The Queen’s English: Dialek Ratu Elizabeth

1,320

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Bahasa Inggeris, ataupun nama asalnya “English” adalah sebuah bahasa yang dituturkan oleh 1.2 bilion orang di seluruh dunia. Bahasa Jermanik di bawah cabang Indo-Eropah tersebut dituturkan di United Kingdom, Ireland, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, dan banyak lagi.

Seperti mana bahasa lain, Inggeris juga mempunyai “dialek” ataupun “loghat” yang tersendiri. Perbezaan tersebut tidak hanya dapat dilihat dalam kalangan kelompok penutur, tetapi juga seorang penutur. Terutama sekali sekiranya penutur tersebut berprofil tinggi.
Antara penutur Inggeris berprofil tinggi yang dapat kita fikirkan adalah Queen Elizabeth II. Persoalannya, siapakah itu Queen Elizabeth II?

BERKENALAN DENGAN QUEEN ELIZABETH II

Queen Elizabeth II telah diputerikan sebagai Princess Elizabeth Alexandra Marry Windsor. Baginda diputerikan pada hari Rabu yang bertarikh 21hb April 1926. Baginda merupakan puteri sulung kepada George VI (1895-1952) dan Elizabeth Angela Marguerite Bowes-Lyon (1900-2002).

Pada hari Rabu yang bertarikh 6hb Februari 1952, baginda telah menaiki takhta sebagai Queen Elizabeth II. Baginda menggantikan ayahandanya yang mangkat kerana b4r4h paru-paru, Arteriosclerosis, dan p3ny4k1t Buerger.

Sejak pertabalan baginda pada hari Selasa yang bertarikh 2hb Jun 1953, titah baginda mula kedengaran dalam banyak tempat. Titahan baginda telah menarik minat para pengkaji dan peminat bahasa. Titahan Inggeris baginda dianggap istimewa dan berbeza berbanding percakapan lain.

Persoalannya, apakah keistimewaan dan perbezaan dalam titahan Inggeris baginda? Barangkali artikel ini dapat menjawab sedikit persoalan tentang titahan sang monarki keempat dalam Dinasti House of Windsor (1917-Kini) ini.

PENYEBUTAN DIFTONG [əʊ]

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “diftong” telah ditakrifkan sebagai gabungan dua huruf vokal yang menghasilkan bunyi berangkap.

Pertimbangkan ayat Inggeris yang berbunyi “Don’t go so slowly”. Queen Elizabeth II dan rakyat Great Britain (GB) menyebut ayat tersebut sebagai [dəʊnt gəʊ səʊ ˈsləʊli].
Rakyat GB menyebut diftong tersebut pada bahagian tengah mulut mereka. Berbeza dengan Queen Elizabeth yang menitahnya pada bahagian hadapan mulut baginda.
Sebilangan rakyat Malaysia telah kehilangan diftong tersebut dalam menyebut ayat berkenaan. Berdasarkan pendengaran kami, kita menyebutnya sebagai [doŋ go so səloli].

PENYEBUTAN TRIFTONG [aɪə]

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “triftong” telah ditakrifkan sebagai gabungan tiga bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata akibat perubahan kedudukan lidah.
Pertimbangkan ayat Inggeris yang berbunyi “The wireless tirelessly inspires”. Rakyat GB menyebut ayat tersebut sebagai [ðə ‘waɪələs ˈtaɪ̯ələs ɪn.ˈspaɪəs].

Berbeza dengan Queen Elizabeth II, baginda telah kehilangan triftong tersebut. Trftong berkenaan digantikan dengan [ɑː]. Justeru, baginda menitah ayat tersebut sebagai [ðə ‘wɑːləs ˈtɑːləs ɪn.ˈspɑːs].

Berdasarkan pendengaran kami, rakyat Malaysia pula menyebut ayat berkenaan sebagai [ðə ‘waɪələs ˈtaɪ̯ələs ɪn.ˈspaɪəs]. Ya, sama seperti yang diucapkan oleh rakyat GB.

