Tragedi karamnya kapal Titanic dianggap satu bentuk pengajaran berkenaan keangkuhan manusia tetapi ia juga sebenarnya satu kisah berkenaan persediaan dalam menghadapi kecemasan yang patut diintegrasikan dalam setiap rekaan. Dan ini yang diperjuangkan arkitek Titanic, Thomas Andrews walaupun ditentang ramai termasuk Pengerusi White Star Line, J. Bruce Ismay. Dan atas sebab ini, hanya 700 orang dapat diselamatkan daripada tragedi ini walaupun Andrews yang tidak mempedulikan nyawanya sendiri berusaha memastikan penumpang dan krew Titanic terselamat.

Thomas Andrews Jr merupakan anak jati Comber, Ireland Utara dan dilahirkan pada 7 Februari 1873. Keluarganya sudah dikenali di Comber kerana banyak mewujudkan pelbagai bentuk perniagaan dan industri termasuk kilang linen. Ibunya Eliza Pirrie merupakan kakak kepada bakal pengerusi Harland dan Wolff, Lord William Pirrie. Abang sulungnya John Miller Andrews merupakan bakal Perdana Menteri Ireland Utara sementara adiknya, James merupakan bakal Ketua Hakim Ireland Utara. Sejak kecil, beliau sudah dikenali dengan rupa yang tampan, berani dan disayangi semua serta amat menyukai kegiatan di luar rumah. Andrews merupakan seorang penunggang kuda yang aktif dan selalu berlayar berhampiran Strangford Lough berikutan keluarganya mempunyai rumah percutian di situ. Atas sebab itu, antara nama panggilannya semasa kecil ialah Laksamana (The Admiral).

Semasa kecilnya, beliau mendapat pendidikan dari seorang tutor sehingga mencecah usia 11 tahun. Pada usia itu, Andrews mendapat pembelajaran di Institut Akademi Diraja Belfast. Bagaimanapun di sekolah, beliau bukanlah seorang pelajar cemerlang dan lebih berminat menceburi bidang sukan. Antara sukan yang disertainya ialah sukan kriket. Selepas meninggalkan sekolah pada usia 16 tahun, Andrews mula bekerja sebagai perantis di Harland dan Wolff dan tinggal di rumah tumpangan disediakan syarikat di Belfast. Tempohnya sebagai perantis membuka ruang kepada Andrews mempelajari segala aspek berkenaan pembinaan kapal. Beliau turut mengambil kelas malam di Kolej Teknologi Belfast dan menemui panggilannya sebagai pereka kapal. Pada usia 28 tahun, Andrews dilantik sebagai ketua bahagian rekaan syarikat dan pada tahun 1907, diangkat sebagai pengarah urusan baru Harland dan Wolff.

Setahun selepas dilantik sebagai pengarah urusan, beliau berkahwin dengan Helen Reilly Barbour, anak perempuan kepada taikun tekstil John Doherty Barbour dan kakak kepada ahli politik Ireland Utara, Sir John Milne Barbour. Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan bernama Elizabeth Law Barbour Andrews yang dilahirkan pada tahun 1910. Selepas berkahwin, mereka menetap di Windsor Avenue, selatan Belfast. Sehari sebelum Elizabeth dilahirkan, Andrews membawa isterinya yang sarat mengandung melihat Titanic yang masih dalam proses pembinaan. Selepas beliau meninggal dunia, Helen berkahwin semula dan meninggal dunia pada tahun 1966 di Ireland Utara.

Pada Disember 1908, kerja-kerja pembinaan Titanic dan Olympic mula dilancarkan. Kapal-kapal ini merupakan sebahagian dari visi bapa saudaranya, Lord Pirrie iaitu pembinaan kapal-kapal persiaran paling besar dan mewah pada zamannya. Sepanjang beberapa tahun pembinaannya, Andrews memastikan semua aspek berkenaan Titanic dan Olympic diketahui bagi memastikan kedua-duanya dapat beroperasi dengan baik. Bagaimanapun beberapa cadangan beliau berkenaan pertambahan bot penyelamat, dua lapisan badan kapal dan dinding sekat kalis air di dek B ditolak.

