Time (Shigan): Tentang Kematian Dan Harapan

421

“Ada seseorang pernah berkata; kita semua pasti akan mati suatu hari nanti.. tetapi, kita semua masih berlagak seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya..”

Drama ini dimulakan dengan sebaris frasa yang cukup mendalam daripada aktor utamanya. Frasa yang mengungkapkan tentang hakikat sebuah kematian yang pasti. Time atau dalam Bahasa Koreanya, Shigan merupakan sebuah drama yang ditayangkan pada sekitar Julai 2018 di saluran televisyen MBC.

Meskipun drama ini bukanlah sebuah drama popular yang memiliki rating yang tinggi seperti drama lain, namun mesej yang disampaikan melalui drama ini cukup mengesankan. Sebuah kisah yang mengupas mengenai hakikat kematian, penerimaan dan harapan di sebalik kehilangan.

Drama ini sebenarnya banyak berkisar mengenai pencarian sebuah kebenaran oleh seorang lelaki di hujung usianya, dan bagaimana dia cuba untuk menghadapi serta menerima hakikat kematian dirinya sendiri. Babak pertama dengan ungkapan frasa tersebut dimulakan dengan watak utamanya, iaitu Cheon Suho, yang mengungkapkannya usai menerima berita buruk mengenai dirinya sendiri.

Cheon Suho lakonan hebat Kim Junghyun (Rebel, Welcome to Waikiki, School 2017, Jealousy Incarnate) adalah seorang chaebol yang pada mulanya kelihatan tipikal wataknya. Dia seorang yang biadab, memandang rendah pada orang lain dan panas baran. Namun, kisah di sebalik sikap tipikal seorang chaebol ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

Ibu Cheon Suho merupakan perempuan simpanan bapanya, dan dia adalah anak tidak sah taraf dalam keluarga kaya berkenaan. Ibunya memasuki hospital sakit jiwa dan akhirnya membunuh diri di hospital tersebut di mana dia sendiri telah melihat ibunya menggantung diri. Dia diambil oleh bapanya memasuki keluarga kaya tersebut, dan dipertemukan dengan seorang abang dan ibu tiri yang pastinya tidak senang dengan kehadiran dirinya dalam keluarga berkenaan.

Cheon Suho tidak pernah merasai kegembiraan di dalam rumah tersebut, dan kerana itulah, sejak kecil dia sering cuba untuk membunuh diri. Dia sering merasakan bahawa semua orang yang ada di sekelilingnya memandang rendah akan dirinya. Dia tidak pernah merasakan ‘hidup’ yang sebenarnya. Malah, setiap kali bapanya naik radang kerana sikapnya yang tidak pernah serius dalam apa jua yang dilakukannya, dia sering mempersoalkan kenapa dia harus hidup.

Cheon Suho bertunang dengan seorang gadis, anak kenalan bapanya, Eun Chae Ah meskipun dia tidak pernah mencintainya dan hanya menganggap gadis kaya itu sebagai sahabatnya. Namun Eun Chae Ah tidak mahu memutuskan hubungan mereka kerana egonya yang tidak ingin Suho mencintai orang lain selain dirinya.

Takdir menemukan Cheon Suho dengan Seol Jihyun (lakonan Seo Juhyun/Seohyun), melalui peristiwa kesilapan parkir kereta VIP di gedung beli belah milik keluarga Cheon Suho. Seol Jihyun, seorang gadis ceria dan tegas, yang melakukan pelbagai kerja bagi menyempurnakan impiannya untuk menjadi seorang tukang masak profesional di Perancis termasuklah menjadi gadis penjaga parkir di gedung beli belah tersebut.

Seol Jihyun dipaksa untuk meminta maaf, dan gadis tersebut tidak teragak-agak untuk melutut di hadapan Suho, dan sekaligus membuatkan lelaki itu berasa sedikit bersalah. Peristiwa itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan orang ramai yang merakam video sewaktu peristiwa itu berlaku dan sekaligus menjejaskan imej syarikat milik bapa Cheon Suho.

