Peristiwa karamnya Titanic pada tahun 1912 ialah satu tragedi yang bukan saja memberi kesan kepada negara-negara yang terlibat dan industri perkapalan tetapi juga kepada para penumpangnya. Antara yang terkesan dengan tragedi ini ialah dua pemain tenis legenda Amerika Syarikat, Richard ‘Dick’ Williams dan Karl Behr. Walaupun kedua-duanya merupakan pesaing di gelanggang, ikatan yang terjalin dari tragedi Titanic sebenarnya menjadikan kisah mereka ini memberi inspirasi kepada ramai orang termasuk peminat tenis.

Kedua-dua Williams dan Behr sedang mengejar cita-cita masing-masing sebagai antara pemain tenis terhebat ketika itu. Behr merupakan antara pemain beregu terbaik Amerika ketika itu dan pernah beraksi di pentas final Wimbledon dan Piala Davis. Tapi sayangnya dalam kedua-dua acara berkenaan, Behr dan regunya Beals Wright tewas kepada regu Norman Brookes-Tony Wilding. Sementara Williams pula sudah menempa nama sebagai pemain tenis perseorangan dan sudah dicanang akan menggegarkan arena tenis antarabangsa.

Kedua-duanya memilih menaiki Titanic secara berasingan di Cherbourg, Perancis dan mempunyai alasan berbeza menaiki kapal berkenaan. Behr yang turut berkhidmat sebagai peguam sebenarnya sudah mempunyai teman istimewa iaitu seorang wanita berumur 19 tahun bernama Helen Newsom. Bagaimanapun, hubungan cinta Behr-Newsom tidak disukai ibu dan bapa tiri kekasihnya itu atas alasan jurang usia yang agak besar memandangkan Behr berumur 26 tahun ketika itu. Untuk mengelakkan hubungan cinta kedua-duanya semakin intim, ibu dan bapa tiri Newsom membawanya ke Eropah. Tetapi plot tersebut diketahui Behr dan beliau mengikut mereka ke Eropah secara senyap-senyap. Apabila Newsom menghantar mesej telegram bahawa dia dan keluarganya akan pulang dengan Titanic, pemain tenis itu segera menempah tiket kapal berkenaan dengan tujuan memberi kejutan kepada kekasihnya itu.

Sementara Williams pula seharusnya bertolak lebih awal ke Amerika untuk bertanding dalam kejohanan tenis musim panas sebelum menyambung pelajaran di Harvard tetapi terpaksa menangguhkan perjalanan akibat penyakit rubela. Pemain yang ada hubungkait dengan Benjamin Franklin ini bagaimanapun bernasib baik kerana dapat pulang bersama bapanya, Charles Williams untuk perjalanan pertama Titanic.

Perjalanan Titanic kelihatan lancar dan tanpa sebarang masalah. Pada malam 14 April, Williams dan bapanya makan malam bersama Kapten Edward Smith sebelum kembali ke bilik mereka. Dan sebelum tengah malam, kedua-duanya dikejutkan dengan bunyi perlanggaran kapal dengan aisberg. Pada mulanya, ini tidak membimbangkan Charles kerana sebarang kerosakan pada Titanic boleh ditampung dengan menutup lubang perlanggaran dengan kargo barang, sesuatu yang pernah dialaminya beberapa dekad sebelumnya. Walau bagaimanapun, mereka menurut arahan krew kapal memakai jaket keselamatan dan cuba memanaskan diri dengan berjalan di dek dan menunggang basikal di bilik senaman.

