Saya menghadiri Bicara Arkeologi Siri 4/2017 anjuran USM dengan kerjasama Muzium Arkeologi Lembah Bujang pada 27 Feb 2017.

Hati saya agak terpaut dengan sesi ceramah Dr. Nazaruddin Bin Zainun yang bertajuk ‘Warisan Hindu-Buddha Di Kedah Tua – Suatu Kritikan’.

Ceramah beliau lebih kepada penemuan bukti-bukti di sekitar Lembah Bujang setakat ini dan apakah implikasi penemuan ini terhadap pendapat umum tentang warisan Hindu-Buddha di Lembah Bujang dan di Kedah Tua secara amnya.

Dengan mengutarakan tujuh keperluan asas berdasarkan pendapat George Coedes dalam proses Indianisasi sesebuah kerajaan dan masyarakat setempat, Dr. Nazaruddin mengetengahkan bukti-bukti ini, membincangkannya dan kemudian memberi peluang kepada hadirin untuk membuat kesimpulan peribadi di atas perbincangan tersebut.

Oleh itu, saya terpanggil untuk menulis artikel ini berdasarkan fakta dan juga kritikan peribadi saya dalam membahaskan kebenaran akan kewujudan warisan Hindu-Buddha yang diamalkan oleh penduduk setempat.

Sebelum saya membuat kesimpulan itu, apakah fakta terkini tentang Lembah Bujang dan apakah tujuh elemen penting untuk menentukan bahawa sesebuah kerajaan lokal itu mengalami proses Indianisasi menurut George Coedes?

Elemen pertama yang perlu ada ialah; adakah Kerajaan Kedah Tua itu mengamalkan sistem beraja seperti di India yang menekankan kepada konsep Devarāja atau bahasa mudahnya ‘raja itu mewakili tuhan’/’god-king’?

Pertamanya, bagaimana kita hendak melihat interpretasi devarāja di dalam sesebuah kerajaan?

Devarāja adalah satu konsep di mana raja itu adalah yang paling agung, tiada yang lebih agung daripadanya di muka bumi (tuhan di bumi). Konsep ini hampir kepada konsep Chakravartin di India seperti terdapatnya binaan monumen pengasas Empayar Maurya (323-185 SM) iaitu Chandragupta Maurya yang besar.

Elemen devarāja dapat dilihat dengan jelas di Kompleks Percandian Angkor Wat. Diukir di dinding Angkor Wat, susuk Suryavarman II yang lebih besar daripada subjeknya. Wajah Jayawarman VII juga diukir dengan gah dan besar sekali di Candi Bayon. Ini adalah antara contoh devarāja yang boleh dilihat jelas pada Kerajaan Khmer Angkor.

Adakah bukti devarāja ini dapat dilihat di Lembah Bujang?

TIDAK! Tiada satu pun bukti devarāja yang ada di Lembah Bujang apatah lagi di seluruh Kedah Tua. Maka, kerajaan lokal Kedah Tua TIDAK mengalami Indianisasi.

Elemen ke-dua yang perlu ada menurut Coedes ialah bukti penerimaan ajaran Hindu-Buddha oleh penduduk lokal.

Apakah contoh bukti penerimaan ini? Contoh yang paling mudah ialah Kitab Sang Hyang Kamahayanikan yang ditulis oleh Mpu Shri Sambhara Surya Warama dari Kerajaan Mataram Kuno. Kitab ini menceritakan tentang ajaran Mahayana dan membicarakan dewa-dewa dalam Mazhab Mahayana. Sebutan yang terdapat di Candi Borobudur seperti Ruphadatu dan Kamadhatu juga terdapat di dalam kitab ini.

Ini adalah contoh di mana kerajaan lokal itu sudah menyerap kepercayaan dan juga mengamalkan cara hidup Hindu-Buddha. Sinkretisme adalah sesuatu yang perlu untuk dikatakan adanya proses Indianisasi.

Adakah bukti ini terdapat di Lembah Bujang?

TIDAK! Tiada satu pun bukti konkrit yang boleh dianggap sebagai mutlak. Yang ditemui di Lembah Bujang hanyalah patung kecil yang di bawa masuk oleh orang luar dari India. Penemuan arkeologi di Bukit Batu Pahat pula lebih bersifat ajaran tantrik atau ritual sahaja.

Elemen ke-tiga pula ialah adanya adaptasi mitologi purana dalam sastera tempatan.

Epik Mahabhrata dan Ramayana serta kitab-kitab agama rujukan lainnya merupakan asas penting Hindu manakala Buddha pula mempunyai 3 buah kitab utama iaitu Sutta Pițaka, Vinaya Pițaka dan Abhidhamma Pițaka.

Di Indonesia, pujangga-pujangga mereka telah menyadurkan kisah-kisah di dalam kitab di atas ke dalam sastera tempatan. Antara contoh utama ialah watak Petruk, Gareng, Bagong dan Semar dalam sastera lokal.

Bukan di dalam buku sastera sahaja, saya pernah melihat tugu besar Irung Petruk di jalan raya menuju ke Selo dari Boyolali dan patung 4 watak ini tersedia menyambut anda di pintu masuk Taman Wisata Baturaden di Jawa Tengah.