Video berkenaan tular dan Cheon Suho mula dilabel sebagai seorang chaebol yang biadab dan tidak menghormati orang lain. Cheon Suho cuba untuk menyelesaikannya dengan menawarkan sejumlah wang untuk Seol Jihyun bagi menutup mulutnya dan tidak memberi komen mengenai video berkenaan. Seol Jihyun menolak tawaran tersebut lalu membuatkan Suho naik radang dengan sikapnya. Dan, ketika pertemuan inilah Seol Jihyun mengungkapkan frasa pertama tersebut kepada Suho;

Kita semua pasti akan mati suatu hari nanti.. tetapi, awak masih berlagak seolah-olah awak akan hidup selama-lamanya..” (Seol Jihyun)

Dan, kisah antara Cheon Suho dan Seol Jihyun bermula di sini. Cheon Suho menerima berita buruk mengenai dirinya sehari selepas bertemu dengan Jihyun. Dia seolah-olah ‘disumpah’ oleh kata-kata yang diungkapkan oleh Seol Jihyun. Cheon Suho hilang arah, dan hampir runtuh. Dia yang pada awalnya sering mempersoalkan kenapa dia harus hidup mula menghitung saki-baki waktu yang masih dimilikinya.

Sehinggalah, dia terlibat dalam suatu peristiwa yang membawa kepada kematian seorang gadis, iaitu adik kepada Seol Jihyun. Tanpa diketahuinya, peristiwa ini sebenarnya turut melibatkan tunangnya iaitu Eun Chae Ah, serta teman lelaki kepada Seol Jihyun yang bekerja sebagai peguam di syarikat milik bapa Cheon Suho.

Kebingungan dan keliru, Cheon Suho tidak pasti adakah dia yang telah membunuh gadis tersebut atau tidak kerana keadaannya yang mabuk teruk pada malam peristiwa itu berlaku. Seol Jihyun pula cuba untuk mencari kebenaran di sebalik kematian adiknya yang dilaporkan sebagai membunuh diri.

Dan disebabkan rasa bersalahnya terhadap Seol Jihyun, Suho mula mendekati gadis tersebut dan cuba untuk membantunya. Pelbagai peristiwa berlaku sehinggalah ibu Jihyun turut terkorban kerana cuba untuk mencari kebenaran di sebalik kematian anaknya, dan Jihyun pula cuba untuk membunuh diri.

“Jika awak ambil keputusan untuk mati, awak boleh mati..tetapi jika awak mahu hidup, hiduplah dengan gembira..tak ada orang hidup untuk merasai kesedihan..Jika awak benar-benar mahu mati, saya akan mati bersama awak..” (Cheon Suho).

Peristiwa Jihyun cuba untuk membunuh diri dengan terjun daripada bumbung sebuah bangunan membawa Cheon Suho kepadanya. Cheon Suho mahu Seol Jihyun terus hidup, dengan gembira, seperti mana dirinya yang mahu terus hidup meskipun masa yang dimilikinya hanya berbaki selama 6 bulan. Kata-kata Suho membuatkan Jihyun kembali memulakan hidup baru dan meneruskan pencarian kebenaran di sebalik kematian adik dan ibunya.

Dia berpindah ke rumah baru bersama teman baiknya, dan Suho memilih untuk terus berada dekat dengannya. Hubungan mereka berlanjutan dan Jihyun benar-benar mempercayai bahawa Suho ingin membantunya tanpa mengetahui bahawa lelaki berkenaan sebenarnya terlibat dalam peristiwa kematian adik perempuannya. Manakala Suho pula semakin terbeban dengan keadaan kesihatannya dan rasa bersalahnya terhadap Jihyun.

