Tiga Persatuan Pelajar Melayu Luar Negara Berpengaruh Sebelum Kemerdekaan

1,208

Sempena bulan kemerdekaan ini, penulis ingin membincangkan berkenaan tiga buah persatuan pelajar Melayu dari Tanah Melayu di luar negara (luar Kepulauan Alam Melayu) yang terawal pernah wujud dan pernah berpengaruh sebelum kemerdekaan negara kita pada tahun 1957.

Ini adalah berdasarkan kajian arkib dan penulisan ilmiah penulis sendiri berkenaan perbincangan ini. Mungkin ada persatuan lain yang mempunyai kriteria sepertimana yang dibincangkan ini pernah wujud di negara lain, tetapi cuma tiga persatuan ini sahaja yang dapat penulis kenalpasti catatan kewujudannya sepanjang kajian penulis. Senarai akan dimulakan dengan persatuan yang diasaskan paling lewat ke persatuan yang ditubuhkan paling awal.

Pertama, ialah Persatuan Pelajar Melayu Malaya di India (PPMMI) yang ditubuhkan dan berpusat di Aligarh, Uttar Pradesh, India pada tahun 1948. Selepas Mesir, India menjadi destinasi kedua tumpuan pelajar Melayu melanjutkan pengajian agama sekitar tahun 1960-an dan 1970-an. Ini kerana India adalah tempat di mana berdirinya dua buah institusi pengajian Islam tradisional yang terkenal ketika itu iaitu Darul ‘Ulum di Deoband dan Darul ‘Ulum Nadwatul ‘Ulama di Lucknow, selain merupakan bumi kelahiran ramai ulama India seperti Allahyarham Shaykh Abu Hassan an-Nadwi, Allahyarham Maulana Shah Wali Allah ad-Dahlawi dan Allahyarham Shaykh Abdul Rahman al-Mubarakfuri.

Catatan sejarah pemergian pelajar Melayu dari Tanah Melayu yang terawal dapat dikesan melanjutkan pengajian agama di India ialah seawal tahun 1920-an dan 1930-an seperti Allahyarham Maulana Muhammad Ma’adah bin Layang yang mengasaskan Pondok Pelangai di Negeri Sembilan (kini Sekolah Menengah Agama Pelangai) dan Allahyarham Maulana Hj. Abbas Ahmad dari Terengganu yang mendirikan Pondok Tok Jiring (kini SMKA Tok Jiring)

PPMMI yang berpusat di Universiti Muslim Aligarh ditubuhkan bagi menyatukan semua pelajar Melayu dari Tanah Melayu yang sedang dalam pengajian di serata tempat di India seperti di Calcutta, Deoband, Lucknow, New Delhi, Madras dan Bombay. Peranan PPMMI bukan sahaja sebagai perwakilan Persekutuan Tanah Melayu di India, bahkan juga merupakan satu-satunya persatuan yang menjaga hal ehwal kebajikan para pelajar Melayu di seluruh India dan memperjuangkan lulusan pelajar Melayu dari India ketika itu sehinggalah persatuan tersebut dibubarkan sekitar tahun 1990-an. Ramai ulama dari Tanah Melayu yang pernah bernaung di bawah PPMMI sepanjang pengajian mereka di India termasuklah Allahyarham Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Allahyarham Dato’ Hj. Ishak Baharom (mantan Mufti Negeri Selangor).

Jauh lebih awal daripada penubuhan PPMMI, Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) telah berdiri teguh di bumi Mesir sejak persatuan tersebut diasaskan pada tahun 1930. Pada asalnya, kebanyakan anggota pengasas persatuan tersebut merupakan bekas ahli-ahli Persatuan Kebajikan Pelajar-Pelajar Jawi Universiti al-Azhar yang ditubuhkan lebih awal iaitu sekitar tahun 1923 lagi, tetapi keanggotaannya lebih menyeluruh kepada semua pelajar Melayu dari seluruh pelusuk Kepulauan Alam Melayu.

Tidak perlu rasanya dihuraikan lebih lanjut berkenaan sejarah pemergian pelajar Melayu ke Mesir dan sejarah persatuan pelajar Melayu di sana kerana pada dua tahun lepas, penulis telahpun menulis artikel yang bertajuk “Siapakah Orang Melayu Pertama Yang Belajar di Mesir?” dalam laman web The Patriots ini juga yang telah dikemaskini baharu-baharu ini oleh pihak Admin. Peranan PPS begitu besar sebagai perwakilan Persekutuan Tanah Melayu di bumi Anbiya’ tersebut dan penglbatannya dalam sejarah negara republik tersebut khususnya perhubungan erat persatuan tersebut dengan Gamal Abdul Nasser, mantan Presiden Mesir kedua.

