Apabila kapal persiaran mewah RMS Titanic karam di utara Lautan Atlantik pada 15 April 1912 kerana berlanggar dengan aisberg, ia merupakan satu tragedi yang mengorbankan 1,500 penumpang dan krew. Ini sekaligus menjadikan ia tragedi maritim komersial paling banyak mengorbankan nyawa dalam sejarah moden hari ini. Tetapi bagi seorang ahli propaganda ini, tragedi ini amat bagus dijadikan alat untuk memalukan Britain semasa Perang Dunia Kedua (WWII). Orang yang dimaksudkan ialah Menteri Propaganda Nazi Jerman, Joseph Goebbels menerusi filem Titanic (1943).

Goebbels mahu membina Hollywood versi Rhine di Jerman menerusi penubuhan jabatan perfileman Nazi pada tahun 1930. Sepanjang dekad itu, beliau menonton banyak filem Hollywood, memberi insentif kepada pembikin-pembikin filem Jerman dan membebaskan pawagam dan para pelakon dari pelbagai sekatan yang dilaksanakan ketika itu. Dari tahun 1930 hingga 1945, Kementerian Propaganda menerbitkan lebih 1,000 filem. Dua filem yang dianggap bercita-cita besar iaitu Der Ewige Jude (The Eternal Jew) dan Jud Suss (Suss the Jew) dilancarkan pada tahun 1940. Walaupun Der Ewige Jude gagal di panggung, filem Jud Suss mendapat tontonan seramai 20 juta orang dan dianggap filem propaganda anti-Semitik paling berjaya.

Figure 2: Filem Jud Suss (1940)

Bagaimanapun, Goebbels sedar filem sebegini tidak akan terus mendapat sambutan dalam kalangan penonton. Sudah tiba masanya filem-filem yang diterbitkan bersifat cereka dan mampu menyampaikan mesej propaganda secara tersirat kepada para penonton. Justeru pada musim panas 1940 ketika Adolf Hitler melawat Paris dan mempertimbang semua pilihan ke atas Britain, seorang penulis skrip bernama Harald Bratt mengadakan pertemuan dengan Goebbels di pejabatnya. Skrip yang dibentangkan Bratt sudah cukup menarik perhatian Menteri Propaganda itu. Skrip filem yang dimaksudkan ialah filem Titanic, satu filem propaganda berkenaan tragedi kapal RMS Titanic. Tetapi bagi Bratt, Goebbels dan Hitler, filem ini bukan saja memaparkan tragedi manusia tetapi juga mempersoal integriti dan perwatakan orang British yang dianggap pengecut, tolol dan tamak. Bagi Goebbels sendiri, sekiranya ini berjaya, ia boleh menaikkan lagi prestij beliau di mata Hitler.

Tugas pengarahan filem ini diserahkan kepada Herbert Selpin, seorang pengarah berbakat tetapi mempunyai ego yang besar. Selpin turut digelar ‘Si Landak Kecil’ kerana mempunyai ketinggian yang rendah dan punya perangai yang menjengkelkan. Beliau dipilih kerana beberapa filem arahannya mendapat sambutan ramai dan bersikap apolitikal. Untuk menambah elemen drama, romantis, aksi dan propaganda anti-British, Selpin merekrut bekas pegawai perisik merangkap penulis skrip Walter Zerlett-Olfenius untuk menulis semula skrip Bratt.

Sebagai penulis skrip, Zerlett tidak mengecewakan dan memberi apa yang dimahukan Selpin. Untuk babak pembukaan filem di bilik lembaga pengarah Syarikat White Star Line, pemilik Titanic, penjahat dalam filem ini ialah kelompok kapitalis British yang tidak bermoral dengan mengenepikan risiko keselamatan semata-mata untuk sampai ke seberang Atlantik dalam masa pantas demi meningkatkan harga saham syarikat. Dan semasa kapal tersebut karam, kapitalis-kapitalis ini juga cuba merasuah akses ke bot penyelamat, satu perkara fiksyen yang diadakan Zerlett untuk filem tersebut. Zerlett turut menonjolkan pengerusi syarikat, J. Bruce Ismay yang merasuah Kapten Edward Smith untuk membawa Titanic lebih laju dan tidak menghiraukan amaran tentang aisberg dari seorang Jerman. Penulis skrip itu turut memperkenalkan Pegawai Pertama Petersen yang diangkat sebagai hero yang cuba menyelamatkan penumpang dan memberi bukti penyelewengan Ismay kepada pihak berkuasa. Walaupun tiada unsur anti-Semitik, elemen kehebatan bangsa Aryan turut diselitkan dan pada akhir filem, ia memaparkan mesej menyalahkan ketamakan Britain dalam mengejar keuntungan sehingga membawa kepada tragedi tersebut.

