The Witcher: Kebanggaan Negara Poland

0
1474
views

Pada tahun 2011, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melakukan lawatan kerja selama dua hari ke Poland sebagai penutup kepada siri lawatannya ke Eropah pada musim panas tahun tersebut. Pertemuan Barack Obama dengan Perdana Menteri Poland ketika itu, Donald Tusk diakhiri dengan pemberian hadiah peringatan oleh Tusk kepada Obama.

Tidak seperti kebanyakan pemimpin negara lain yang memberi hadiah seperti buku, lukisan berbingkai, ataupun barang kemas/permata, Perdana Menteri Poland menghadiahkan Obama senaskah permainan video. Dan ia bukan sebarangan permainan video. Ia adalah The Witcher 2: Assassins of Kings Collector’s Edition. Mengapakah Tusk menghadiahkan Obama hadiah yang pelik ini?  Apakah kepentingan ataupun rasionalisasi di sebalik pemberian hadiah tersebut?

CD Projekt: Lanun Cetak Rompak

Untuk memahami mengapa peritiwa di atas berlaku, perlulah kita kenali permainan video ini dengan lebih dekat. The Witcher adalah sebuah siri permainan video RPG (role playing games) yang dibangunkan dan diterbitkan oleh CD Projekt, sebuah syarikat yang berpengkalan di Warsaw Poland. CD Projekt ditubuhkan oleh dua rakan iaitu Marcin Iwinski dan Michał Kiciński pada bulan Mei 1994.

Marcin Iwinski adalah peminat permainan video sejak kecil lagi. Namun begitu, disebabkan oleh kekangan ekonomi yang dibawa oleh pengaruh Soviet Union, permainan video amat sukar didapati di Poland. Oleh kerana itu, Iwinski ketika usia remajanya menjual permainan video cetak rompak di pasar minggu sekitar Warsaw. Poland pula tidak mempunyai undang-undang Hak Reka Cipta. Disebabkan itulah perniagaan cetak rompak berkembang pesat dan melahirkan saudagar-saudagar cetak rompak seperti Marcin Iwinski dan Michal Kicinski. Pun begitu, ketika Poland mula berubah ke arah ekonomi bebas, kedua-dua rakan ini berhasrat untuk mencuci tangan dan berniaga secara halal.

Maka tertubuhlah CD Projekt. Sebuah syarikat kecil yang hanya bermodalkan $ 2000 dan beroperasi dari sebuah unit flat kecil yang disewakan oleh kawan Iwinski. Pada asalnya, CD Projekt ditubuhkan sebagai pengedar sah permainan video di Poland. Cabaran yang paling besar yang perlu mereka hadapi adalah lanun cetak rompak. Kebanyakan permainan video cetak rompak dijual pada harga yang lebih murah berbanding dengan yang asal.

Oleh kerana itu, CD Projekt berhasrat melakukan localization. Disamping mengedar permainan video, CD Projekt juga memastikan yang permainan video itu sesuai untuk Poland dengan melakukan terjemahan pada nama, reka bentuk CD, dan juga terjemahan pada permainan video itu sendiri. CD Projekt juga mengupah artis-artis popular untuk melakukan alih bahasa.Tidak cukup dengan itu, CD Projekt juga menambah item-item tambahan seperti buku manual, peta dan poster pada setiap pek permainan video yang mereka jual untuk memberikan lebih nilai bagi setiap pembelian.

Strategi inilah yang dibuat oleh CD Projekt ketika memasarkan permainan video popular Baldur’s Gate yang dibangunkan oleh Bioware (pencipta francais Mass Effect) dan diterbitkan oleh Interplay Entertainment. Baldur’s Gate terjual lebih daripada 18,000 unit serata Poland hanya pada hari pertama jualan. Ini mengatasi jumlah biasa yang dapat dijual oleh mana-mana syarikat pengedar (kebiasaannya pada 1000-2000 unit). Ini adalah antara siri kejayaan pertama CD Projekt dan membolehkan mereka terus maju menjadi pengedar ulung permainan video di Poland.

The Witcher               

Walaupun berada pada keadaan selesa, CD Projekt tidak duduk diam. Ketika itu mereka sedang dalam proses mengedarkan satu lagi siri Baldur’s Gate untuk pasaran Poland. Baldur’s Gate: Dark Alliance merupakan sebuah permainan video khas untuk konsol. Tetapi, pasaran konsol tidak wujud di Poland. Oleh kerana itu, CR Projekt terpaksa memindahkan permainan video itu ke PC, satu langkah yang memerlukan pengaturcaraan dan pembinaan permainan video.

Dari situ, tertubuhlah CD Projekt Red, sebuah studio pembangun permainan video. Ia dianggotai oleh Sebastian Zieliński (pengaturcara selebriti Poland) dan juga Adam Badowski. Diwaktu mereka sedang asyik melakukan kerja-kerja pengaturcaraan dan pembangunan untuk Dark Alliance versi PC, usaha mereka terbantut dek kerana masalah kewangan yang dihadapi Interplay Entertainment. CD Projekt Red bingung. Mereka kini ditinggalkan dengan kod-kod permainan video hasil usaha mereka yang boleh jadi sia-sia jika dibiarkan begitu sahaja. Iwinski mencadangkan agar mereka menghasilkan permainan video mereka sendiri menggunakan kod-kod tersebut. Tapi permainan video apa yang mereka boleh hasilkan?