PPS telah beberapa kali menukar nama rasminya dan kali terakhir sehingga tahun 2015, persatuan tersebut dikenali dengan nama Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Antara tokoh yang pernah memegang badan kepimpinan persatuan tersebut seperti Allahyarham Prof. Dr. Zulkifli Muhammad, Allahyarham Dato’ Abdul Kadir Ismail (mantan Timbalan Menteri Penerangan Malaysia), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (mantan Menteri Besar Terengganu) dan Allahyarham Dato’ Hj. Fadzil Noor (mantan Presiden PAS).

Lebih awal daripada penubuhan PPS, di benua Eropah iaitu di United Kingdom, telah wujudnya sebuah persatuan pelajar Melayu di sana yang dikenali dengan nama “Malay Society of Great Britain” (MSGB) yang ditubuhkan pada tahun 1927. Sejarah pelajar Melayu dari Tanah Melayu yang melanjutkan pengajian di United Kingdom, dapat penulis jejaki seawal tahun 1870-an apabila seorang Pembesar Johor, Allahyarham Dato’ Seri Amar Diraja Abdul Rahman bin Andak, yang ketika itu muda belia dan juga anak angkat kepada Almarhum Sultan Abu Bakar telah dihantar ke England untuk melanjutkan pengajian bersama dengan seorang sepupu baginda iaitu Ungku Othman pada tahun 1871.

Atas matlamat untuk menyatupadukan semua pelajar Melayu dari Tanah Melayu di United Kingdom di atas satu nama bangsa yang sama yang memberi kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap tanah air tercinta, Tanah Melayu, MSGB ditubuhkan oleh 12 orang pelajar Melayu dari Tanah Melayu yang sedang menuntut di sana ketika itu dan berpusat di Malayan Hall, London. Apa yang menariknya, Presiden pertamanya ialah Almarhum Tengku (Tuanku) Abdul Rahman iaitu kerabat diraja Negeri Sembilan dan Setiausaha Kehormat yang pertama ialah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj iaitu kerabat diraja Kedah. Selepas kemerdekaan negara, baginda berdua ditabal sebagai Yang Dipertuan Agong yang pertama dan dilantik sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama.

Seperti PPS dan PPMMI, MSGB juga berperanan besar sebagai perwakilan Persekutuan Tanah Melayu di United Kingdom selain menjaga hal ehwal kebajikan para pelajar Melayu di sana. MSGB dipimpin oleh ramai bakal tokoh negarawan yang menuntut di sana. Tiga orang mantan Perdana Menteri Malaysia terawal pernah dilantik sebagai Presiden ketika pengajian mereka di sana. Pada tahun 1958, MSGB telah menukar nama rasminya kepada bahasa Melayu iaitu Kesatuan Melayu United Kingdom (KMUK) dan terus menaungi para pelajar Melayu di sana sekurang-kurangnya sehingga tahun 1999.

Ketiga-tiga persatuan tersebut berpengaruh besar dalam memperkenalkan kebudayaan Melayu di setiap negara tersebut dengan setiap kali jemputan majlis persembahan kesenian mereka akan dihadiri oleh penduduk tempatan, pelajar-pelajar asing dan wakil-wakil kedutaan negara lain yang diundang.

Ketiga-tiga persatuan tersebut juga sentiasa menyokong kuat kemerdekaan Tanah Melayu dari perantauan dan giat memperkenalkan Tanah Melayu kepada penduduk tempatan dan pelajar asing di negara masing-masing melalui upacara persembahan kebudayaan, penerbitan buku dan majalah tulisan dan terbitan mereka sendiri berkenaan Tanah Melayu untuk disebarkan kepada orang awam di sana, ucapan sapaan “Merdeka” antara mereka, mengutuskan surat-surat rasmi sokongan kepada para pemimpin Parti Perikatan di tanah air, bahkan juga mengutus surat rasmi kepada para pemimpin negara lain memohon sokongan mereka terhadap kemerdekaan Tanah Melayu.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan sejarah penubuhan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh ketiga-tiga persatuan tersebut sepanjang kewujudan mereka, para pembaca bolehlah merujuk senarai penulisan ilmiah saya di bawah:

RUJUKAN:

– Muhammad Hafiz Samsudin, “Peranan dan Sumbangan Persekutuan Melayu Mesir (PMM), 1956-2000,” Disertasi MA., Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, 2016.

– Muhammad Hafiz Samsudin & Abu Hanifah Haris, “Persekutuan Melayu Mesir (PMM) dan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di India (PPMMI), Latar Belakang dan Peranan,” dalam Sivachandralingam Sundara Raja et al. (ed.), Prosiding Persidangan Sejarah Sosioekonomi Malaysia, Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Nov. 2016, hlm. 468-483.

– Muhammad Hafiz Samsudin & Abu Hanifah Haris, “Peranan dan Sumbangan Malay Society of Great Britain (MSGB), Terhadap Kebajikan Pelajar Melayu dan Perjuangan Kemerdekaan Tanah Melayu, 1927-1958,” Jurnal Malaysia dari Segi Sejarah (Edisi Memperingati 120 Tahun Majlis Raja-Raja Melayu), Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, Bil. 45, 2017, hlm. 134-148.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.