“Ia kerana rasa terima kasih..sebab mengapa saya ambil peduli dan jaga awak.. Awak telah selamatkan saya.. Dan, sebab awaklah saya belajar bagaimana rasanya hidup seperti manusia yang lain..” (Cheon Suho)

Insiden demi insiden berlaku, sehingga membawa kepada perkahwinan antara Jihyun dan Suho, yang mana ia hanyalah untuk memenuhi permintaan Jihyun yang berdendam terhadap keluarga Suho berkaitan kematian adiknya serta impian terakhir Suho untuk hidup bersama gadis yang disayanginya. Jihyun tidak pernah menganggap itu adalah sebuah perkahwinan, rasa marahnya terhadap Suho membuatkan dia hanya ingin melihat lelaki itu turut merasai apa yang telah dilaluinya. Suho pula hanya mahu Jihyun bersamanya, meskipun itu hanyalah demi mencari kebenaran atas kematian adik dan ibunya serta membawa kesemua orang yang terlibat ke muka pengadilan.

Bagaimana pengakhiran drama ini? Kisah ini tidak menggunakan formula ‘happily ever after’ atau ‘miracles’ sebagai premisnya. Ia mengingatkan aku kepada Uncontrollably Fond yang turut memaparkan kehilangan, meskipun dalam cara yang berbeza. Ia adalah sebuah melodrama dengan pengakhiran yang sepi dan pilu.

Tiada adegan romantis yang berlebihan dalam drama ini, dan rasa sayang serta kerinduan yang dipaparkan antara dua watak utamanya hanya diekspresikan melalui gerak bahasa tubuh serta kata-kata mereka. Ia adalah melangkaui babak romantis seperti yang biasa dilihat dalam drama yang lain. Apa yang cuba disampaikan melalui drama ini adalah melebihi rasa sepi dan kesedihan itu. Penulisnya ingin para penonton melihat kematian dan kehilangan sebagai suatu permulaan kepada sebuah kehidupan yang baru.

Ada beberapa elemen simbolik yang cukup aku gemari yang ditonjolkan melalui drama ini. Penggunaan makanan Perancis bagi menunjukkan rasa sayang dan dendam adalah antara elemen menarik yang diketengahkan melalui drama ini. Madeleine, sejenis biskut dari Perancis, merupakan simbolik yang digunakan oleh Jihyun apabila dia memulakan kembali kehidupannya selepas kematian ibu serta suaminya, Suho. Dalam satu babak di mana Jihyun diarahkan memasak hidangan untuk sesi food tasting di restoran milik Suho yang turut disertai oleh Eun Chae Ah, Jihyun telah menghidangkan hidangan seumpama ortolan, iaitu sejenis hidangan kejam dari Perancis yang kini telah diharamkan.

Jihyun telah meminta Eun Chae Ah untuk menutup wajahnya ketika menjamah hidangan tersebut (ritual biasa yang harus dilakukan apabila menikmati ortolan), sebagai tanda bersembunyi daripada pandangan Tuhan sewaktu sedang menikmati hidangan ortolan. Ia adalah sebagai simbolik di mana Jihyun sedang mengingatkan Eun Chae Ah mengenai dosanya terhadap apa yang berlaku di sebalik kematian adik perempuannya.

Hidangan hachis parmentier yang dibuat khusus oleh Suho untuk isterinya sebagai sajian sarapan pula merupakan hidangan pai klasik Perancis yang menggunakan ubi kentang sebagai bahan utamanya. Ia adalah simbolik rasa sayang yang mahu ditunjukkan oleh Suho terhadap Jihyun meskipun Jihyun tetap menolak untuk menjamahnya. Ironinya, hidangan Perancis merupakan antara sajian kegemaran Jihyun ketika dia masih bersama ibu dan adik perempuannya.