Untuk menjayakan filem tersebut, Selpin diberi belanjawan besar bersamaan $180 juta mengikut nilai hari ini. Dan memandangkan beliau yang terlalu mementingkan kesempurnaan, Selpin turut mendesak diberi jadual penggambaran 87 hari, set penggambaran besar, penggunaan pelakon tambahan membabitkan tentera dan kelasi sebenar dan penggambaran waktu malam. Semua permintaan ini ditunaikan Goebbels walaupun sedar ia bakal mencabar kesabaran rejim untuk melihat hasil akhir filem tersebut.

Untuk merakam babak kapal Titanic tenggelam saja, Selpin meminta sebuah model berskala kecil untuk kapal itu. Tetapi bila melihat ianya tidak mencukupi, beliau meminta sebuah replika model setinggi 30 kaki dan ditempatkan di sebuah tasik. Dan memandangkan Titanic tenggelam pada tengah malam, penggambaran turut diadakan pada waktu malam walaupun mengundang risiko dikesan pesawat-pesawat pengebom British. Dan untuk imej luaran kapal, Selpin turut meminta sebuah kapal mewah sebagai set penggambaran. Ini yang membawa kepada penggunaan kapal Cap Arcona di sebuah pelabuhan Poland. Ini memaksa krew produksi memindahkan krew dan barisan pelakon ke kawasan Baltik dan menjadikan sebuah hotel lima bintang sebagai markas utama mereka.

Dan untuk menambah masalah sedia ada, ingat lagi tentera dan kelasi yang diambil sebagai pelakon tambahan? Tidak seperti rakan-rakan mereka yang bermati-matian berjuang di perbatasan, mereka berparti setiap malam bersama krew dan para pelakon. Tentera yang mabuk akan menceroboh set penggambaran semasa sesi penggambaran dengan merosakkan prop dan set serta meraba pelakon wanita. Sementara para pelakon yang masih mabuk gagal mengingati skrip babak mereka. Ini menyebabkan sesetengah babak mengambil masa berhari-hari untuk disiapkan. Dan semua ini sudah cukup membuatkan Selpin hilang sabar. Pada 15 Mai 1942, semasa bertengkar dengan Zerlett, beliau menggelar tentera Nazi sebagai tidak berguna dan jentera perang Nazi pengecut.

Amukan Selpin dilaporkan oleh Zerlett kepada Goebbels di Berlin dan akibatnya, pengarah tersebut dipanggil untuk menjelaskan apa yang berlaku. Goebbels yang berang mengulangi semula kenyataan Selpin dan mengarahkan semua kenyataan tersebut ditarik balik. Pengarah tersebut yang semakin murung dan mabuk itu enggan berbuat demikian. Ini menyebabkan Selpin ditahan dan dituduh atas dakwaan tidak setia dan khianat. Pada tengah malam 31 Julai 1942, dua pengawal datang ke selnya dan mengikat seluar dalamnya pada rod tingkap tinggi berhampiran siling. Mereka mengarahkan Selpin berdiri di atas sebuah bangku dan memegang rod tersebut tatkala seluar dalam dililit pada lehernya. Bangku tersebut ditarik dan Selpin tidak dapat berpaut pada rod tersebut. Ini menyebabkan kedua-dua pengawal itu mencekiknya sampai mati.

