Tips Pemakanan Sihat Sempena Ramadan

0
547
views

Ramadan bulan ibadah
Bulan kerahmatan dan keampunan
Para malaikat merendahkan sayap
Untuk menghitung pahala berganda

Lagu Kemuliaan Ramadan nyanyian kumpulan Inteam dan UNIC ini pasti berkumandang setiap kali bulan Ramadan menjelma. Pada bulan inilah, umat Islam seluruh dunia mengerjakan kewajipan puasa dan melipatgandakan ibadat kepada-Nya. Namun bagi mana-mana individu yang mengalami masalah kesihatan, ibadat puasa yang dikerjakan merupakan satu cabaran. Usah risau, ada beberapa tips yang dilihat dapat membantu anda mengharungi bulan Ramadan yang mulia ini.

JANGAN PONTENG SAHUR!

Sesetengah orang kita melihat sahur ini menyusahkan kerana perlu bangun awal pada awal pagi. Jadi, ada yang berpandangan lebih baik mengambil hidangan berat sebelum waktu tidur dan tidur sehingga waktu Subuh. Tabiat sebegini perlu diubah kerana selepas semalaman tidur, badan memerlukan nutrien untuk disimpan supaya seseorang itu dapat berpuasa tanpa mengalami masalah sakit perut. Keengganan bersahur ini juga menyebabkan seseorang itu merasa letih pada siang hari dan sukar berpuasa dengan baik. Untuk hidangan sahur, pakar kesihatan menggalakkan pengambilan oat atau bubur dengan beberapa biji buah kurma. Dari segi ibadat pula, ia merupakan antara sunnah Nabi Muhammad s.a.w berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a, “Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam sahur itu ada keberkatannya.” (Riwayat Muslim)

KEKAL HIDRAT

Sepanjang Ramadan, sentiasa kekal hidrat dengan minum dua liter air sehari atau lapan gelas air. Sebelum berpuasa, minum sekurang-kurangnya dua hingga tiga gelas air untuk kekal hidrat pada siang hari. Apabila badan manusia mengalami situasi dinyahhidratkan, ia sebenarnya mengundang masalah puasa biasa seperti sembelit, keletihan dan sakit kepala. Selepas berbuka puasa, pastikan badan terus kekal hidrat dengan selalu minum air antara waktu berbuka puasa dengan waktu tidur. Selain minum air, ambil juga makanan yang mengandungi kandungan air tinggi seperti sup, buah-buahan dan sayur-sayuran untuk menambah bilangan air pada badan. Elakkan ambil minuman berkarbonat atau kafein kerana itu boleh menyebabkan anda mengalami situasi badan cepat kehilangan air dalam badan. Sebaliknya ambil minuman seperti jus buah-buahan, air kelapa muda dan susu. Minuman sebegini bukan saja membantu badan kekal hidrat tetapi memberi nutrien tambahan kepada badan semasa berpuasa.

KEPELBAGAIAN

Pastikan makanan yang diambil pada bulan Ramadan mengandungi pelbagai makanan segar seperti protein, karbohidrat, buah-buahan, sayur-sayuran dan susu untuk memastikan badan mendapat nutrien mencukupi. Elakkan makanan yang diproses kerana makanan tersebut tinggi kandungan lemak, gula dan garam. Sebaliknya, pilih makanan yang dimasak di rumah kerana anda boleh kawal penggunaan bahan dan kuantiti minyak, garam dan gula. Antara tips berguna berkenaan ini ialah memasak lebih dan simpan lebihan dalam peti sejuk. Lebihan makanan itu boleh dipanaskan dan dimakan semasa waktu sahur. Antara menu ringkas yang sedap dan boleh dinikmati semua ialah nasi goreng, bubur oat dengan buah-buahan atau kekacang dan mi sup dengan daging atau telur dengan sayur-sayuran.

KELEBIHAN KURMA

Bila kita hendak berbuka puasa, mulakan dengan sesuatu ringan seperti buah kurma, buah-buahan dan kekacang seperti buah dan bukan makanan berminyak seperti kuih-muih dan pisang goreng. Makanan sebegini sebenarnya mengurangkan rasa lapar dan memberi suntikan tenaga diperlukan sebelum menunaikan solat fardu Maghrib. Sekurang-kurangnya semasa bersolat, kita tidaklah merasa lapar. Makanan sebegini juga amat berguna kalau terperangkap dalam situasi seperti kesesakan jalan raya. Jika perlu, simpan dalam satu bekas kecil dalam beg tangan atau beg sandang supaya kita tidak bertangguh semasa berbuka puasa. Andai kita bertangguh, dibimbangi kita akan terlebih makan dan mengalami masalah ketakcernaan.

PILIH CARA MEMASAK LEBIH SIHAT

Kurangkan memasak makanan yang berminyak dan bergoreng kerana ini boleh mendatangkan masalah pedih hulu hati, ketakcernaan dan perut tidak selesa. Sebaliknya, masak makanan dengan kaedah atau bahan kurang berminyak seperti panggang, sup dan sayur-sayuran. Sementara untuk pencuci mulut pula, gantikan pencuci mulut dengan buah-buahan. Semasa makan, makanlah secara bersederhana dan kunyah secara perlahan. Usah makan sampai terlebih kenyang sehingga sukar untuk beribadat kepada-Nya.

BERSEDERHANA BERBELANJA

Bila kita sebut bulan Ramadan, tak sah kalau kita tidak kaitkan dengan Pasar Ramadan (PARAM). Dan pada bulan sebegini, pasti muncul makanan atau minuman istimewa yang akan dijual di situ. Tapi kena ingat, jangan membeli makanan dan minuman sampai tak ingat dunia walaupun niatnya dikatakan mahu mencuba semua. Sebenarnya keinginan tersebut timbul sebahagiannya disumbangkan oleh rasa lapar. Kalau nak beli, belilah secara bersederhana agar kita tidak terlebih makan dan tidak membazir. Elakkan juga membeli makanan yang sudah tamat tarikh luput daripada para peniaga yang hanya tahu mengambil untung daripada pembeli. Ini kerana makanan sebegini boleh menyebabkan kita mengalami keracunan makanan.

PERTIMBANGAN KHAS

Mungkin peluang ini sudah terlepas dengan Ramadan bakal menjelang beberapa hari saja lagi. Tetapi untuk Ramadan seterusnya, pesakit diabetis dinasihatkan mempraktikkan amalan berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban. Latihan pada bulan sebegini membantu pesakit mengenali tanda dinyahhidratkan, keadaan paras glukosa darah rendah (hipoglisemia) dan masalah kesihatan lain. Buat penyesuaian pada pengambilan makanan dan rejimen ubat supaya dapat berpuasa dengan selamat. Jika perlu, dapatkan nasihat doktor dan pakar diet.

SUMBER

Balaratnam, Indra. (2018). New Straits Times. Eat Well : Healthy eating tips for Ramadan. https://www.nst.com.my/lifestyle/heal/2018/05/367119/eat-well-healthy-eating-tips-ramadan

#patriots #ramadhan #tipsmakan

 

Previous articleThe Waya Adobe: Bandar Mega Terapung Piramid Tahun 2022
Next articlePermaisuri Charlotte: Anggota Kerabat Diraja Kulit Hitam Britain Pertama?
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE