Tindakan Rasulullah S.A.W Mempersaudarakan Masyarakat Di Madinah

1,094

Persaudaraan pada zaman Rasulullah s.a.w. dibina atas dasar akidah yang sangat kukuh hasil daripada usaha dakwah Rasulullah s.a.w. dan pengurusan dakwah yang tersusun termasuk dari segi aspek pembinaan akidah dalam mempersaudarakan masyarakat. Asas ini juga membawa kepada pembinaan persaudaraan Islam dan undang-undang Islam melalui penyatuan Muhajirin dan Ansar serta menjadikan Piagam Madinah sebagai undang-undang Islam.

Persaudaraan atau perpaduan ummah ialah asas bagi ajaran Islam kerana ia bukan sekadar membina hubungan antara manusia dengan Allah s.w.t. tetapi demi mengukuhkan hubungan baik sesama manusia dan mahkluk-mahkluk yang lain. Hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah pada tahun 622 Masihi merupakan satu perubahan dan era baru kepada penduduk Madinah yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan kaum. Selepas penghijrahan baginda, persaudaraan ini membangunkan satu model komuniti yang menjadikan umat Islam sebagai umat contoh dalam masyarakat Madinah yang berbilang kaum dan agama.

Di Madinah terdapat tiga golongan iaitu golongan Ansar, Muhajirin dan Yahudi. Golongan Muhajirin ialah masyarakat yang berhijrah dari Mekah ke Madinah bersama penghijrahan baginda. Kaum Muhajirin adalah kaum pendatang yang tidak mempunyai harta dan tempat tinggal. Sementara golongan Ansar pula ialah penduduk asal Madinah yang terdiri daripada dua kabilah iaitu golongan Aus dan golongan Khazraj dengan kedua-dua kabilah ini telah memeluk Islam. Kaum Ansar mempunyai segala kemudahan dan kekayaan kerana Madinah itu merupakan tanah air mereka.

Manakala Yahudi ialah terdiri daripada golongan Yahudi Bani Qainuqa, Bani Nadhir, Bani Quraizah dan masyarakat Arab yang memeluk agama Yahudi. Jumlah mereka secara keseluruhannya dianggarkan seramai 4,400 orang. Antara tiga golongan itu, kabilah yang mempunyai anggota paling ramai ialah Yahudi Bani Qainuqa iaitu seramai 1500 orang.

Sementara Bani Quraizah pula seramai 1400 orang dengan selebihnya dari Yahudi Bani Nadhir. Kesemua golongan Yahudi ini merupakan orang-orang yang pintar dan mempunyai kebun-kebun yang luas dan subur serta mempunyai rumah-rumah batu yang besar dan dibina dalam benteng atau kubu.

Selepas penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Madinah, antara perkara pertama yang dilakukan baginda ialah mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar. Antara contoh sahabat yang dipersaudarakan ialah sepupu Nabi s.a.w, Jaafar bin Abi Talib r.a dengan Muaz bin Jabal r.a, Abu Bakar as-Siddiq r.a dengan Kharrijah bin Zuhair r.a dan Abdul Rahman bin Auf r.a dengan Saad bin Rabi r.a. Dalam kes Abdul Rahman dan Saad, demi memenuhi ikatan persaudaraan yang dijalin, Saad bersedia menyerahkan separuh hartanya dan menceraikan salah seorang isterinya agar dapat dikahwini oleh Abdul Rahman.

Bagaimanapun, sahabat nabi yang mulia itu menolak permintaan beliau dengan baik sebaliknya bertanya di mana lokasi pasar Madinah untuknya berjual beli. Peristiwa ini dikatakan berlaku di rumah pembantu baginda, Anas bin Malik r.a dan membabitkan 90 orang dari kelompok Ansar dan Muhajirin.

Setiap mereka yang dipersaudarakan itu dianggap seperti saudara kandung sendiri. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 75, Surah al-Anfal mafhumnya, “Dan orang-orang Yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang Yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya Yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Apabila meneliti strategi persaudaraan ini, ia dilihat cara terbaik dalam menghapuskan soal kefanatikan terhadap kaum dan pada masa sama, memantapkan lagi pengabdian umat Islam itu kepada Allah s.w.t. Melalui hubungan persaudaraan yang terjalin, keteguhan ikatan ini membolehkan usaha dakwah dan pembinaan negara dapat dilaksanakan dengan lancar. Selain itu, bila ikatan ini diterjemah dalam bentuk tindakan dan bukan sekadar mainan bibir semata-mata, pengamalannya menjadi asas utama dalam struktur keadilan sosial.

Selain menjalin jalinan ukhuwah sesama ummah, Rasulullah s.a.w turut menjadikan agenda pembinaan masjid sebagai agenda utama selepas berhijrah ke Madinah. Buktinya semasa baginda berada di Quba, baginda dan Abu Bakar r.a. membina Masjid Quba iaitu masjid pertama yang didirikan dalam sejarah Islam. Ini disusuli dengan pembinaan Masjid Nabawi selepas penghijrahan baginda ke Madinah.

