Tips Kewangan Selepas Raya

0
1303
views

Kita semua pernah alaminya, tak kira sama ada semasa zaman bujang atau selepas mendirikan rumahtangga. Dan setiap kali Aidilfitri sudah berlalu, pada masa itulah kedengaran keluh-kesah tentang kekurangan wang selepas sebahagian wang ada digunakan untuk membuat persiapan raya. Tak dapat lupa sketsa karikatur yang dilukis kartunis-kartunis terkenal negara seperti Dato Lat dan Juragan tentang situasi ini, mencuit hati tetapi sinis seperti si ayah mengorek tabung ayam si anak dengan niat menambah bilangan wang untuk belanja selepas raya. Usah risau, ada beberapa tips kewangan untuk membantu anda mengatasi masalah tahunan ini.

Sebelum kita mendengar tips-tips yang diberi, kita perlu tahu beberapa perkara:

i) Pendapatan bersih.
Satu perkara yang kita perasan bila tanya ahli keluarga atau kawan-kawan berkenaan gaji atau pendapatan pekerjaan mereka, mereka hanya beri purata gaji. Sebenarnya, kita kena tahu jumlah sebenar pendapatan kita sebab dari situ, mudah untuk kita rancang perbelanjaan kita untuk hari-hari mendatang selain tahu had perbelanjaan bulanan kita.

ii) Tahu mana satu keperluan dan kehendak.
Ada kata susah nak bezakan antara keperluan dan kehendak. Keperluan ialah perkara-perkara asas yang diperlukan manusia untuk hidup iaitu makanan, air, pakaian dan tempat tinggal. Sementara kehendak pula ialah perkara-perkara yang menjadikan kehidupan seseorang itu selesa seperti barang perhiasan dan peralatan elektronik. Kita kena tahu beza antara kedua-dua perkara ini kerana jika salah perhitungan dalam berbelanja, kita juga yang rugi pada akhir bulan.

iii) Simpanan.
Simpanan bagi sesetengah orang dipandang sepi saja padahal ia sebenarnya aspek paling penting dalam soal perancangan kewangan. Simpanan berperanan sebagai jaringan keselamatan kewangan kita dan boleh digunakan pada masa kecemasan. Simpanan juga bantu kita rancang apa yang kita nak untuk tempoh masa panjang seperti merancang untuk mengerjakan haji dan umrah atau membeli rumah pertama.

Tips kewangan selepas raya:

Waqaf Saham

a) Kurangkan makan di luar dan bawa bekalan makanan sendiri ke sekolah atau pejabat. Bila anda berbuat demikian, anda bukan saja menyelamatkan poket anda daripada terus kering, anda juga sebenarnya membantu meningkatkan tahap kesihatan anda. Ini kerana bila kita makan bekal disediakan dari rumah, kita mengurangkan risiko terkena penyakit berkaitan makanan seperti keracunan makanan.

b) Ambil sebahagian daripada pendapatan bersih untuk dijadikan simpanan. Satu perkara yang sering kita lakukan bila dapat gaji ialah kita selalu berbelanja terlebih dahulu untuk semua perkara, dari selesaikan bil-bil bulanan sampailah perbelanjaan harian. Bila ada baki, barulah terhegeh-hegeh nak simpan. Ubah mentaliti sebegini. Jika anda ada matlamat tertentu berkenaan simpanan anda, contoh anda nak ada simpanan RM10,000 dalam tempoh 10 tahun, maka setiap bulan anda kena simpan RM100 ke atas untuk capai sasaran tersebut.

c) Dahulukan perkara yang bersifat keperluan. Sesetengah daripada kita terlalu mengejar perkara bersifat kehendak sehingga ke tahap membazir dan memudaratkan diri sendiri serta orang lain. Dan ada sampai yang terdesak, terpaksa berhutang atau meminjam sana-sini semata-mata nak sampai ke akhir bulan. Jangan jadi seperti itu. Dahulukan dulu keperluan asas kita, baru fikirkan perkara lain.

d) Sediakan akaun khas untuk hari-hari istimewa atau peristiwa penting seperti Aidilfitri dan sesi pertama persekolahan. Perkara ini boleh dilakukan beberapa bulan sebelum hari-hari itu menjelang dan boleh diperuntukkan untuk persiapan hari-hari tersebut. Bila kita berbuat demikian, kita takkan usik pendapatan dan simpanan kita sedia ada serta mengurangkan keserabutan kepala berkenaan soal dana tambahan. Akaun khas ini boleh saja kita gunakan untuk perkara-perkara seperti belanja perjalanan (tambah nilai kad Touch and Go, tiket bas/kapal terbang/keretapi), pakaian baru dan makanan istimewa.

f) Kurangkan perkara bersifat kehendak. Saya tahu ada kalangan kita punya hobi tersendiri di mana kosnya boleh mencanak sampai ke langit. Tetapi perbelanjaan sebegini tidak boleh dikekalkan untuk jangka masa lama dan sekiranya berlarutan, boleh membawa kepada pembaziran. Sempena Aidilfitri ini, jadikan ini masa untuk mengurangkan perbelanjaan kurang sihat ini agar akaun kita kelihatan bagus untuk jangka masa panjang. Tidak salah mahu berbelanja untuk perkara-perkara sebegini tetapi lihat ada tak ruang untuk melakukannya selepas mendahulukan keperluan asas kita.

e) Tanya diri sendiri, ada tak kita membayar zakat, tak kira sama ada zakat fitrah atau zakat harta dan berinfaq di jalan-Nya. Tanpa kita sedari, keengganan kita membayar zakat dan bersedekah sebenarnya menimbulkan kemurkaan Allah s.w.t lalu Dia menyempitkan pintu rezeki kita sampai kita rasa duit yang dimiliki tidak mencukupi. Laksanakan tanggungjawab kita dan ikut apa yang diajar Rasulullah s.a.w dalam soal rezeki. Jangan berkira bab ini kerana kalau kita boleh berkira perintah Tuhan, maka Tuhan juga boleh berkira tentang rezeki kita.

Sumber:

Ismail, Syamsul Amri. (2015). Syamsul Debat. TVAlhijrah. Episod Tips Kewangan Selepas Aidilfitri.

Previous articleSerangan Sotong Gergasi Dalam Sejarah
Next articleKejatuhan Empayar Inca Di Tangan Wabak Smallpox
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.