Drama ini turut memaparkan bagaimana Suho cuba untuk menerima keadaan dirinya yang hampir mati melalui apa yang dikatakan sebagai Five Stages of Grief (Lima Peringkat Bermurung/Bersedih). Five Stages of Grief ini merupakan model yang dikemukakan pada tahun 1969 oleh Elisabeth Kubler-Ross, seorang ahli psikiatris Amerika dalam bukunya yang bertajuk On Death and Dying. Model ini menerangkan bagaimana keadaan mental dan emosi seseorang pesakit selepas menerima diagnosis yang buruk. Dalam drama ini fasa pertama, iaitu denial (penolakan) ditonjolkan melalui babak di mana Suho menjerit di dalam keretanya serta apabila dia mula mempersoalkan kredibiliti doktor yang membuat diagnosis berkenaan.

Fasa kedua, iaitu anger (marah/berang) yang dicirikan melalui kekecewaan pesakit dan marah serta melepaskannya secara tidak rasional kepada orang lain pula ditunjukkan melalui adegan di mana Suho menumbuk abang tirinya di sebuah kelab. Manakala fasa ketiga, iaitu bargaining (penawaran), di mana dalam fasa ini seseorang pesakit mula menyedari akan realiti dan melihat  ruang bagi bertimbangtara dengan masalah yang dihadapinya. Babak di mana Suho cuba menyatakan kemungkinan alternatif lain seperti bermeditasi di pergunungan kepada doktornya serta perancangannya untuk bercuti ke luar negara sehingga akhir hayatnya merupakan paparan kepada fasa tiga ini.

Fasa keempat, iaitu depression (kemurungan) pula ditonjolkan dalam adegan di mana Suho menangis apabila mengingati ibunya dan cuba untuk menjauhkan dirinya daripada Jihyun. Dan akhir sekali, paparan pada episod 12, di mana Suho mengucapkan terima kasih untuk doktornya dan menerima keadaan dirinya seadanya adalah fasa terakhir, iaitu acceptance (penerimaan) dalam Five Stages of Grief ini. Babak-babak yang dipaparkan secara tidak langsung merupakan refleksi kepada apa yang telah dijelaskan dalam model tersebut.

Drama ini mungkin bukan drama terbaik atau popular seperti Sky Castle mahupun melodrama lagenda, I’m Sorry I Love You, tetapi paparan kisahnya adalah asam garam yang sering berlaku dalam kehidupan kita. Apa yang dapat dikutip daripada drama ini? Banyak sebenarnya momen-momen yang membuatkan aku terpaku dan berfikir sejenak mengenai hakikat kehidupan dan kematian.

Seperti mana Seol Jihyun yang pada akhirnya dapt juga menerima hakikat kematian suaminya ketika cuba untuk menyelamatkan dirinya, walaupun dia mengambil masa hampir setahun lamanya untuk cuba melepaskan suaminya pergi. Pada episod akhir drama ini, Jihyun dipaparkan menulis surat buat suaminya, yang menyatakan bahawa dia akan sentiasa mengingati suaminya dalam setiap baris lagu, serta semua memorinya bersama Suho.

Kita boleh hidup setiap hari, meskipun tanpa sebarang harapan. Tetapi kita juga boleh memilih untuk hidup dalam harapan. Saya belajar itu semua daripada awak. Meskipun waktu kita bersama sangat singkat, tapi saya akan mengingati awak selama-lamanya. Semua memori yang telah awak tinggalkan. Sehingga saya menjadi bintang, saya akan terus hidup dalam harapan. Dan menikmati waktu-waktu paling gembira dalam hidup saya..” (Seol Jihyun)

Apa yang boleh kita pelajari daripada drama ini ialah untuk menghargai setiap detik yang kita miliki, serta orang-orang yang berada di sekeliling yang menyayangi kita. Jihyun pada akhirnya mampu untuk tersenyum kembali, sama seperti apa yang diharapkan oleh Suho, dan menemui kegembiraannya.

RUJUKAN

Gregory, C. (2019). The Five Stages of Grief An Examination of the Kubler-Ross Model. Retrieved June 22, 2019, from https://www.psycom.net/depression.central.grief.html

Time. http://asianwiki.com/The_Time

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.