Tiga Penyebab Utama Yang Membawa Kepada Kehancuran Alam Semesta

1,710

1. Tenaga Kegelapan.

Alam ini berkembang. Hari demi hari, tahap kelajuan alam ini berkembang semakin laju sehingga suatu hari nanti, alam ini akan berkembang selaju melebihi kelajuan cahaya.

Saintis tak tahu tenaga apa yang menyebabkan perkembangan alam ini memecut laju. Tetapi tenaga yang menyebabkan perkembangan tersebut wujud dan saintis memanggilnya Tenaga Kegelapan (Dark Energy). Tenaga ini masih belum kita kenali dan masih belum kita ketahui sifat tabiinya.

Suatu hari nanti, apabila alam berkembang terlalu laju, seluruh sistem galaksi dan sistem bintang akan hancur. Kerana yang memastikan sistem galaksi dan sistem bintang berada di tempatnya ialah graviti. Tanpa graviti, tiadalah sistem galaksi dan bintang. Gravitilah yang memastikan planet dan bintang berada di tempatynya.

Apabila alam berkembang terlalu laju, graviti tak mampu untuk menahan kedudukan bintang-bintang dan planet-planet. Sampai ke satu tahap, molekul pun berkecai, termasuklah atom-atom sehingga tiada lagi objek dan hidupan terbentuk.

2. Graviti

Terbalik dengan yang pertama tadi. Kes pertama tadi, tenaga kegelapan menang melawan graviti. Bagaimana pula kalau berlaku sebaliknya? Tenaga kegelapan makin berkurang dan perkembangan alam semakin perlahan sehingga graviti menguasai perkembangan alam.

Lama-lama, alam berhenti berkembang. Akibat daripada graviti, alam perlahan-lahan menguncup dan mengecil sehingga semua planet dan bintang ditarik oleh pusat-pusat graviti. Lohong-lohong hitam akan bergabung-gabung, menelan semua objek samawi.

Alam akan jadi seperti sewaktu zaman mudanya, apabila ia mengecil, ia akan jadi panas. Alam akan jadi lebih panas. Sekarang ini sejuk. Ini panas gila. Berjuta kali ganda lebih panas daripada matahari.

Yang tinggal akhir sekali ialah satu lohong hitam besar gedabak hasil daripada gabungan semua lohong hitam. Semua objek ditelan. Akhir sekali lohong hitam menelan dirinya sendiri. Alam hancur musnah berkecai.

Terbaru: Fiksyen Mahakarya

3. Entropi

Anda bayangkan rumah yang dibiarkan. Lama-lama rumah itu akan usang dan rapuh. Akhirnya runtuh. Mayat manusia yang dibiarkan lama-lama akan rapuh dan menjadi debu. Semuanya disebabkan entropi.

Telah menjadi hukum bahawa, entropi akan sentiasa meningkat. Ini bermaksud bahawa, setiap objek di sekeliling kita akan sentiasa menuju kepada ketidakstabilan dan ketidakseimbangan. Anda tidak perlukan banyak usaha untuk buatkan bilik anda bersepah dan pinggan di depan anda pecah.

Tetapi mengambil tenaga dan usaha yang begitu banyak untuk mengemas dan mencatumkan semula pinggan yang pecah. Rumah yang dibiarkan akan rapuh, bukan jadi semakin cantik. Nak cantik, kena adanya usaha dan tenaga luar untuk itu.

Begitulah juga alam. Lama-lama, ia akan mati dan cair. Bintang akan mati. Planet akan mati. Semuanya akan menuju ketidakstabilan disebabkan oleh entropi. Yang akhir sekali akan mati ialah lohong hitam. Lohong hitam akan mengeluarkan sinaran Hawking sebelum ia tersejat.

Akhirnya, semua alam akan mereput dan entropi telah mencapai ke tahap paling tertinggi. Ketidakstabilan paling agung. Alam semesta pun mati.

Tamat.

p/s: Gambar di atas hanyalah diagram evolusi perkembangan alam untuk memahami bagaimana alam berkembang. Ia bukanlah bentuk sebenar alam semesta. Kita masih belum mengetahui bentuk sebenar alam semesta. Ada beberapa hipotesis seperti alam ini berbentuk rata, ada yang berbentuk sfera, dan ada yang berbentuk hiperbolik. Kita pun masih belum mengetahui sama ada alam ini bertebing ataupun tidak.

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.