Sebelum April 2021, satu-satunya stesen angkasa lepas yang wujud di orbit bumi ialah Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Tetapi pada April lepas, Agensi Angkasa Lepas Manusia China (CMSA) melancarkan komponen pertama stesen angkasa lepas mereka ke angkasa. Stesen ini diberi nama Tiangong atau istana syurga.

Kemunculan Tiangong dilihat tepat pada masanya memandangkan keperluan eksperimen dan kerja saintifik yang semakin bertambah termasuk kajian astronomi dan kesan mikrograviti dan radiasi terhadap pertumbuhan bakteria. Disebabkan itu, satu stesen angkasa lepas sahaja tidak mencukupi untuk menampung permintaan eksperimen saintifik di orbit bumi.

Selain itu, ISS juga kini semakin berusia dan berdepan pelbagai masalah. Pembangun seksyen ISS Rusia, Energia memberi amaran 80% sistem penerbangan pada seksyen mereka sudah melepasi tarikh luput. Wakil Energia, Vladimir Solovyov turut menambah mereka telah menemui keretakan-keretakan kecil pada seksyen sama dan menjangkakan ia akan bertambah buruk dari semasa ke semasa.

Atas sebab itulah, Rusia sudah membayangkan mereka akan meninggalkan ISS selepas 2025. Ini selepas agensi angkasa lepas mereka Roscosmos mendapati struktur ISS yang semakin teruk mengakibatkan ia tidak lagi sesuai sebagai stesen angkasa lepas menjelang 2030.

Rusia sememangnya berkeinginan membina stesen angkasa lepas baru sebagai pengganti ISS. Tetapi sementara menantikan projek tersebut siap dan dilancarkan ke angkasa lepas, Tiangong dilihat alternatif terbaik untuk semua kerja saintifik di angkasa. China sudah memberi jaminan bahawa stesen angkasa lepas mereka terbuka kepada semua negara termasuk Rusia dan Amerika Syarikat.

Rajah 1: Gambaran artis tentang Tiangong dan fungsi setiap modul. Sumber: Adrian Mann/Stocktrek Images/Alamy

ISS yang dibina pada 1998 membabitkan kerjasama AS, Rusia, Jepun, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU). Ia kini menempatkan lebih 3,000 buah eksperimen saintifik membabitkan pelbagai institusi dan negara terlibat. Bagaimanapun, China dihalang daripada memanfaatkan ISS atas alasan undang-undang AS yang menghalang Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) daripada menggunakan aset dan dana kerajaan bila bekerjasama dengan China.

Yang pasti, sudah ada negara dan institusi yang bersiap sedia untuk menghantar eksperimen ke stesen Tiangong. Pada 2019, CMSA dan Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNOOSA) bersetuju memilih sembilan eksperimen – tambahan kepada 1,000 eksperimen yang diluluskan mereka. Kesemua usaha saintifik ini akan dibawa ke Tiangong selepas ia selesai dibina.

China sebelum ini pernah menghantar makmal angkasa lepas berskala kecil iaitu Tiangong-1 dan Tiangong-2 dan berupaya menempatkan lebih 100 buah eksperimen. Kedua-dua makmal ini pernah mengelilingi bumi tetapi tidak lagi berada di orbit.

Dengan Tiangong, ia menawarkan pelbagai kemudahan baru kepada penyelidik dan saintis. Dan bagi menggalakkan mereka menghantar eksperimen saintifik ke stesen itu, China menggalakkan mereka membikin eksperimen yang tidak pernah dilakukan di angkasa lepas. Walaupun kebanyakan kajian diketuai oleh saintis-saintis China, ia turut disertai oleh saintis-saintis dari negara-negara luar.

Komponen pertama yang dihantar pada misi April lepas ialah modul teras bernama Tianhe (keharmonian syurga). Ini disusuli penghantaran kapal kargo Tianzhou-2 (kapal kayangan/syurga) yang membawa bahan api, sut-sut angkasawan dan kelengkapan eksperimen pada akhir Mei lepas. Sebulan selepas itu, tiga orang angkasawan China tiba di Tiangong dengan Shenzhou-2 (kapal suci) di mana mereka akan tinggal di situ selama tiga bulan.

Untuk tahun hadapan, CMSA akan melancarkan lapan lagi misi ke Tiangong. Dua misi membabitkan penghantaran modul Wentian (pengembaraan ke syurga) dan Mengtian (bermimpi tentang syurga). Dua modul ini penting kerana ia menempatkan pelbagai eksperimen saintifik dari pelbagai negara.