Selepas selesai pembinaan dan pelayaran pertamanya, Andrews merupakan sebahagian daripada kumpulan jaminan Harland dan Wolff yang menaiki Titanic untuk memerhati operasi kapal dan mencadangkan penambahbaikan bagi melicinkan lagi operasi. Mereka menaiki Titanic dari Belfast menuju ke Southampton untuk pelayaran sulungnya pada 10 April 1912. Semasa pelayaran, Andrews melihat ada beberapa aspek yang boleh diperbaiki terutama dari segi kosmetik. Bagaimanapun pada 14 April beliau berkata pada seorang teman, “Titanic dilihat hampir sempurna seperti mana otak manusia yang menciptanya.”

Pada 14 April atau lebih tepat pada pukul 11.40 malam, kapal malang itu berlanggar dengan aisberg. Andrews yang ketika itu berada di biliknya tidak menyedari perlanggaran itu berlaku. Selepas dimaklumkan, Kapten Edward Smith memintanya memeriksa kerosakan yang dialami kapal. Pada tengah malam, kedua-duanya bertemu dan kesimpulan yang dibuat Andrews amat menyedihkan selepas pemeriksaan dan membaca laporan kerosakan: Titanic tidak boleh diselamatkan dan mereka hanya ada sejam untuk memindahkan penumpang ke bot-bot penyelamat. Ramai penumpang tidak percaya dengan berita itu tetapi Andrews menasihatkan mereka memakai pakaian panas dan bersedia meninggalkan kapal.

Seorang mangsa Titanic yang terselamat pada masa kecilnya menceritakan dalam memoirnya Andrews memberitahu ibu bapanya Titanic akan karam. Dia menulis, “Kami sebenarnya hampir tidak mempercayainya tetapi jika itu yang dikatakannya, maka ia mesti betul. Tiada siapa yang lebih berkelayakan untuk tahu perkara-perkara sebegini.” Hanya 700 orang saja terselamat dan kebanyakan bot penyelamat yang berlalu pergi dari kapal malang itu tidak penuh kerana ramai tidak masuk dalam bot.

Sehingga ke akhir hayatnya, Andrews berusaha menyelamatkan ramai penumpang Titanic dengan melemparkan kerusi dan objek lain ke dalam air bagi memastikan penumpang yang berada dalam air dapat berpaut. Kali terakhir beliau dilihat ialah di bilik merokok kelas pertama sambil melihat sebuah lukisan, satu legenda Titanic yang masih berterusan sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, ada keterangan yang menyatakan Andrews berhenti seketika di bilik itu sebelum meneruskan usaha menyelamatkan penumpang. Ada juga yang menyatakan kali terakhir beliau dilihat ialah di kawasan anjungan kerana mencari Kapten Smith. Sehingga ke hari ini, mayat Andrews masih tidak ditemui.

Ramai penumpang Titanic dan laporan akhbar menyifatkan beliau sebagai wira dalam tragedi tersebut. Mary Sloan, seorang pramugari kapal berkata, “Encik Andrews mati sebagai seorang hero, sedar akan bahaya yang mendatang dan menyerahkan nyawanya demi menyelamatkan wanita dan kanak-kanak Titanic. Agak sukar untuk menggantikannya.” Sementara di plot kubur keluarganya, satu kenyataan menggambarkan dirinya, “Suci, adil, pemurah, penyayang dan seorang wira. Beliau menyerahkan nyawanya supaya orang lain dapat diselamatkan.” Di bandar kelahirannya Comber, mereka membina Dewan Memorial Thomas Andrews Jr dibuka pada Januari 1914. Dewan itu kini diuruskan oleh Lembaga Pendidikan South Eastern dan digunakan oleh Sekolah Rendah Memorial Andrews. Satu-satunya kapal rekaannya yang terselamat ialah kapal SS Nomadic. Komuniti astronomi menamakan sebuah asteroid sempena nama Andrews pada tahun 2004.

SUMBER

  1. Eschner, Kat. (2017). Smithsonian Magazine. The Chief Designer of the ‘Titanic’ Saved Everyone He Could as His Ship Went Down. https://www.smithsonianmag.com/smart-news/chief-designer-titanic-saved-everyone-he-could-his-ship-went-down-180962008/
  2. BBC. History. Thomas Andrews. http://www.bbc.co.uk/history/people/thomas_andrews

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.