Untuk memastikan tiada lagi masalah, Goebbels mengupah seorang pengarah untuk menghabiskan baki sesi penggambaran. Filem Titanic ini akhirnya tamat penggambaran pada bulan Oktober dan mempunyai durasi di bawah 90 minit. Apabila Goebbels akhirnya dapat menonton filem tersebut, memang benar Selpin dan penggantinya telah menghasilkan filem propaganda sempurna, bukan untuk Nazi Jerman tetapi Britain. Menteri Propaganda itu akhirnya sedar projek sebegini sebenarnya satu kesilapan besar. Mana tidaknya, filem yang memaparkan orang-orang yang tidak berdosa di atas kapal yang diketuai seorang pemimpin yang tidak berkemampuan sebenarnya memberi analogi tentang apa yang berlaku pada Nazi Jerman ketika itu. Filem tersebut diharamkan tayangannya di Jerman tetapi ditayangkan di negara-negara jajahan Nazi Jerman. Siapa sangka, filem ini mendapat sambutan ramai di sebalik kegusaran Goebbels.

Namun filem ini ada satu babak akhir yang paling menyedihkan membabitkan Cap Arcona. Pada akhir WWII, 5,000 tahanan kem terdiri daripada orang Yahudi, Rusia, pejuang pembebasan dan beberapa askar British dibawa berarak ke Baltik dan dikurung dalam kapal tersebut yang berada di Pelabuhan Lubeck. Lima hari sebelum rejim Nazi Jerman pimpinan Laksamana Karl Donitz menyerah kalah, Cap Arcona ditenggelamkan oleh pesawat-pesawat pengebom Typhoon. Api marak dengan cepat di atas kapal dan mana-mana tahanan yang berjaya melepaskan diri akan ditembak dengan mesingan sama ada dari pesawat Tentera Udara Diraja Britain (RAF) atau pengawal-pengawal Schutzstaffen (SS). Hanya 500 tawanan saja yang terselamat dari insiden tersebut.

Figure 3: Kapal SS Cap Arcona dijadikan kem tahanan untuk banduan kem pada akhir WWII selepas dijadikan set penggambaran Titanic.

Pegawai-pegawai Palang Merah dari Sweden dan Switzerland menegaskan mereka telah memberi amaran kepada pihak British akan kewujudan tawanan di atas kapal tersebut. Tetapi entah di mana silapnya, mesej tersebut tidak sampai ke tangan skuadron-skuadron RAF. Kesilapan mereka ini menyebabkan RAF secara tidak langsung memadamkan kesan jenayah perang dan kemanusiaan Nazi. Dan secara tidak langsung, lebih banyak mayat hanyut ke pesisir pantai untuk 25 tahun seterusnya. Pihak tentera bertanggungjawab atas kesilapan tersebut tetapi tiada sebarang permohonan maaf rasmi dari London terhadap waris-waris mangsa yang terlibat.

Filem Titanic versi Goebbels ini hanya ditayangkan di Jerman pada tahun 1950-an selepas semua elemen anti-British dipotong. Bagaimanapun, adegan tenggelamnya kapal tersebut kemudiannya digunakan untuk filem versi British berkenaan Titanic, A Night to Remember yang ditayangkan pada tahun 1958. Walaupun masih dianggap filem propaganda, filem Titanic versi Nazi ini mendapat pujian kerana penggunaan prop dan set yang realistik, teknik sinematografi yang bagus dan mempunyai semua ramuan untuk menjadi sebuah filem hebat dan menjadi sebutan ramai untuk tahun-tahun berikutnya. Jika tidak mengapa pengarah A Night to Remember, Roy Ward Baker memilih untuk mengambil adegan Selpin berbanding memfilemkan adegan tersebut versinya. Menurut penulis buku The Nazi Titanic, Robert P. Watson, Baker berbuat demikian kerana melihat adegan yang diarahkan Selpin amat berkualiti dan realistik gambarannya.

SUMBER

  1. Getlen, Larry. (2016). New York Post. Hitler’s Titanic movie about a heroic German was a disaster. https://nypost.com/2016/04/24/hitlers-titanic-movie-about-a-heroic-german-was-a-disaster/

2. Leonard, Tom. (2016). Daily Mail. The Nazi Titanic: Told in a gripping new book, how Goebbels tried to shame the British with an epic film of the Titanic – but it sank as spectacularly as the ship itself. http://www.dailymail.co.uk/news/article-3588013/The-Nazi-Titanic-Told-gripping-new-book-Goebbels-tried-shame-British-epic-film-Titanic-sank-spectacularly-ship-itself.html

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.