Rajah 2: Angkasawan Liu Boming berjalan di angkasa lepas buat kali kedua selepas tiba di Tiangong pada Jun lepas. Sumber: Jin Liwang/Xinhua

Menurut Yang Yang, pengarah kerjasama antarabangsa untuk Pusat Kejuruteraan dan Teknologi untuk Kegunaan Angkasa Lepas, Akademi Sains China (CAS) yang berpangkalan di Beijing, ia menempatkan 20 buah rak dengan makmal mini dalam persekitaran tertutup dan bertekanan tinggi. Di bahagian luarnya, terdapat 67 titik sambungan untuk peralatan penyelidikan sama ada ia menghadap ke bumi atau ke langit. Sebuah komputer pusat berkuasa tinggi akan memproses semua data eksperimen sebelum menghantarnya kembali ke bumi.

Salah satu eksperimen yang dijangka berada di Tiangong ialah pengesanan radiasi kosmik tenaga tinggi (HERD). CAS menerusi Institut Fizik Tenaga Tinggi bekerjasama dengan Itali, Switzerland, Sepanyol dan Jerman untuk eksperimen ini dan ia dijangka dimulakan di Tiangong pada 2027. Pengesan partikel akan digunakan untuk mengkaji jirim gelap dan sinaran kosmik serta dijangka memakan kos satu hingga dua bilion yuan.

Begitupun, kerjasama dengan negara-negara asing terutama dari Barat bukan sesuatu yang mudah terima kasih kepada hubungan dingin negara-negara blok itu dengan China. Kesukaran ini yang dihadapi saintis Norway, Tricia Larose apabila eksperimennya dijangka dihantar ke Tiangong pada 2026. Bagaimanapun, sehingga hari ini, Beijing dan Oslo belum memeterai sebarang perjanjian kerjasama sekaligus membenarkan projeknya dimulakan.

Mengikut rancangan, Lacrose, beliau mahu menghantar blob 3D sel usus yang dijangkiti kanser tetapi sihat ke Tiangong. Dengan menghantarnya ke orbit, beliau mahu menguji hipotesis persekitaran bergraviti rendah boleh mengekang pertumbuhan sel kanser. Sekiranya hipotesis ini dapat dibuktikan, ia boleh dijadikan sebagai asas untuk terapi rawatan kanser baru.

Di sebalik kesukaran ini, pengarah UNOOSA Simonetta Di Pippo melihat ia tidak menjejaskan perkembangan sembilan eksperimen yang dipilih mereka dan CMSA. Malah, UNOOSA akan duduk semeja dengan CMSA untuk membincangkan rancangan menghantar lebih banyak eksperimen ke Tiangong pada akhir tahun hadapan.

Angkasawan China di Tiangong.

Begitupun, ada suara-suara sumbang yang tidak setuju dengan kewujudan stesen angkasa lepas dan menganggapnya sebagai satu bentuk pembaziran. Justeru, ada yang cuba mencadangkan ia digantikan dengan misi-misi angkasa lepas tanpa manusia seperti prob dan robot.

Tetapi ia masih tidak dapat menggantikan pemerhatian dan eksperimen yang memerlukan persekitaran mikrograviti di mana ia dikendalikan oleh krew manusia. Dan itu menjadikan stesen angkasa lepas seperti Tiangong lebih penting lebih-lebih lagi dengan ISS kini memasuki tahun-tahun terakhir perkhidmatannya.

Ini kerana stesen ini berperanan sebagai pusat pemerhatian dan kapasiti pemprosesan data jangka panjang serta akses kepada angkasawan untuk menyelenggara dan melakukan eksperimen. Tiangong dijangka beroperasi selama sedekad dan China sudah mempunyai rancangan untuk memaksimumkan kegunaan stesennya.

Ini termasuk melancarkan teleskop angkasa lepas mereka yang dipanggil Xuntian (peninjau syurga) di mana ia akan berlabuh dengan Tiangong untuk mengisi bahan api dan penyelenggaraan. Xuntian dijangka akan mengatasi keupayaan Teleskop Angkasa Lepas Hubble dan berupaya melihat lapangan yang lebih luas dalam alam semesta. Xuntian dijangka dilancarkan ke angkasa lepas pada 2023.

RUJUKAN:

BBC News. (2021). International Space Station facing irreparable failures, Russia warns.

Mallapaty, Smriti. (2021). China’s space station is preparing to host 1,000 scientific experiments. Nature.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.