hampir dengan bumi, akan diperlahankan kelajuan, seterusnya turun dengan sendiri dari orbit dan memasuki atmosfera bumi. Dan kedudukan yang telah ditentukan oleh jurutera untuk mesin-mesin ini turun sebenarnya adalah di Titik Nemo.

Titik Nemo telah menjadi satu kawasan di mana ratusan daripada kapal angkasa yang telah dinonaktifkan (decommisioned), ‘dikuburkan’ di sana. Dari sekecil-kecil satelit, sehingga ke kapal kargo angkasa dan Stesyen Angkasa yang sangat besar saiznya.

Sejak dari awal penggunaan Titik Nemo sebagai sebuah lokasi ‘perkuburan angkasa’ dan pada tahun 1971, dianggarkan bahawa, lebih daripada 260 sisa angkasa terdiri daripada pelbagai saiz, telah dibuang di sana.

Setakat ini, sisa angkasa terbesar yang telah disemadikan di Titik Nemo adalah sebuah Stesyen Angkasa yang diberi nama “Mir”, milik Rusia. Stesyen angkasa seberat 129 tan itu telah dinonaktifkan pada tahun 2001. Dan dikhabarkan bahawa, pada masa akan datang, Stesyen Angkasa Antarabangsa atau ISS seberat 240 tan yang masih lagi digunakan pada saat ini, juga bakal disemadikan di Titik Nemo apabila ia dijadualkan untuk dinonaktifkan pada tahun 2024.

“Eh kejap, bukan ke filem tunjuk kalau kapal angkasa masuk atmosfera, ia boleh terbakar menjadi debu-debu berterbangan dibantu oleh angin bayu bertiup lembut di tepi pantai?”

Betul telahan kau tu. Satelit, kapal, stesyen angkasa mahupun asteroid atau meteor, akan terbakar apabila memasuki atmosfera bumi, seperti di dalam filem “Armageddon” dan “Kimi No Nawa” menjadi satu ‘pertunjukan bunga api’. Dan sebahagian besar daripada komponen sebuah mesin yang menjadi bukti kepada penjelajahan angkasa oleh tamadun manusia ini, tidak mempunyai struktur yang mampu untuk bertahan 100%, atau dalam bahasa mudahnya, seketul tu elok je jatuh ke bumi dari angkasa.

Namun begitu, terdapat beberapa komponen yang mampu untuk bertahan daripada suhu tinggi yang terhasil akibat kemasukan semula ke atmosfera (“re-entry”), dan ia adalah tangki bahan api dan pod bertekanan tinggi yang kebanyakannya diperbuat daripada aloi titanium atau besi gred tinggi yang menjadi sebahagian daripada sistem bahan api itu sendiri. Sudah tentu la kan saintis kena buat bahagian penting dan mengandungi bahan mudah terbakar ni kalis suhu tinggi.

“Tapi kan, apa jadi pada satelit, kapal dan stesyen angkasa serta komponen-komponen yang jatuh ke dasar laut ni? Tak menjejaskan hidupan laut ke?”

Bagus kau mempunyai pemikiran cintakan alam macam ni. Tapi jangan risau, kerana menurut saintis dan pakar-pakar yang terlibat, ia tak membahayakan hidupan laut pun. Kerana, seperti kapal-kapal lain yang karam di lautan, ia menjadi sebuah tukun atau habitat baru untuk hidupan laut yang berada di dasar. KECUALI, kalau ada sisa bahan api yang bocor dari tangki seterusnya mencemarkan kawasan tersebut.

Berikut adalah beberapa satelit, kapal, stesyen angkasa dan komponen-komponen yang telah dilupuskan di Titik Nemo:

– Roket Space-X
– Kapal kargo Agensi Angkasa Eropah (E.S.A). Termasuk ATV Jules Verne
– Kapal kargo angkasa HTV Jepun
– 140 buah kapal kargo angkasa Rusia
– Stesyen Angkasa “Salyut” Rusia
– Stesyen Angkasa “Mir” Rusia

Stesyen Angkasa “Mir” milik Rusia
Kapal Kargo HTV milik Jepun
(ATV) Agensi Angkasa Eropah yang diberi nama Jules Verne

Bunyi Kentut atau Perut Godzilla?!

Pada tahun 1997, ahli oseanografi dan para pengkaji di dalam bidang berkaitan sedang mengkaji aktiviti gunung berapi dan gempa bumi bawah laut yang terletak di bahagian selatan Lautan Pasifik.

Dan pada suatu hari, mereka berjaya merakam satu bunyian aneh lagi pelik yang juga sangat kuat, datangnya dari bawah laut. Ia juga lebih kuat berbanding bunyi yang dihasilkan oleh haiwan terbesar pernah wujud di bumi, yakni Paus Biru atau nama saintifiknya, Balaenoptera musculus.