KEBERADAAN HURUF “R”.

Pertimbangkan ayat Inggeris yang berbunyi “A very merry ceremony”. Rakyat GB menyebut ayat tersebut sebagai [ə ˈvɛɹi ˈmɛɹi ˈsɛɹɪməni].

Berbeza dengan Queen Elizabeth II, apabila huruf “r” muncul sebelum huruf vokal ataupun huruf “y”. Baginda akan menyebutnya sebagai [r]. Justeru, baginda menitah ayat tersebut sebagai [ə ˈvɛri ˈmɛri ˈsɛrɪməni].

Berdasarkan pendengaran kami, rakyat Malaysia pula menyebut ayat berkenaan dengan dua cara. Ada segelintir yang mengikut sebutan Queen Elizabeth II, dan ada pula yang menggantikannya dengan bunyi [l] iaitu [ə ˈvɛli ˈmɛli ˈsɛlimoni].

PENYEBUTAN AYAT

Sesungguhnya, baginda Queen Elizabeth II jarang bertitah dengan menggunakan sebutan yang tergesa-gesa. Dengan ini, baginda mempunyai masa yang panjang untuk menyebut sesuatu perkataan dengan jelas.

Sejujurnya, kami kadangkala lebih mudah tangkap akan sebutan Queen Elizabeth, dan Langfocus berbanding perbualan watak dalam Phua Chu Kang. Walaupun kami telah menonton sitkom itu sejak kecil lagi.

PEMIAWAIAN BAHASA INGGERIS

Hakikatnya, Bahasa Inggeris British (BrE) mempunyai tiga bentuk piawai. Piawai tersebut adalah Received Pronunciation (RP), Scottish English, dan Irish English.

Received Pronunciation (RP) berasal daripada “dialek” Inggeris yang dituturkan oleh golongan berpendidikan di selatan England. Istilah “RP” telah diperkenalkan oleh seorang Pakar Fonetik British yang bernama Daniel Jones (1881-1967).

Received Pronunciation juga dikenali sebagai “Queen English”, “King English”, “BBC English” ataupun “Oxford English”. Untuk pengetahuan semua, hanya 2% daripada penduduk British bertutur dalam RP.

AKHIR KATA

Kesimpulannya, itu adalah antara maklumat tentang Bahasa Inggeris yang dititahkan oleh baginda Queen Elizabeth II. Bagi pendapat kami, titahan Inggeris baginda sangat merdu untuk didengari.

Apakah pendapat anda tentang titahan Inggeris Queen Elizabeth II? Harap berikan ulasan anda di dalam ruang ulasan di bawah.

Semoga artikel tidak seberapa ini dapat memberikan manfaat kepada semua orang sama ada secara langsung mahupun sebaliknya.

RUJUKAN

Omniglot: English. Dicapai pada 20hb Disember 2020 dari https://omniglot.com/writing/english.htm

Biography of Queen Elizabeth II. Dicapai pada 20hb Disember 2020 dari https://www.google.com/…/.amp/royalty/queen-elizabeth-ii

The Queen’s English. Dicapai pada 20hb Disember 2020 dari https://pronunciationstudio.com/queens-english/

Dewan Bahasa dan Pustaka: Diftong. Dicapai pada 20hb Disember 2020 dari https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=diftong

Dewan Bahasa dan Pustaka: Triftong. Dicapai pada 20hb Disember 2020 dari https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=triftong

British Accents and Dialects. Dicapai pada 20hb Disember 2020 dari https://www.bl.uk/british…/articles/received-pronunciation

Daniel Jones. Dicapai pada 20hb Disember 2020 dari https://www.encyclopedia.com/…/music…/daniel-jones

The Queen’s English. Dicapai pada 20hb Disember 2020 dari https://blog.lingoda.com/en/queens-english/

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.