Sementara Behr pula sedang lena bersama keluarga Newsom semasa peristiwa perlanggaran itu berlaku. Ini mengejutkan mereka, lantas memakai jaket keselamatan dan segera ke dek untuk menaiki bot keselamatan. Bila situasi menjadi semakin genting, mereka segera menaiki bot keselamatan dan melihat dengan penuh ketakutan tatkala Titanic mula karam pada awal pagi 15 April 1912. Semua pasti maklum polisi mendahulukan kanak-kanak dan wanita tetapi tak semua yang akan mematuhi polisi berkenaan. Dalam kes Behr, beliau diminta mengayuh bot yang separuh diisi penumpang dan krew oleh Pengerusi White Star Liner, J. Bruce Ismay. Ismay yang turut terselamat dari tragedi berkenaan dilabel pengecut kerana tingkah lakunya pada malam Titanic karam. Dalam satu temubual bersama Newark Evening News enam hari selepas tragedi, Behr berkata, “Pada ketika itu, kami menganggap ada banyak bot keselamatan untuk semua penumpang. Salah seorang penumpang wanita bertanya kepada Encik Ismay sama ada lelaki boleh pergi dengannya. Saya mendengar Encik Ismay menjawab secara perlahan: ‘Tiada masalah, puan.’ Kami semua masuk dalam bot. Pada ketika itu, ia masih belum penuh dan Encik Ismay mengarahkan seorang pegawai dan beberapa krew untuk menyertai kami.” Ini menyebabkan Behr dihantui perasaan bersalah dan terpaksa menghabiskan masa beberapa ketika di sanatorium untuk kembali pulih seperti sediakala.

Sementara di dek pula ketika dua beranak itu membantu para penumpang menaiki bot keselamatan, Williams menoleh ke arah bapanya dan menjerit, “Lekas! Lompat!” Tatkala itu juga, salah satu daripada cerobong asap Titanic menghempap Charles sehingga mati dan hampir-hampir mengenai Williams. Williams terjatuh ke dalam air laut yang sejuk dan segera berenang ke bot keselamatan bersama 30 penumpang lain yang berpaut pada bot itu. Kesejukan air dapat dirasai sehingga ke paras pinggang dan tatkala kapal SS Carpathia tiba untuk menyelamatkan penumpang dan krew yang terselamat, 11 daripada mereka sudah mati. Dalam peristiwa itu, 1,500 penumpang dan krew terbunuh sementara 700 penumpang dan krew terselamat. Semasa krew Carpathia menyelamatkan Williams, mereka mendapati pemain tenis itu berbakat mengalami hipotermia dan kakinya saja menunjukkan keadaan yang membimbangkan.

Seorang doktor yang memeriksa beliau mencadangkan kakinya dipotong untuk mengelak jangkitan gangren tetapi Williams bertegas, “Saya memerlukan dua kaki ini.” Sepanjang perjalanan Carpathia ke New York, beliau berjalan di dek setiap dua jam termasuk pada waktu malam untuk memulihkan semula peredaran darah pada bahagian kaki. Ternyata, kaedah yang dicuba itu menjadi dan dalam tempoh enam minggu, Williams kembali semula ke gelanggang. Semasa perjalanan sama, kedua-dua pemain tenis ini bertemu dan ia mewujudkan ikatan persahabatan yang terjalin untuk tahun-tahun mendatang. Williams turut mengucapkan terima kasih kepada Behr kerana tidak lokek menolong penumpang yang terselamat termasuk dirinya.

Dan tidak lama selepas itu, dua lelaki di mana takdir menemukan mereka di atas Titanic bertemu semula di gelanggang tenis pada pusingan keempat Cabaran Longwood Bowl. 1,500 penonton yang hadir ketika itu menyaksikan pertarungan sengit sebanyak lima set yang menyaksikan kemenangan akhirnya memihak kepada Behr. Akhbar The Boston Globe melaporkan pada hari berikutnya jika ada salah seorang daripada 1,500 penonton yang pulang dengan rasa tidak puas hati, ternyata penonton tersebut sukar dipuaskan. Ini menunjukkan pertarungan Behr-Williams amat sengit di mana pada awalnya, kelebihan umur dan fizikal memihak kepada Williams. Tetapi Behr tetap tenang dan menggunakan pengalamannya untuk mengatasi rakannya itu 0-6, 7-9, 6-2, 6-1 dan 6-4. Kedua-duanya sekali lagi bertemu pada suku akhir Kejohanan Tenis Amerika Syarikat (kini Terbuka Amerika Syarikat) 1914 di Long Island beberapa minggu selepas itu. Tetapi tiada ulangan kejayaan Behr di situ dengan Williams berjaya membalas dendam kekalahannya dan bergelar juara tenis perseorangan kejohanan tahun tersebut.