Bunyian tersebut berjaya dirakamkan menggunakan hidrofon atau mikrofon bawah laut yang telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik sepanjang 3,219 kilometer merentasi Lautan Pasifik.

Seterusnya, insiden ini bukannya berlaku sekali sahaja. Turut dilaporkan bahawa, terdapat beberapa bunyian yang telah direkodkan yang mana gelombangnya sangat mirip antara satu sama lain. Dan ini adalah satu perkara yang tidak pernah dialami dan direkodkan saintis sebelum ini.

Sejak dari kejadian itu, saintis menggelar bunyian tersebut sebagai “The Bloop”. Walau bagaimanapun, penemuan ini mencetus satu persoalan yang baru. Iaitu, “Apakah punca atau mungkin ‘haiwan’ yang menghasilkan bunyian ini?” Pasukan pengkaji dari National Oceanic Atmospheric Administration (NOAA), khususnya saintis yang bertugas di Pacific Marine Environmental Laboratory (PMEL), sangat berhasrat untuk menentukannya.

Namun dengan 95% daripada lautan itu masih lagi tidak diterokai oleh manusia, penemuan ini telah mencetus pelbagai teori dan spekulasi. Misalnya, ada yang berkata “The Bloop” itu terhasil disebabkan oleh latihan rahsia tentera yang bertempat di bawah laut.

Malah, ada juga yang beranggapan bahawa, bunyian tersebut dihasilkan oleh haiwan gergasi dari mitos atau fiksyen contohnya “Leviathan” Si penjaga Atlantis, “Kraken” Si sotong gergasi, dan “Cthulhu” Si makhluk gergasi lautan dari novel seram fiksyen “The Call of Cthulhu” oleh Howard Phillips Lovecraft.

Tahun demi tahun berlalu, misteri yang menyelubungi punca bunyi “The Bloop” itu tidak dapat diselesaikan. Namun saintis terus menggiatkan lagi usaha mereka dalam kajian tentang gunung berapi dan gempa bumi bawah laut dengan menempatkan lebih banyak hidrofon. Dan kali ini, hidrofon tersebut ditempatkan lebih hampir dengan benua berais Antartika.

Usaha mereka itu akhirnya tanpa sengaja membuahkan hasil pada tahun 2005, setelah berupaya untuk menentukan punca bunyian “The Bloop”. Dan ia sebenarnya berpunca daripada gempa ais (icequake), atau dalam erti kata lain, bunyian yang terhasil akibat aisberg yang sangat besar meretak dan terpisah daripada glasier Antartika.

Untuk pengetahuan kau, apabila aisberg tersebut meretak, ia menghasilkan satu bunyian yang kuat dan berfrekuensi rendah. Dengan fenomena pemanasan global, yang mencatatkan peningkatan suhu saban tahun, lebih banyak bunyian seumpama “The Bloop” telah direkodkan akibat ais meretak, terpisah dan akhirnya mencair di lautan.

Jadi, sekiranya Titik Nemo yang terpencil ini bukan menjadi kediaman raksasa gergasi di dalam mitos, organisma atau haiwan apakah yang dapat ditemui di sana? Menurut seorang ahli oseanografi yang dikenali dengan nama Steven D’Hondt, dari Universiti Rhode Island, tidak banyak hidupan yang dapat ditemui di sana.

Infografik berkenaan saiz dan berat Paus Biru. 200,000 kilogram gais.
Antara fungsi hidrofon atau mikrofon bawah laut.
Thalassophobia
Lakaran raksasa laut “Cthulhu” oleh H.P Lovecraft.

Mengapa Tidak Banyak Hidupan Di Titik Nemo?

Ini kerana Titik Nemo terletak di dalam satu pusaran yang dikenali sebagai “South Pacific Gyre”. Di dalam bidang oseanografi, “gyre” itu merujuk kepada satu sistem besar arus lautan.

Sistem Arus Lautan Pasifik Selatan ini bergerak dari timur – barat dari benua Amerika Selatan sehingga ke Australia, kemudian ke arah utara sehingga ke garisan khatulistiwa. Dan dari khatulistiwa, menuju ke selatan untuk bertemu dengan Arus Lilitan Antartik yang kuat.

Walaupun Titik Nemo berada di dalam satu pusaran arus lautan yang kuat, perairan yang berada di dalam pusaran ini bagaimanapun stabil. Dengan suhu permukaannya berada pada paras 5.8 darjah Celsius, menurut data yang didapatkan dari satelit NASA.

Walau bagaimanapun, pusaran arus lautan yang kuat ini juga bertindak menghalang air laut yang sejuk dan diperkaya dengan nutrien dari luar pusaran memasuki kawasan ini. Selain itu, disebabkan kawasannya yang terpencil dan jauh dari daratan, tiupan angin tidak cukup kuat untuk membawa bahan organik atau nutrien dengan banyak melalui udara.