Memindahkan permainan video adalah satu usaha yang sukar bagi mereka, apatah lagi menghasilkan permainan video mereka sendiri. Iwinski dan Kicinski tidak ada pengalaman dan latar belakang dalam menghasilkan permainan video. Pun begitu, cita-cita mereka besar. Mereka perlu menghasilkan permainan video untuk mengembangkan lagi syarikat mereka. Iwinski bercadang untuk membangunkan permainan video dari francais fantasi yang sedia ada bagi mengelakkan mereka dari membazir masa untuk mebina IP (Intellectual Property) yang baru.

Ketika itu, Poland yang kaya dengan khazanah dan sejarah Zaman Pertengahan menyebabkan novel The Witcher, karya Andrzej Sapkowski sangat popular. The Witcher, sebuah epic “dark fantasy” memaparkan seorang mutan pemburu raksasa yang hidup di era pertengahan yang dipenuhi magis, politik dan komentar sosial. Iwinski menghubungi Sapkowski untuk memiliki hak bagi membangun dan menerbitkan permainan video The Witcher. Dengan hanya bayaran $ 9,500 tanpa sebarang tuntutan royalti, lesen untuk menerbitkan The Witcher kini menjadi milik CD Projekt.

Kerja-kerja pembangunan dimulakan di studio CD Projekt Red yang berpengkalan di Łódź (sebuah bandar yang terletak 120 KM dari Warsaw). Projek ini dikepalai oleh Sebastian Zieliński. Dalam masa setahun sahaja mereka berjaya menghasilkan demo untuk The Witcher. Iwinski dan Kicinski membawa demo tersebut serata Eropah untuk ditunjukkan kenapa penerbit-penerbit permainan video yang berminat.

Dua minggu Iwinski dan Kicinski habiskan untuk meyakinkan para penerbit untuk menerbitkan permainan video mereka. Namun tiada satu pun penerbit yang sanggup. Usaha pertama mereka menemui kegagalan. The Witcher terpaksa dibangunkan semula dari asas dan Zieliński tidak berminat. Keputusan Zieliński untuk meninggalkan syarikat menyebabkan CD Projekt Red kehilangan pengaturcara utama mereka.

Gagal bukan satu Pengakhiran

Walaupun begitu, Kicinski tidak berputus asa. Beliau mengambil alih tempat Zielinski sebagai Pengurus Projek dan memindahkan pejabat CD Projekt Red ke Warsaw, Poland supaya lebih dekat dengan ibu pejabat. Bioware yang mempunyai hubungan baik dengan Kicinski menawarkan bantuan dalam bentuk teknikal dan juga menawarkan game engine mereka (Aurora), untuk kegunaan CD Projekt Red. The Witcher, yang dibangunkan selama 5 tahun dengan menelan belanja sebanyak $15 juta, akhirnya diterbitkan pada musim luruh tahun 2007. Usaha dan titik peluh Kicinski yang tidak kenal erti putus asa itu membuahkan hasil. The Witcher terjual sebanyak 2 juta unit ke seluruh dunia dan mendapat reaksi positif dari pengkritik.

Kejayaan itu seolah-seolah memberi lampu hijau kepada CD Projekt untuk membangunkan sekuel kepada The Witcher lantas mewujudkan trilogi. Tetapi, langit tidak selalunya cerah. CD Projekt mengalami krisis yang hebat sewaktu sedang membangunkan The Witcher untuk pasaran konsol. Idea untuk menghasilkan The Witcher versi konsol dicanangkan oleh penerbit The Witcher, Atari.

Atari melihat peluang yang sangat baik jika mereka dapat memasarkan The Witcher ke konsol lantas memperkenalkan francais itu kepada pemilik konsol. Tetapi, CD Projekt Red tiada pengalaman dalam membangunkan permainan video untuk konsol .Lantas, kerja-kerja pembangunan dan pengaturcaraan diserahkan Atari kepada sebuah studio Perancis, Widescreen Games dan diselia oleh CD Projekt.

Selepas 5 bulan, CD Projekt mendapati yang projek itu dilanda masalah. Widescreen Games tampak seperti tidak meletakkan sepenuh minat dan usaha ke atas projek itu, sebaliknya lebih mementingkan wang. Banyak wang CD Projekt yang dihabiskan ke atas Widescreen Games bagi membantu studio itu untuk menyiapkan projek tersebut. Kicinski dan rakan pengurusannya yang sedar akan perkara tersebut berbincang bersama dan membuat keputusan untuk membatalkan projek tersebut.