Tidak lama selepas itu, Amerika Syarikat menyertai Perang Dunia Pertama (WWI) dan seperti warga Amerika lain, Behr mahu berkhidmat di perbatasan. Tetapi beliau ditolak atas alasan mempunyai darah keturunan Jerman. Behr yang juga rakan rapat Theodore Roosevelt menganjurkan satu perarakan besar di New York pada tahun 1916 sebagai menyokong usaha perang Amerika. Williams pula dapat berkhidmat bersama pihak tentera pada tahun 1916 dan berkhidmat sebagai pegawai artileri. Semasa di Paris, beliau diberi anugerah Croix de Guerre dan Chevalier de la Legion d’Honneur dan berpeluang mengenali tokoh utama konflik termasuklah Marshal Philippe Petain. Petain yang dianggap wira pada WWI kemudiannya menjadi protagonis rejim Vichy Perancis yang bersubahat dengan rejim Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Kedua-duanya mempunyai karier yang baik dalam sukan tenis dan pernah bermain bersama dalam Piala Davis. Sebelum menamatkan karier sebagai pemain, Williams menjadi sebahagian daripada pasukan Amerika Syarikat yang memenangi Piala Davis sebanyak lima kali dan acara beregu lelaki Wimbledon dan Kejohanan Tenis Amerika Syarikat serta pingat emas acara beregu campuran Sukan Olimpik 1924. Rekod Williams dalam acara beregu campuran Sukan Olimpik 1924 bertahan selama 88 tahun sebelum ia dipertandingkan semula pada Sukan Olimpik 2012. Acara tersebut dimenangi regu Belarus, Max Mirnyi-Victoria Azarenka. Selepas tidak lagi aktif di arena sukan, kedua-duanya mempunyai karier yang baik dalam bidang kewangan. Malah, Williams sendiri turut dilantik sebagai Presiden Persatuan Sejarah Pennsylvania.

Setahun selepas tragedi Titanic, pasangan Behr-Newsom melangsungkan perkahwinan mereka pada Mac 1913. Ramai anggota media menganggap kisah cinta mereka itu kisah cinta sebenar setaraf kisah cinta Rose-Jack dalam Titanic dan menyangka mereka jatuh cinta semasa berada di Titanic. Malah, laporan akhbar salah siar kedua-duanya merupakan orang tidak dikenali yang dipertemukan oleh takdir dalam bot keselamatan. Ada juga laporan mendakwa Behr melamar Newsom semasa berada dalam bot keselamatan. Williams pula kehilangan isterinya pada tahun 1929 selepas 10 tahun berkahwin dan kembali berkahwin setahun berikutnya.

Melihat kepada legasi yang mereka tinggalkan dalam sukan tenis, tidak hairanlah mengapa Dewan Kemasyhuran Tenis Antarabangsa memasukkan nama Williams pada tahun 1957. Sementara nama Behr pula dimasukkan selepas kematiannya pada tahun 1969.  Tetapi kejayaan sebenar mereka bukanlah di atas gelanggang tetapi terselamat dalam tragedi kapal yang digelar tidak boleh ditenggelamkan, Titanic.

SUMBER

  1. Klein, Christopher. (2012). History.com. Titanic’s Tennis Star Survivors. https://www.history.com/news/titanics-tennis-star-survivors
  2. Newman, Paul. (2012). The Independent. The amazing tale of tennis and the Titanic. https://www.independent.co.uk/sport/tennis/the-amazing-tale-of-tennis-and-the-titanic-7637421.html

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.