Tikus Afrika Beracun: Lophiomys Imhausi

49

Memperkenalkan salah satu spesies haiwan dari benua Afrika iaitu Lophiomys imhausi. Ia juga turut dikenali dengan nama lain iaitu “Africa Maned Rat” atau “Africa Crested Rat”. Ya, ini adalah tikus, walaupun haiwan ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama seperti seekor landak atau skunk.

Telah direkodkan bahawa haiwan ini menjadikan beberapa buah negara Afrika Timur sebagai habitatnya. Iaitu di Somalia, Ethiopia, Sudan, Kenya, Uganda, dan Tanzania.

Tikus ini mempunyai saiz tubuh badan yang lebih besar daripada tikus biasa, serta ia juga turut dilengkapi dengan bulu-bulu yang sangat istimewa. Ini kerana bulu-bulu tersebut telah diliputi oleh toksin Ouabain yang sangat ampuh yang didapatkan oleh tikus ini daripada sejenis pokok.

Lophiomys imhausi mempamerkan strategi kemandirian diri yang sangat jarang dimiliki oleh mamalia, iaitu melindungi diri dengan ‘senjata kimia’.

Mempunyai ‘senjata kimia’ seperti racun dan toksin itu bukanlah sesuatu yang aneh di dalam dunia haiwan. Kerana haiwan seperti katak, serangga, ular dan obor-obor juga turut memilikinya.

Selain itu, umum diketahui bahawa mamalia lebih bergantung harap kepada strategi mempertahankan diri atau memburu seperti berikut:

– Menggunakan gigi dan kuku yang tajam.
– Kekuatan otot.
– Deria yang sangat peka
– Kelajuan dan sebagainya.

Ini menjadikan kebolehan tikus Lophiomys imhausi untuk mempunyai dan menggunakan toksin tersebut sebagai sebuah strategi untuk mempertahankan diri adalah sesuatu yang sangat menakjubkan.

Dalam kertas kajian yang bertajuk “A Poisonous Suprise Under the Coat of the African Crested Rat”, Jonathan Kingdon dan Fritz Vollrath dari Universiti Oxford, telah menjelaskan tentang bagaimana tikus spesies Lophiomys imhausi ini mempunyai kehadiran toksin pada bulunya.

Dari hasil pemerhatian, mereka mendapati bahawa Lophiomys imhausi menghabiskan berjam-jam masa nya untuk mengunyah kulit serta akar pokok dari spesies “Acokanthera schimperi”. Pokok ini juga turut dikenali dengan nama lain iaitu “Poison-arrow tree”.

Sebagai fakta tambahan, toksin Ouabain daripada pokok spesies Acokanthera shimperi ini juga diketahui disalut pada mata anak panah pemburu di Afrika untuk memburu gajah serta haiwan besar lain. Justeru menjelaskan bagaimana nama “poison-arrow tree” itu diterima.

Setelah mengunyah kulit serta akar pokok yang mengandungi toksin Ouabain ini, Lophiomys imhausi akan menjilat dan seterusnya meliputi bulu-bulu istimewa yang dimilikinya, iaitu bulu yang terdapat pada bahagian kiri dan kanan yakni jaluran berwarna putih itu dengan air liur yang telah bercampur toksin tersebut.

Bulu-bulu istimewa ini apabila diperhatikan dibawah mikroskop, sangat berbeza dengan bulu lain. Ini kerana menurut Dr. Vollrath, ia lebih keras dan mempunyai lubang-lubang pada permukaannya. Selain itu, di dalam lubang yang terdapat pada bulu tersebut turut mempunyai jaringan mikrofiber.

Pengkaji kemudian mendapati bahawa jika bulu-bulu ini disapukan toksin, toksin akan meresap ke dalam bulu melalui lubang-lubang tersebut, kemudian toksin itu seterusnya akan disimpan di dalam jaringan mikrofiber. Seolah-olah seperti sebatang picagari yang mempunyai racun di dalam nya dan bersedia untuk menyuntik.

Ia hanya memerlukan luka yang kecil dari tusukan bulu bertoksin ini untuk membuat pemangsa itu untuk jatuh sakit atau membunuhnya.

Seterusnya, tikus Lophiomys imhausi ini juga mempunyai kebolehan untuk bertahan daripada cubaan-cubaan awal pemangsa untuk mengigitnya. Ini kerana tikus ini juga turut dilengkapi oleh lapisan kulit yang tebal. Justeru memerlukan beberapa cubaan bagi pemangsa untuk menembusi kulit tebal itu.

Sedangkan, pemangsa cuma perlu ditusuk sekali sahaja untuk menerima ‘suntikan maut’ daripada toksin Ouabain yang dimiliki oleh Lophiomys imhausi.

Sumber:

A poisonous surprise under the coat of the African crested rat. Retrieved from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3248729/…

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.