Sehubungan itu, sumber makanan tidak mencukupi untuk menampung keperluan haiwan dan organisma sekiranya haiwan-haiwan ini menetap di Titik Nemo. Dan sekiranya tiada haiwan yang berada hampir dengan permukaan laut, sudah tentu tiada haiwan di kawasan lautan berkedalaman 4000 meter tersebut.

Masih ingat artikel aku yang bertajuk “5 Zon Lautan”? Prinsip sumber makanan dari artikel itu boleh diaplikasikan di sini. Ini kerana, haiwan-haiwan yang berada di laut dalam, bergantung harap kepada cebisan dan sisa organik yang jatuh dari kawasan berada hampir dengan permukaan sebagai sumber makanan. Jadi, seperti perkara-perkara yang telah dinyatakan, saintis mengenali kawasan Titik Nemo sebagai satu kawasan yang kurang aktif dari segi biologi, berbanding kawasan lautan lain.

Berikut adalah antara beberapa sistem pusaran air laut (gyre) yang berada di lautan.

TETAPI…

Masih ada kawasan-kawasan ‘istimewa’ berhampiran Titik Nemo di mana hidupan itu dapat meneruskan kelangsungan hidupnya di sebalik kekangan sumber makanan yang dihadapi. Ini kerana, Titik Nemo terletak berhampiran bahagian paling selatan “East Pacific Rise”, yakni satu garisan lembah dan gunung berapi dasar laut yang menjangkau sehingga ke Selat California.

Garisan tersebut menandakan sempadan antara plat tektonik Pasifik dan plat tektonik Nazca yang senantiasa mengalami pergerakan dan terpisah sedikit demi sedikit dengan masa. Disebabkan pemisahan plat tektonik itu juga, magma dari perut bumi dapat memenuhi ruang di antara kedua-dua plat tektonik tersebut, menjurus kepada pembentukan bolong hidrotermal yang memuntahkan air yang diperkaya dengan mineral dan juga sangat panas.

Kawasan yang ekstrem ini berada di dasar laut, namun bakteria berkemampuan untuk hidup dan berkembang biak dengan jayanya di persekitaran tersebut, dari sumber tenaga yang didapatkan dari bahan kimia atau mineral dilepaskan oleh bolong hidrotermal tersebut. Bakteria ini seterusnya memberi manfaat, atau dalam erti kata lain, menjadi sumber makanan kepada haiwan yang lebih besar misalnya “Ketam Yeti”, yang pertama kali ditemukan pada tahun 2005. Dinamakan Yeti berdasarkan fizikalnya yang berbulu dan berwarna putih.

Pada aku lah kan, pasti ada lagi hidupan-hidupan aneh yang masih lagi menanti untuk ditemui menetap di dasar laut Titik Nemo. Namun disebabkan ia terlalu terpencil dan sukar untuk diakses, membuatkan sebarang ekspedisi penjelajahan dan kajian itu memakan kos yang sangat tinggi.

Garisan lembah dan gunung berapi dasar laut “East Pacific Rise”.
Plat Tektonik.
Pertembungan Plat Nazca dan Plat Amerika Selatan yang membentuk Banjaran Andes.
Ilustrasi Bolong Hidrotermal, Magma memanaskan air, lalu memuntahkannya semula sebagai bahan yang diperkaya dengan mineral.
Bolong Hidrotermal dasar laut.
Ketam Yeti

Dan selain daripada aktiviti perlumbaan kapal layar dianjurkan pada setiap tahun, yang melalui Titik Nemo, tidak banyak ‘pelawat’ yang berkesempatan untuk ‘melawat’ satu kawasan yang jauh dari peradaban manusia

Malangnya..

Kawasan yang jauh dari manusia seperti di Titik Nemo juga tidak asing dari sampah sarap. Dilaporkan bahawa terdapat satu pengumpulan sampah yang sangat besar terkandung di dalam Pusaran Arus Pasifik Selatan.

Majoriti isi kandungan ‘pulau sampah’ itu terdiri daripada sisa plastik seperti polistrin, tali pancing dan sebagainya. Dan disebabkan sistem pusaran arus laut itu juga, sampah-sampah ini terperangkap.

Kebimbangan mengenainya mula timbul apabila seorang ahli biologi mengutarakan pendapat beliau dengan berkata bahawa, sampah-sampah itu bakal menjejaskan keseimbangan ekosistem sedia ada dengan membiarkan beberapa spesies haiwan untuk beradaptasi, manakala spesies yang tidak dapat beradaptasi akan terjejas dan mati.

Jika kawasan yang terpencil seperti ini pun tidak terlepas dari kerosakan yang disebabkan oleh tangan-tangan manusia, apa lagi harapan yang tinggal untuk dunia keseluruhannya?

Infografik menunjukkan masa yang diambil untuk sampah terurai di lautan.

RUJUKAN:

National Oceanic Atmospheric Administration (NOAA).

Pacific Marine Environmental Laboratory (PMEL)

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.