Tips Pembikinan Cerita Seram

104

1. Banyakkan membaca pelbagai karya seram yang ada di luar sana. Ini kerana kebanyakan karya seram mempunyai genre yang berbeza dan kadangkala ia boleh mempengaruhi corak penulisan sesebuah cerita. Selain itu, pembacaan karya-karya sebegini juga membantu penulis merancang strategi penulisan mereka seperti pandangan alam sesebuah cerita, pembinaan watak dan struktur sesebuah cerita. Antara karya yang seharusnya menjadi pilihan ialah novel-novel Stephen King dan Neil Gaiman.

Penulis merupakan pemilik kepada lebih 12 novel seram-thriller.

2. Seram bersifat subjektif kerana semua orang mempunyai ketakutan pada perkara berbeza seperti hantu, kematian, peperangan dan serangga. Jika anda ada pengalaman menyeramkan, jadikan ia sebagai perencah dalam tulisan anda. Ini kerana tulisan sebegini menjadikan sesebuah cerita kelihatan realistik dan boleh dikaitkan dengan semua orang. Ambil inspirasi dari apa yang menakutkan anda atau ubah senario biasa kepada senario menakutkan dan jadikan ia teras kepada kisah anda.

3. Tujuan utama sesebuah cerita seram ialah menimbulkan ketakutan dalam kalangan pembaca. Bagaimanapun, ketakutan ini boleh muncul dalam pelbagai bentuk seperti paranoia dan kejutan. Fahami perbezaan bentuk ketakutan ini kerana jika anda tahu meletakkannya dalam situasi yang sesuai, ia boleh menyebabkan para pembaca terkejut dengan perubahan plot atau watak. Sesetengah penulis kadangkala turut menggunakan elemen keraguan untuk mendorong pembaca meragui apa yang berlaku termasuk watak dan pencerita. Apapun strategi yang dipilih, pastikan ia memberi impak emosi yang kuat kepada pembaca.

4. Bila menerangkan tempat, watak atau pergerakan, selitkan juga elemen seram dan gelap pada perkara-perkara ini. Bila ia dibuat, ketakutan akan muncul secara semulajadi dalam diri pembaca.

5. Bagi watak atau para pembaca tertanya-tanya dengan menyembunyikan sesetengah maklumat sebelum ia didedahkan mengikut kesesuaian plot. Ini merupakan antara cara bukan saja menambah elemen kejutan tetapi juga menaikkan lagi elemen ketakutan pembaca dan watak.

6. Wujudkan watak yang mendorong peminat untuk menyokong atau membencinya dengan mewujudkan latar belakang, motif dan tabiat yang bersifat realistik dan menarik. Perkara sebegini menambah elemen emosi pembaca lebih-lebih lagi bila protagonis ditimpa musibah atau antagonis berjaya merealisasikan rancangannya. Tidak salah juga menyelitkan unsur tragedi dalam sesebuah penceritaan kerana ia boleh memberi impak emosi yang kuat lebih-lebih lagi sekiranya kehilangan itu boleh dielakkan.

7.  Nyatakan risiko yang dihadapi sesebuah watak bila berhadapan sesebuah situasi. Jika pembaca tidak tahu kesan di sebalik situasi ini, maka pembaca tidak akan merasa elemen seram bila membaca cerita berkenaan. Bila memilih bentuk risiko, bersikap kreatif dan usah terhad kepada kematian saja. Ini kerana ada banyak bentuk hukuman atau musibah yang boleh digunakan sebaiknya bagi menaikkan lagi risiko yang dihadapi protagonis sesebuah cerita.

8. Jangan takut masukkan elemen komedi atau ketenangan dalam sesebuah cerita seram. Terlalu banyak elemen seram boleh membuatkan para pembaca merasa kepenatan selepas selesai membaca. Tidak salah untuk memasukkan elemen katarsis atau harapan selepas plot sesebuah cerita seram kerana itu mendorong pembaca terus mengikuti sesebuah cerita sampai habis atau berteka-teki tentang nasib protagonis. Elemen sebegini juga turut menaikkan lagi elemen ketakutan kerana menambah kengerian pada plot anda.

9. Bila sudah selesai, nilai cerita seram anda dengan membacanya dengan kuat di hadapan beberapa orang. Kenalpasti bahagian di mana anda perlu perlahankan rentak atau menambah elemen drama/aksi pada sesebuah cerita. Membaca dengan kuat membolehkan anda mengenalpasti dialog mana yang sesuai atau perlu ditukar. Setelah itu, buat perubahan berdasarkan maklum balas pendengar anda. Ulangi proses sehingga anda benar-benar berpuas hati dengan karya anda.

10. Kalau ditanyakan kepada saya antara karya seram terbitan penulis lain yang sesuai untuk tatapan anda, dahtentu saya akan memilih Ghospital. Lengkap dengan semua rencah yang saya gariskan di atas. Berminat? Bolehlah dibeli di pautan ini: Bit.ly/GHOSTPITAL.  Cover berserta sinopsis adalah di bawah.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.