Tinginya Adab Murid Dan Guru Alam Melayu

1,637

Dalam bahasa Melayu, selain pelajar, siswa dan santeri, istilah yang masyhur bagi penuntut ilmu ialah murid. Istilah ‘murid’ ini diambil dari bahasa Arab.

Persoalannya mengapa istilah murid ini diambil pakai bagi merujuk kepada penuntut ilmu sedangkan perkataan sebenar dalam bahasa Arab bagi penuntut ilmu (pelajar) ialah thalib (طالب) dan tilmiz (تلميذ)?

Istilah murid dalam dunia Arab digunakan khusus untuk para pelajar dalam dunia sufi atau tasawuf. Perkataan murid (مريد) dalam bahasa Arab bermaksud orang yang menginginkan atau menghendaki (iaitu menginginkan jalan taqarub kepada Allah).

Maka perkataan murid dirujuk kepada pelajar secara umum di Alam Melayu kerana golongan yang membawa Islam ke Alam Melayu dan seterusnya menubuhkan institusi pendidikan adalah golongan ulama sufi.

Prof Azyumardi Azra menyebut:-

“Para pelajar di surau (pondok atau pesantren di Tanah Minang) dipanggil ‘murid’. Ia mencerminkan sifat semulajadi surau, di mana istilah murid adalah istilah sufi yang merujuk kepada pelajar baru dalam dunia terekat.”

Disebabkan para ulama sufi yang mendominasi institusi pendidikan di Alam Melayu zaman dulu, maka adab sangat dititik beratkan. Adab adalah ‘mata pelajaran’ yang utama dan pertama diterapkan sebelum mempelajari ilmu-ilmu yang lain.

Maka pelajar yang tiada adab tidak layak dipanggil murid kerana mustahil orang yang tiada adab itu dapat menemui jalan taqarub ilallah (jalan mendekatkan diri dengan Allah). Bayangkan, Melayu yang secara adat sudah pun dididik dengan adab, apabila masuk sekolah atau tempat pengajian (pondok, pesantren, meunesah atau surau) ditekankan lagi dengan adab. Maka tidak hairanlah jika Tun Seri Lanang menukilkan bahawa Sultan Mahmud Syah berjalan kaki dan penuh adab apabila hendak berguru ke rumah Kadi Maulana Yusuf.

Hari ini ramai dari kalangan murid dan bekas murid sudah hilang adab terutamanya pada guru. Perkataan murid hanya tinggal sekadar perkataan sahaja. Maksud sebenar murid tidak lagi dihayati. Adakah silap pada sistem pendidikan?

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.