Atari menjadi berang dan meminta ganti rugi dari CD Projekt atas pembatalan projek tersebut. Kicinski terpaksa menandatangani perjanjian dengan Atari yang menetapkan Atari sebagai penerbit tunggal untuk The Witcher 2, walaupun permainan video itu belum disiapkan lagi. Peristiwa ini menyebabkan kerugian besar, ditambah lagi dengan krisis kegawatan ekonomi yang melanda Poland lantas mengakibatkan CD Projekt hampir-hampir muflis.

Dari cetak rompak ke Mahakarya

Gambar 2: The Witcher meletakkan Geralt Si Pemburu raksasa sebagai protagonis
http://www.davidmillard.org/2016/12/the-narrative-structure-of-the-witcher-3/

CD Projekt yang pada tahun 2009 sedang bergelut dalam krisis kewangan (akibat kegagalan The Witcher versi konsol) membuat keputusan untuk memberi fokus sepenuhnya kepada The Witcher 2. Tidak ingin lagi terbelenggu menggunakan game engine Aurora dari Bioware, CD Projekt membangunkan game engine sendiri yang diberi nama RedEngine (lebih fleksibel untuk konsol dan juga PC).

The Witcher 2: Assassins of Kings dibangunkan dalam tempoh masa 3 tahun sahaja dan dilancarkan pada tahun 2011. The Witcher 2 menerima reaksi yang mengagumkan dari para pengkritik dan juga peminat. Ia terjual lebih dari 3 juta unit di seluruh dunia dan meletakkan The Witcher sebagai jenama global. Permainan video inilah yang dihadiahkan oleh Perdana Menteri Poland, Donald Tusk kepada Presiden Obama.

Namun kisah kejayaan CD Projekt tidak terhenti di situ. CD Projekt Red meletakkan sepenuh tenaga dan perhatian pada sekuel seterusnya, The Witcher 3: Wild Hunt. Cita-cita dan harapan CD Projekt terhadap The Witcher 3 terlalu besar. The Witcher 3 diimpikan sebagai sebuah open world RPG seperti permainan video RPG popular, Skyrim.

Ia adalah sesuatu yang baru bagi CD Projekt Red, sebuah studio yang baru sahaja menghasilkan 2 buah permainan video. Tapi usaha studio kecil di Poland ini tidak boleh dipandang remeh. Dalam masa lebih kurang 4 tahun sahaja, The Witcher 3: Wild Hunt berjaya dilancarkan pada tahun 2015. The Witcher 3: Wild Hunt adalah salah satu dari mahakarya permainan video. Ia terjual lebih dari 10 juta unit ke seluruh dunia.

Ia diangkat oleh lebih dari 257 pengkritik sebagai permainan video terbaik (Game of The Year) pada tahun 2015 mengalahkan pesaing-pesaing lagenda seperti Fallout 4 dan juga Metal Gear Solid 5 yang dibangunkan oleh Hideo Kojima. Ia satu rekod yang masih tidak boleh dipecahkan oleh mana-mana permainan video sehingga sekarang.

Legasi

Jika dulunya The Witcher hanya dikenali di dalam Poland sahaja, kini ia menjadi francais popular yang dikenali di serata dunia. Ramai membandingkan The Witcher dengan novel fantasi popular Game Of Thrones kerana temanya yang matang dan menyentuh isu-isu yang berat. The Witcher kini boleh didapati bukan sahaja dalam bentuk novel ataupun permainan video, malah ia juga diterbitkan dalam bentuk komik, board game dan Netflix juga bercadang untuk menerbitkan siri televisyen untuk The Witcher pada masa akan datang.

Pada tahun 2014, ketika Presiden Obama berucap sewaktu lawatan rasminya ke Poland. Obama menyebut tentang hadiah yang diberikan oleh Perdana Menteri Tusk kepadanya pada tahun 2011. Katanya:

“Kali terakhir saya di sini, Donald memberikan saya satu hadiah, senaskah permainan video yang dibangunkan di sini (Poland) yang menerima sambutan menggalakkan dari peminat, iaitu The Witcher. Saya mengaku, yang saya tidak pandai bermain permainan video, tapi saya diberitahu yang ia satu cerminan terbaik terhadap kedudukan Poland dalam ekonomi global. Dan ia merupakan satu penghormatan terhadap bakat dan etika kerja rakyat Poland serta kebijaksanaan kepimpinan pemimpin negara seperti Perdana Menteri Tusk.”

Rujukan:

Weber, Rachel (2017), “Remember When Obama Said He Was Bad at ‘The Witcher’?”. Rolling Stone

Purchese, Robert (17 Mei 2015). “Seeing Red: The story of CD Projekt”. Eurogamer.

Pitts, Russ. “How The Team Behind The Witcher Conquered Poland”. Polygon.

Jones-Scott,Richard (Jun 2017), “The Witcher rights cost CD Projekt a lot less than you might think”.

Kettley, Sebastian (Mac 2018), “When is The Witcher out on Netflix? Release date, cast, trailer and more”.

“2015 Game of The Year”. Game of The Year Picks Blog