Adakah Lembah Bujang mempunyai bukti penemuan adaptasi purana dalam sastera tempatan?

TIDAK! Hingga kini tiada satu pun penemuan kitab sastera yang menjurus kepada proses Indianisasi ini.

Elemen ke-empat pula adakah ditemui apa-apa tinggalan prasasti berbahasa Sanskrit di Lembah Bujang?

Di Indonesia, prasasti yang menggunakan Bahasa Sanskrit berhuruf Pallava ditemui Kabupaten Kutai, Kalimantan Timur . Prasasti sekitar 400 Masihi ini dinamakan Prasasti Kutai atau Prasasti Mulawarman. Ianya menceritakan tentang Raja Mulawarman yang menghadiahkan lembu yang banyak kepada Kaum Brahmana.

Satu lagi prasasti yang menggunakan Bahasa Sanskrit ialah Prasasti Cidanghiyang yang dibuat oleh Kerajaan Tarumanegara di Jawa Barat.

Adakah sebarang prasasti berbahasa Sanskrit ditemui di Lembah Bujang?

TIADA! Walaupun dua prasasti ditemui iaitu Prasasti Cherok Tok Kun dan Prasasti Budhhagupta, namun, kedua-duanya ditolak sebagai bukti kukuh kerana tiada tarikh pada prasasti tersebut.

Ke-lima, menurut Coedes, proses Indianisasi itu perlu ada bukti penggunaan ‘Kalendar Saka’.

Apakah Kalendar Saka? Kalendar ini menggunakan sistem ‘Candrasengkala’ yang bermaksud ‘Pernyataan Angka Tahun’. Hanya terdapat 5 hari di dalam kalendar ini iaitu Legi, Pahing, Pon, Wage dan Klewon.

Antara prasasti yang bertanda tahun saka ialah Prasasti Canggal yang bertarikh 654 saka dan Candi Diyono bertarikh 682 saka.

Isi baris Candi Diyono ialah;

‘svasti śaka varṣātīta 682’

yang bermaksud;

‘Kemuliaan di tahun Saka 682 yang telah berlalu.’

Adakah ditemukan sesuatu yang bertarikh kalendar saka di Lembah Bujang?

TIADA! Hingga kini tiada ditemukan apa-apa yang bertanda kalendar saka.

Elemen ke-enam pula ialah adaptasi sistem penulisan India. Terdapat 52 buah prasasti berbahasa Melayu Kuno/Sanskrit yang ditemui di Asia Tenggara. 29 buah daripadanya menggunakan aksara Pallava, 16 buah prasasti menggunakan aksara Jawa Kuno atau Kawi, 4 buah prasasti pula menggunakan aksara rencong dan 3 buah prasasti yang terakhir menggunakan gabungan aksara Pallava, Jawa Kuno dan Arab/Jawi.

Adakah salah satu daripada 52 prasasti ini ditemui di Lembah Bujang?

TIADA! 52 prasasti dan satu pun tidak terletak di Lembah Bujang malah tiada prasasti yang berbahasa Sanskrit atau beraksara identifikasi Melayu ditemui.

Elemen ke-tujuh atau yang terakhir ialah penerapan atau pengaruh Dharmaśāstra (Undang-Undang Hindu-Buddha) dalam kerajaan tempatan.

Dharmaśāstra ditulis dalam bentuk puisi dan ianya menerangkan tanggungjawab, tugas dan etika terhadap diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat. Undang-undang ini amat penting di Negara India, malah, ianya diadaptasi di awal pembentukan negara moden India. Kerajaan Khmer Angkor adalah salah sebuah kerajaan kuno yang menggunakan Dharmaśāstra ini.

Adakah teks Dharmaśāstra ini ditemui atau ianya digunapakai di Lembah Bujang?

TIDAK! Tiada langsung bukti penggunaan undang-undang ini di Kedah Tua.

7 persoalan berdasarkan saranan Coedes sudah ditanya dan kesemuanya TIADA di Lembah Bujang.

Apakah kesimpulannya?

Berdasarkan kepada bukti-bukti yang ada sehingga hari ini, penduduk asal dan tempatan di Lembah Bujang dan Kedah Tua TIDAK menganut ajaran Hindu-Buddha. Penemuan candi-candi di Lembah Bujang yang lebih bersifat tantrik dan senibina yang mudah tidak menampakkan suatu tamadun yang sudah diindianisasikan pernah terjadi.

Berdasarkan bukti, relik yang dijumpai di sini berkemungkinan besar dibawa masuk oleh pendatang asing yang membuat penempatan sementara dan tidak berasimilasi dengan demografik Lembah Bujang, mahupun Kedah Tua.

Oleh itu, ubahlah minda anda! Asia Tenggara ini bukan semuanya melalui proses Indianisasi. Kedah Tua tidak melalui proses ini.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pengembara warisan yang fokus kepada tinggalan sejarah dan budaya setempat. Gemar membaca dan menulis itu cara beliau mengekspresi diri dan dunia marcapada

Comments are closed.