Dari sudut pandang Rasulullah s.a.w, masjid boleh dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul bagi umat Islam dan sebagai langkah untuk menyatukan umat Islam melalui dasar agama dan bukan melalui semangat perkauman yang sangat menebal ketika itu. Di samping itu, masjid juga dilihat gelanggang terbaik untuk menyucikan jiwa, memantapkan akhlak dan nilai manusiawi serta mengeratkan lagi hubungan sesama manusia.

Di samping pembinaan masjid dan mempersaudarakan kelompok Muhajirin dan Ansar, Rasulullah s.a.w tidak melupakan soal penduduk yang bukan beragama Islam di Madinah. Ini diterjemahkan dalam bentuk Piagam Madinah. Piagam yang digubal pada tahun 622 Masihi ini merupakan satu perjanjian antara ketua negara dengan anggota masyarakat dalam negara itu.

Perlembagaan ini digubal dengan mengambil kira aspek Madinah mempunyai masyarakat pelbagai kaum. Justeru, Nabi Muhammad s.a.w. perlu melakukan sesuatu untuk menjamin keamanan, kestabilan masyarakat dan mewujudkan hubungan persaudaraan antara pelbagai kaum di Madinah. Ia mengandungi pelbagai aspek dasar sebagai asas penubuhan negara Islam Madinah.

Piagam Madinah mengandungi 47 fasal seperti pembentukan ummah, hak asasi manusia, perpaduan seagama, tugas warganegara, melindungi negara dari ancaman musuh, politik perdamaian dan soal ekonomi. Kandungan yang terpenting dalam perlembagaan tersebut ialah masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum hendaklah hidup sebagai sebuah masyarakat yang saling menolong antara satu sama lain dan mewujudkan ikatan persaudaraan.

Perlembagaan Madinah digubal untuk menunjukkan keprihatinan pengurusan sosial Nabi Muhammad s.a.w. dalam membentuk umat yang syumul dalam pelbagai aspek kehidupan dan menggabungkan seluruh masyarakat yang berada di sekitar kota Madinah iaitu orang-orang Islam yang terdiri dari dua golongan iaitu Aus dan Khazraj (Ansar) dan Muhajirin serta masyarakat bukan Islam (Yahudi).

Menerusi Piagam Madinah, golongan Yahudi bebas menganut agama mereka selagi tidak menjejaskan kepentingan umum dan mereka mempunyai kewajipan untuk taat kepada negara Islam di Madinah tanpa dipaksa serta diberi hak sewajarnya. Selain itu, perlindungan terhadap orang-orang Islam dan bukan Islam telah dijelaskan dalam perlembagaan Madinah.

Di samping itu, golongan bukan Islam dikenakan cukai Jizyah di mana cukai ini bukan satu bentuk kezaliman tetapi sebagai ketaatan setia golongan bukan Islam kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemerintah negara Islam Madinah. Pembayaran jizyah ini dilihat sebagai petanda penyertaan golongan bukan Islam iaitu Yahudi dan Nasrani di Madinah bersama dengan orang-orang Islam ke arah pembangunan dan kemakmuran negara sehingga mereka tidak merasakan perbezaan dari segi tanggungjawab untuk menjamin keamanan, kemakmuran, persaudaraan, perpaduan, keselamatan nyawa dan sebagainya. Justeru, matlamat piagam pada akhirnya ialah mengukuhkan ikatan perpaduan kaum Madinah bagi memastikan keselamatan dan keamanan penduduk terjamin.

Jalinan persaudaraan antara Muslim dan golongan bukan Muslim tidak dilarang dalam Islam selagi mana pihak lain menghormati hak-hak umat Islam. Ini dijelaskan dalam firman-Nya menerusi ayat 8, Surah al-Mumtahanah mafhumnya, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” Dengan dalil itu, al-Quran telah menjelaskan soal interaksi antara manusia dengan tujuan untuk memantapkan ukhwah antara Muslim dan bukan Muslim.

Akhir sekali, Rasulullah s.a.w turut menggalakkan umat Islam menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan. Selain bertujuan memantapkan ekonomi ummah dan mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan yang terjalin, ia juga dibuat bagi menghentikan amalan jelik dalam perniagaan yang diamalkan orang Yahudi ketika itu seperti aktiviti riba, menipu sukatan dan timbangan serta mengkhianati amanah atau perjanjian jual beli yang dimeterai sebelumnya.

Dengan penyertaan lebih ramai umat Islam dalam dua bidang berkenaan, ia merancakkan aktiviti ekonomi Madinah dan menyebarkan lagi amalan terpuji perniagaan sekaligus mengurangkan dominasi orang Yahudi dalam dua bidang berkenaan. Bahkan, ia turut menjadikan ramai umat Islam ketika itu sebagai peniaga berjaya seperti Uthman bin Affan r.a dan Abdul Rahman r.a.

RUJUKAN:

Mat Rohan, Nur Shahirah Amelia. (2015). Pengurusan Rasulullah s.a.w. Dalam Mempersaudarakan Masyarakat di Madinah. Prosiding Seminar Pengurusan Islam: Ke Arah Pemantapan Ummah. Universiti Kebangsaan Malaysia. http://www.ukm.my/skim/wp-content/uploads/2016/01/Pengurusan-Rasulullah-s.a.w.-dalam-Mempersaudarakan-Masyarakat-di-Madinah.pdf

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.