Kecil-kecil cili padi, peribahasa paling relevan untuk menggambarkan aksi pelumba basikal tersohor negara, Azizulhasni Awang. Sesuai dengan gelarannya, ‘The Pocket Rocketman’ sebagai pelumba yang memang amat terkenal dengan pecutan saat akhirnya dalam setiap perlumbaan yang disertainya. Siapa sahaja yang boleh jangka seseorang seperti beliau yang berasal daripada sebuah keluarga yang susah mampu menjadi seorang juara dunia.

Azizulhasni Awang atau The Pocket Rocketman merupakan seorang pelumba basikal yang tiada tolok bandingnya dengan pelumba-pelumba basikal negara yang lain buat masa ini.

Latar Belakang The Pocket Rocketman

Azizulhasni Awang atau nama sebenarnya, Mohd Azizulhasni b. Awang dilahirkan dan kemudian dibesarkan oleh sebuah keluarga angkat di Dungun, Terengganu. Beliau yang juga mesra dipanggil dengan nama ‘Jijoe’ merupakan anak kelapan daripada kesemua sembilan adik beradik. Beliau mendapatkan pendidikan peringkat rendah di Sekolah Kebangsaan Batu 48, Dungun sebelum menyambung pelajarannya di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar yang juga berada di Dungun sehingga beliau berumur 15 tahun.

Azizulhasni Awang merupakan seorang yang bukan sahaja aktif bersukan malahan beliau juga merupakan seorang yang tidak kalah hebatnya dalam bidang akademik. Dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), beliau berjaya mendapat keputusan yang amat baik iaitu 7A dan 1B. Dengan keputusan tersebut, bapa beliau menghadiahkan beliau sebuah basikal terpakai disebabkan minat beliau yang mendalam terhadap dunia lumba basikal.

Azizulhasni Awang mula menjadi serius dan bergerak aktif dalam dunia lumba basikal selepas beliau melihat abangnya berlumba basikal. Semenjak dari itu, beliau mula menyertai dan berlatih bersama Dungun Cycling Team sebelum beliau menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil di ibu negara.

Pada awalnya, beliau bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, ditambah lagi dengan keputusannya yang cemerlang dalam PMR. Akan tetapi, disebabkan minatnya yang mendalam terhadap dunia lumba berbasikal, beliau memilih untuk menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil dan boleh kita katakan yang beliau telah melakukan satu keputusan yang bijak.

Perjalanan Dalam Menjadi Pelumba Profesional

Perjalanan The Pocket Rocketman dalam menjadi pelumba basikal profesional bukanlah mudah. Semasa beliau masih bersama dengan Dungun Cycling Team, beliau berjaya untuk menyertai Kejohanan Berbasikal Kebangsaan. Namun begitu, beliau pergi ke kejohanan tersebut dengan hanya berbekalkan wang belanja RM100 yang diberi oleh ibu beliau. Di sana, beliau dan jurulatihnya terpaksa menumpang di rumah seorang kenalan kerana beliau mempunyai wang yang jumlahnya tidak mencukupi untuk menyewa sebuah bilik hotel.

Bukan itu sahaja, beliau juga terpaksa meminjam basikal daripada seorang individu yang baik hati untuk menyertai kejohanan tersebut kerana beliau tidak mempunyai sebuah basikal pada ketika itu. Akan tetapi, kecekalan beliau dan jurulatihnya, Rozimi di sana membuahkan hasil apabila Azizulhasni Awang berjaya merangkul pingat emas dalam perlumbaan basikal bawah 15 tahun.

Selain daripada itu, Azizulhasni Awang juga pernah menyertai sebuah kejohanan lumba basikal peringkat antarabangsa yang dinamakan Selangor International Mountain Bike Event. Beliau yang hanya berbekalkan RM50 pemberian ibunya terpaksa berjimat cermat kerana beliau terpaksa menginap selama 5 hari di sana. Lagi sekali tuah berada di pihaknya apabila beliau berjaya memenangi perlumbaan dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM500.

