Kita sedang bercakap mengenai tokoh yang kontroversi dalam bidang sejarah, namun berstatus legenda. Apabila bercakap mengenai Thomas Edison, selain daripada perseteruan legenda dengan seorang lagi saintis bernama Nikola Tesla, kita mungkin juga akan berbicara mengenai jumlah rekacipta milik Edison yang telah dipatenkan.

Berapa? Jangan terkejut kalau angkanya mencecah sehingga 1093 buah! Pada ketika beliau meninggal dunia pada 18 Oktober 1931, sebahagian daripada rekaaan yang dipatenkan terdiri daripada 398 untuk cahaya dan kuasa eletrik, 195 untuk fonograf, 150 untuk telegraf, 141 untuk bateri dan 34 lagi untuk telefon. Tidak banyak naskah dalam Bahasa Melayu bercerita mengenai sejarah beliau, tetapi kisah yang anda sedang baca ini, mungkin salah satu daripada koleksi “rare” ini.

Tokoh yang terkenal kerana membina makmal berskala industri pertama di dunia yang dikenali sebagai “Wizard Menlo Park” ini lahir pada 11 Februari 1847, di Milan, Ohio Amerika Syarikat. Beliau merupakan anak bongsu kepada pasangan Samuel Edison Jr dan juga Nancy Elliott Edison. Beliau hanya menerima sedikit pendidikan formal pada awal usianya sebelum meninggall sekolah, menjadi buruh membuat jalan kereta api antara Detroit ke Port Huron, Michigan di mana ketika itu keluarganya tinggal.

Edison menunjukkan minat dan mula mempelajari mengenai teknologi telegraf lalu mula mengembara ke seluruh Amerika Syarikat ketika itu sebagai seorang telegrafer. Pada waktu inilah Edison mula mengalami masalah pendengaran yang agak serius, hasil daripada pelbagai faktor seperti penyakit dan kesan hentaman pada kepalanya.

Apabila terciptanya auditory signal untuk mesin telegraf, untuk orang yang mengalami masalah pendengaran sepertinya, ia merupakan sebuah kekurangan. Bagi mengatasi kekurangan itu, maka Edison mula mencipta peranti yang mampu membantu insan sepertinya. Pada waktu inilah juga di mana Edison berhenti menjadi seorang telegrafer, mula membina karier sebagai seorang pereka cipta sepenuh masa.

Pada sekitar 187-1875, Edison bekerja dengan syarikat Newark yang terletak di New Jersey sebagai seorang pereka cipta yang merekacipta pelbagai peranti, mesin dan alat yang berkaitan dengan mesin telegraf. Antara mesin yang dicipta oleh Edison ialah carbon transmitter, alat yang meningkatkan kemampuan dengar telefon dengan membolehkan telefon ketika itu menyalurkan bunyi pada nada yang lebih tinggi dan jelas daripada yang sedia ada.

Edison dengan fonograf yang diciptanya.

Peti nyanyi, pemutar rekod atau fonograf merupakan satu peranti yang diperkenalkan pada tahun 1877 untuk rakaman dan pengeluaran rakaman bunyi. Rakaman yang dimainkan secara umumnya mengandungi garisan beralun, sama ada ia seperti dicalar, diukir, atau beralur ke atas silinder berputar atau cakera. Apabila silinder atau cakera berputar, jarum pada peti nyanyi akan menyurih pada garisan yang beralun itu dan ia kemudiannya bergetar untuk menghasilkan gelombang bunyi. Ya, anda tidak salah. Peti nyanyi ini merupakan salah satu daripada ciptaan hebat Edison.

Kejayaan demi kejayaan terus dicapai oleh Edison kehidupannya. Contohnya pada tahun 1878, Edison telah mencipta cahaya eletrik yang lebih murah dan selamat menggantikan gas yang digunakan untuk menghidupkan lampu. Sesuatu yang gagal dilakukan oleh saintis selama 50 tahun. Dengan bantuan kewangan daripada jutawan seperti J.P Morgan dan keluarga Vanderbilt, Edison membangunkan sebuah syarikat yang dinamakan sebagai Edison Electric Light Company.

Mungkin beginilah koleksi mentol-mentol ciptaan Edison.

Di bawah syarikat ini, Edison membangunkan pelbagai penyelidikan mengenai eletrik. Kemuncaknya apabila pada 1879, Edison telah berjaya mencipta mentol yang menggunakan filamen yang diperbuat daripada platinum. Setahun kemudian, Edison telah berjaya menemui carbonized bamboo adalah elemen paling utuh dalam menyalakan sebuah mentol. Dikatakan menggunakan buluh karbon ini, mentol Edison mampu menyala untuk lebih 1200 jam.  Ciptaan-ciptaan Edison ini kemudian ditayang dan dipamerkan dalam pameran-pameran yang diakui kredibilitinya seperti Paris Lighting Exhibition pada tahun 1881 dan Crystal Palace pada 1882.

Mesin kinestoskop yang merupakan kamera hidup pertama.

Pada tahun 1886, Edison telah membina makmal penyelidikan dalam skala besar yang merangkumi kedai mesin, perpustakaan, dan bangunan khas untuk metalurgi, kimia dan kerja kayu. Edison selepas itu mencipta pelbagai lagi ciptaan hebat. Contohnya seperti Kinetoskop, yang merupakan kamera gambar hidup pertama yang menampilkan gambar bergerak. Alat ini dapat memperlihatkan film secara individual melalui lubang kecil yang menyerupai jendela yang kemudian telah dipatenkan pada tahun 1891.

Tidak juga dilupakan pada penciptaan bateri alkalin yang pada awalnya dicipta sekadar sumber kausa kepada peti nyanyinya, sebelum ia digunakan untuk menjana kapal selam dan peranti-peranti eletrik pada waktu itu. Bahkan, Edison merupakan pencipta kepada bateri untuk Henry Ford yang kemudian menjadi perintis kepada model kereta yang sangat ikonik untuk rakyat Amerika Syarikat iaitu Model T. Sesungguhnya selepas itu, Edison terus mencipta sehingga usianya mencecah 80-an.

RUJUKAN:

History.com. (2009). Thomas Edison. A&E Television Networks. https://www.history.com/topics/inventions/thomas-edison

Newtonic, Learnado. (2019). Thomas Edison: 10 Major Accomplishments And Contributions. https://learnodo-newtonic.com/thomas-edison-contribution

Thomas Edison Muckers. (n.d) Thomas Edison Lightbulb. http://www.edisonmuckers.org/thomas-edison-lightbulb/

Gallagher, Ethan. (2017). How Did Thomas Edison’s Light Bulb Work?. https://sciencing.com/thomas-edisons-light-bulb-work-4914923.html

Libarary Congress. (n.d). Inventing Entertainment: The Early Motion Pictures and Sound Recordings of the Edison Companies. https://www.loc.gov/collections/edison-company-motion-pictures-and-sound-recordings/about-this-collection/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.