Tips Kesihatan Mental Semasa Tempoh PKP

1,513

Dengan kebanyakan negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau perintah berkurung untuk tempoh-tempoh tertentu, pada awalnya ramai menganggap ia sebagai tempoh cuti dan boleh dilalui dengan mudah. Tetapi perkara sebegini dilihat memberi tekanan mental kepada ramai orang di seluruh dunia.

Justeru, sedikit tips bagaimana hendak mengharungi hari-hari semasa tempoh PKP atau perintah berkurung berjalan:

  1. Lakukan perkara-perkara mikro yang memotivasikan diri sepanjang hari.

Siapa sangka bila pergi ke kedai mamak, bersua dengan rakan-rakan atau bertegur sapa dengan individu semasa menaiki pengangkutan awam/di jalanan sebenarnya perkara-perkara mikro yang memberi suntikan motivasi tambahan untuk beroperasi sepanjang hari.

Menurut pakar psikologi, Dr Lucy Atcheson, semasa dalam tempoh pengasingan ini, manusia akan mula merindui perkara-perkara mikro yang biasa dilakukan secara harian. Tambahnya lagi, perkara-perkara sebegini memberi impak besar kepada kesihatan mental manusia lebih-lebih lagi sekiranya tempoh PKP atau perintah berkurung berlangsung untuk tempoh lama.

Justeru, Dr Atcheson menyarankan perkara-perkara mikro baru yang mewujudkan rasa pencapaian kepada diri seperti mempelajari bahasa baru dan membuat senaman baru.

  1. Amalkan pemakanan seimbang.

Bohonglah bila sudah terperap di rumah, keinginan untuk mengunyah makanan ringan tidak ada. Keinginan itu sudah tentu ada lebih-lebih lagi sebagai satu cara menghabiskan masa sepanjang hari melayan filem atau siri televisyen secara berterusan.

Tetapi lebih baik berusaha mengekalkan pemakanan seimbang kerana ia bukan saja lebih sihat tetapi juga membantu usaha pemulihan lebih-lebih lagi sekiranya anda berada dalam tempoh kuarantin.

  1. Berhubung dengan alam

Baru-baru ini, seorang pakar kardiologi dimarahi penguatkuasa sebuah majlis bandaraya selepas berlari di sebuah taman awam kerana melanggar arahan PKP. Tetapi pakar tersebut menegaskan apa yang dilakukannya bertujuan untuk mengekalkan tahap kesihatannya sahaja.

Begini sajalah, berhubung dengan alam tidak semestinya perlu keluar dan langgar arahan PKP seperti pakar itu. Cukup sekadar menghabiskan masa di balkoni (untuk bangunan apartmen atau rumah pangsa) atau halaman rumah dengan menyiram pokok atau mencabut rumput.

Menurut Stephen Buckley, berhubung dengan alam amat membantu kesihatan mental manusia. Justeru jika tiada taman atau balkoni, cukup setakat membuka tingkap dan membenarkan udara segar masuk atau menyiram tanaman dalam rumah.

  1. Kekalkan rutin

Hari-hari awal PKP atau perintah berkurung memang elok untuk bermalas-malasan. Tetapi untuk melakukannya untuk satu tempoh lama dianggap tidak baik kepada kesihatan mental.

Justeru bagi yang bekerja di rumah, berusahalah mengekalkan rutin harian seperti sebelum ini tetapi diubahsuai mengikut kesesuaian diri. Namun pada masa sama, berusahalah juga melakukan perkara yang menyeronokkan bagi memastikan kebosanan kehidupan rutin tidak menjejaskan keceriaan hidup lebih-lebih lagi semasa PKP atau perintah berkurung berkuatkuasa.

Terbaru: Fiksyen Mahakarya

Lakukan perkara yang menyeronokkan tidak semestinya berkisar kepada Netflix atau Steam. Cubalah cari perkara yang tidak pernah dilakukan seperti memasak atau membuat origami

  1. Kurangkan masa di skrin

Bila sudah terperap di rumah, maka tak sah ramai tertumpu kepada skrin sama ada telefon, televisyen atau komputer. Tetapi kurangkan masa di hadapan skrin kerana ia boleh mengganggu kesihatan mental dan ritma tidur individu.

Pelbagaikan aktiviti yang dilakukan semasa di rumah termasuk mengekalkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga.

  1. Kekalkan hubungan sosial

Kekalkan hubungan sosial walaupun sudah tidak boleh bersua sama ada di pejabat, kedai mamak, sekolah, universiti atau masjid. Dengan perkembangan teknologi hari ini, ia boleh saja dicapai dengan mudah. Paling penting, ia merupakan cara terbaik mengukuhkan kesihatan mental semasa PKP atau perintah berkurung dikuatkuasakan.

  1. Kurangkan mendengar, menonton atau membaca berita

Setiap hari, kita didedahkan dengan statistik terkini Covid-19 termasuk kadar kem4tian pesakit di seluruh dunia. Dan bohonglah jika tidak merasa moral berada pada tahap rendah selepas mendengar perkembangan harian Covid-19 termasuk siaran harian Kementerian Kesihatan.

Antara nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkenaan isu ini ialah jika anda rasa tertekan atau murung selepas membaca atau menonton berita Covid-19, kurangkan pengambilan berita. Ini kerana berita-berita sebegini boleh memberi tekanan mental yang hebat kepada individu jika terus diambil secara berterusan.

  1. Jangan negatif sangat…

Semasa tempoh PKP atau perintah berkurung ini, bohonglah kalau kita tak merasa negatif dengan semua perkara. Semua benda dipersoalkan dari aspek kerja hinggalah isu perhubungan. Pendek kata, merasakan kita tak layak atas apa yang kita dapat.

Usah fikir sebegitu, cubalah melihat sesebuah perkara buruk itu dari aspek positif. Fikiran sebegini mungkin tidak menyedapkan hati sekarang tetapi baik untuk jangka masa panjang. Fikiran positif merupakan kunci kepada kesihatan mental yang baik lebih-lebih lagi dalam situasi Covid-19.

RUJUKAN:

Gallagher, Sophia. (2020). CORONAVIRUS: HOW TO MANAGE YOUR MENTAL HEALTH DURING SELF-ISOLATION. The Independent. https://www.independent.co.uk/life-style/health-and-families/coronavirus-mental-health-self-isolate-how-to-manage-quarantine-a9404431.html

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.