Kejayaan The Pocket Rocketman

Azizulhasni Awang mula mendapat nama di peringkat antarabangsa apabila beliau memenangi pingat perak dalam acara pecut trek berbasikal pada Kejohanan Dunia 2009 di Switzerland. Pada tahun berikutnya, beliau sekali lagi memenangi pingat perak tetapi dalam acara keirin trek berbasikal pada Kejohanan Dunia 2010 di Denmark. Kejayaan-kejayaan ini menjadikan beliau sebagai sinar harapan kepada rakyat Malaysia untuk sukan lumba berbasikal ini.

Malang sekali, pada tahun berikutnya, The Pocket Rocketman telah terlibat dalam sebuah kemalangan semasa perlumbaan peringkat akhir acara keirin pada Piala Dunia Berbasikal di Manchester tersebut. Sebelum berlakunya kemalangan itu, Azizul cuba untuk memotong tiga  orang pesaing dari Poland, Kamil Kuczynski, dari New Zealand, Edward Dawkins serta dari Sepanyol, Juan Peralta yang pada ketika itu berada di hadapannya sebelum basikalnya tergelincir seterusnya membuatkan beliau terjatuh dan terseret beberapa meter di atas permukaan trek.

Akibat daripada kemalangan itu, The Pocket Rocketman telah mengalami kecederaan yang agak serius apabila terdapat serpihan kayu dengan panjang 20cm tertusuk dari belakang betisnya menembusi ketingnya. Beliau kemudian dibawa terus ke hospital sebelum menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan kayu yang tertusuk pada kaki kirinya.

3 tahun kemudian, Azizulhasni Awang atau The Pocket Rocketman telah memenangi pingat gangsa dalam acara keirin trek berbasikal pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland. Kemenangan pingat gangsa beliau disambutnya dengan menayang sarung tangannya yang tertulis “Save Gaza”. Beliau melakukan aksi sedemikian atas tanda simpati terhadap m4ngs4 k0rb4n pemb*nVh4n di Gaza pada bulan Ramadhan tahun yang sama. Beliau kemudiannya meminta maaf atas permintaan pihak penganjur kejohanan tersebut.

The Pocket Rocketman tidak henti-henti mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa selepas daripada itu. Beliau telah memenangi pingat gangsa dalam acara keirin pada Kejohanan Dunia 2015 dan 2016. Beliau juga telah merangkul pingat gangsa pada kejohanan temasya sukan tertinggi dunia, iaitu pada temasya Sukan Olimpik di Rio, Brazil. Namun begitu, sudah tentu kejayaannya yang paling manis ialah dengan memenangi pingat emas pada Kejohanan Dunia 2017 seterusnya menjadikan beliau pelumba basikal terbaik dunia.

Ulasan Penulis

Azizulhasni Awang ataupun The Rocket Pocketman sememangnya amat layak untuk dijadikan sebagai suri teladan kepada bukan sahaja atlet-atlet negara malahan pada orang kebanyakan. Beliau membuktikan yang bahawa keperitan hidup bukanlah suatu penghalang untuk seseorang insan itu berjaya. Kehebatan dan kecekalan beliau wajar dicontohi oleh setiap orang dalam setiap lapisan masyarakat di negara kita dalam usaha kita untuk sama-sama membangunkan negara.

Harapan saya, semoga kita dapat lihat lebih ramai ‘The Pocket Rocketman’ negara pada masa hadapan. Dengan wujudnya fasiliti-fasiliti latihan sukan bertaraf dunia di negara kita ini, saya yakin yang kita mampu melahirkan lebih banyak bintang dalam apa jua bidang sukan pada masa-masa yang akan dating. Insyallah.

RUJUKAN:

  1. Azhan.co. BIODATA AZIZULHASNI AWANG, PELUMBA BASIKAL HANDALAN MALAYSIA. https://www.azhan.co/biodata-azizulhasni-awang-pelumba-basikal-handalan-malaysia/
  2. Track GP Wiki. Azizulhasni Awang. https://trackgp.fandom.com/wiki/Azizulhasni_Awang
  3. malaymail. Rough ride to stardom. https://www.malaymail.com/news/sports/2015/03/01/rough-ride-to-stardom/850075
  4. Mail Online. Awang ruled out of World Championships after surgery on shocking track splinter. https://www.dailymail.co.uk/sport/othersports/article-1359064/Azizulhasni-Awang-ruled-World-Championships-surgery-splinter.html

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.